Isnin, April 27, 2015

MALAM HUJAN DAN OKSIMORON (2)

SESUDAH kurang lebih 26 tahun, selepas sajak "Negeri Ini, Anak" pada tahun 1989, saya tak menyertai sebarang sayembara penulisan secara rasmi. Tetapi tahun 2014, entah didorong semangat apa, saya menggagahkan diri agar dapat sama menyertai Sayembara Penulisan 2 anjuran ITBM-Pena-BH. Kurang lebih sepanjang akhir Mei 2014 hingga November 2014 saya mengajar dan cuba mendisiplinkan diri untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada proses penciptaan sajak-sajak yang khusus untuk menyertai sayembara ini.

Saya pun tidak tahu semangat apa yang merasuk saya di sepenjang proses penciptaan ini. Saya fikir dan rasa, apa yang banyak membantu saya di sepanjang proses penciptaan sajak-sajak ini adalah segala pengalaman yang pernah dan telah saya tempuh serta ditambah pula dengan segala apa yang telah pernah saya baca dan hadzamkan sebelum ini, kembali menjelma dari pemikiran bawah sedar saya dan minta dijelmakan sebagai sajak demi sajak.

Selain itu, latihan dan pengalaman teater saya, saya rasa dan fikir, juga turut membantu. Sepanjang proses penciptaan ini, saya benar-benar memanfaatkan daya tumpuan serta konsentrasi saya terhadapnya. Sehingga dalam proses ini, saya berasa saya benar-benar berada di situasi, lokasi, waktu dan malah berasa sangat akrab dan kenal dengan semua watak-watak di dalam sajak-sajak saya.

Saya juga berfikir, jika sebelum ini, sejak awal mula menulis dan sehingga kini, jika saya tidak memaksakan diri untuk menjadi sangat pemilih dengan bahan bacaan dan hanya membaca buku-buku sajak yang saya pastikan benar-benar baik dan bermutu sahaja, tentu sahaja pengalaman dan khazanah bacaan saya itu tidak sangat membantu.

Kerana telah belajar dan menimba pengalaman kepuisian secara tidak langsung daripada puisi-puisi hasil karya penyair hebat Malaysia seperti Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, T Alias Taib,   dan jika dari Indonesia dengan puisi-puisi hasil karya Sapardi Djoko Damono, Goenawan Mohamad, Sutardji Calzoum Bachri, atau yang lebih muda dan kemudian inilah, saya berasa saya telah berhasil sedikit dan sebanyak menumpahkan pula pengalaman puisi milik saya sendiri dan dengan cara saya sendiri.

Saya sebenarnya berhasil menuliskan lebih banyak jumlah sajak daripada yang berjumlah 52 yang saya muatkan di dalam kumpulan MALAM HUJAN & OKSIMORON itu. Tetapi demi kepentingan peraduan dan juga dengan pertimbangan-pertimbangan tertentu, banyak sajak-sajak itu saya minggirkan dan simpan. 

Antara pertimbangan lain yang saya maksudkan itu ialah bila mana di bahagian akhir proses penciptaan saya, kalau tidak silap begitu memasuki bulan September, saya menyedari semakin memilih pendekatan berbahasa yang lebih keras dan agak prosaic. Sajak-sajak saya sekitar waktu itu saya kesani lebih mengandung amarah, sindiran dan lontaran rasa mual. Ketika menyedari ini jugalah, saya mula kembali mengendurkan perasaan dan memperlahankan proses penulisan.

Khuatir andai proses penciptaan sajak-sajak saya semakin  menjadi ngawur dan terlalu emosional, sepanjang Oktober 2014 saya cuba untuk sejenak berehat dan melupakan proses penciptaan ini. Baru memasuki November, saya kembali meneruskan proses penciptaan ini dengan memperhaluskan kesemua sajak-sajak yang telah saya pilih untuk dimuatkan di dalam kumpulan ini. Ketika proses inilah berlalu proses membuang dan menggantiakn sajak-sajak, sehingga akhirnya saya memutuskan memuatkan 52 sajak saya yang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Malam Hujan dan Oksimoron di dalam kumpulan yang saya berikan judul “Malam Hujan & Oksimoron”.

