Selasa, Disember 16, 2014

SEMAKIN MENUA

JIKA tahun yang dihitung, maka 2015 ini sudah 58 usiaku dan 2017 nanti, andai diizinkan Allah SWT untuk aku lagi bernafas, maka 60 tahun sudah usiaku. Segala ingatan dan kenangan serasa masihkan kelmaren. Tetap segar dan bugar di dalam ingatan, dan untuk itu, kepada Allah SWT sekali lagi aku berterima kasih, kerana mengizin dan memberikan aku daya ingatan yang masih bugar dan segar, serta kesihatan yang juga masih sihat dan membolehkan aku bergerak ke mana-mana secara mandiri.

Sehingga di  usia ini, sebagai  manusia biasa dan sebagai sasterawan, walau dalam sesekali mengucapkan sebal dan marah terhadap pelbagai situasi mual yang merongrong sekitar diri dan dunia,  aku selalu ingin berasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT. 

Meski mungkin tidak sehebat dan sebaik mana sekalipun karya yang sudah kutulis itu, namun aku sudah buktikan keberadaanku dengan sejumlah karya hasil tulisanku yang diterbitkan oleh beberapa penerbitan. 

Memang aku tidak menjadi jutawan kerana hasil tulisanku itu, tetapi setidaknya, dengan hasil tulisan itu jugalah sebanyak sedikit membantu aku meringankan beban kewangan menyara keluarga, membesarkan anak-anak  dan menyekolahkan mereka hingga beberapa orang sudah ke universiti dan kini sudah mampu bekerja menyara dirinya sendiri dan sebanyak sedikit menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga saban bulan, mengikut masing-masing kemampuan.

Pagi ini, dan malah sudah sejak awal tahun 2013 yang lalu lagi, pertanyaan yang satu ini selalu datang menjengah ke benak fikirku. Soal dan tanya itu muncul ke dalam benak fikir, tatkala sedang bersunyi-sunyi sendirian, atau malah ketika sedang dalam perjalanan, didorong oleh rasa dan sedar di dalam diri betapa aku tidak boleh selalu menjadi manusia tamak dan perlu lebih menjadi manusia yang lebih tahu diri, bersyukur dan segera berterima kasih.

Soal dan tanya itu juga mendorong aku menjadi sedar, betapa tidak semua yang kita kehendak dan inginkan di dalam hidup ini akan kita dapat dan menjadi kenyataan. Kerana itu jugalah, sebagai manusia biasa, aku perlu segera membuang segala perasaan tamak dan haloba yang sedemikian itu, jika masih ada dan berbaki di dalam diri.

Tanya dan soal  apa lagi yang kuingin dan kejar di dalam hidup ini, menjadikan saya lama merenung diri sendiri. Di samping memikir dan merenungkan kegagalan dan kekecewaan di dalam hidup, sekaligus mendorong juga saya merenung pencapaian dan segala  yang telah saya peroleh.

Ya, berbanding teman-teman sasterawan yang masih berharap dan mengharap karya mereka diterbitkan oleh sesebuah penerbitan, bukan bermaksud hendak menghina dan berlagak sombong terhdap mereka, saya sendiri sudah pun punya sejumlah karya yang diterbitkan. 

Begitu juga dengan hadiah dan anugerah, walau tidak bergelar sasterawan negara atau meraih hadiah di luar negara, namun saya tetap berasa syukur dengan apa-apa anugerah yang telah saya terima di dalam negara sendiri.

Jadi, apa lagi yang saya ingin dan kejar di dalam hidup saya yang semakin menua dan entah besok atau lusa akan pergi ini?

Saya hanya ingin menjadi manusia yang lebih baik, pemurah, ikhlas dan lebih mematuhi segala perintah-Nya.

Kerana saya tahu, saya bukanlah manusia  yang terlalu baik dan sempurna dan bukan hamba-Nya yang selalu patuh.

Disember 16, 2014

Tiada ulasan: