Khamis, Mac 20, 2014
BELAJARLAH MENYANTUNI PELANGGAN ANDA
SAYA tidak fikir dia
yang membuka perniagaan alat tulis dan buku-buku di sekitar pekan di mana saya
tinggal itu tidak mengharapkan pelanggan datang ke premis atau kedainya. Saya
tidak fikir begitu, kerana sebagai "peniaga" dia pasti sahaja
mengharapkan pelanggan masuk ke kedainya dan berbelanja sedikit atau sebanyak
memberikan dia hasil serta laba untuk dia terus menghidupkan hayat
perniagaannya.
Tetapi bila melihat
nota di muka pintu kedainya, yang ditulis dengan huruf sebesar 20 poin, membuat
saya sejenak tercenung dan berfikir: apa perlunya dia mencatatkan nota
sedemikian di muka pintu kedainya? Sebagai peniaga bukankah dia sepatutnya
mengalukan pelanggan masuk dan bukan menyatakan ayat-ayat kurang mesra yang
boleh menghalau niat pelanggan untuk masuk ke kedainya.
Saya sangat pasti.
Kedai itu memang menjual peralatan tulis menulis dan buku-buku (sebagiannya
novel-novel popular yang menggamit perhatian saya untuk melihat lebih dekat).
Saya pasti sebagai pemilik kedai itu (tidak pedulilah sebagai penyewa atau
memang miliknya) dia tidak tidur baring
bersama keluarganya di dalam ruang kedai itu dan andai mahu bersolat atau
sebagainya yang memerlukan ruang yang terpelihara kesuciannya, saya fikir dia
bisa mencipta sebuah ruang di bahagian paling belakang kedainya. Itu pun kalau
kedainya itu memang tidak punya ruang belakang yang khusus.
Kerana itulah,
membaca nota yang jelas terpampang di pintu masuk ke kedai itu, yang menyuruh
pelanggan menanggalkan kasut dan meninggalkannya di luar kedai, bagi saya adalah
suatu perbuatan kurang cerdik bagi seorang pekedai menjual alat tulis dan
buku-buku, apa lagi di sebuah pekan yang didatangi pelbagai bangsa, kaum dan
agama. Saya bertambah mengatakan kurang cerdiknya pemilik kedai itu kerana di
seberang jalan, sebuah kedai yang mengaku di papan tanda kedainya sebagai
penjual buku-buku dan peralatan agama Islam tidak pun menyuruh pelanggan meninggalkan
kasut yang dipakainya di luar kedai sebelum masuk ke dalam kedai!
Saya tidak fikir
pemilik kedai alat tulis dan buku-buku yang menghendaki sesiapa yang mahu
berurusan di dalam kedainya mestilah meletakkan kasutnya di luar (walau
dituliskan dengan kata 'sila') itu seorang yang tidak tahu berfikir (kalau pun
bukan bodoh). Tetapi jika dia boleh berfikir dan bukan orang yang bodoh, kenapa
dia meletakkan juga nota itu di muka pintu kedainya?
Saya fikir ini
sebagiannya merupakan lanjutan dan warisan daripada amalan kata hikmat
"layan diri" yang semakin berleluasa dipamer serta diamalkan
dikalangan para peniagaku yang berbangsa Melayu serta beragama Islam juga. Meski premis perniagaannya hanya di bawah
pohon ceri, namun kerana budaya serta amalan layan diri itu, pelanggan yang
datang mahu memberikan mereka rezeki dilayan bena tidak bena dan ketika mahu
membayar diminta membayar dikaunter yang mencatatkan nota "Sila bayar di
sini !!!!" dengan empat atau lima tanda seru!
Saya fikir amalan
menyuruh pelanggan meninggalkan kasutnya di luar kedai pun asasnya kurang lebih
serupa juga, yang tidak lain tidak bukan bermula dan bertolak daripada budaya
"malas". Malas untuk setiap hari perlu menyapu habuk dan mengmob di
lantai kedainya.
Kerana itu jugalah,
premis perniagaan yang menjual tudung, selendang dan jubah, atau baju kurung,
pun menyuruh pelanggan meninggalkan kasut atau alas kaki yang dipakainya di luar
kedai. Seolah-olah di dalam kedai itu mereka tidur dan baring serta langsung
tidak boleh dipijak. Begitu juga dengan kedai menjual komputer dan
peralatannya, asal pemiliknya adalah Melayu, kebanyakannya
"memerintahkan" pelanggan yang mahu berurusan di kedainya juga
berbuat hal yang sama.
