Jumaat, September 18, 2015

1988 DAN 1992: BEBERAPA SAJAK


SUNGAIKU
telah kutahu
aku tak mungkin
melenggang-lenggang
                           kerana di rusukku kini
                           terasa dingin
                           ujung belati itu!

Marsli N.O
1988


NINABOBOK
di musim-musim kemarau
menanti panen begini
lelaki tua bersama serulingnya itu
sering berlegar-legar
di angkasa daerah kami
meniup serulingnya di sepanjang siang
dan bernyanyi di sepanjang malam
tetapi kami telah memilih
untuk tidak mengacuhkannya
kerana tanpa tiupan serulingnya
kemarau tetap juga akan menjengah
ke daerah kami
dan kami juga telah lama belajar
untuk tidak mempercayai mimpi-mimpi
manis
di dalam tidur kami
kerana nyanyiannya:
                                si ninabobok itu.

Marsli N.O
1992

Khamis, September 03, 2015

MENGENAI HARAPAN: MEMBACA KEMBALI TULISAN LALU

KALAU dengan manusia yang aku harap dan cuba bergantung sepenuhnya selama ini, aku rasa sudah lama aku mampos. Kata saya kepada teman saya malam itu.
Memang dalam banyak waktu, lantaran terlalu lama memendam kata-kata, kegeraman dan jengkel di dalam perasaan saya akan bercakap seolah-olah tanpa berfikir terlebih dahulu. Namun soal sama ada saya ini berfikir atau tidak, rasanya, bukanlah dapat diduga atau ditentukan oleh orang lain. Hakikatnya, otak dan perasaan saya, saya sendirilah yang tahu apa dan bagaimana sebenarnya.
Walau di permukaannya saya bercakap seperti tidak bermula dengan fikiran yang jernih, saya selalunya  bercakap berdasarkan pengalaman apa yang telah dan sudah saya lalui selama bertahun-tahun di dalam hidup.

Pengalaman itu bagi saya amat berharga dan bermakna. Malah kerana  saya tahu antara saya dengan orang yang lain pengalaman itu tidak serupa dan berbeza, saya juga tidak ingin sama sekali menyamakan apa-apa yang sudah saya lalui itu dengan pengalaman orang yang lain, yang tentunya juga akan mendatangkan kesimpulan yang tidak akan sama atau serupa dengan saya.
Misalkan menempuh pengalaman hidup di masa kanak sebagai seorang anak miskin dan tidak berharta yang lengkap punya ayah dan ibu, tentulah berbeza pengalaman pedih masa kanaknya berbanding dengan saya, yang sudah ketiadaan bapa di usia tujuh tahun dan pada waktu sama mendepani konflik perebutan harta pusaka yang secuil ditinggalkan arwah ayah di antara sang kakak (emak saudara saya) dengan emak yang terkial-kial mahu membesarkan saya dan adik secara sendirian.
Di bidang kehidupan yang lain pun saya fikir demikian juga keadaannya. Misalnya, memasuki dunia sastera di Malaysia sebagai seorang yang pernah menjadi anak angkat program didikan sebuah institusi atau kerana mempunyai seorang bapa bertaraf profesor tentulah berbeza keadaannya dengan seorang yang hanya beribukan seorang penjual pisang goreng.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, untuk berjaya saya tidak boleh terlalu berharap dan bergantung dengan atau kepada orang lain. Susah atau senang saya kena usahakan sendiri. Sebabnya, saya bukan anak orang terkenal, malah saya juga pun bukan orang yang perlu untuk dikenal oleh sesiapa kerana ada kedudukan atau kepentingan yang boleh memberikan keuntungan lain dan semula kepada orang lain.
Kerana itu jugalah saya tidak pernah berani untuk menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk segala sesuatu. Apa yang saya percayai hanyalah apa yang sudah terbukti di depan mata dan bukan apa yang diidam-idam dan belum pun lagi menjadi kenyataan.
Yang ada kepada saya hanyalah tekad. Bila saya berasa dan menginginkan sesuatu, dengan tekadlah saya berusaha mendapatkannya. Tentulah tekad itu dikukuhkan dengan kepercayaan serta keyakinan betapa segala sesuatu di dunia ini, bukanlah sesama manusia yang menjadi penentu atau pemberinya.
Kerana kepercayaan kepada ketentuan Allah S.W.T itulah maka saya tidak pernah berasa takut kepada sesama manusia, apa lagi sampai ke tahap untuk mengemiskan simpati daripada atau kepada mereka.
Dengan kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap ketentuan serta kekuasaan Allah S.W.T inilah saya hidup dan membina keyakinan diri. Saya menjadi tidak terlalu bersedih sekiranya gagal atau tidak mendapat sesuatu. Apa lagi untuk berasa terlalu kecewa bila seperti tidak disukai orang tertentu, seperti disisih atau diminggirkan di tempat sendiri, atau seperti dinafikan bakat serta kebolehannya, misalnya, kerana saya sedar dan yakin apalah sangat segala perbuatan manusia berbanding dengan segala ketetapan Allah S.W.T!
Saya fikir dan yakin, sifat dan perangai tidak terlalu ingin bergantung serta terlalu berharap kepada sesama manusia itulah yang telah menyelamat saya dan mampu mendorong saya berada sehingga sejauh ini.
Kerana itulah, kepada Allah S.W.T saya sangat berterima kasih kerana walau saya bukanlah hambaNya yang patuh namun tetap tidak mengurangkan belas serta ihsanNya terhadap diri yang kerdil ini.
September 3, 2013