BIARKAN mereka bercakap dan menyatakan kehendak ini dan itu. Semakin jelas bahawa yang mereka katakan sikap terbuka atas nama akademik itu bermakna: Awak mesti dengar dan ikut apa yang saya cakap dan hendak.
Selasa, Jun 26, 2012
SAYA KEMBALI ...
BIARKAN mereka bercakap dan menyatakan kehendak ini dan itu. Semakin jelas bahawa yang mereka katakan sikap terbuka atas nama akademik itu bermakna: Awak mesti dengar dan ikut apa yang saya cakap dan hendak.
Akhirnya kita sebagai peribadi sendiri yang memutuskan arah dan mahu ke
mana. Kerana kita tidak menulis kerana arahan serta suruhan sesiapa. Kita
menulis kerana kehendak dan tuntutan jiwa sendiri. Tanpa peduli label, gelar
dan tuntutan yang lain. Menulis adalah persoalan jiwa dan peribadi
sendiri.
Begitulah selalu. Ketika menuntut dan meminta kononnya sesuatu yang bukan
kaca dari penulis atau penyumbang, sudah dinilai sendirikah apakah yang sudah
sedia diterbit memang sesuatu yang sudah “berlian”?
Atau tidakkah kenampakan jelas seperti projek kroni dan para lingkungan
bila yang sedia ada mutu dan nilai “berlian”nya dapat dipersoal?
Sekali lagi itulah kenyataan yang tidak perlu terlalu lama difikir dan
merusuhkan otak. Tugas penulis, sekali lagi, tidak lain hanyalah menulis dengan
darah hayat dan semangat jiwanya sendiri.
Persoalan kroni tetap ulang dan berulang. Hanya waktu, tempat dan pelakunya
sahaja yang bertukar.
Dan akhirnya, ketika kita bercakap dan berteriak meminta karya bertaraf dunia untuk mengernyit ke Hadiah Nobel,
kita pura-pura lupa dan secara terangan
juga bersandiwara, betapa sastera kita bukan menjadi wadah manusia mengasuh
akal intelek serta kemerdekaan mindanya,
sebaliknya dijadikan kandang yang kian dipersempitkan agar manusianya menjadi
pengekor dan pengangguk buta segala ajaran yang disebutkan siapa sahaja yang
kebetulan berasa dirinya berkuasa menentukan: Bagaimana dan mahu ke mana
sastera kita.
Lantaran itulah, karya sastera kita, di segi teknik dan kreativiti, tanpa
malu dan silu bertolak 10 tahun ke belakang dan tidak ingin dibebaskan berlari sekehendak daya kreaativitijnya.oleh para penilai dan akedemikus yang berasa dirinya terlalu banyak tahu.
Akhirnya, saya ingin kembali ke dalam diri sendiri. Walau apa pun kata mereka. Walau bagaimana
pun penilaian mereka. Kerana, saya tidak menulis untuk segelintir mereka.
Tetapi kepada pembaca karya saya. Walau hanya segelintir mereka.
Jun 26, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Khamis, Jun 14, 2012
BUKU BARU BERJUDUL "GUNTING"
SEBUAH buku baru saya berjudul GUNTING akan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sekitar Julai 2012 ini. Buku ini merupakan kumpulan cerpen terbaru saya yang ke enam selepas "Penipu"; "Biduan"; "Demi"; "Menanti Buraq"; dan "Politikus, Badut & Sebuah Cermin". GUNTING memuatkan 12 cerpen saya yang ditulis sekitar tahun 2000 hingga 2011. Selain cerpen "Gunting", cerpen lain yang dimuatkan di dalam buku ini ialah "Bintang, Tamparlah Mukaku", "Menternak Hantu", "Peminat Hantu", "Pengembala
Hantu", "Mencari
Merdeka", "Mimpi
Warga Pulau", "Hantu
atau Penyair", "Keranamu,
Sinta", "Syawal Nan Lucu", "Peah dan Kisah-Kisah Lain", "Kisah-Kisah di Negeri Angin". Manuskrip kumpulan cerpen ini saya serahkan sekitar Februari 2012 lalu ketika sesi taklimat dana penerbitan anjuran PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Kepada semua mereka di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan PENA, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan dan kepada pembaca, silakan membeli karya yang asli.
Jun 14, 2012
Jumaat, Jun 08, 2012
APA MASALAH SEBENARNYA?
