Rabu, Ogos 31, 2011

DI DEPAN SOJU


Disember 6, 2010

Di kamar apartmen, meski jam di tanganku sudah  kian melewati tengah malam, namun mataku masih tidak mahu lelap. Ini malam terakhir aku di Seoul, Korea Selatan. Besok pagi, jam 9.30 tanggal  Disember 7, 2010 aku  perlu check out dan berangkat ke lapangan terbang Incheon.


Kuisi waktu melayan mata yang masih belum digayuti kantok ini sambil menulis, sambil menonton tv. Di jam begini, baru aku faham dan mengerti kenapa dan apa relevannya anak-anak yang belum berusia dewasa dimestikan tidur pada jam 10.00 malam. Di sini, memasuki jam 12.00 ke atas, tayangan di tv lebih terbuka dan ghairah. Tinggal memilih mahu menonton atau menukar ke saluran yang lain.

Yang dipaparkan adalah tubuh yang telanjang dan  aksi ghairah, tetapi alat kemaluan tidak dipertonton atau kalau terdedah juga, ianya disensor. Aku menanton tanpa maksud untuk menaikkan ghairah. Menontonnya, aku cuba memahami budaya nafsu bangsa Korea, yang sebelum ini kulihat daripada sebuah blog mengenai sebuah taman di entah bahagian mana negara itu yang mempamerkan patong serta ukiran pelbagai bentuk dan ukiran alat kemaluan.

Malah kelmarin, sewaktu melontarkan pandangan keluar lewat jendela cermin bas, aku melihat pajangan patung atau ukiran alat kemaluan lelaki yang besar di suatu kawasan  seperti kawasan rehat dan rekreasi.

Aku tidak menanyakan isu seks ini kepada gadis Korea yang mengiring dan menjadi penterjemah. Aku segan dan khuatir kalau dianggap lain. Namun ketika pagi pertama di dalam bas dan berbual mengenai kehidupan remaja dan gadis Korea, aku diberitahu oleh gadis pengiring ini, isu aborsi atau mengandung di laur nikah bukan menjadi persoalan di sini. Malah aku lebih terpana ketika dia memberitahu betapa  isu rogol tidak atau jarang berlaku di sini.

Kukira apa yang sedang kutonton di tv menjawab segala yang sedang aku fikirkan. Apa yang sedang ditayangkan, rasanya, adalah sesuatu yang dengan sengaja dirakamkan oleh pelakunya sendiri dan rakaman itu kemudiannya dikirimkan ke setesen tv untuk disiarkan.

Seks bagi mereka bukanlah taboo, tetapi permainan,  untuk keseronokan, yang diladeni dengan lugu. Begitu tanggapanku daripada luarannya.

Kerana menontonya dengan semangat observasi dan dengan maksud mahu  mengenal budaya orang lain, aku jadi tidak begitu berghairah ketika menontonnya. Dengan mata kritis aku menontonnya, dan aku diilhami untuk menulis sebuah sajak.

Di kaca tv, aku melihat botol-botol soju, sejenis arak buatan Korea, dan gelas-gelas, bergelimpangan di lantai. Beberapa pemuda dan gadis Korea dalam keadaan mabuk melakukan aksi ghairah: berciuman, saling berpelokan, tindih dan menindih.

Aku tidak ingin menghukum atau mengaku betapa diriku lebih suci dan mulia ketimbang pemuda dan pemudi  Korea yang kulihat sedang dibuai kemabukan dan melakukan aksi ghairah  di kaca tv itu.

Aku melihat sesuatu yang lain. Kemabukan. Ya, kemabukan yang boleh memusnahkan siapa sahaja yang  ditaklukinya. Itulah yang berlegar di fikiranku. Itulah yang mengilhamkanku.


DI DEPAN SOJU

biarkan gelas dan botol
yang berderet di meja
berbicara sesama sendiri

kerana kata tidak lagi perlu
untuk menyatakan hasrat
atau keinginan manusia

di antara cinta yang palsu
atau membaranya nafsu

biarkan si pemabuk memilih dunianya

dan kita memilih yang lain
di antara menjadi haiwan
dan waras pertimbangan

Bagi setiap kehendak serta perbuatan.

Disember 6, 2010

Sabtu, Ogos 27, 2011

SUDAHLAH DAN BEBERAPA CATATAN LAIN


DENGAN apa yang ada dan sudah terima, saya fikir tiada apa lagi yang hendak saya rebut dan berkejaran dengan orang lain. Biarlah kalau dikata orang saya sudah hilang semangat juang, saya peduli apa dengan segala kata dan ucap sebegitu.  

Apa yang saya sudah tulis dan telah diterbitkan secara rasmi dengan mana-mana penerbitan yang memaparkan cop mohornya yang tertentu, jika dirasakan oleh pihak yang berkenaan layak dan sesuai hendak dinilai demi sesuatu hadiah atau anugerah, silakanlah.

Soal apakah nanti akan menerima atau tidak, saya tidak fikir itu sesuatu yang terlalu perlu untuk saya rusuhkan di dalam perasan serta fikiran, sehinggakan menjadi gangguan pula buat saya dan boleh menyebabkan saya tidak berdaya hendak terus menulis lagi.

Katakanlah jika tidak menerima hadiah, saya berasa saya tidak ingin marah atau terlalu memikirkan soal itu. Tugas menulis saya sudah selesai dan saya pun sudah menerima sedikit atau sejumlah bayaran untuk apa yang sudah saya tulis dan disiarkan itu.

Tidak mengapalah kalau bayaran itu tidak mampu membuatkan saya menjadi kaya dan hidup senang lenang. Tetapi setidaknya, dengan bayaran yang  sekadarnya itu, saya dapatlah mengelak daripada mengemis dan menjual harga diri sendiri dalam urusan menafkahi keluarga.

Urusan menilai dan memberikan hadiah bukan menjadi urusan saya.  Kerana setahu saya,  sudah ada institusi berserta pegawainya yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara ini.   Biarlah mereka yang menguruskannya.  