April 27, 2015

Ahad, April 26, 2015

MALAM HUJAN & OKSIMORON

HAMPIR kurang lebih 26 tahun, selepas sajak "Negeri Ini, Anak" pada tahun 1989, saya tak menyertai sebarang sayembara penulisan secara rasmi. 

Tahun 2014, entah didorong semangat apa, saya menggagahkan diri agar dapat sama menyertai Sayembara Penulisan 2 anjuran ITBM-Pena-BH. Saya menyertainya dengan kumpulan MALAM HUJAN & OKSIMORON yang memuatkan 52 sajak saya yang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Malam Hujan dan Oksimoron.

Syukur. Pengumuman pada petang 21 April, 2015 di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri Malaysia menyatakan kumpulan sajak saya itu antara yang meraih hadiah saguhati bernilai RM 2000. 

Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Kepada Tuhan. Juga ucapan terima kasih saya kerana doamu keluarga, kekasih dan tidak lupa juga,  kawan kawan saya yang baik dan terlalu berbudi.

April 26, 2015

Khamis, April 09, 2015

PENOLAKAN

SAYA datang dan lahir dari keluarga yang sangat seadanya. Malah kalau hendak dibandingkan dengan rakan sebaya ketika masih di usia kanak, saya sedar dan insaf betapa sayalah yang paling kurang berpunya di antara mereka. Di samping itu juga, selain sebagai anak yang sangat seadanya, di kampung di mana merupakan tanah asal keluarga di sebelah ibu dan nenek, saya selalu dikatakan oleh mereka sebagai anak orang luar.

Saya menyata dan menceritakan ini, tanpa niat hendak berbelas diri, menyalahkan takdir atau memburukkan sesiapa, saya rasa saya mendapat gelaran ini adalah kerana saya ini berbapakan seorang lelaki keturunan Jawa yang bapanya datang ke mari bersama keluarga di bawah satu sistem kontrak. Gelaran atau panggilan ini semakin kerap dan tebal dilekatkan ke diri saya kerana semasa kanak saya sedar dan tahu saya adalah kanak yang suka melawan. Misalnya ketika bermain sesama, walau saya lebih kecil dan masih belum lama berada di kampung, saya tidak boleh atau mudah menerima begitu sahaja sebarang pilihan, pembahagian atau ketetapan yang saya rasakan kurang adil.  

Memang ada akibat lanjutan selepasnya. Kerananya, sama ada disisihkan oleh kawan-kawan atau saya sendiri yang memilihnya, saya tidak memiliki ramai kawan semasa kanak. Malah saya berasa lebih senang dan seronok merayau sendirian di dalam semak memerhatikan burung yang hinggap di dahan-dahan atau mengutip buah kemunting  atau semata-mata merayau tanpa sebarang tujuan.

Kerana itulah, kerana sedar dan insaf betapa saya dilahirkan di dalam keluarga yang kurang mampu, sejak kecil, saya mengajar diri untuk tidak terlalu mengharap dan berharap. Kesedaran serta keinsafan ini jugalah menjadikan saya manusia yang bersedia untuk menerima apa sahaja yang ada.

Dengan sikap dan kesedaran ini, ketika semakin saya meningkat usia dan menjadi dewasa, semakin menjadikan saya manusia yang tidak mudah putus asa apa bila berdepan dengan sesuatu hadangan dan pelbagai dugaan di dalam hidup, terutamanya dalam hubungan sosial yang melibatkan orang lain.

Memanglah tidak dinafikan sebagai manusia biasa, saya tetap mengalami dan dijengahi rasa sedih, tertekan atau kecewa. Namun semua perasaan, tekanan dan rasa kecewa ini tidaklah sampai mematahkan semangat saya untuk meneruskan hidup.  