Tetapi kenapa di
kedai yang perniagaannya serupa dan pemiliknya selain Melayu tidak pula
menyatakan perintah sedemikian rupa kepada para pelanggan yang mahu ke kedai
mereka?
Saya tidak punya
jawaban mengenai itu. Hanya buat saya,
premis perniagaan tetaplah premis perniagaan dan perbuatan
"memerintahkan" pelanggan menanggalkan kasut sebelum memasuki peremis
mereka adalah perbuatan yang tidak mesra dan tidak mengalukan pelanggan.
Saya mungkin tidak
mendatangkan wang atau berbelanja sehingga puluhan atau ratusan ringgit jika
saya masuk ke kedai mereka, atau sekadar hanya membeli sebatang pen, tetapi
yang pasti, saya tidak akan berurusan dengan kedai yang pemiliknya adalah
sebangsa dan seagama dengan saya yang sungguh tidak mahu menyantuni
pelanggannya, yang meleltakkan nota perintah sedemikian rupa di muka pintu
kedainya begini.
Dan kerana itu juga,
jangan menuduh saya tidak mahu menolong perniagaan bangsa sendiri, ketika pada
waktu sama, anda tidak pernah cuba untuk menghormati saya sebagai pelanggan
atau bakal pelanggan anda.
Tidak hairanlah
perniagaan milik bangsa lain maju dan semakin maju, sedang perniagaan mereka
(walau tidak semua) hidup segan mati pun
tak mahu!
Mac 20, 2014
@MARSLI NO - Penulis
lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian,
demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi
lewat email marslino@yahoo.com
Isnin, Mac 17, 2014
PERINGATAN
SESEORANG yang berada
di depan atau di atas, jika kian ketara teledor dan bejat, perlu ditegor dan
diperingatkan agar kembali ke jalannya yang asal. Ini memang hubungan timbal balik. Jika yang di
atas sebagai pemegang amanah yang diserahkan oleh yang di bawah, yang di bawah
pula berkewajiban menyampaikan nasihat serta tegoran kepada yang di atas, juga
sebagai suatu amanah.
Namun bagaimana
sebenarnya di realitas dalam kehidupan bermasyarakat dan berpolitik bangsa
kita? Apakah yang di bawah dapat dan boleh menyampaikan tegoran dan peringatan
kepada yang di atas, sekiranya jelas dan nyata telah berlaku perlanggaran daripada
garis dan jalurnya yang lurus dan yang
sewajarnya dituruti?
Kita boleh
menjawabnya dengan ya dan boleh juga dengan tidak. Kerana, setelah terlalu lama
menggengam kuasa, yang pada hakikatnya merupakan suatu amanah yang diserahkan
oleh mereka yang berada di bawah, manusia selalunya mudah menjadi lupa dan
mabuk. Kuasa tidak lagi dipegang sebagai amanah, tetapi sebagai ruang dan
peluang untuk meraih segala kesempatan untuk diri sendiri.
Peringatan dan
tegoran yang di bawah kini bukan lagi keutamaan dan sesuatu yang perlu didengar
dengan takzim, sebaliknya telah berubah
menjadi sesuatu yang dianggap mengganggu dan menjadi ancaman kepada kuasa yang
sentiasa cuba dimapankan. Yang di bawah
kini bukan lagi mereka yang perlu dibenahi serta disantuni, sebaliknya, kerana peringatan
dan tegorannya, mereka malah dianggap musuh serta ancaman yang perlu segera
diberenggus dengan tindak yang kadang jauh daripada sifat maknusiawi.
Lalu tatkala di sana
sini berkumandang tegor serta peringatan yang di bawah, namun berbuat bejat,
serakah dan sewenang tetap juga berleluasa, maka bermulalah episod buram kehidupan
bangsa dan semakin berleluasa tanya: layakkah lagi mereka terus diberi percaya?
Walau apa pun
alasannya, rasa kecewa bangsa bukan
kerana lambang atau simbol, atau manifesto buatan manusia. Ketidakpercayaan marhaen hanyalah apabila
mereka kian berasa diperbodohkan dengan pelbagai janji yang tidak pernah
ditunai, simsalabim kata-kata dan sunglapan demi sunglapan.
Betapa pun akhirnya
dikoarkan sejuta laung ketuanan!
Mac 17, 2014
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke
mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan
kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Langgan:
Catatan (Atom)