Rabu, September 28, 2011

GUGUR, GUGURKANLAH


KALAU hendak gugurkan, gugurlah. Bukan siapa pun boleh dan berani melarang. Sementelahan kuasa digengaman, buat dan bertindaklah apa suka.

Seperti buah nangka yang diperumpamakan di dalam pantun dan dilagu: Kalau hendak gugur, gugurlah nangka / Jangan menimpa si dahan pauh / Kalau hendak tidur, tidurlah mata / Jangan mengenang si dia yang jauh.

Memang pun sampai masa nanti kau juga boleh gugur bagaikan sebiji nangka buruk. Antara lambat dengan cepat sahaja. Masa itu akan tetap sampai dan tiba. Sebab kita   manusia tiada yang hidupnya menongkat ke langit sampai bila-bila.

Gugurlah. Gugurkanlah.  Kalau ada siapa hendak nasihat pun bukan hendak kau dengar dan ambil peduli. Yang penting asalkan hati kau rasa puas dan kau yakin boleh memenangi hati yang hendak kau pancing sokong serta undi.

Kau memang lupa atau sengaja buat lupa. Kalau tiada yang meminta bukanlah bermakna mereka bodoh dan dungu.

Kau sedar atau tidak itu?

September 28, 2011

Isnin, September 19, 2011

SEBUAH SAJAK UNTUK BOSS, APARAT YANG MENIPU


BARU setengah jam menduduki kerusi di pejabat dan ketika telefon yang berdering diangkat, terdengar suara seorang kawan. Dia menyebut nama sebuah sajak karya seorang teman penyair. Boleh tolong carikan tak? Boss aku minta carikan. 

Menerima permintaan dan pesanan begini bagi saya memang sudah selalu. Ada anak hendak periksa, ada yang minta tolong carikan sajak tertentu kerana anak hendak masuk pertandingan deklamasi sajak.

Kalau memang apa yang diminta itu ada di dalam simpanan, saya sedia membantu. Kalau tiada, cuba pula diusahakan dengan cara-cara lain yang memungkinkan. Hanya, kalau memang sudah tidak berhasil juga, barulah terus terang diberitahu hasilnya.
 
Memang tidak salah hendak menolong dan saya selalu berusaha untuk menolong kerana tidak mahu dikatakan orang sebagai orang yang berlagak. Lebih-lebih lagi saya hendak mengelak sangat  jangan sampai disebut orang sebagai orang sastera yang sombong.

Itu dengan masyarakat awam. Tetapi dengan kawan ini lain.  Dia dahulu pernah bersama saya sepuluh atau sebelas tahun yang lalu berteater dengan saya. Jasa dan bantuannya perlu saya kenang juga.

Tetapi yang membuatkan saya sedikit berasa luka, walau pun tinggal satu daerah dan bandar, saya jarang dia hubungi kalau tidak ada yang benar-benar dia perlukan atas urusan pejabatnya. Untuk mengucapkan selamat hari raya setahun sekalipun, seingat saya tidak pernah.

Tetapi sekali lagi kerana tidak mahu dikatakan tidak mahu menolong dan sombong saya berusaha juga. Untuk diapakan sajak itu, tanya saya. Boss aku hendak bacakan di majlis jabatan. Dia yang sebut pasal sajak itu. Kawan itu panjang lebar memberikan jawapan.

Kerana saya tahu kawan itu dahulunya juga pernah menulis dan malah pernah menang salah satu hadiah sastera, saya syorkan dia mencari buku itu langsung di perpustakaan atau di pengedar buku yang memang dia tahu.  Memang saya sengaja "menyesyorkan" cara mendapatkan yang agak menyulitkan dan saya tahu bukan itu yang dia harapkan, tetapi saya fikir demi jabatannya dia sepatutnya berusaha secara wajar dan bukan mencari jalan mudah atas nama orang lain untuk kepentingan dirinya.