Apa lagi institusi itu pun berhubung kait juga dengan urusan terbit dan menerbitkan karya. Jadi kalau memang ada karya yang hendak mereka kumpul dan nilai, sudah tentulah karya tersebut boleh didapatkan langsung daripada bahagian yang menerbitkan, yang juga berada di bawah bumbungnya yang sama.

Itu pendapat saya peribadi. Tetapi mungkin juga lain pula yang difikirkan oleh mereka yang mengurus persoalan penilaian dan segala macam hadiah ini. Mereka mungkin punya segudang alasan mereka sendiri.

Mungkin soal dan alasannya, kerana kekurangan tenaga dan anggota, atau demi untuk menjimatkan waktu dan berlaku adil kepada semua yang menulis.

Maka, itulah sebab agaknya maka saya diberitahu supaya mengirimkan empat naskhah buku saya yang sudah diterbitkan jika mahu dinilai oleh pihak mereka.

Tetapi seperti yang sudah saya katakan, kalau dirasakan sesuai untuk dinilai, nilailah. Kalau memang dirasakan tidak sesuai, tidak mengapa, lupakan sahaja. 

Sebabnya mudah sahaja. Kalau sampai ke tahap saya sendiri yang perlu mengirimkan karya, walhal karya tersebut diterbitkan oleh institusi yang sama, jawapan saya cuma ini: sudahlah.

Saya sudah bosan dengan semua benda yang mengarut dan nampak macam sengaja hendak dipayah-payahkan ini.  Nampak sangat, sepuluh jong yang masuk, anjing bercawat ekor juga.

Ogos 27, 2011 


BERLAGAK

ADA banyak cara dan gaya orang berlagak. Tidak mengapa. Itu hak kau. Cerita dan laungkanlah ke seantero benua dunia betapa hebatnya kau. Laungkanlah.

Tetapi kalau diteliti benar-benar, apa yang hebat sangat maka sampai begitu sekali kau melagak-lagakkan itu?

Hendak dikatakan sesuatu yang baru dan berlainan sangat, tidaklah juga. Kalau setakat bercerita mengenai seluar dalam atau longkang, apa yang hebatnya?

Begitu juga dengan cara dan gaya nyanyian kau. Apa yang hebatnya maka dengan angkuh dan bangganya kau berkoar konon penyanyi tersohor di benua Afrika hendak berduet dan membikin album bersama denganmu?

Memanglah. Apa yang hendak kau lagak dan hebohkan itu hak diri kau. Suka hati kaulah.

Tetapi, kalau tidak ada benda sangat yang hebatnya melampau-lampau sehinggakan boleh mengatasi apa yang sudah sedia ada, tidak payahlah hendak kau berlagak dan melagak-lagakkan sangat.

Sebabnya mudah sahaja. Benda dan perkara yang tidak sepadan, kalau terlalu sangat dilagak-lagakkan, lebih-lebih lagi dengan gaya sombong dan pongah, mudah membuat rasa mual dan hendak muntah orang yang melihat, membaca atau mendengar.

Itulah sahaja sebabnya. Walau pun macam selalulah kau akan cakap: itu aku peduli apa!

Ogos 27, 2011


BUDAYAWAN 

MEMANGLAH hebat bunyinya gelaran.  Dengan gelar itulah ke mana-mana kau mengheret diri. Kalau perlu dan demi waktu serta ketika yang lain, kau tambah gelar di belakang  namamu: penyair, pejuang bahasa, pejuang budaya ada paling tegar, penegak maruah bangsa!

Tetapi hakikat sebenarnya apa? Apa kau sudah lupa atau sengaja buat-buat lupa?

Apa yang menjadi heboh dan kecoh kini lantaran siapa? 

Atas nama budayawan jugalah kau tanpa sedikit pun rasa malu menulis di sana sini dengan nada ampu dan bodek yang melambung tinggi.

Siapa sahaja yang kau sukai dan fikirkan boleh mendatangkan kembali laba kepada dirimu, kau sebut, kau  angkat dan kau pujilah namanya sehinga melangit tingginya.

Tetapi siapa yang kau anggap musuh atau pernah mencabar dirimu, walau hidup dan bergerak di depan kelopak matamu, usahkan hendak disebut, hendak disapa pun kau sudi tidak.

Maka, dengan gelar budayawan tersohor itulah, kau hidup dan suburkan budaya ampu dan menjilat.

Siapa yang sanggup mengampu dan menjilat, maka dialah tokoh yang sentiasa menjadi sebutan.

Seolah, segala dosa silam yang pernah kau perbuat, sedikit pun tidak pernah membekas di hati sanubarimu.

Atau kau memang tidak pernah melihat segala yang runtuh dan menjadi landas di depan matamu!

Ogos 27, 2011


HINA

TANGGALKANLAH songkok dan pakaian  Melayu yang membalut tubuhmu di hari Jumaat yang mulai ini.  Gantilah ia dengan pakaian yang lain.  Pakaian Red Indian atau puak Zulu di Afrika.

Usah kau perhinakan dirimu dengan bersongkok dan pakaian Melayu di hari Jumaat yang mulia ini. Apa lagi di bulan mulai Ramadhan ini. Tolonglah. Usah perhinakan dirimu sehinggakan demikian.

Kau tahukah sebab dan kenapa kukatakan begitu kepada dirimu? Kalau kau tidak sedar dan tahu, biarlah kuberitahu akan dirimu.

Di pagi membuta begini siapa sahaja memang mengejar waktu ke tempat kerja. Tetapi tidakkah tahu berapakah had laju jalan melewati kampung sebegini? Berapa kelajuan hendak kau tekan? Kalau aku yang memandu 80 kmj pun masih kau acah-acah supaya melabihkan laju, berapa sebenarnya kelajuan yang kau hendak? 100 kmj? 120 kmj? Kau bodoh atau lupakah? Ini bukan lebuh raya.

Memang aku cakap kau bodoh dan dengan sengaja memperhinakan diri kau sendiri dengan berpakaian songkok dan pakaian Melayu di pagi Jumaat yang mulia ini, tetapi laku dan perangaimu bak Red Indian mengejar koboi kulit putih di era western.

