Isnin, Mac 30, 2015

SETELAH

BERSENDIRI kelmaren saya bergegas ke ibu kota untuk suatu atau dua tujuan. Begitu turun daripada bas saya segera melompat ke kenderaan lain untuk segera sampai ke destinasi yang diingini dan bertemu oknum yang saya perlu berurusan dengannya segera.

Saya pergi sendiri. Diam-diam dan tak menghubungi atau mengajak bertemu mana-mana kawan atau teman lain yang saya kenal di sana. Kecuali hanya mereka yang memang saya ada urusan, yang mendorong saya bergerak ke sana itu sahaja.

Saya kini benar-benar menikmati rasa bersendirian ini. Menikmati rasa sunyinya dengan lebih dalam dan panjang. Menikmati sepenuhnya kenikmatan bersendirian ini, bergerak dan hadir ke mana-mana tanpa perlu mengganggu orang lain, memintanya menunggu, mengajak bertemu atau membelanja saya makan.

Kini juga, semakin lama dan jauh menjadi manusia penyendiri, saya semakin faham makna persahabatan dan perkenalan dengan teman-teman. Dan saya tak ingin mengatakan bahawa yang bersalah adalah mereka, ketika saya dengan sengaja memilih diam kerana semakin berasa malu bila menyedari betapa selama ini hanya saya sahaja yang asyik menelefon dan bertanyakan khabar teman-teman, sedangkan teman-teman, walau apa pun alasan dan sebabnya terlalu payah dan jarang untuk menghubungi bertanyakan khbar kepada saya.

Sekali lagi, saya tak mahu menyalahkan orang lain. Sebagai seorang manusia yang tidak punya apa-apa kuasa, kelebihan dan kepandaian yang hebat seperti orang lain, memang selayaknya jika saya disisih dan tak begitu diperlukan oleh kawan-kawan. Atau andai misalnya jika beberapa mereka kebetulan singgah di daerah saya ini, pun mereka tak berasa perlu untuk mengajak saya bertemu dan sekejap berbual, seperti yang dahulu selalu saya lakukan andai singgah ke daerah atau di bandar di mana saya tahu ada teman dan sahabat saya di sana.

Sudah sepatutnya sebagai seorang manusia yang usianya sudah menghampiri 60 tahun saya insaf dan menyedari, betapa selama ini perbuatan dan tindakan saya yang ingin terlalu bermesra serta berakrab dengan kawan-kawan itu, sebenarnya telah menyusahkan serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada mereka.

Bayangkan, jika di suatu pagi minggu, saya tiba-tiba muncul di suatu bandar dan menelefon mengajak bertemu seorang teman di situ, tentu sahaja saya telah sangat menyusahkan mereka, kerana dia sebenarnya sudah punya agenda lain bersama keluarganya pada hari tersebut.

Kini saya tak ingin mengganggu dan menyusahkan orang lain lagi. Kerana semakin menyedari betapa semakin dekat hari pergi saya itu, kini biarlah saya memilih menjadi penyendiri yang penuh dan ingin mengisi baki hari dan usia yang saya miliki ini untuk memperbetulkan segala jalan hidup saya yang pernah bengkok dan buram.

Semoga Allah SWT memberikan saya kekuatan hati, tekad dan iman untuk tetap bertahan agar tidak mengulangi kembali segala kesilapan, kebodohan dan segala dosa, yang pernah saya perbuat di masa lampau! 

Mac 30, 2015


@MARSLI NO kini adalah penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
 

Rabu, Mac 25, 2015

MENJADI DIRI DAN SENDIRI

MEMILIH menjadi dirimu sendiri memang sangat mendera dan selalu berdepan duga. Namun di penghujungnya, kau akan mengecap bahagia. Walau kau disisih dan dihina kerana tidak dimengerti serta sering disalah anggap, namun di penghujungnya, kau adalah tetap manusia yang bebas dan merdeka. Yang bergerak, berkata, berfikir dan bertindak hanya kerana pilih dan inginmu sendiri.

Hidup dan menjadi diri sendiri mengajar dirimu menjadi manusia yang hanya mempercayai kekuatannya sendiri dan tidak ingin meminta-minta atau mengemis. Kerananya, kau rela tidak memperoleh laba besar.

Kukatakan itu kerana aku sudah memilih jalan sunyi dan tersisih ini sejak dulu. Aku tahu sakit perit dan suka gembira dengan pilihku ini. Hanya aku sendiri. Kerana, ketika sedang terhenyak dilanda kecewa dan dukacita, tiada sahabat dan sesiapa akan datang menjelma dengan hati rela. Malah tidak juga kadang keluarga yang dekat. Akhirnya, hanya kekuatan sendiri melawan segala galau jiwa dan kemampuan bertahan agar tak mudah patah oleh segala dugaan.

Akhir Disember, 2014

@MARSLI NO kini adalah penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com


Jumaat, Mac 06, 2015

KETIKA DINIHARI

TERJAGA lagi di dini pagi hari ini. Saya meneruskan renung dan fikir.

Terima kasih Tuhan yang berbaik hati menjagakan kembali saya dari nyenyak dan nikmat tidur. Menggerakkan hati dan jiwa saya untuk terus mengenang dan selalu mengingati-Nya.

Juga, kerana telah memisahkan saya dari mimpi yang bagaikan nyata, namun memang ternyata selepas jaga, hanyalah mimpi yang kosong dan sia-sia.

Saya tahu dan sedar, sungguh saya manusia yang terlalu asyik dan leka kepada nikmat dan seronok dunia.
Tuhan, mohon maafkan saya dan saya mohon, tolong tetapkan hati saya agar tidak lagi tergoda untuk berpaling ke arah yang lain.
Tuhan, hanya kepada Mu yang maha segala, tempat saya memohon dan meminta pertolongan.

Mac 6, 2015

@MARSLI NO kini adalah penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com