Saya katakan begitu kerana saya tahu kawan ini adalah seorang pegawai, sedangkan saya hanyalah  seorang pekerja biasa yang selalu berusaha untuk menurut perintah, dalam batasan yang wajar.

Tetapi apa yang menjadikan saya memberikan jawap dan saran yang agak tegas begitu kepada kawan ini sebenarnya kerana bila mendengar dia menyebutkan mengenai sajak itu, jauh di dalam hati saya berasa tidak begitu sedap dan seperti ada yang tidak kena.  Mungkin itu hanya ramalan atau andaian hati saya. Tetapi saya selalunya memang berhati-hati bila didatangi isyarat sebegitu lebih awal.

Saya fikir urusan mendapatkan sajak untuk seorang boss itu sudah selesai pagi itu.

Rupanya tidak. Kawan itu menelefon lagi di sebelah petangnya. Katanya sajak itu gagal dia dapatkan. Saya suruh dia telusur di internet. Itu pun tidak berhasil katanya. Yang ada cuma judul dan nama penyair tetapi teksnya tiada. Begitu tambah dia lagi.

Saya akhirnya mengalah. Ketegasan saya kendurkan. Saya berasa kasihan dan memujuk diri dengan berkata apa salahnya sekali ini saya membantu kawan yang mahu meraikan bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan.

Saya menelefon seorang sahabat di Kuala Lumpur. Tidak sampai  lima minit,  sajak  itu saya terima lewat email. Sajak itu lengkap dan sempurna dikirimkan oleh sahabat saya itu: judul, kandungan dan nama penyairnya.

Setelah dicetak, sajak itu saya fakskan kepada kawan yang mahu meraikan bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan. 

Saya harap, dengan bantuan itu, saya tidak akan sampai dianggap penyair atau orang sastera yang sombong. Saya harap, kawan itu bahagia kerana sudah berjaya menyampaikan niat bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan. Saya harap begitulah dan tugas saya selesailah sudah.

Namun kebenaran itu memang tidak boleh dilindungi. Suatu pagi kurang lebih dua hari selepas peristiwa meminta sajak itu, walau pun tidak dijemput serta diundang, saya tergerak hati untuk datang menjengah dan mendengar apa yang diperkatakan dalam suatu majlis pameran serta forum mengenai pahlawan dan kemerdekaan.

Ketika memsuki dewan, saya terperanggah dan benar-benar rasa ditipu serta dipermainkan.

Sajak seorang kawan yang dipinta oleh dia yang mengatakan untuk dibacakan oleh bossnya dalam satu majlis jabatannya  itu saya lihat tertera jelas dengan huruf yang boleh dibaca daripada jauh.  Terang dan jelas.  

Tetapi, yang membuatkan saya berasa benar-benar dipermain serta diperbodohkan oleh kawan itu, sajak yang dipampangkan jelas di dinding belakang dewan yang berwarna putih itu tanpa nama penulis atau penyairnya. Maksud saya, tajuk dan kandungan sajaknya sahaja yang dipaparkan, tetapi tanpa nama penyairnya. Dengan begitu, di peringkat pemikiran "orang-orang besar" boleh mereka andaikan, seolah yang menulis dan menyediakan sajak   itu adalah boss kawan itulah!

Keluar daripada dewan, dengan hati membara saya menelefon kawan itu. Kata saya, saya tidak sangka akan diperbodoh serta dipermainkan sebegitu rupa.  Kenapa tidak berterus terang sajak itu untuk acara sedemikian. Atau, kalau sajak itu hendak hendak dipergunakan, kenapa tidak siarkanlah sama nama penyair yang menulisnya!

Dengan selamba  dan seolah tanpa sedikit pun rasa bersalah kata maaf dia ucapkan.  Semudah itu. Macam meminum segelas air layaknya.  

Nampaknya begitulah selalu. Selagi boleh diperguna serta diperbodohkan, gunakanlah peluang itu untuk terus memperbodoh dan mempergunakan penyair atau sasterawan.