Kerana menyedari saya datang dari keluarga yang sangat seadanya dan tidak mahu mengharapkan orang tua terus menerus menyarai diri saya, selepas hanya mampu menamatkan pelajaran menengah saya hanya di tingkatan satu, saya mula bekerja mencari nafkah untuk diri sendiri sejak mula memasuki usia remaja, atau tepatnya sekitar usia saya 16 tahun. Ketika kawan sebaya setiap pagi berseragam dan berbondong-bondong menaiki bas menuju ke sekolah di bandar, saya pula bersama para gerombolan pekerja ladang menaiki traktor membelah dingin pagi.

Memang saya punya hasrat untuk terus bersekolah dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi sekali lagi, saya tidak ingin terlalu berharap dan mengajar diri untuk bersedia menerima kenyataan hidup saya pada waktu itu seperti apa adanya.  Begitu mula bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, saya sekaligus juga belajar hidup menguruskan diri sendiri, susah senang, sakit atau sihat.
Saya berasa itulah permulaannya saya mengenal erti dan memahami makna hidup bersendirian. Memasak dan mencuci pakaian sendiri sudah semestinya. Malah pernah beberapa kali, ketika tubuh diserang demam yang terok dan tak mampu berdiri, saya merangkak ke dapor untuk memasak apa yang ada demi mengisi perut yang kosong.

Hari ini, sesekali ketika sunyi dan bersendiri saya kembali merenung dan berfikir. Sudah demikian jauh saya hidup dan berjalan. Dengan apa yang saya ada, capai dan miliki, saya sentiasa ingin bersyukur. Malah  bila difikirkan kembali, dengan segala duga yang pernah saya temui ketika usia muda dahulu, dan hari ini saya masih mampu dan bertahan sebagai manusia, yang walau hanya seadanya, saya tetap ingin mengucapkan syukur serta berterima kasih kepada Tuhan yang tetap sudi memelihara diri saya.

Saya fikir, kerana sudah melatih diri sejak usia remaja untuk hidup bersendirian itu jugalah maka saya tidak pernah berasa terlalu tergugat,  sakit, pedih dan kecewa apabila berasa atau menyedari diri saya seperti sudah tidak begitu diperlukan, cuba ditolak atau disisihkan oleh kelompok, kawan-kawan atau golongan tertentu.

Mungkin muncul sekejap rasa terkilan. Namun rasa itu tidaklah sampai mematahkan semangat atau rasa percaya saya kepada diri saya sendiri.

Apa lagi bila saya kenangkan, betapa hadir dan wujudnya saya di sini bukanlah kerana mereka atau sesiapa yang bergelar atau bernama manusia.

Kerana, saya mempercayai, meyakini dan menyerahkan seluruh hidup dan mati saya, hanya kepada Allah Azzawajalla!

April 9, 2015

Isnin, April 06, 2015

SEMENTARA

SAYA berasa saya tiada apa-apa masalah dengan sesiapa. Dan kalau ada sekalipun, saya tidak ingin begitu mengacuh serta memikirkannya terlalu lama. Sebabnya, saya datang dan berada di sini bukan untuk hanya menyebokkan diri dengan masalah atau berfikir dan bersedih mengenai segala sesuatu yang diperbuat atau apa yang diperkatakan oleh orang lain terhadap diri saya. Bukan. 

Ini sebenarnya hanyalah lebih kepada soal pilihan. Pilihan yang sudah lama saya ingin laksanakan secara bersungguh-sungguh.  Tetapi kerana saya selalu berfikir dan risaukan ada pihak yang akan salah anggap, maka ianya selalu jadi tertangguh.

Tetapi kini tidak lagi. Kini saya sudah melaksanakannya  secara sungguh-sungguh. Saya tidak ingin lagi  memikirkan  soal apa nanti anggapan atau pandangan orang lain terhadap saya.

