Khamis, April 21, 2011
WIKUNILA MS: ANTARA TEATER, SENI LUKIS DAN SASTERA
Wikunila MS atau nama sebenarnya Mohd Saberi bin Muda dilahirkan pada 15 Februari 1966 di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu.
Pendidikan rendahnya di Sekolah Kebangsaan Paloh Kuala Terengganu 1973 – 1979. Pendidikan menengahnya pula di Sekolah Menengah Sultan Ahmad dari 1980 –1983 sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM.
Dari tahun 1984 hingga 1987 beliau melanjutkan pengajian ke Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam sehinga beroleh Diploma Perancang Bandar dan Wilayah.
Mulai menulis sejak tahun 1990an dengan genre puisi. Juga bergiat dengan Grup Teater Asyik Terengganu di bawah pimpinan Marzuki Ali. Tahun 1995, Wikunila menggondol anugerah Pengarah Terbaik Pekan Teater Kebangsaan 1995 melalui drama “Mayat” karya Hatta Azad Khan.
Beliau menulis novel, drama dan cerpen yang tersiar di pelbagai media seperti akhbar tabloid peringkat awalnya, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Jelita, Dewan Sastera.
Antologi puisi bersama beliau dengan Hilmi Rindu “Menuai Mimpi” diterbitkan oleh Pelita pada tahun 2005. Kumpulan puisi persendiriannya “Rahim Hayat” diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Karya beliau berupa novel berjudul “Su Lijah” juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007.
Tahun 2005 tiga puisinya “Keberangkatan ii”, “Lahad ii”, “Perkebunan Munajat” antara yang menggondol anugerah Hadiah Saguhati Sastera Puisi Islam DBP ke 10.
Anak seorang pekerja sendiri dan ibunya pula seorang peniaga kecil-kecilan ini memilih menjadi penulis pada mulanya kerana mahu mencuba kebolehan dan semakin lama di bidang ini, lebih didorong oleh hasrat mahu berkongsi pengalamannya dengan pembaca secara kreatif.
Latarbelakang keluarga Wikunila adalah petani di tengah masyarakat tipikal kampong tradisi. Moyangnya, dipercayai salah seorang penyalin manuskrip istana terutama karya-karya syair lama. Sebahagian syair dihafal oleh ibu dan diperdengarkan diwaktu senggang. Wikunila menggemari syair Siti Zubaidah yang dilagukan ibunya, serta mengingati bait puisi yang dihafali abang-abangnya sewaktu mereka menekuni antologi di Penjuru Mata Mu. Ini diakui Wikunila juga turut menggerakkan hasrat beliau untuk menulis.
Wikunila mengaku diperingkat awal penulisannya, kawan-kawan di dalam Teater Asyik yang menjadi pendorong atau idola, terutamanya Marzuki Ali.
Di samping itu, peristiwa melihat seorang kawannya menulis satu rangkap puisi empat baris dari malam hingga ke pagi dan kemudian melihatnya tidur dengan senyum puas, turut menggoda beliau untuk mengetahui rahsia di sebalik dunia penulisan.
Di peringkat awal penulisannya, Wikunila memilih menulis sajak. Bagi beliau, keistimewaan sajak adalah kerana ringkas dan kecil tetapi mampu menampung pelbagai persoalan, idea dan cetusan yang lebih besar.
Secara garis besar, dalam kebanyakan karya sajaknya, Wikunila sering mengemukakan persoalan yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan manusia dari rahim hingga ke liang lahad.
Ini misalnya terkesan jelas dalam kumpulan sajaknya “Rahim Hayat”. Kumpulan yang memuatkan lebih 100 sajak ini merupakan himpunan karya beliau yang tersiar di media awal sekitar 1990an hingga 2007.
Melalui novelnya “Su Lijah” pula, Wikunila menyampaikan kisah tipikal kehidupan masyarakat maritim awal 50an dan mengutarakan persoalan kasih sayang serta perjuangan dalam hidup.
Wikunila mengaku melalui “Su Lijah” beliau menjadi novelis secara accidental. Kisahnya, beliau menjadi peserta bengkel menulis novel anjuran Grup Teater Asyik di bawah bimbingan Ali Jusoh yang kurang peserta hanya di saat-saat akhir.
Dalam tempoh waktu tiga bulan, beliau menyiapkan novel “Su Lijah” secara tergesa-gesa demi utnuk mengejar dateline. Kerana itu, beliau tidak menafikan bila ada pengkaji serta penghayat novel tersebut yang juga menyedari kesan tergesa-gesa di dalam novel tersebut.
Secara berterus terang Wikunila mengaku sebagai penulis beliau berasa bahagia kerana bidang ini tidak diminati ramai dan memerlukan memiliki kepakaran tersendiri untuk melaksanakannya. Di samping itu, pengalaman kerja di sebuah muzium diakui beliau turut mempengaruhi beliau ketika berkarya.
Sebagai penyair, walau pun telah menulis dan berjaya menyiarkan kurang lebih 200 sajak namun beliau tetap melihat dirinya sebagai masih kecil dan hijau dan beliau melihat antara punca yang boleh menyebabkan kemunduran seorang penyair adalah masalah lingkungan persekitaran. Bagi mengatasi masalah ini, seorang penyair mestilah lari dari lingkungan persekitaran yang membelenggu dan mencari lingkungan yang boleh merangsang untuk berkarya.
Selain berteater Wikunila juga melukis. Melaluinya Wikunila mengaku memberikan beliau kepuasan visual secara langsung. Berbanding dengan menulis yang tidak memberikan kepuasan secara langsung, sebaliknya perlu melalui proses masa yakni penilaian kemudiannya.
Melalui teater pula Wikunila mengaku beliau diasuh untuk mengenal ruang dan persekitarannya. Dalam hubungannya dengan sastera pula, Wikunila berpendapat walau pun teater dan sastera adalah dua genre kesenian yang berbeza, namun secara praktisnya ianya melibatkan pengalaman, olahan intelektual dan garapan tersendiri yang bersamaan dan mampu merangsang daya kreatif melalui media yang berbeza.
Ketika bersama Teater Asyik dan Marzuki Ali, Wikunila mengaku beliau memperolehi pengalaman yang amat berharga dan antara yang menjadi pencetus pada kerjaya berkesenian beliau.
Latihan teater baik formal atau tidak dan semangat kebersamaan yang diwujudkan dalam keluarga besar Grup Teater Asyik bagi Wikunila seperti sebuah sekolah atau musolla pembelajaran yang membentuk keperibadian di kalangan ahli-ahlinya.
Wikunila yang mengaku kehadirannya di dunia sastera ini sekadar untuk menghadiri dan mencatat nama secara sekadarnya ini berpandangan tidak ada penyair munafik dalam ertikata sebenarnya.
Bagi Wikunila, andai mereka tidak berbuat apa yang dikatakan itu bukan bererti mereka munafik, tetapi lantaran penyair tersebut belum matang dalam pengkaryaannya. Tegas Wikunila, kemungkinannnya, hasrat untuk berbuat itu ada, tetapi baru hanya dalam bentuk keazaman atau harapan.
- MARSLI N.O
Sumber siaran: Siasah Bil 0260 15 – 21 April 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan