Isnin, September 19, 2011
SEBUAH SAJAK UNTUK BOSS, APARAT YANG MENIPU
BARU setengah jam menduduki kerusi di pejabat dan ketika telefon yang berdering diangkat, terdengar suara seorang kawan. Dia menyebut nama sebuah sajak karya seorang teman penyair. Boleh tolong carikan tak? Boss aku minta carikan.
Menerima permintaan dan pesanan begini bagi saya memang sudah selalu. Ada anak hendak periksa, ada yang minta tolong carikan sajak tertentu kerana anak hendak masuk pertandingan deklamasi sajak.
Kalau memang apa yang diminta itu ada di dalam simpanan, saya sedia membantu. Kalau tiada, cuba pula diusahakan dengan cara-cara lain yang memungkinkan. Hanya, kalau memang sudah tidak berhasil juga, barulah terus terang diberitahu hasilnya.
Memang tidak salah hendak menolong dan saya selalu berusaha untuk menolong kerana tidak mahu dikatakan orang sebagai orang yang berlagak. Lebih-lebih lagi saya hendak mengelak sangat jangan sampai disebut orang sebagai orang sastera yang sombong.
Itu dengan masyarakat awam. Tetapi dengan kawan ini lain. Dia dahulu pernah bersama saya sepuluh atau sebelas tahun yang lalu berteater dengan saya. Jasa dan bantuannya perlu saya kenang juga.
Tetapi yang membuatkan saya sedikit berasa luka, walau pun tinggal satu daerah dan bandar, saya jarang dia hubungi kalau tidak ada yang benar-benar dia perlukan atas urusan pejabatnya. Untuk mengucapkan selamat hari raya setahun sekalipun, seingat saya tidak pernah.
Tetapi sekali lagi kerana tidak mahu dikatakan tidak mahu menolong dan sombong saya berusaha juga. Untuk diapakan sajak itu, tanya saya. Boss aku hendak bacakan di majlis jabatan. Dia yang sebut pasal sajak itu. Kawan itu panjang lebar memberikan jawapan.
Kerana saya tahu kawan itu dahulunya juga pernah menulis dan malah pernah menang salah satu hadiah sastera, saya syorkan dia mencari buku itu langsung di perpustakaan atau di pengedar buku yang memang dia tahu. Memang saya sengaja "menyesyorkan" cara mendapatkan yang agak menyulitkan dan saya tahu bukan itu yang dia harapkan, tetapi saya fikir demi jabatannya dia sepatutnya berusaha secara wajar dan bukan mencari jalan mudah atas nama orang lain untuk kepentingan dirinya.
Saya katakan begitu kerana saya tahu kawan ini adalah seorang pegawai, sedangkan saya hanyalah seorang pekerja biasa yang selalu berusaha untuk menurut perintah, dalam batasan yang wajar.
Tetapi apa yang menjadikan saya memberikan jawap dan saran yang agak tegas begitu kepada kawan ini sebenarnya kerana bila mendengar dia menyebutkan mengenai sajak itu, jauh di dalam hati saya berasa tidak begitu sedap dan seperti ada yang tidak kena. Mungkin itu hanya ramalan atau andaian hati saya. Tetapi saya selalunya memang berhati-hati bila didatangi isyarat sebegitu lebih awal.
Saya fikir urusan mendapatkan sajak untuk seorang boss itu sudah selesai pagi itu.
Rupanya tidak. Kawan itu menelefon lagi di sebelah petangnya. Katanya sajak itu gagal dia dapatkan. Saya suruh dia telusur di internet. Itu pun tidak berhasil katanya. Yang ada cuma judul dan nama penyair tetapi teksnya tiada. Begitu tambah dia lagi.
Saya akhirnya mengalah. Ketegasan saya kendurkan. Saya berasa kasihan dan memujuk diri dengan berkata apa salahnya sekali ini saya membantu kawan yang mahu meraikan bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan.
Saya menelefon seorang sahabat di Kuala Lumpur. Tidak sampai lima minit, sajak itu saya terima lewat email. Sajak itu lengkap dan sempurna dikirimkan oleh sahabat saya itu: judul, kandungan dan nama penyairnya.
Setelah dicetak, sajak itu saya fakskan kepada kawan yang mahu meraikan bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan.
Saya harap, dengan bantuan itu, saya tidak akan sampai dianggap penyair atau orang sastera yang sombong. Saya harap, kawan itu bahagia kerana sudah berjaya menyampaikan niat bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan. Saya harap begitulah dan tugas saya selesailah sudah.
Namun kebenaran itu memang tidak boleh dilindungi. Suatu pagi kurang lebih dua hari selepas peristiwa meminta sajak itu, walau pun tidak dijemput serta diundang, saya tergerak hati untuk datang menjengah dan mendengar apa yang diperkatakan dalam suatu majlis pameran serta forum mengenai pahlawan dan kemerdekaan.
Ketika memsuki dewan, saya terperanggah dan benar-benar rasa ditipu serta dipermainkan.
Sajak seorang kawan yang dipinta oleh dia yang mengatakan untuk dibacakan oleh bossnya dalam satu majlis jabatannya itu saya lihat tertera jelas dengan huruf yang boleh dibaca daripada jauh. Terang dan jelas.
Tetapi, yang membuatkan saya berasa benar-benar dipermain serta diperbodohkan oleh kawan itu, sajak yang dipampangkan jelas di dinding belakang dewan yang berwarna putih itu tanpa nama penulis atau penyairnya. Maksud saya, tajuk dan kandungan sajaknya sahaja yang dipaparkan, tetapi tanpa nama penyairnya. Dengan begitu, di peringkat pemikiran "orang-orang besar" boleh mereka andaikan, seolah yang menulis dan menyediakan sajak itu adalah boss kawan itulah!
Keluar daripada dewan, dengan hati membara saya menelefon kawan itu. Kata saya, saya tidak sangka akan diperbodoh serta dipermainkan sebegitu rupa. Kenapa tidak berterus terang sajak itu untuk acara sedemikian. Atau, kalau sajak itu hendak hendak dipergunakan, kenapa tidak siarkanlah sama nama penyair yang menulisnya!
Dengan selamba dan seolah tanpa sedikit pun rasa bersalah kata maaf dia ucapkan. Semudah itu. Macam meminum segelas air layaknya.
Nampaknya begitulah selalu. Selagi boleh diperguna serta diperbodohkan, gunakanlah peluang itu untuk terus memperbodoh dan mempergunakan penyair atau sasterawan.
Besar atau kecil, begitulah gayanya para pegawai atau aparat. Dalam otak dan hati mereka mungkin penyair dan sasterawan tidak lebih hanyalah seekor kambing!
Saya tidak akan izinkan diri diperbodohkan lagi selepas ini.
September 19, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Sdr. M: Biarlah; semoga kita bisa belajar sesuatu darinya.
Saya dapat jangka siapakah kawan sdr itu.Saya juga pernah melalui tipu daya dunia ini.Sdr bersabar dan teruskan perjuangan. Salam perjuangan.
tiubbocor.blogspot.com
Catat Ulasan