Isnin, Januari 26, 2015
DI DINI PAGI
TERJAGA di dini pagi hari ini saya lama merenung dan berfikir.
Terima kasih Tuhan yang berbaik hati menjagakan kembali saya dari nyenyak tidur. Menggerakkan hati dan jiwa saya untuk terus mengenang dan selalu mengingati-Nya.
Juga, kerana telah memisahkan saya dari mimpi yang bagaikan nyata, namun memang ternyata selepas jaga, hanyalah mimpi yang kosong dan sia-sia.
Ah, sungguh saya terlalu manusia leka kepada dunia.
Januari 26, 2015
Sabtu, Januari 17, 2015
ANDAI
SEINGAT saya, sudah terlalu lama rasanya saya tidak berfikir atau terfikir
mengenai perbuatan tidak adil terhadap mana-mana individu sasterawan yang
kerananya telah menyebabkan dirinya tidak mendapat sesuatu yang sepatutnya dia
dapat: pengakuan, peluang dan ruang. Yang kerananya juga, dia seperti dilupakan
dan tidak dipedulikan. Khususnya oleh pihak pusat atau sesuatu institusi yang
sepatutnya memperhatikan kehadiran dirinya sebagai seorang sasterawan.
Soalnya bukan kerana saya berasa keadilan itu tidak perlu dalam dunia
sastera. Malah bagi saya sebagai individu, keadilan itu bagi saya sangat perlu.
Tetapi kerana saya memasuki dunia ini dengan sikap untuk lebih mempercayai diri
sendiri dan tidak ingin terlalu bergantung kepada orang lain, maka saya sejak mula
memasuki dunia ini telah menanamkan tekad untuk tidak terlalu berharap dan
kerana itu juga, andai diri saya memang telah diperlakukan tidak adil oleh
mana-mana pihak, saya tidak akan atau ingin bersedih kerananya.
Demikian jugalah hari ini ketika saya membaca perbincangan beberapa orang
kawan yang turut terpapar di tembok muka buku saya. Saya tahu dan malah dapat
merasakan kegelisahan mereka ketika bercerita mengenai ketidakadilan itu, yang
menurut mereka betapa sasterawan di luar lingkungan Kuala Lumpur sering tidak
diperaku serta seperti tidak dipedulikan kehadirannya: karya mereka tidak
dibicarakan dan penganugerahan selalu menyisih daripada mereka.
Saya sedar dan tahu kebenaran dakwaan mereka itu mungkin ada dan berlalu. Namun saya tidak ingin lebih lanjut berfikir mengenainya. Apa yang mereka
rungutkan itu adalah hak mereka dan saya
tidak ingin sama terlibat.
Buat saya, kerana sudah sejak mula memilih untuk bersendiri dan mempertahankan
semangat untuk sentiasa mandiri, saya
tidak mahu memberatkan kepala dan mengusutkan jiwa berfikir mengenainya.
Andai pun benar ada dan berlaku, saya akan tetap begini juga. Menulis dan
terus menulis. Diperlakukan adil atau
tidak, saya juga sudah sejak mula bersedia untuk datang dan pergi sendirian, tanpa
mengharapkan apa-apa pujian atau pengakuan daripada sesiapa pun.
Buat saya, tenaga dan ilham yang diberikan Allah SWT kepada saya, agar
dapat terus menerus menulis itu sudah lebih memadai daripada segala pengakuan,
penobatan atau pujian apa pun.
Dan andai kerana pilihan ini saya dianggap sombong dan berlagak, tidak
mengapalah.
Andai pun benar, saya memang ditolak dari lingkungan mereka di pusat itu,
itu pun saya tidak berasa hairan atau perlu bersedih hati dan diri. Kerana, di
negeri dan daerah saya sendiri pun, kalau pun tidak ditolak dan disisihkan,
saya pun memang memilih untuk terus bersendiri dan menyendiri.
Jadi saya memang tidak pernah berasa terkilan, sedih dan terkejut, andai
benar saya memang mereka tolak dan sisihkan!
Januari 17, 2015
Jumaat, Januari 02, 2015
2015
KERANA sudah bertekad dan memilih untuk bersendiri dan mandiri begitu memasuki tahun 2015 ini, saya tidak berasa perlu dan penting untuk menceritakan apa-apa yang ingin dan akan saya laksanakan sebagai seorang penulis di sepanjang tahun 2015.
Sebagai penulis, sudah pasti saya akan terus menerus menulis. Katalah itu buku, atau apa sahaja karya. Tetapi tidak terlalu perlu untuk saya menceritakan berapakah jumlah atau apakah bentuk dan genrenya. Biarlah waktu dan hasil akhirnya nanti yang menentukan.
Selamat tinggal semuanya: dunia galau dan kawan-kawan yang sombong, khianat atau para penggunjing.
Semakin menjadi tua, semakin saya berasa ingin lebih menyendiri dan semakin saya berasa tidak memerlukan keriuhan lagi. Kepada yang berminat dan menggilainya, saya tidak ingin menyalahkan anda.
Silakanlah!
Dan saya sudah memilih untuk terus berjalan: sendiri dan mandiri.
Januari 2, 2015
Langgan:
Catatan (Atom)