Tanpa sedikit pun rasa malu, kau perhinakan dirimu, memotong di sebelah kiri, di lorong kecemasan yang dikhaskan untuk motorsikal.

Kusangka, begitu tergesanya kau di pagi Jumaat ini kerana hendak mengejar roket di angkasa atau menuju ke Kuala Lumpur. Rupa-rupanya tidak. Tidak sampai satu kilometer kau memotong    secara berbahaya di sebelah kiri, kulihat kau memberikan lampu isyarat ke kanan dan kemudian memasuki pintu pagar sebuah institusi pendidikan.

Hina sungguh diri kau di mataku di pagi Jumaat yang mulia dan di bulan Ramadhan ini. Dengan bersongkok dan bertugas di sebuah institusi pendidikan, tetapi laku dan perangaimu ketika memandu tidak ubah bagaikan laku Red Indian!

Ogos 26, 2011 


SIA-SIA

ADAKANLAH 100 forum pun, keadaan kalian tetap akan begitu juga. Bila bertemu dan berkumpul yang diceritakan hanyalah kejayaan masa lalu konon  pihak kalian telah dan pernah melahirkan orang itu atau ini sebagai penulis.

Memang pun mengenang-ngenang dan bernostalgia itu sesuatu yang indah dan seronok. Tetapi biarlah berpada dan berpatut-patut. Kiri dan kanan, masa akan datang dan kini kenalah juga direnung serta diteliti.

Janganlah sebokkan orang itu atau ini sudah menjadi kacang yang lupakan kulit. Itu semua tiada gunanya. 

Yang patutnya, gerak dan ikhtiarkanlah kelompok kalian sendiri membina semula kekuatan dan bukannya sekadar menjadi tempat berkumpul orang-orang pikun yang sudah malas berkarya dan berkreatif. Atau mengucapkan rasa iri bila melihat orang lain yang kalian  dakwa pernah dilahirkan meneruskan jalan hidupnya sendiri.

Apalah gunanya berbuat begitu dan aku bukanlah hendak menunjuk pandai mengajar kalian yang memang sudah pun pandai.
Binalah kekuatan baru dan kalau perlu, berilah kepercayaan kepada orang yang lebih muda untuk untuk memimpin.  Kalian yang berusia, apa salahnya menjadi penasihat dan biarkan kelompok kalian diterajui dengan semangat baru.
 
Buatlah sesuatu, sebelum kalian pergi sia-sia!

Ogos 23, 2011

Ahad, Ogos 14, 2011

PEMUDA REVOLUSIONER


SAYA pernah muda di zaman saya dan melalui serta menikmatinya dengan cara saya sendiri. Kini, saya sudah punya keluarga dan beberapa anak saya adalah pemuda.

Saya tahu zaman muda adalah zaman yang penuh dengan cita-cita, harapan, impian, mimpi, keghairahan  dan semangat yang berkobar-kobar. Kerana pernah melalui dan menikmati zaman itu, saya selalu berusaha untuk mengerti dunia yang sudah saya lewati dan kini sedang dinikmati oleh mereka yang sedang melaluinya pula.

Segala bentuk bangkangan dan bantahan yang kini saya dengar,  ketika muda dahulu saya juga meluahkannya.  Segala kegelisahan dan mimpi yang kini kembali dikoarkan, ketika muda dahulu juga sudah saya koarkan.

Hanya cara meluahkannya kini lebih sofistikated, dengan bantuan dan kemudahan teknologi. Begitu juga dengan segala gelisah dan mimpi, ianya dikoarkan mungkin dengan suara yang lebih vokal dan terlalu terbuka, ketimbang di zaman  muda saya yang agak tersipu dan bersopan.

Memang pun zaman muda saya sudah berlalu.  Tetapi saya tetap tidak ingin bermusuh atau menganggap  mereka yang datang lebih kemudian ketimbang saya adalah musuh.

Bagi saya, setiap zaman dan waktu adalah milik mereka yang hidup pada zamannya. Jika ada yang saya rasa tidak bersetuju dengan mereka yang lebih muda kini, saya mengambil pilihan untuk menghindar daripada segala bentuk pertengkaran dengan cara memilih jalan saya sendiri dan membiarkan mereka yang lebih muda meneruskan semangat muda mereka yang sedang berkobar itu.

Akhir nanti, setelah kian menjadi tua, saya tahu mereka juga akan sedar sendiri betapa sebahagian besar semangat dan impian mereka itu akan terkambus di bawah kenyataan hidup yang selalu kejam dan tidak adil.

Malah kalau kurang mampu memperkasakan pertahanan jiwa, bukan mustahil mereka boleh mengalami goncangan jiwa dan perasaan.

Tetapi itulah katanya proses mendewasakan seseorang.  Setiap pemuda akan menjadi dewasa dengan segala duga serta cabaran hidup. Jadi biarkan mereka menikmati masa muda itu dengan semangat dan ghairah mereka sendiri.

Namun jangan dilupa, kerana semangat yang tidak terkendali dan ghairah yang terlalu menggebu-gebu, banyak pemuda kita menjadi mangsa serta diperalatkan oleh para opurtunis yang bernaung di bawah slogan politik membela kebenaran serta menentang kezaliman, atau berselindung di sebalik topeng agama dan yang lebih hebat lagi, kononnya demi menegakkan satu revolusi.

Atas nama perjuangan dan menyuburkan revolusi, mereka diperalatkan untuk berkarya dan menjadi corong meniupkan propaganda partai yang jelas memperalatkan seni untuk kepentingannya.

Kerana propaganda partai dan ideologi yang diutamakan, maka nilai seninya, bagaimana seni dipentaskan untuk menyampaikan  maksud, menjadi keterlaluan, mendesak-desakkan amanat serta kehendaknya, seolah penonton dan pendengar tidak mampu berfikir sendiri.