Cukuplah saya katakan bahawa saya ingin bersendiri dan menyendiri. Cukuplah. Selebihnya, biarlah menjadi urusan saya dengan diri saya sendiri.  

April 5,2015

Sabtu, April 04, 2015

SENDIRI

ALANGKAH sia-sianya hidup andai dihabiskan hanya untuk berasa iri dan menyimpan hasad tatkala melihat keberhasilan serta kejayaan orang lain.  Kerana itulah saya sentiasa mengajak diri kembali ke kamar sendirinya dan bekerja diam-diam.

Demikian juga andai saya menghabiskan seluruh waktu dan usia milik saya dengan hanya berfikir dan menjadi gelisah lantaran segala perbuatan orang.

Alangkah bebal dan bodohnya menjadi manusia yang demikian, jika hidup hanya dihabiskan untuk berkeluh kesah. Sedangkan nanti pagi akan kembali terbit matahari. Dan selepas lama kemarau pastilah akan datang juga hujan!

Malah berlebihan bodoh dan bebal lagi, andai saya sebagai manusia, menjadikan sesamanya berhala untuk disembah, semata-mata demi sesuap rezeki atau peluang, sedangkan di atas segalanya adalah Tuhan yang maha berkuasa ke atas para hamba-Nya.

April 3, 2015

Rabu, April 01, 2015

MENYENDIRI

 SAYA sedar dan memang tahu ketika sejak mula memilihnya.

Inilah jalan dan lorongnya buat kehidupan saya sebagai seorang manusia. Dan semakin lama berjalan dan meneruskan hayatnya di sini, semakin saya akuri betapa segalanya tidak selama indah dan mudah di jalan ini.

Namun inilah sudah yang menjadi pilihan kehidupan saya. Saya tahu memang, tidak semua orang dapat menerima dan mudah memahami tindak dan pilihan saya ketika sedang secara penuh mengalami proses penghayatan untuk suatu pengkaryaan.

Kerananya, saya selalu menjadi mangsa salah anggap dan ditohmah pelbagai: sombong, berlagak atau lebih sudu daripada kuah. Dan mendepani semua demikian, hanya sabar dan istigfar sahajalah yang menjadi penghalang agar tidak bertindak bodoh atau kembali memberikan tindak balas keterlaluan.

Perit dan memang menyakitkan menahan serta menyimpan semua itu di dalam perasaan. Tetapi akhirnya, saya semakin menjadi sedar dan tahu. Kenapa saya mesti menjadi sedih dan meminta segala pengertian daripada  orang lain, sedangkan sejak mula memang ini pilih dan jalan hidup saya?

Akhirnya inilah pilihan saya. Daripada saya sentiasa dituduh menyakitkan hati dan perasaan orang lain, kerana kata-kata atau tulisan saya, yang pada awalnya saya niatkan hanya untuk menyatakan apa yang saya fikir dan rasai secara berterus terang, tanpa niat untuk menunjukkan saya lebih baik dan hebat berbanding orang lain, kini biarlah saya memilih untuk menjadi penyendiri secara penuh.

Hari ini dan kini, anggap atau prasangkailah apa saja. Saya begitu atau saya begini, silakanlah. Hari ini dan kini, saya sudah terlalu bosan dan letih untuk menjawab dan kembali memperjelaskan segala tohmah dan salah anggap. Hari ini dan kini, saya memilih untuk bersikap tidak peduli.

Kerana, hari ini dan kini, saya hanya ingin mengisi usia saya yang tidak banyak berbaki lagi ini, dengan sesuatu yang lebih bermakna serta bererti untuk diri saya sendiri.

Kerana, saya sedar dan tahu, betapa selama ini saya sudah terlalu banyak membuang waktu menjadi gelisah, gundah dan marah semata-mata memikirkan segala tohmah, hina dan gunjing yang dilontarkan orang.

Selamat tinggal segala keriuhan dan kepongahanmu, dunia sementara!

April 1, 2015

@MARSLI NO kini adalah penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com