Selasa, Januari 25, 2011

SELEPAS ITU?


PENGHUJUNGNYA,  ternyata yang disebut dan ingin dibuktikan tidak lain hanyalah segala perkara dan benda mengenai kebodohan dan apa yang didakwa sebagai kepicikan pemikiran orang lain.

Apa masalah dengan dia? Tentulah dia sendiri yang lebih tahu. 

Sepuluh jong yang masuk, anjing bercawat ekor juga. Bertempik dan berteriaklah, namun segala yang sedang diludah dan dikencingi orang tetap diludah dan dikencingi juga.

Segala topeng dan dalih juga dperguna.  Gelar sebagai pejuang dan pembela,  atas nama  kebenaran dan maruah, memang selalu membuat seorang manusia yang walau sebenarnya hanyalah seekor cencorot berjiwa kecil dan hamba serta penjilat, terpandang dan disanjung tinggi.

Namun tiada siapa akan selamanya bodoh dan boleh diperbuta mata dan hati pertimbangan nuraninya.

Segalanya, hanyalah lakon yang dipertontonkan dan hakikat sebenar disembunyikan dengan dalih hujah dan khutbah demi khutbah: Akulah yang lebih tahu serta suci dan sesiapa yang tidak sejalan atau bersetuju dengan pendapatku adalah manusia bodoh dan bahlol.

Segala keberanian, ditunjuk serta dipamer, bukan pada tempatnya. Bangsa sendiri dijadikan musuh dan pelempias benci dan orang lain disanjung, dinobat serta dipuji-puji, kerana  itu mendatangkan laba mengikut kehendak di hati.

Silakan kalian di jalan pilihan dan saya sudah sejak lama memahami itulah sebahagian resam makhluk yang bergelar manusia.

Apakah saya bersedih?

Oh, tidak. Saya malah sedang dengan hati yang sangat bergumbira memperhatikan segala. Dan apa selepas itu? 

Perlukah soalan itu dijawab? Saya sudah sejak lama memiliki  jawapannya sendiri.

Januari 25, 2011

Tiada ulasan: