Isnin, Januari 27, 2014

BENGKEL TEATER KUANTAN: ANTARA NASKHAH, SIKAP DAN KREATIVITI

TAHUN 1981 adalah tahun permulaan saya terjun secara bersungguh-sungguh ke dunia teater. Tahun itulah saya bermula dengan pementasan pentomim secara solo yang saya mainkan di sebuah pabrik tempat saya bekerja dan ketika mementaskannya, saya hanya berpandukan gerak dan rasa hati sendiri serta sepenuhnya hanya mengandalkan keberanian seorang pemuda yang sedang bergelora darah dan semangatnya untuk menjadi seniman.

Tahun-tahun berikutnya merupakan tahun di mana di samping terus menerus berlatih dan mementaskan teater, saya juga tidak pernah melepaskan sebarang peluang yang tersedia untuk menyertai bengkel lakonan dan juga pengarahan di peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian sekitar tahun-tahun tersebut. Hasil beberapa bengkel tersebut saya menggenggam beberapa sijil yang konon-kononnya melayakkan saya menjadi jurulatih teater yang bertauliah.

Sekitar tahun-tahun itu jugalah, kerana menyedari ilmu saya mengenai teater terlalu sedikit dan cetek, saya menjadi pemburu buku di mana sahaja saya mengetahui ada dijual. Kemudiannya setelah menemui dan membelinyanya saya membaca dan cuba menghayati kandungan buku tersebut sebanyak yang boleh dan mungkin.  Kerana itu jugalah beberapa buku mengenai teater terbitan Indonesia, antaranya buku terjemahan Asrul Sani "Persiapan Seorang Aktor" tulisan Konstantin Stanislavski yang saya baca penuh dengan kesan garisan dan catitan. 

Namun sebagai seorang pelakon dan pekerja teater saya sedar bahawa saya selalu memilih arah, cara dan jalan yang berlainan dengan banyak orang dan teman. Ketika orang menyebokkan diri untuk mementaskan teater dengan naskhah, saya pula lebih mempercayai kebolehan diri dan peribadi di dalam setiap bengkel teater yang saya pimpin, kalau pun boleh dikatakan saya sebagai pemimpinnya.

Mungkin sedikit dan sebanyak saya kira pengaruh atau cara berteater yang begini kerana saya terilhamkan oleh kisah teater dan pergerakan Aziz H.M dengan Teater Malininya dan lama sebelum itu, saya tertarik membaca kisah pergerakan ke sekitar Malaysia kumpulan Teater Keliling oleh Rudolp Puspa. Malah sekitar tahun tersebut jugalah, 1970-an, ketika menjadi penghuni di sebuah estet di pedalaman Terengganu, saya mengajak beberapa teman menubuhkan sebuah grup teater di situ dan ajakan itu hanya dipandang dengan cebikan teman-teman. Bagi mereka, ajakan saya itu adalah sesuatu yang aneh dan sulit untuk dijadikan kenyataan.

Tetapi semangat berteater itu rasa saya sebenarnya sudah lama tumbuh di dalam jiwa saya. Seingat saya, almarhum bapa saya yang berketurunan Jawa itu semasa mudanya dahulu adalah seorang pelakon di pentas bangsawan di estet di mana kami tinggal dan hidup. Malah jika tidak silap ingatan, sekitar usia saya empat atau lima tahun, saya beberapa kali melihat almarhum bapa saya tampil ke pentas sandiwara berpakaian seperti pahlawan dan hulubalang. Malah ada juga kisah yang melucukan, ketika melihat bagaimana ayah saya mati ditikam oleh seorang penjahat di dalam pementasan bangsawannya, saya yang sedang menonton bersama nenek membalingkan kueh yang sedang dimakan dan menjerit bertanyakan kenapa ayah saya telah dibunuh.

Kerana semangat untuk berlainan itulah saya selalu memulakan produksi teater saya bersama beberapa teman di dalam Bengkel Teater Kuantan dengan latihan dan bengkel secara terus menerus. Di mana selepas sekian latihan dan olah kami pada suatu hari minggu, baharulah bergerak ke proses latihan lakonan dengan meminta setiap peserta menggali dan mengeluarkan kisah atau ceritanya sendiri.

Tujuan saya berbuat demikian adalah kerana ingin melihat mereka tampil sebagai dirinya sendiri: menggali masa lalu dan masa kininya sendiri, menciptakan momen-momen kreatifnya sendiri dan terakhirnya, menampilkan semacam ekspresi kejiwaannya, yang bertujuan untuk memberikan dia rasa kepuasan dan katarsis daripada segala gangguan jiwa dan perasaan yang membebankan dirinya.

