Rabu, Disember 17, 2014
SENDIRI*
SAYA tahu setiap kita punya masalah,
kesebokan dan tidak selalu ingin diganggu dengan panggilan telefon. Tentunya
setiap kita punya segudang sebab dan alasannnya sendiri. Apa lagi jika semakin meningkat usia, kita
semakin dibebani tugas dan tanggungjawab berat, yang tidak memungkin diri kita
untuk lagi membuang-buang waktu lama berbual ditelefon atau menyambut dan
melayan panggilan telefon daripada kawan-kawan.
Pada sisi lain, sebagai manusia biasa kita
tentunya, meski tidak terlalu ramai, punya sejumlah sahabat dan teman yang kita
anggap akrab, tempat di mana kita selalu
menghubunginya ketika sedang berdepan masalah, kerunsingan dan keresahan.
Kadang-kala kita menghubungi teman dan sahabat ini sekedar untuk ucapkan apa
khabar dan bertanya sepatah dua kata, tidak lebih daripada itu. Atau pada waktu
yang lain, kita menghubunginya untuk bertanyakan sesuatau. Atau pada waktu
lain, kita mengadu dan meminta pendapatnya untuk sesuatu yang sedang mengganggu
di dalam di dalam fikiran kita.
Saya peribadi memang selalu menelefon kawan
atau teman yang saya anggap akrab dan boleh saya hubungi, tanpa perlu menunggu
ada catatan terlepas panggilan di layar
telefon milik saya terlebih dahulu. Memang selalunya panggilan telefon saya itu
tidaklah terlalu penting dan sekedar untuk bertanyakan apa khabar sahaja,
setelah lama tidak bercakap dan mendengar suara teman-teman yang jauh.
Atau ketika saya tiba ke suatu daerah, saya
juga selalu mencari dan memikirkan siapa teman saya yang berada di daerah
tersebut untuk saya hubungi lewat telefon untuk saya ajak bertemu, berbual atau
sekedar meminum secawan teh di kedai kopi berhampiran.
Memang tak selalu panggilan telefon saya
dijawab. Atau ada waktunya ketika menjawab panggilan saya, jawaban itu,
berdasarkan nada dan tekanan suara percakapannya, saya rasakan kurang ikhlas dan tergesa-gesa
sahaja. Atau di waktu lain, teman yang saya hubungi memaklumkan bahawa kini dia sedang memandu kenderaan.
Memang saya berasa bersalah juga bila
waktunya menelefon teman-teman dan menerima jawaban yang dia seolah sedang
terlalu sebok, tidak selesa dan berasa diganggu. Selalunya bila demikian saya
tidak akan menghubunginya lagi pada hari atau selepas waktu itu. Atau bila ada
panggilan telefon saya direject dan saya ingin bertanyakan sesuatu yang penting
dengan kawan tersebut, saya akan kembali mengirimkan pesanan ringkas
bertanyakan apakah dia sedang sebok dan mohon beritahu bisakah saya
menelefonnya. Ada beberapa teman membalaskan jawaban dan ada juga kawan yang
terus sahaja membungkamkan dirinya.
Saya tahu pada beberapa sisi, saya mungkin
keterlaluan dan bersikap mengganggu. Misalnya, menghubungi orang pada waktu
yang tidak kena dan sesuai, ketika orang lagi sedang bercengkerama,
bermesyuarat atau sebagainya.
Namun kini, semakin saya merenung dan
berfikir sendiri, selepas untuk kesekian kalinya selalu berdepan dengan
pengalaman pedih panggilan telefon saya tidak dijawab, atau dibiarkan tanpa
jawapan dan malah langsung direject, saya memilih untuk tidak lagi mahu
menyalahkan diri saya sendiri. Malah pada banyak waktu, saya berasa sangat
tidak adil bila dalam persahabatan, hanya saya yang asyik menelefon bertanyakan
khabar teman-teman rapat, seolah-olah terhegeh-hegeh mengemis simpati untuk
terus bersahabat dan berkawan dengan orangmereka, sedangkan di pihak mereka, saya
hanya akan dihubungi bila ada sesuatu keperluan dan kepentingan yang melibatkan
diri mereka sahaja.
Dalam usia yang semakin menua ini, mungkin
saya menjadi terlalu cepat terasa dan perasa dan mungkin bagi banyak orang ini
bukanlah isu yang besar dan perlu diperbesar-besarkan pun!
Tetapi akhirnya saya mesti memilih dan
membuat pilihan. Daripada saya membuangkan waktu menelefon dan menghubungi orang
lain yang sudah tidak sudi lagi menjawab atau hanya saya yang membuang-buang
waktu bertanyakan khabar kawan-kawan, mengucapkan tahniah kerana sesuatu
kejayaannya, biarlah kini waktu itu saya gunakan untuk diri saya sendiri.