Di tangan para opurtunis ini, peranan seni dimanfaatkan sesungguhnya,  sehingga ke tahap melacurkannya.  Membawanya kembali ke zaman  propaganda di era ideologi komunis yang jelas hanya berpura-pura dan berselindung atas nama kesamarataan hak, tetapi yang jelas ditindas dan dipaksakan mengangguk  tetap marhaennya juga.

Semangat berkobar anak muda dan keghairahan mereka lantas diperkudakan oleh para opurtunis ini.  Mereka berkoar atas nama seni yang membela kebenaran, tetapi hakikatnya adalah untuk mempropagandakan hasrat partai dan ideologi dan kuda tunggangannya adalah anak-anak muda yang terlalu bersemangat berani ini .

Namun seperti selalu, mereka yang bergelar pemuda kurang senang  bila ditegor serta dinasihati. Alasan dan jawapan, saya lebih tahu apa yang saya buat. Atau lebih pongah lagi, bila dikatakan betapa ini zaman mereka dan mereka tidak memerlukan sebarang nasihat daripada siapa pun yang zaman mudanya sudah berlalu.

Terus terang saya juga pelawan yang selalu ingin melawan apa sahaja yang saya rasakan tidak benar. Ini bukan soal muda atau tua.  Setiap hak mesti ditegakkan. Setiap yang benar mesti dibela.

Tetapi  caranya bagi saya bukan dengan hanya  berteriak di jalan raya. Atau menggunakan alasan untuk membela kematian seorang teman yang menjadi mangsa tembakan maka seluruh kota dan bandar cuba dibakar hangus, dan kemudian ketika suasana kian menjadi kecoh, kesempatan diambil untuk mencuri dan menjarah harta orang lain.

Malah tidak ada salahnya setiap pemuda bersemangat revolusi. Setiap kita, tanpa mengira tua atau muda memang perlu berevolusi demi untuk melakukan perubahan di dalam dirinya sendiri.

Tetapi, mampukah pemuda kita yang mengaku bersemangat revolusi melakukan perubahan apa pun jika rambutnya kotor tidak terurus, berpakaian kumal dan berbau, berkeringat dan berbau bagaikan seekor kambing?

Memang manusia tidak semestinya dinilai kerana luarannya. Tetapi bolehkah dipercayai serta diyakini keutuhan semangat revolusinya itu andai dirinya sendiri pun bagaikan manusia yang tidak terurus sehingga tidak berkesempatan membersihkan dirinya sendiri, walau pun sekali sehari?

Saya tidak bermaksud hendak menyarankan agar para pemuda kita yang bersemangat revolusi mesti sentiasa berpakaian ranggi atau berlagak skema.

Apa yang saya tekankan adalah kebersihan dan kejernihan. Kostium yang murah dan lusuh tidak salahnya, asalkan sentiasa dalam keadaan bersih.

Saya fikir, pemuda revolusioner kita tentu lebih arif dan maklum. Mereka sudah terlalu bijak untuk diarah-arah serta  ditunjuk ajar.   Apa lagi oleh seseorang yang zaman mudanya sudah pun berlalu.

Ogos 13, 2011

Sabtu, Ogos 13, 2011

KULIT BUKU SAYA


ADA kawan yang memang tersohor nama dia sebagai pereka kulit buku yang cantik dan memukau di kalangan kawan-kawan menegor kulit buku yang saya reka dan bukunya saya terbitkan sendiri.

Saya tidak marah dan ambil hati sedikit pun sebab saya tahu memang pun kulit buku yang saya reka sendiri itu tidak secantik apa yang direka oleh mereka yang memang belajar dan pakar di bidang ini.

Saya tidak perlu berasa malu dan rendah diri kerana itu. Cakaplah apa orang hendak cakap, komenlah apa orang hendak komen. 

Saya bukan tidak mahu melihat buku saya dihiasai dengan kulit yang cantik dan memukau menurut ilmu seni rekaan dan daripada mata penilaian mereka yang mahir di bidang ini.

Hendakkan sesuatu yang bagus dan cantik mestilah dikerjakan oleh mereka yang memang pakar di bidang ini. Masalahnya, saya tidak mampu hendak membayar upah siapa yang mereka kulit buku saya.  

Kalau saya hendak minta tolong secara percuma pun, tiada siapa yang hendak tolong kerana saya bukan orang yang ada apa-apa jawatan serta kepentingan yang boleh kembali memberikan keuntungan kepada sesiapa yang telah menolong saya itu. Seperti misalnya boleh memungkinkan mereka membuat sesuatu persembahan acara di luar negara, atau diberikan projek tertentu di masa akan datang.

Malah saya pun pernah menerima tawaran seorang yang mahu tolong merekakan kulit buku untuk sebuah kumpulan cerpen yang akan saya terbitkan sendiri. Setelah rekaan itu siap dan ditunjukkan kepada saya, berterus terang saya katakan ianya kelihatan seperti kulit buku teks untuk anak sekolah rendah.

Ya, saya mungkin salah tanggap. Tetapi hati kecil saya berkata begitu. Bayangkan dengan latar belakang warna orange muda dan diterakan judulnya dengan font bersaiz 16 atau 14, tanpa hiasan gambar atau apa-apa sketsa. Langsung saya beritahu apa yang saya rasa: ini untuk buku teks!

Suatu ketika yang lain, ketika mendengar pengakuan seorang kawan yang dia sedia membantu merekakan kulit buku saya yang lain, saya berasa gembira bukan main. Kepada kawan ini terus terang  saya mengatakan saya cuma mampu membayar upah kerja dia sekitar RM 200.

Tetapi kemudian, selepas saya melihat rekaan kulit buku saya itu, saya benar-benar terduduk dek rasa kecewa serta tidak menyangka.

Kulit buku itu memang ada. Tetapi lain sangat daripada apa yang saya sangkakan. Tiada sedikit langsung dengan konsep yang saya bayangkan serta gambarkan kepada dia sebelum ini.

Memanglah dia boleh berdalih dan beralasan dengan mengatakan betapa rekaan itu menurut pemahaman dan imaginasi dia. Tetapi kalau hati saya sendiri berasa tidak senang dan terkesan seperti dibuat hendak tidak hendak sahaja, bagaimana pula?