Besar atau kecil, begitulah gayanya para pegawai atau aparat. Dalam otak dan hati mereka mungkin penyair dan sasterawan tidak lebih hanyalah seekor kambing!
Saya tidak akan izinkan diri diperbodohkan lagi selepas ini.

September 19, 2011

Sabtu, September 10, 2011

KEPADA PROFESOR DATUK


KALI pertama mendengar Profesor Datuk  menyebutnya dahulu di dalam sebuah dewan, saya rasa sangat bangga dan berbesar hati sungguh.

Kenapa tidak? Mengetahui betapa selama ini tanah air yang amat saya cintai ini sebenarnya tidak pernah dijajah dan terjajah, siapa yang tidak senang rasanya di dalam  hati?

Waktu itu, barulah saya kali pertama tahu betapa apa yang disebok dan dihebohkan orang-orang keparat selama ini adalah tidak benar.

Rupanya, tanah air yang amat saya cintai ini cuma dinaungi dan dilindungi dan bukan dijajah oleh si penjajah keparat itu.

Tetapi kini, bila Profesor Datuk bercakap dan bersuara lagi mengenai isu tidak pernah dijajah dan terjajah ini,  saya sudah tidak lagi memiliki rasa bangga dan menyimpan senang di dalam hati.

Tahukah Profesor Datuk kenapa saya  mengatakan begitu?

Jawabnya begini wahai, Profesor Datuk. 

Memang benarlah negeri kita ini  tidak dijajah serta terjajah dan kita pun bukan rakyat yang dijajah serta terjajah.

Tetapi dalam keadaan yang kononnya  benar begitu, kenapa pula kita ini tetap miskin dan selalu berada dalam keadaan bodoh serta takut sehinga sudah ratusan tahun lamanya?

Kenapa boleh jadi begitu wahai, Profesor Datuk? Saya tidak fikir soal ini tidak pernah terfikir di benak akal Profesor Datuk. Kenapakah demikian, wahai Profesor Datuk?

Sebabnya mudah sahaja menurut akal saya yang mungkin tidak berapa cerdik ini wahai,  Profesor Datuk.

Walau mungkin benar seperti apa yang dikatakan oleh Profesor Datuk bahawa kita tidak pernah dijajah dan terjajah, tetapi lupakah Profesor Datuk betapa kita sebenarnya hidup dalam keadaan tertipu dan ditipu beratus tahun lamanya?

Kerana itulah kita menjadi bangsa yang takut, miskin dan sentiasa dalam keadaan berjiwa hamba dan secara paksa, rela menjadi hamba terus menerus, di negeri yang kononnya bebas dan merdeka ini.

Malangnya lagi wahai, Profesor Datuk. Siapa yang menipu dan memperbodohkan bangsa kita ini tidak lain adalah bangsa kita sendiri dan kalau ada sesiapa di antara kita yang cuba menunjukkan cerdiknya demi kebaikan serta kemaslahatan bangsanya, orang itu akan kita bunuh, kucil atau humbankan ke dalam laut.

Ah, masakan Profesor Datuk sudah lupa bagaimana nasib Hang Nadim dan Jebat.

Jadi begitulah wahai, Profesor Datuk. Hidup bangsa kita, walau seperti yang didakwa Profesor Datuk tidak pernah dijajah serta terjajah, malah dinaungi dan dilindungi pula, tetapi kita sebenarnya sentiasa  ditipu serta diperbodohkan oleh bangsanya sendiri agar menjadi bangsa yang takut serta berjiwa hamba.

Malah ironinya, dalam keadaan dinaungi dan dilindung itulah wahai, Profesor Datuk, segala khazanah kekayaan negeri kita dipunggah dan diranah mereka, dan lebih ironi lagi, anak bangsa kitalah yang bekerja sebagai pengawal segala harta benda dan demi keselamatan  kekayaan mereka ketika itu.

Begitulah, Profesor Datuk. Saya tidak peduli kalau Profesor Datuk tidak mahu bersetuju dengan pendapat saya ini.