Sementara saya selaku perantara dan sutradara sekadar membantu untuk membukakan jalan dan ruang untuk atau agar mereka terus mampu memperkembangkan daya kreativiti masing-masing di dalam cerita dan di mana perlu, saya memberikan suatu tema dan kemudian, merangkaikan kisah di antara mereka yang berpencar-pencar itu agar terbentuk menjadi suatu rangkaian cerita  yang dapat dan boleh diterima khalayak. 

Saya tahu berteater secara begini ada bahayanya bagi mereka yang tidak berhati cekal dan berani melihat cerminan dirinya sendiri. Kerana itulah saya tidak begitu bersedih bila bengkel yang saya pimpin mengalami masuk dan keluar peserta yang silih dan berganti. Namun saya mempercayai sepenuh hati, dengan cara atau sistem berteater begini, siapa yang sanggup menunggu dan bertahan, pasti nanti akan terasuh jiwanya menjadi kental dan tidak mudah patah oleh sebarang godaan dan dugaan.

Memang akhirnya yang mampu benar-benar bertahan dibengkel yang saya pimpin hanya empat atau lima pemain sahaja. Tetapi itulah mereka yang benar-benar mampu bertahan dan mampu membuktikan kekuatan dirinya sebagai pemain serta mempamerkan keperibadiannya sendiri. Kerana itu jugalah saya tidak pernah berasa sesal ketika mereka yang sudah berdiri sebagai peribadi-peribadi itu memilih jalan lain dan sendiri. Kerana, niat dan tujuan bengkel teater saya bukanlah hendak mencetak pengikut dan para pengekor, tetapi sebaliknya menghasilkan manusia yang bebas dan mampu berfikir sebagai dirinya sendiri.

Hanya, sayangnya, begitu memilih menjadi peribadi dan memilih jalan sendiri, yang terlupa mereka lakukan terus menerus adalah penggalian kreativiti dan sifat ingin terus belajar serta menambahkan ilmu teaternya, sehingga dengan demikian, mereka bukan sahaja menjadi statik, malah sebagai seniman, mereka semakin menjadi bodoh dan mundur!

Saya tidak pernah berasa bahawa sayalah yang bersalah kerana demikian perinya diri mereka yang dahulunya pernah bersama saya di dalam Bengkel Teater Kuantan. Rasa saya, andai mereka ingin dan mahu terus belajar, mereka boleh terus menjadi maju dan berkembang. 

Saya katakan begitu kerana di dalam Bengkel Teater Kuantan saya berusaha mengajak mereka menjadi seniman teater yang lebih peka dan berfikir dengan cara memulai dan mengakhiri acara dengan diskusi, setiap usai latihan dimestikan menyerahkan satu salinan laporan latihan bengkel dan terpentingnya, mendokumentasi serta menuliskannya sebagai naskhah setiap sesi latihan yang mereka telah jalani pada hari sebelumnya.

Saya tahu tidak semua anjuran atau katakanlah arahan saya itu mereka patuhi kerana setiap kembali ke bengkel keesokan harinya tidak semua menyerahkan salinan laporan. Malah ketika ditanyakan sudah sejauh manakah mereka menuliskan kembali naskhah-naskhah peribadi milik mereka, jawab yang saya terima sangatlah mendukacitakan hati dan perasaan saya peribadi.

Namun walau menggelegak di dalam hati ingin menyatakan marah, segalanya saya hanya pendamkan dan menyesali betapa mereka telah mempersiakan segala waktu dan ruang yang ada.

Demikian keadaan dan peri kisahnya. Selepas meraih juara Pekan Teater Pahang tahun 2000 dan dua pemainnya meraih anugerah pelakon lelaki dan wanita terbaik, kegiatan Bengkel Teater Kuantan sengaja saya senyapkan lantaran terlalu terluka di dalam hati mengenangkan sikap dan cara keinginan mereka untuk berteater.

Bayangkan, di tahun berikutnya, di awal tahun 2001, ketika saya mengajak dan mengajukan agar latihan segera dimulakan, jawab yang saya terima adalah ini: Buat apa hendak berlatih terlalu awal. Bukankah elok jika latihan bermula dalam dua bulan lagi Pekan Teater hendak dimulakan!

Saya sebenarnya tidak salahkan sesiapa. Walau hampir 20 tahun saya habiskan usia dan waktu bersama Bengkel Teater Kuantan, mengajak dan berkongsi idea bersama kawan-kawan untuk bekerja mengangkat martabat teater di Kuantan atau di negeri Pahang, saya tidak pernah berasa  rugi atau telah dirugikan.

Sebabnya, saya kini secara rasminya telah memiliki sebuah buku yang memuatkan sebahagian naskhah drama yang saya tulis hasil daripada gerak kerja di dalam Bengkel Teater Kuantan sepanjang 20 tahun dan mereka yang konon para tokoh dan pekerja teater pula, apakah pencapaian terkini mereka?

Siapa yang bersedia untuk menjawabnya?

Januari 27, 2014

Rabu, Januari 01, 2014

2014