Lain lagi kalau dia meminta kembali pendapat saya apa sebenarnya yang saya senangi dan bayangkan. Setidaknya tidaklah sangat di dalam hati berasa terkilan.

Tetapi saya memang sedar diri. Apa gunanya saya bertekak dengan dia yang tentunya boleh mengaku dirinya lebih tahu dan pandai di bidang itu berbanding saya. Lalu untuk tidak memanjangkan cerita dan kisah. Saya memilih mengalah dengan cara mendiamkan diri dan buku itu tidak saya terbitkan sampai kini.

Memang saya tahu bidang reka mereka dan lukis melukis ini bukan bidang kepakaran saya. Sejak dahulu, saya pun memang bekerja dan menerbitkan buku saya secara persendirian dengan tenaga empat kerat saya sahaja. Tidak menggunakan perisian komputer untuk menyusun halaman, menampal dan melekatkan dami. Semuanya dikerjakan dengan gunting tampal dan susun.

Saya tahu saya memang bukan pakar di bidang ini. Tetapi sementara hendak menunggu menjadi pakar atau menantikan malaikat datang membantu saya, saya memutuskan lebih baik saya berkeja sendiri, dengan kudrat sendiri, belanja sendiri, untuk mencetak dan menerbitkan buku saya sendiri.

Yang penting, apa yang hendak saya sampaikan kepada masyarakat pembaca, dapat saya sampaikan.  Soal bagus atau tidak, cantik atau tidak, biarlah diputuskan mereka yang membaca buku saya itu. 

Sebab, saya tidak ingin menjadi pengemis menagih simpati sesiapa. Kerana saya tahu, siapa mahu ambil peduli dan hendak menolong diri kita kalau diri kita tidak ada apa-apa dan bukan boleh mendatangkan laba apa-apa kepada pihak mereka.
Saya sudah jenuh melaluinya dan sudah sejak mula  memilih untuk terus mandiri.

Walau untuk itu saya menjadi terasing dan tidak diambil peduli di pihak mereka.

Saya juga tidak pernah mahu ambil peduli.

Ogos 13, 2011

 

Jumaat, Ogos 12, 2011

KISAH LUCU MENGENAI RAMADHAN DAN SYAWAL


HENDAK cerita apa kalau saya memang berasa saya tidak punya sebarang kisah yang lucu mengenainya?

Memang pun kelucuan itu boleh dilihat dan ditafsirkan daripada pelbagai sudut serta segi. Tetapi kalau saya berasa memang tidak ada, hendak dilihat dari segi yang pelbagai bagaimana?

Saya tidak tahu apa motif mereka berminat sangat menyiarkan hanya kisah yang lucu dan gembira begitu, sedangkan hidup ini tidak hanya gembira. Apa lagi yang bertanya itu daripada sebuah penerbitan yang menyiar dan menulis pelbagai perkara mengenai sastera, bahasa dan budaya.

Memang pun ini bukan persoalan besar yang sampai boleh membuat saya tidak lena tidur dan beradu. Malah soal hendak menyiarkan cerita dan kisah apa pun bukan persoalan saya. Akhbar mereka, suka hati merekalah hendak siarkan kisah apa pun.

Cuma, kalau tidak menjawab apa yang ditanya, tidak mahu pula dikatakan diri sombong dan berlagak.

Tetapi, berlagak atau tidak, saya sudah menunaikan peranan saya. Saya sudah menjawab dan memberikan kisah itu.

Kelakar atau tidak. Lucu atau tidak. Bukan urusan saya hendak memikirkannya lama-lama. Tugas saya cuma menulis dan meluahkan apa yang saya rasakan perlu saya tulis serta luahkan, suatu kisah kecil yang seboleh mungkin cuba saya elakkan daripada melibatkan secara jelas sebarang nama dan individu yang tiada berkaitan dengan diri saya di dalam kisah itu.

Terpulang merekalah hendak menerima dan berasa perlu disiarkan atau tidak. 

Tugas saya cuma menulis dan saya berasa bahagia dengan tugas saya itu. Apakah yang saya tulis itu kisah lucu atau tidak, bukan urusan saya hendak memikirkannya.

Ogos 12, 2011

Khamis, Ogos 11, 2011

KOSTIUM


SAYA tidak pasti bagaimana atau dari mana bermula serta puncanya seorang penyair yang apabila  tampil ke pentas untuk mendeklamasikan sajak, akan tampil dengan gaya pakaian tertentu. Atau seorang yang berasa dirinya penyair, atau memang seorang penyair, dalam penampilan sehari-harinya di kalangan kawan-kawan atau sesuatu majlis dan acara, mengenakan gaya pakaian yang tertentu.

Secara peribadi, saya ingat mula melihat foto Putu Wijaya mengenakan topi barettanya sekitar tahun 1980 di dalam sebuah buku yang sudah saya lupa judulnya. Tetapi penyair Usman Awang yang saya lihat di Hari Puisi Nasional 1981 di Kem Kijang, Kota Bahru berpakaian kemas ala pakaian ke pejabat. Begitu juga Jaafa Hs, Pak Samad Said, Muhammad Haji Salleh dan Puzi Hadi. Mereka mengenakan pakaian yang biasa sahaja. Tiada topi, tiada selendang melingkar di leher.

Kalau tidak silap ingatan, saya sendiri mula mengenakan kostium ketika tampil membacakan sajak ialah di acara baca puisi di kediaman rasmi Menteri Besar Johor tahun 2001. 

Kemudiannya, ketika menyertai rakaman konsert Phoenix Bangkit M. Nasir di studio NTV7, juga tahun 2001 (bulan Ogos), saya yang mengenakan kostium ke pejabat ditegor oleh Jalil Ngah sebagai pengarah seninya, agar mengenakan pakaian yang lebih sesuai. Demi rakaman konsert itu, yang bahagian penyair membacakan sajaknya ditiadakan ketika disiarkan, saya perhabiskan RM 50 untuk sehelai baju yang kononnya sesuai untuk dipakai di rakaman konsert tersebut.