Hanya, jauh di dalam hati, saya berasa terkilan dan sedih. Segala cerdik pandai dan mereka yang mengaku pemimpin di negeri yang kononnya tidak pernah terjajah serta dijajah  ini, kelihatannya, bukannya hendak membantu rakyat marhaen seperti saya bangkit menjadi bangsa yang percaya diri, berani dan merdeka.

Sebaliknya, merekalah yang turut sama bersekongkol untuk terus memperbodoh dan menipu dengan pelbagai cara, demi pangkat, kedudukan dan gelaran serta keuntungan mereka peribadi. Mereka bukannya menjadi pembela tetapi sebaliknya menjadi penjilat serta pengampu golongan di atas sana.

Kerana itulah juga, andai muncul lagi beberapa orang yang cuba menunjukkan cerdik demi kepentingan anak bangsanya, agar tidak terus ditipu serta diperbodohkan,  mereka yang sedikit itu kini, menjadi mangsa kecaman serta hujatan, dan tidak mustahil akan menerima nasib yang sama seperti Hang Nadim.

Jadi begitulah wahai, Profesor Datuk. Tragedi Nadim sentiasa berulang dalam sejarah dan budaya kehidupan  bangsa Melayu kita. Sebab itulah bangsa kita tidak pernah menjadi bangsa yang maju dan berani, kecuali meneruskan gembong kekayaan serta kuasa hanya untuk segelintir manusia yang berada di atas sana.

Dan manusia itu, tentulah Profesor Datuk tahu dan kenal sipakah mereka. Manusia inilah yang selalu berkoar mengenai keadilan dan kemajuan. Tetapi keadilan dan kemajuan untuk dan demi siapa wahai, Profesor Datuk?

Ah. Ketika para intelektual atau cerdik pandai di sebuah negara sudah mulai atau semakin menjadi penjilat serta pengampu, ke manakah lagi rakyat marhaen seperti saya ini akan mahu dan pergi mengadukan untung nasibnya lagi?

Wahai, Profesor Datuk. Saya semakin menjadi keliru dan tidak tahu. Sungguh. Saya tidak berbohong mengenai itu.

September 9, 2011 

Khamis, September 08, 2011

SENYUM DAN SENDIRI: INTRO SEBUAH CERPEN


TIADA siapa selain diri sendiri di kamar ini. Malam sudah semakin larut dan kian dibungkus sunyi. Tiada suara haiwan atau manusia lagi. Masing-masing pada berehat atau beradu. Hanya detik dan detak jam di dinding kudengar tetap setia mencuit sunyi dan sepi di kamar ini.

Aku sendiri di kamar ini. Melayan diri dan mata yang masih belum digayuti kantuk. Di depanku, terpasang monitor yang memancarkan cahaya dan warna. Aku merayau dan membaca sejumlah tulisan daripada pelbagai nama blog di internet.

Sendiri aku tersenyum. Kebodohan selalu meraja dalam pelbagai bentuk dan cara. Ketika menuding orang lain sebagai tidak tahu dan kurang mengerti, kubaca bagaimana si penuding terlalu ingin berlebih dengan lagak dan tahunya.

Diselindung kata sombongnya dengan dalih hujah ilmu dan akal. Tetapi sayang, hujatan dan henyakannya jelas membuktikan lagak yang cuba dia sembunyikan. Betapa, dialah yang maha mengetahui segala dan sesiapa yang tidak bersetuju serta tidak bersedia dan ingin  untuk sealiran dengannya, tetaplah bodoh dan tidak berilmu di mata penilaian dia.

Aku tidak pernah ingin berasa sesal dan sebal tatkala membaca dan memahaminya. Memang begitulah resam manusia. Tidak ada gunanya untuk dijadikan sebab untuk bersedih dan sesal.

Memang. Kepongahan dan kebongkakan akan selalu mudah membutakan mata pertimbangan saksama setiap manusia. 