SAYA penyair dan penulis. Begitu
saya perkenalkan diri kepada kawan-kawan yang saya temui ketika menghadiri
beberapa kali pertemuan sastera di luar negara. Malah dengan perasaan yang “bangga”,
penyair dan penulis itu jugalah yang
saya catatkan sebagai pengenalan diri di
dalam kad nama saya, yang saya berikan kepada mereka dan sejumlah teman rapat
serta mereka yang lain yang berkepentingan serta berurusan di dunia ini, sama ada di luar negara atau di negara
sendiri.
Saya tidak terfikir atau berasa dengan mengaku dan memperkenalkan
diri saya sebagai penyair dan penulis sekaligus, maka itu akan menyusahkan mereka, pakar-pakar
sastera, sarjana atau pengkaji sastera tertentu untuk melabelkan saya dengan label apa:
Apakah novelis, penyair atau cerpenis.
Saya sedar saya menulis hampir di
semua genre sastera dan yang sudah disiarkan atau diterbitkan: Puisi, cerpen, novel, rencana, naskhah teater,
naskhah sitcom. Kecuali setakat ini yang belum lagi tersiar adalah naskhah
untuk filem dan drama radio.
Saya tidak ingin terlalu ambil peduli dengan label itu dan malah tidak pernah
berasa betapa tanpa label apa pun secara jelas maka itu akan menghalang
semangat saya untuk terus menulis.
Prinsip saya mudah sahaja. Tidak
perlu labelkan seseorang sebagai apa. Yang penting nilai dan bicarakanlah
karyanya. Jadi tidak perlulah misalnya mengatakan betapa kerana menulis dalam
banyak genre maka seseorang itu berhadapan dengan masalah untuk diletakkan dirinya
di kategori mana dan apa. Apa lagi untuk mengatakan betapa kerana itu karyanya
tidak berbobot dan kurang nilai seninya. Apa masalah sebenarnya?
Tetapi itulah yang saya pernah
baca apa yang ditulis sebahagiannya
mengenai diri saya. Kerana menulis dalam
banyak genre itulah maka saya kononnya menghadapi sesuatu masalah sebagai
penyair atau cerpenis.
Tentu sahajalah tatkala membaca
dan kemudiannya merenung kembali tulisan kajian itu saya berasa dan beranggapan betapakah bodohnya tanggapan yang sedemikian oleh seorang yang tentunya pastilah lebih bijak dan cerdik berbanding
manusia biasa yang tidak bersekolah tinggi seperti saya ini.
Kenapa mesti dipermasalahkan soal label. Sekali lagi. Apa masalah sebenarnya?
Pokok pangkalnya adalah apa yang sudah saya tulis itu. Bicarakanlah itu kalau mahu. Kalau misalnya ada waktunya karya tertentu dari genre tertentu yang saya tulis itu dikesani lemah dan kurang bermutu, kelemahan itu adalah berpunca dari sikap kurang teliti dan kurangnya kontemplasi saya sebelum menulis sesuatu karya pada suatu waktu yang tertentu dan bukannya kerana saya tidak pasti mahu dilabelkan sebagai apa.
Pokok pangkalnya adalah apa yang sudah saya tulis itu. Bicarakanlah itu kalau mahu. Kalau misalnya ada waktunya karya tertentu dari genre tertentu yang saya tulis itu dikesani lemah dan kurang bermutu, kelemahan itu adalah berpunca dari sikap kurang teliti dan kurangnya kontemplasi saya sebelum menulis sesuatu karya pada suatu waktu yang tertentu dan bukannya kerana saya tidak pasti mahu dilabelkan sebagai apa.
Secara peribadi pun saya tidak
minta dan mengharapkan pujian terhadap kehadiran diri dan karya saya. Apa yang
sangat saya harapkan hanyalah semoga apa yang saya tulis dibaca, dihayati dan
dirasai khalayak pembaca, sama ada pembaca yang biasa mahupun pengkaji dan
penilai.
Akhirnya, saya akan tetap menulis
juga apa yang saya berasa hendak dan suka. Apa yang hendak dicakap serta
dilabelkan kepada diri saya, walau pun sedikit dan sekejap akan membuat saya
luka, tetapi itu tidak pernah mematikan semangat saya yang sentiasa membara
untuk bangkit dan melawan dengan cara saya sendiri.
Saya tidak fikir buat diri saya,
gelaran itu sangat penting. Tidak. Saya hanya ingin menjadi seadanya sahaja dan
segala pujian yang melangit itu berikanlah kepada sesiapa sahaja yang lain yang
terlalu mengidamkannya.
Berikanlah itu kepada mereka.
Berikanlah itu kepada mereka.
Jun 8, 2012
Langgan:
Catatan (Atom)