Rabu, September 19, 2012
DAPAT
APA yang awak telah usaha dan berikan dengan jujur serta ikhlas sebelumnya, itulah yang akhirnya yang awak akan kembali dapat.
Tidak pedulilah apa yang orang lain buat dan telah lakukan dengan pelbagai cara terhadap diri anda. Bertahan dan percayalah. Bahawa yang memberikan awak rezeki atau sesuatu, bukan siapa mereka yang berlagak seolah dialah yang maha berkuasa. Bukan mereka atau sesiapa yang bernama sesama manusia seperti diri awak. Bukan.
Jadi, teruslah berjalan, teruslah berusaha, teruslah berkarya dan kalau perlu berlari, berlarilah sekuat hatimu dengan seni dan sasteramu.
Tanpa perlu terlalu ambil peduli segala apa yang selain itu, yang dengan sengaja didatang serta diperlakukan oleh orang lain yang hendak memayahkan perjalananmu.
Selagi awak tetap tabah dan tidak patah semangat sehingga memilih mundur, percayalah, awak akhirnya pasti akan berjaya.
Tetapi kalau awak sendiri memilih untuk tidak mahu percaya dan berasa dengan memilih tunduk serta mundur itu lebih membahagiakan awak, itu bukan masalah saya. Pilihlah. Itu hidup awak, bukan hidup saya. Pilihlah apa yang awak suka dan inginkan. Pilihlah. Suka hati awaklah.
September 19, 2012
Isnin, September 17, 2012
MERAWAT SUNYI
Sajak MARSLI N.O
(fragmen)
menetes darah gelisah ini
dari luka sunyiku
ketika sendiri
mengenangmu
kekasih
yang ingin selalu kucumbu
walau sehabis nafsu
sambil merawat ini sunyi
dengan sujudku
.....................
Lipis Plaza,
September 17, 2012
Sabtu, September 08, 2012
KUMPULAN CERPEN TERBARU SAYA
SEBUAH
buku baru saya berupa kumpulan
cerpen berjudul MASIHKAH AKU BERMIMPI kini secara rasminya telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur tahun 2012
ini. Naskhah untuk pengarang telah saya terima dari Bahagian Hak Cipta, Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur tanggal 7 September 2012.
Buku
ini merupakan kumpulan cerpen terbaru saya yang ke tujuh selepas
"Penipu"; "Biduan"; "Demi"; "Menanti
Buraq"; "Politikus, Badut
& Sebuah Cermin"; dan “Gunting”.
MASIHKAH AKU BERMIMPI memuatkan 23
cerpen saya yang ditulis sekitar tahun 1989 hingga 2005. Sebahagian cerpen-cerpen tersebut,
setelah sekian lama disimpan dalam dokumentasi milik peribadi, telah dikirim
dan telah disiarkan di pelbagai akhbar dan majalah. Sementara beberapa yang
lainnya memang tidak pernah disiarkan di mana-mana.
Selain
cerpen "Masihkah Aku Bermimpi", cerpen lain yang dimuatkan di dalam
buku ini ialah "Tunggul ", "Gangguan", "Diri",
"Busung", "Karma", "Luka", "Tanpa",
"Tiba-Tiba Hitam", "Niat", "Penjilat", "Sahabat",
“Si Laknat”, “Dia”, “Ekor”, “Entah”, “Sandiwara”, “Sandiwara (2)”, “Sandiwara (3)”,
“Ngong”, “Gong! Gong!”, Anjing-Anjing”, Penyair dan Para Badut”.
Pengumpulan
cerpen untuk kumpulan ini didorong oleh projek pembinaan judul anjuran Dewan
bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur yang ditangani oleh pegawainya Mohamad
Shahidan dan Marwati Wahab sekitar tahun 2008 di Cherating, Kuantan, yang turut
disertai sama beberapa teman penulis Pahang.
Kepada
semua pegawai, sasterawan dan oknum-oknum yang membantu secara langsung mahupun
tidak, khususnya Mohamad Shahidan dan Marwati Wahab dari Dewan Bahasa dan
Pustaka, Puan Norimah Bajuri, Puan Hajijah Jais, Puan Hajjah Asiah dan pereka
atau pelukis cover, juga mereka yang lain, saya mengucapkan jutaan terima kasih
atas bantuan.
Kepada
pembaca, silakan membeli karya yang asli di kedai buku terbitan Dewan Bahasa
dan Pustaka atau boleh memesan langsung kepada saya untuk mendapatkan tandatangan
dan autograf.
Terima kasih atas segala sokongan anda!
September 8, 2012
Khamis, September 06, 2012
TIADA
TIADA apa lagi yang ditakuti setelah percaya dan meyakini betapa hidup dan matimu hanya ditentukan Allah. Demikian juga segala kritik dan puji tidak akan mudah melemah dan mencairkan segala yakinmu.
Biarkan mereka atau sesiapa galak memuji sesamanya. Kerana, pastilah baghal lebih suka berkawan sesama baghalnya agar tidak dilihat betapa baghal dirinya oleh kelompok lain.
Dan aku?
Memilih untuk terus begini dengan yakin dan jalan pilihku sendiri. Dengan sedar mengakui sendiri segala kebodohan dan kekurangan dirinya.
Aku memilih diam dan sendiri bukan untuk dipijak atau kepala maruahku dikencing serta dinajisi.
Biarkanlah mereka terus bersandiwara dengan kopiah, songkok dan pelbagai gelar.
Kerana akhirnya nanti akan ketahuan juga betapa hina dan palsu segalanya itu.
September 6, 2012
Langgan:
Catatan (Atom)