Kerana itulah. Selalu aku berharap serta berdoa agar dihindarkan diri menanggung musibah yang sama dan serupa.

Pujian dan penobatan? Ah, itu juga sama musibahnya andai diri kurang waspada serta berhati-hati.

Biarkanlah siapa pun pilihannya, aku tidak fikir terlalu perlu mengejar dan mendambakan. Malah, kurasakan lebih baik hidup seperti apa adanya dan andainya ada juga, biarlah tidak sangat kuocehkan  pujian dan penobatan yang terlalu berlebih-lebihan.

Kerana kutahu, yang kukejar dan buru di dalam hidup bukanlah itu.

Apa lagi, ketika usai kubaca bagaimana seorang yang memuji, memuja dan menobatkan seorang  yang lain di dalam tulisannya.  Sungguh aku berasa simpati seusai membacanya.

Tentulah kerana tidak tahu dan kurang membanyakkan rujukan maka demikianlah ucap puji dan pujanya. 

Tetapi itu hak dia yang menulis untuk menyatakan apa pun. Sebagai pembaca, aku kembali merenung melihat ke dalam diri.

Perlukah kusandang segala gelar ketika kutahu sendiri siapa dan di mana diriku? Apa lagi ketika memang kusedar betapa hadirku hanya kerana ingin menyatakan sesuatu dan bukan kerana yang selain itu.

Ah, puji dan puja tidak menjanjikan apa selain seronok yang akan melambungkan bangga yang sangat sementara sifatnya. Demikian juga keji dan hina yang telah, sudah, pernah dan akan kuterima. Tidak akan aku luntur dan mundur semata-mata kerananya.

Aku tahu dan sedar. Aku tidak hidup dan membesar kerana puji dan puja semata-mata. Tetapi kerana gigih berusaha untuk melawan segala dugaan dan cabaran.

Demikian juga segala henyak dan hinaan. Tidak pernah aku ingin mengambil peduli.

Ah, dunia dan manusia. Teruslah kau dengan segala pura dan sandiwaramu. Aku akan tetap begini juga meneruskan jalan hidup serta yakin dan percayaku sendiri.

2
Di kamar ini aku sendiri. Seperti malam-malam sebelumnya. Merenung dan kembali melihat di dalam diri.

Di tengah sunyi ini, aku tersenyum sendiri. Membaca  kebongkakan dan kebebalan orang lain dan sekaligus juga merenung kebodohan dan kebebalan diriku sendiri.

Aku tahu aku tidak manusia sempurna dan selalu berharap serta berdoa agar tetap di jalan pilih hidupku sejak dulu. 

Walau di luar, aku tahu sebahagian besar mereka selalu berkoar  dan memperagakan kebongkakan mereka tanpa sebarang rasa malu dan silu.

Aku akan tetap dan terus begini.

bersambung.....

September 7, 2011 

Ahad, September 04, 2011

SYAITAN BERTOPENG MANUSIA DI JALAN RAYA


SEMAKIN saya faham dan mengerti kini dakwaan yang pernah saya baca entah di akhbar atau majalah mana yang menyebutkan betapa jalan raya di negara kita sangat mengundang bahaya, yang jika kita walau sedetik terlalai, boleh mengundang  padah dan kehilangan nyawa.

Inilah yang saya rasa dan alami ketika memandu pulang selepas menghantar anak saya ke sebuah sekolah berasrama di Kuala Terengganu pada Syawal ke lima  semalam.

Keadaan di jalan raya selepas hari perayaan atau cuti am yang panjang sebegitu memang sudah adatlah dengan kerenah kesesakannya. Itu memang sudah saya maklum dan faham. Terlekat dalam jalan sesak memang tidak boleh dielak.

Tetapi saya rasa dan alami, kesesakan bukanlah pun menjadi punca masalah yang sebenarnya. Apa yang menjadi punca masalah adalah sikap sebahagian manusia yang bergelar pemandu di belakang stering kereta masing-masing. 

