Ahad, Oktober 25, 2015

KENAPA MARSLI N.O


TAHUN 190-an, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak menganjurkan satu seminar mengenai sasterawan Pahang di Kuantan. Kerana ada urusan penting di luar kota, saya tidak menghadiri seminar ini. 

Sebulan selepas itu, di Kuala Lumpur, salah seorang pembentang kertas di seminar itu, Abd Ghafar Ibrahim (AGI) memberitahu saya. Kata AGI, ketika beliau usai bercakap mengenai Marsli N.O, seorang peserta seminar bertubuh kecil dan kursus bangun bertanya. Kata AGI, peserta tersebut bertanya apa penting dan perlunya Marsli N.O diikutserta dan diperkatakan di seminar yang khusus membicarakan sumbangan dan peranan sasterawan di negeri Pahang itu. 

Dengan hati sedikit bergetar, saya tersenyum mendengar perkhabaran itu. Saya terkenangkan dalam diam, ketika itu, betapa saya sudah hidup dan membesar di negeri Pahang sejak saya berusia 13 tahun dan malah hampir melupakan tanah asal kelahiran saya, iaitu Terengganu. Namun semua itu tidak pun saya sebutkan kepada penyair AGI.

Dan hari ini, sesudah kurang lebih 15 tahun selepas seminar itu, saya masih menulis, berkarya dan beberapa buku saya telah diterbitkan. Tetapi peserta bertubuh kecil dan kursus itu, yang dahulunya juga dengan bangganya saya lihat di satu seminar di Port Dickson isytiharkan dirinya sebagai seorang jurulatih budaya di kem PLKN, di mana kini? Sehingga kini, saya belum melihat dan bertemu dengan apa-apa buku karyanya yang telah diterbitkan.

Saya tahu dan sedar. Menjadi sasterawan yang ingin mandiri dan selalu menolak untuk bersekongkol dengan banyak hal yang senewen memang akan selalu dianggap sombong dan tak wajar diajak berkawan oleh mereka yang berasa berkepentingan. Apa lagi jika soal negeri kelahiran turut dijadikan momokan. 

Sejak dulu hingga kini, saya tahu bagaimana sikap dan pandangan mereka di negeri ini terhadap saya. Saya tidak pernah ingin bersedih kerananya. Sejak dulu, saya memilih dunia ini di sini (sastera) kerana memang saya yang memilihnya dan bukan kerana mereka atau sesiapa. Biarkanlah mereka. Apakah mahu berpakat dan berkomplot sesama sendiri, misalnya, untuk membahagi dan mengagih anugerah sesama mereka, suka hati merekalah. Malah, saya juga tidak begitu ingin menafikan jika anda ada yang mengatakan saya sendiri sebenarnya yang bersikap agak sombong dan menolak untuk berkawan dengan mereka! 

Saya sebenarnya tidak ingin terlalu mengambil peduli hal dan perbuatan mereka. Kerana akhirnya, semua orang akan tahu dan dapat menilai. Siapa sebenarnya si keparat dan pukimak di dalam sastera!

Dan hidup mati saya di dunia ini, bukan mereka atau sesiapa yang menentukan.

Oktober 24, 2015

SEMINAR "MARSLI N.O DAN DUNIANYA


SAYA ke UPSI  29 Oktober 2015 ini.   Menghadiri Seminar “Marsli N.O dan Dunianya” anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan Kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Dewan Seri Tanjung, Kampus UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Seminar ini diusaha dan diselia oleh Prof Madya Dr Talib Samat yang bisa dikontak di 012 226 9740 atau dr.talibsamat@yahoo.com.

Seingat saya, sepanjang hampir 40 tahun menulis dan berkarya, inilah kali pertama seluruh karya saya yang pernah dan telah diterbitkan akan diperkata serta dibicarakan.

Terus terang, saya tidak mengharapkan agar dipuji dan disanjung-sanjung di seminar ini nanti. Bagi saya, cukuplah jika karya saya itu dibaca dan dimaknakan, menurut cara dan pendekatan sendiri masing-masing penilai dan pembicara atau siapa yang membacanya.

Sesudah hampir 40 tahun menulis dan berusia hampir 60 tahun, saya fikir waktu untuk mengharapkan pujian serta sanjungan sedemikian itu sudah tidak sesuai dan tidak saya perlukan lagi. Sebagai penulis dan pengkarya juga, saya tidak ingin tersinggung dan bersedih andai kerana seminar ini ada pihak yang ingin dan mahu mempertikaikan, sudah pencapaian apa yang saya raih sehingga memungkinkan satu seminar mengenai saya dianjurkan.

Jauh di sudut sanubari, saya hanya mengharapkan biarlah karya-karya saya itu sedikit dan sebanyak memberikan sesuatu kepada siapa yang membacanya. 

Cukuplah hanya itu dan saya tidak ingin mengharapkan sesuatu yang bukan pun sepatutnya saya harap dan pinta!

Oktober 24, 2015