Kemudian lagi, ketika RTM dengan kerjasama anggota Kopratasa mengendalikan acara baca sajak di TV, Anjung Budi berikutnya, saya mulai mengenakan kostium melingkarkan selendang kain kumbo yang dibeli di Sarawak ke leher saya.

Sejak itu, saban kali tampil membacakan sajak ke pentas, itulah kostium pentas saya.

Tahun 2009, ketika menyertai suatu acara di DBP, kerana mahu melindungkan kepala yang rambutnya saya cukur pendek daripada terik sinar matahari Kuala Lumpur dan sejuk di leher ketika di dalam dewan seminar , saya mengenakan topi. Kepada beberapa teman, saya secara bergurau dan ingin berlucu, saya katakan bahawa penyair yang tulen ialah penyair yang memakai topi, sementara yang tidak memakai topi adalah penyair palsu.

Memang saya tahu ramai juga teman penyair dan seniman yang mengenakan topi di kepalanya.  Malah ada juga sebahagian mereka walau sudah sangat berusia, menyimpan atau berambut panjang.

Tetapi, yang menjadikan mereka penyair atau seniman, bukanlah topi, selendang yang dipakai atau rambutnya yang panjang.

Yang menjadikan mereka diperaku dan diterima sebagai penyair, sasterawan atau pun seniman, adalah karya mereka. Tanpa karya yang bagus dan bermutu, berlagak dan bergayalah apa pun, mereka tetap bukan penyair atau pun seniman. Atau jika masih juga mahu disangkutkan gelar itu ke bahu mereka, dalam bahasa kasarnya bolehlah mereka ini dipanggil penyair, sasterawan  atau seniman palsu.

Saya harap kawan-kawan saya tidak mudah tertipu dengan banyak manusia palsu di luar sana yang berlagak sebagai seniman, sasterawan  atau pun penyair dengan kostiumnya.

Memakai selendang, topi, berambut panjang tiada apa yang menjadi kesalahannya.  Pakailah dan berlagaklah dengan kostium yang disenangi itu, tiada siapa berhak melarang.

Hanya yang menjadi salah, bila kostium itu dijadikan topeng untuk melagakkan diri sebagai penyair, seniman atau pun sasterawan, sedangkan pada hakikatnya tiada satu pun karya anda yang layak menobatkan diri dengan gelar itu.

Hanya untuk itulah, anda patut berasa malu. Amat malu!

Ogos 11, 2011

Rabu, Ogos 10, 2011

PERTANDINGAN MENULIS

Merakam Semangat Zaman/Capturing The Spirit Of The Times – Pertandingan Menulis Esei dan Cereka di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Yang  berminat sila baca butiran, syarat dan peraturan pertandingan  di alamat ini.

Rabu, Ogos 03, 2011

SIAPA?


KETIKA  naskhah setebal 150 halaman itu saya sodor dan letakkan di meja, dia merenung wajah saya ke atas dan ke bawah.

Sebelumnya, ketika saya perkenalkan diri saya kepada beliau lewat percakapan di dalam telefon, cara dia bertanyakan soalan mengenai peribadi saya sebagai penulis, membuatkan saya mudah menduga  betapa dia yang bercakap dengan saya ini memang tidak tahu pun bahawa saya ada dan wujud di tanah sastera tanah air.

Saya tidak salahkan dia. Usianya walau sudah agak berusia tetapi saya agak dia bukanlah punya banyak waktu untuk mengambil tahu siapa yang wujud dan muncul di dunia penulisan.

Saya agak, kesebokan dia menguruskan perniagaan keluarga, memastikan agar sentiasa  beroleh laba dan untung lebih penting bagi dia daripada sekadar menelaah siapa yang sudah lama menjadi penulis  dan siapa yang bukan.

Sebagai sebuah rumah penerbitan yang memilih menerbitkan buku yang sedemikian rupa,  saya kira apa yang dia pentingkan apakah buku yang bakal diterbitkan itu laku dijual atau tidak. Persoalan siapa penulis dan sudah berapa lama seorang itu menulis, saya agak, bagi dia tidaklah menjadi perkara penting untuk diambil perhatian.

Saya berfikir, kalau saya duduk di tempat dia, menguruskan sebuah perniagaan yang menggajikan sejumlah orang, tentulah soal untung itu yang perlu saya berikan perhatian utama.

Kerana, tanpa keuntungan, bagaimana saya hendak membayar pekerja yang saya gajikan dan bagaimana juga saya hendak mengecap hasil daripada syarikat yang saya uruskan.

Di sinilah saya selalu berusaha mewajar dan meletakkan diri dalam keadaan sedar.  Sebuah nama bukanlah janji yang pasti betapa sebuah manuskrip yang saya kirimkan kepada mana-mana rumah penerbitan akan mudah diterima.

Saya mungkin hebat dan terkenal, tetapi itu bukan jaminan. Andai saya menulis sebuah karya yang menurut hemat penerbit  jika diterbitkan tidak akan laku dijual dan boleh merugikan syarikatnya,  pasti karya saya akan ditolak mentah-mentah.

Saya memang sudah beberapa kali dipilih atas nama negara hadir ke acara sastera di luar negara. Karya saya diterbit dan diterjemahkan ke bahasa Korea, Thai, Arab dan Rusia.  Tetapi sekali lagi, itu tidak akan diambil peduli oleh mana-mana penerbit yang meletakkan untung sebagai matlamat syarikatnya.

Bagi mereka pengalaman lama menulis dan karya sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa, bukan menjadi penentu apa yang saya tulis boleh menjadi laku dijual atau tidak.

Bagi sebuah syarikat atau rumah penerbitan yang mengutamakan untung, apa yang boleh menjadi laku serta mendatang untung kepada syarikatnya, hanyalah apa yang dikehendaki serta digemari pembaca terbanyak. Tulislah apa sahaja yang disukai pembaca, maka itulah yang diterima serta bersetuju untuk diterbitkan.