Saya fikir mereka inilah yang tidak sepatutnya dibenarkan duduk di tempat pemandu dan mengemudikan kenderaan. Sikap mereka yang ditunjukkan ketika memandu bukanlah sikap seorang manusia, tetapi laku dan perangai syaitan yang bertopengkan manusia. Golongan yang bertopengkan ini tidak hanya manusia yang tidak meletakkan apa-apa prop  di kepalanya, tetapi termasuklah  mereka  yang bersongkok atau berkopiah juga.

Saya katakan kesesakan dan barisan kereta yang panjangnya berbatu-batu di jalan raya bukanlah masalah kerana memang pun itu kenyataannya. Selagi pemandu mengenderai kenderaannya dengan hati-hati, teratur, mematuhi arahan had laju dan sopan, masalah tidak akan timbul.

Tetapi, tatkala para syaitan bertopengkan manusia bergelar pemandu, yang tanpa sebarang secuil pun rasa malu dan bersalah, mula memotong melalui laluan kecemasan atau lorong tepi untuk motorsikal, menukar lorong sesuka hati dan tiba-tiba tanpa memberikan lampu isyarat terlebih awal, inilah sebenarnya yang mendatang serta menimbulkan masalah dan menyusahkan pemandu lain. 

Malah kalau tidak berhati-hati dan bersedia sepanjang masa,  kita yang memandu dengan teratur  pula yang akan menjadi mangsa dan akibah daripada perbuatan kurang ajar mereka.

Saya katakan betapa para syaitan ini mendatangkan masalah kepada pemandu lain kerana semata-mata untuk memuaskan perangai syaitan mereka, tidak mereka peduli apakah lorong kecemasan atau tepi itu boleh dilolosi atau tidak, tanpa rasa malu dan bersalah, tetap mereka redah juga.

Malah lebih menyakitkan hati dan mencabar sabar, dengan bongkak dan sombongnya kenderaan pemandu lain mereka himpit agar memberi mereka ruang untuk masuk ke dalam laluan,  setelah ruang tepi yang mereka redah itu sudah tamat. Sedangkan di belakang, ratusan kereta lain sedang beratur di lorong masing-masing dengan sopan dan sabar!

Kalau kurang sabar dan kurang banyak dibawa mengucap, rasanya, pemandu lain yang bersabar dan bersopan sebelumnya pun boleh juga terikut sama menjadi syaitan seperti mereka.  Bila syaitan bertemu syaitan, jadilah bencana yang tidak mustahil boleh sampai ke tahap kehilangan nyawa.

Tetapi sejak mula turun di awal pagi dari rumah, saya memang sudah bertekad dan berniat untuk tidak menukarkan sifat dan wajah manusia saya kepada sifat dan wajah syaitan. Biarlah saya lambat dan perlahan sedikit, saya memilih berada dan bergerak sepanjang masa andai di jalan dua lorong di lorong kiri. Sesiapa yang hendak memecut dan berlumba, silakanlah di lorong kanan.

Tetapi yang peliknya, bergerak di lorong kiri pun masih juga ada syaitan yang bertopengkan manusia.    Bayangkan dengan kelajuan 80 atau di tempat tertentu di kawasan kampung 70 atau 60 kmj, masih ada pemandu yang memicit hon kenderaannya bertalu-talu.

Mungkin para syaitan ini menyangka jalan raya di kawasan kampung Jambu Bongkok atau Pulau Kerengga adalah lebuhraya yang  had pecutannya adalah 110 kmj.

Jika demikian, memang syaitan mereka ini! 

September 4, 2011

 

Khamis, September 01, 2011

BEFORE SOJU

Marsli N.O

let the glasses and bottles
that lined on the table
talk to each other

because words are no longer vital
to express desire
or a man's need

between false love
or lust

let the drunkard, choose their 
world

and we choose the others 
between being animal
and rational considerations

For each desires and actions


Disember 6, 2010 

Original title: Di Depan Soju
Translated by Marziah Ramli