Kerana, sebelum saya mati, saya ingin
menulis, menulis, menulis dan menulis.
Disember 17, 2014
*Terima kasih sahabat di Kuala Kubu Bharu
yang semalam menelefon
Selasa, Disember 16, 2014
SEMAKIN MENUA
JIKA tahun yang dihitung, maka 2015 ini sudah 58 usiaku dan 2017 nanti, andai diizinkan Allah SWT untuk aku lagi bernafas, maka 60 tahun sudah usiaku. Segala ingatan dan kenangan serasa masihkan kelmaren. Tetap segar dan bugar di dalam ingatan, dan untuk itu, kepada Allah SWT sekali lagi aku berterima kasih, kerana mengizin dan memberikan aku daya ingatan yang masih bugar dan segar, serta kesihatan yang juga masih sihat dan membolehkan aku bergerak ke mana-mana secara mandiri.
Sehingga di usia ini, sebagai manusia biasa dan sebagai sasterawan, walau dalam sesekali mengucapkan sebal dan marah terhadap pelbagai situasi mual yang merongrong sekitar diri dan dunia, aku selalu ingin berasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT.
Meski mungkin tidak sehebat dan sebaik mana sekalipun karya yang sudah kutulis itu, namun aku sudah buktikan keberadaanku dengan sejumlah karya hasil tulisanku yang diterbitkan oleh beberapa penerbitan.
Memang aku tidak menjadi jutawan kerana hasil tulisanku itu, tetapi setidaknya, dengan hasil tulisan itu jugalah sebanyak sedikit membantu aku meringankan beban kewangan menyara keluarga, membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka hingga beberapa orang sudah ke universiti dan kini sudah mampu bekerja menyara dirinya sendiri dan sebanyak sedikit menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga saban bulan, mengikut masing-masing kemampuan.
Pagi ini, dan malah sudah sejak awal tahun 2013 yang lalu lagi, pertanyaan yang satu ini selalu datang menjengah ke benak fikirku. Soal dan tanya itu muncul ke dalam benak fikir, tatkala sedang bersunyi-sunyi sendirian, atau malah ketika sedang dalam perjalanan, didorong oleh rasa dan sedar di dalam diri betapa aku tidak boleh selalu menjadi manusia tamak dan perlu lebih menjadi manusia yang lebih tahu diri, bersyukur dan segera berterima kasih.
Soal dan tanya itu juga mendorong aku menjadi sedar, betapa tidak semua yang kita kehendak dan inginkan di dalam hidup ini akan kita dapat dan menjadi kenyataan. Kerana itu jugalah, sebagai manusia biasa, aku perlu segera membuang segala perasaan tamak dan haloba yang sedemikian itu, jika masih ada dan berbaki di dalam diri.
Tanya dan soal apa lagi yang kuingin dan kejar di dalam hidup ini, menjadikan saya lama merenung diri sendiri. Di samping memikir dan merenungkan kegagalan dan kekecewaan di dalam hidup, sekaligus mendorong juga saya merenung pencapaian dan segala yang telah saya peroleh.
Ya, berbanding teman-teman sasterawan yang masih berharap dan mengharap karya mereka diterbitkan oleh sesebuah penerbitan, bukan bermaksud hendak menghina dan berlagak sombong terhdap mereka, saya sendiri sudah pun punya sejumlah karya yang diterbitkan.
Begitu juga dengan hadiah dan anugerah, walau tidak bergelar sasterawan negara atau meraih hadiah di luar negara, namun saya tetap berasa syukur dengan apa-apa anugerah yang telah saya terima di dalam negara sendiri.
Jadi, apa lagi yang saya ingin dan kejar di dalam hidup saya yang semakin menua dan entah besok atau lusa akan pergi ini?
Saya hanya ingin menjadi manusia yang lebih baik, pemurah, ikhlas dan lebih mematuhi segala perintah-Nya.
Kerana saya tahu, saya bukanlah manusia yang terlalu baik dan sempurna dan bukan hamba-Nya yang selalu patuh.
Disember 16, 2014
Kategori:
2014: Memoar Marsli N.O
Rabu, Disember 03, 2014
HA, HA, HA (1)
KALAU saya perasan bagus pun di sini apa salahnya. Blog ini saya yang pemunya miliknya. Jadi suka hati sayalah saya nak tulis apa. Ada kah apa-apa yang boleh mengganggu serta menyusahkan kau?
Eh, apalah punya bangang kau ini.
Disember 3, 2014
Langgan:
Catatan (Atom)