Sastera? Seni? Lupakan dahulu. Itu belum pasti laku dijual. Kita menjual apa yang pembaca hendak baca, beli dan cari. Bukan menjual apa yang kita hendak pembaca beli dan baca.

Jadi, lupakanlah berapa lama sudah saya menulis dan menjadi penulis. Lupakanlah soal nama saya yang sudah diketahui di kalangan khalayak  sastera luar negara. Lupakanlah soal perjuangan mengangkat martabat dan mutu sastera yang saya perjuangkan selama ini.

Di mata mereka yang menjadikan untung sebagai matlamatnya, siapalah saya di mata mereka.  Saya hanyalah debu yang bisa diterbangkan angin ke mana-mana, kecuali saya boleh menghasilkan sesuatu yang mendatangkan laba yang banyak buat mereka.  Selain itu, tiada sebarang sebab untuk saya mereka acuh dan lirikkan pandangan walau sebelah mata.

Apakah saya kecewa? Tentulah tidak dan kerana itulah saya tetap juga menulis dan terus menulis menurut apa yang saya yakini. Walau saya tahu sastera dan seni yang saya tulis payah untuk diterima oleh mana-mana rumah penerbitan yang mengutamakan keuntungan, namun itu tidak pernah melunturkan semangat saya untuk terus menulis.

Tidak mengapa.  Saya tidak pernah ingin dan mahu berharap supaya orang atau pihak lain berubah menurut apa yang saya inginkan.

Saya hanya mahu menulis dan terus menulis. Hanya itu kebahagian saya. Dan saya percaya, saya belum tiba ke penghujung jalan. Karya sastera dan seni tetap ada penggemarnya, walau pun sedikit.

Namun saya puas.

Kerana itu jugalah saya tidak pernah berasa tersinggung andai saya tidak mereka kenal atau acuhkan.

Saya tidak hidup dan membesar kerana kenal atau acuhan mereka. Saya hidup kerana Allah yang menentukan saya hidup atau tidak.

Jadi, soal siapa saya di mata mereka, sungguh tidak penting!

Ogos 3, 2011 

Selasa, Ogos 02, 2011

SENI?


MEMANG sudah sejak sekian tahun saya katakan kepada diri betapa tiada gunanya berharap dan mengharap sesuatu yang lain selain daripada kekuatan serta keyakinan sendiri dalam meneruskan langkah sastera dan seniku sendiri.

Malah saya berani berkata betapakah bodoh dan sia-sia jika hanya mengharapkan perubahan terjadi di pihak lain serta berharap terbukanya sifat ingin mendengar dan sudi berbagi di antara sesama.

Saya sudah sejak dahulu tidak mahu mempersiakan waktu dengan hanya mengharap dan terus berharap.  Penglaman lalu mengajarkan. Betapa, sesudah sekian banyak memberi dan memilih sikap bersedia untuk selalu mendengar dan menerima, terutamanya kerana tidak mahu sampai dikatakan angkuh serta tidak boleh dibawa berunding oleh pihak lain,  ternyata itu hanya berlangsung secara sepihak.

Di pihak kita, kewajiban itu dituntut, tetapi tidak di pihak yang lain. Segala yang dipertuan serta dipegawaikan, tradisinya mesti dihormati. Dengarlah arahan dan perintah tuan dan pegawai,   tetapi bukan untuk pendapat dan saran di pihak kita.

Pendengar mesti menerima, walau selalu bertentangan dengan nurani dan kebenaran. Kerja seni, sastera dan budaya berubah menjadi ruang untuk hanya mengangguk dan menerima arahan serta perintah.

Tidak mengapa walau yang datang hanyalah seni palsu yang didatangkan bersama manusia yang menjadikan seni, budaya dan sastera sebagai topeng peribadi untuk meraih ketenaran nama dan  seni dilacurkan dengan dalih  penerimaan khalayak.

Saya bukan jenis makhluk yang hanya pandai mengangguk dan menerima membuta tuli. Setidaknya, bila ada yang dirasakan berlawanan dengan hakikat seni itu sendiri, saya akan membantah dan menyatakan enggan.

Betapa seni ingin dijadikan alat menyampaikan propaganda dan slogan, biarlah cara menyampaikannya itu masih tetap meletakkan seni sebagai keutamaan.

Secara peribadi, saya tidak ingin memaksakan kehendak. Tetapi bila melihat dan mendengar seni hanya menjadi alat dan tunggangan atas nama kehendak partai dan ideologi, atau memperdagangkannya atas nama pesan demi pesan pembangunan, perpaduan, malah tanpa silu menyediakan diri untuk menjadi pemuja individu dan kasta, mual saya tidak mudah diredakan dan saya meuntahkan jengkel bersendirian.

Memang saya tahu menjadikan sesuatu sesuatu yang murni, tanpa sedikit pun diizinkan menjadi alat untuk sesuatu kepentingan di luar hakikat dirinya, menyulitkan saya menjadi kaya dan popular, khususnya di dunia kapitalis dan di kalangan para penggila jilat serta puja yang palsu, yang di hujung namanya bergelarkan pegawai atau tuan.

Tetapi saya tidak pernah berasa sesal. Kejadian beberapa malam yang lalu kian meyakinkan betapa saya tidak memilih jalan yang salah.

Di depan mata saya, yang bertukar cuma nama dan wajah, namun watak dan perangainya masih tetap sama. Pegawai tetap pegawai, tuan masih tetap tuan. Katanya mesti didengar, arahnya mesti dipatuh.

Maka yang didatangkan hanyalah sesuatu yang palsu. Penyair palsu yang mengaku dirinya penyair dan tolong menyampaikan sajak pesanan atas nama orang yang lain atau   lagu puisi yang bukan puisi. Yang bertele-tele menyampaikan khutbah atas nama seni dan sastera.

Walau sudah bertahun tidak menjengah, ternyata segala masih tidak berubah. Malam itu, saya masih tetap melihat dan merasakan apa yang sudah bertahun sebelumnya saya lihat dan dengar.

