Khamis, November 20, 2014

SELEPAS 14 TAHUN, LELAKI ITU KUKENANG

sajak MARSLI N.O

dia yang dahulu pernah membentak
dan menyeranah
serta menolak hulur salam
kerana secuil tulisan tulusku
menegor dan menyaran 
tetapi disangka telah melumur najis ke wajah tokohnya
di daerah kecil itu
kini kembali kukenang dengan hati simpati
dan di dalam diam kukenang perginya yang lama  
namun sayang tak meninggalkan buku
yang menerakan nama miliknya 

...........
November 20, 2014
 


Rabu, November 05, 2014

FILEM KOMEDI: MELAYU

Sajak MARSLI N.O

di layar TV itu pagi ini
ku tonton sebuah filem komedi melayu
yang mungkin tidak laku di panggung
tetapi di TV ia hidup kerana Iklan dan bayaran siaran penonton

dengan hati mual dan mata sebal
kutonton aksi pelakon
mempamerkan otaknya yang kosong
melontarkan dialog ringan ciptaan penulis tolol
di bawah telunjuk pengarah bahlol
yang ingin menjual lucu tetapi tidak menjadi
mengundang benci penonton berhati murni
yang mencari nilai dan seni
dari sebuah filem komedi melayu

yang tidak terpesona semata kerana wajah cantik dan tampan pelakon
yang beraksi tanpa roh dan jiwa
menjual dirinya kepada produser tamak dan rakus

pagi ini, aku memuntahkan benci
di depan sebuah filem komedi
bernama melayu
kerana semua sampah dan lumut
dari otak kosong: produser, penulis skrip, pengarah dan pelakonnya

yang juga bernama melayu!

November 2, 2014.