Seni diperalat untuk kehendak dan niat yang bukan seni oleh para pelakon. Pentas itu menjadi saksi. Lalu pantaslah andai segala kegiatan yang diatasnamakan seni, tetap begitu-begitu juga mutu dan pencapaiannya. Saban tahun, teater yang dipertandingkan, walau mendatangkan tokoh tersohor dari luar, masih tetap begitu juga mutunya.   

Saya memang tidak berasa rugi walau sudah bertahun tidak bersama mereka. Kerana, dunia dan keyakinan saya berbeza.

Dan andai para pegawai serta tuan itu memilih untuk tidak mengambil peduli kehadiran saya, saya pun  memang tidak pernah berasa perlu untuk mengacuhkan siapa mereka!

Ogos 2, 2011

Isnin, Ogos 01, 2011

ANDAI KAU SUDI MENDENGAR


SUDAH sejak lama saya berkata dan menanamkan azam ke dalam diri. Andai berhadapan dengan sesiapa pun, pembaca dan  pembeli karya saya, atau anak-anak dan teman di dalam dewan diskusi, saya tidak ingin berkata atau menuliskan sesuatu yang sampai boleh menimbulkan kesan bahawa saya terlalu ingin mengajar-ajar. 

Saya tidak tahu dengan pasti apakah niat dan azam peribadi saya itu tertunai atau tidak bila mana setiap kali berada dan berdepan dengan  situasi demikian. Malah dalam diam-diam, selalu saya berharap agar tidak didatangi rasa angkuh serta sombong di hadapan sesiapa pun.

Tetapi, dengan pilihan untuk berkata sesuatu secara tegas dan hanya fokus kepada sesuatu persoalan, dengan mengenepikan soal-soal tetek bengek lain yang mengiringinya, saya tahu dan sedar saya mudah disalah anggap arogan dan hanya mementing diri dan perasaan sendiri.

Apa lagi bagi anak-anak muda yang baru pertama kali bertemu dan berhadapan dengan saya. Selalu saya takut mereka berdepan perasaan kuirang senang dan menyimpan anggapan sedemikian bila di dalam sesuatu acara bengkel saya memilih berbicara dengan suara lantang dan  semangat berkobar di hadapan mereka.

Apa lagi anak-anak di zaman serba mudah dan cepat ini. Saya tidak salahkan mereka jika demikian anggapannya.  Saya tahu, saya memang agak keras dalam banyak hal yang berkaitan dengan perjuangan jatuh bangun dalam berkesenian.

Puncanya, kerana ketika  di peringkat permulaan membangun dan mendewasa di dunia seni ini, inilah dunia yang saya hadapi. Dunia keras yang tidak kenal kasihan, dan saya menghadapi semua itu tanpa sebarang pembimbing atau teman. Saya menghadapinya sendirian, berjuang untuk tidak jatuh dan menjadi mangsa, juga secara bersendirian.

Saya tidak bermaksud ingin mengulangi episod lama dengan cara mengajak orang lain sama mengalami apa yang tidak ingin mereka lalui  secara memaksa.

Kerana itulah, sehari sebelum bertemu dan bersama mereka, saya mencatat di ruang MukaBuku saya: Saya tidak ingin mengajar. Hanya ingin berkongsi. Buat mereka yang sudi mendengar dan berkongsi. 

Itulah yang saya lakukan. Mengajak mereka berkongsi sebahagian pengalaman yang pernah saya lalui ketika  sedang belajar menumbuhkan peribadi dan kekuatan dalaman diri sebagai seorang yang memilih seni sebagai perjuangan kehidupannya: belajar  dan beroleh kekuatan dari alam!

Mungkin sesuatu yang ganjil buat sebahagian mereka ketika diajak bersila di pasir pantai yang masih lembab di waktu pagi yang kian meninggi. Apalagi ketika itu air laut mulai memilih pasang dan memenuhi gigi pasir.   Lalu diajak pula memejamkan mata dan menghening diri menghayati bunyi ombak, deru angin dan mencium bau asin laut dan merasa terik metahari pagi.

Ya, saya membuka rahsia sebelumnya di hadapan mereka. Inilah antara latihan yang saya lewati puluhan tahun yang lalu dan pengalaman latihan itu yang saya jadikan bekal perjalanan berkesenian saya.

Kata saya, saya memilih laut dan pantai kerana unsur alam yang dikandung di dalamnya lengkap: tanah - air - api - angin.

Memang saya ingin mengajak mereka merasai kembali pengalaman itu sebagai suatu bentuk perkongsian pengalaman yang barangkali tidak pernah pun mereka lewati di sepanjang  usia hidup muda sebelum ini.

Tetapi melihat sebahagian mereka tidak sanggup sepenuhnya memejamkan mata dan berada dalam situasi hening, dan kemudian segera meloncat untuk mengelak sentuhan ombak ke kulit mereka, saya jadi tersedar bahawa saya seolah memaksakan sesuatu yang tidak ingin mereka lalui secatra ikhlas, jujur dan benar.

Sungguh, saya tidak mahu memaksa dan mendera siapa pun meraka yang tidak benar-benar bersedia untuk berkongsi. 

Apa lagi mengenangkan betapa mereka memiliki latar akademik yang mungkin lebih tinggi berbanding saya yang hanya belajar dari alam! 

Saya akan tetap begini juga. Selalu mempercayai bahawa alamlah yang banyak membentuk dan mendewasakan saya agar memiliki semangat kental dan tidak mudah mengalah oleh apa pun duga dunia seni.

Dan andai ada yang sekejap sudi mendengar serta  berkongsi pengalaman itu, dan kemudian sedikit membantu mereka dalam perjalanan seninya yang baru bermula,  saya berasa  sangat berterima kasih.

Saya selalu percaya, memberi dan berbagi itu lebih baik daripada sekadar menerima tanpa kembali memberi kepada orang lain.

Kerana, di dalam tubuh saya dibaur oleh semangat untuk terus bergerak tanpa pamrih: Tanah - Air - Api - Angin!

Ogos1, 2011