Sabtu, Februari 03, 2018

CUPLIKAN DARI MASA SUDAH: SAYA HANYA INGIN TERUS MENULIS

Coretan Oleh MARSLI N.O

SEINGAT saya, sudah terlalu lama rasanya saya tidak berfikir atau terfikir mengenai perbuatan tidak adil terhadap mana-mana individu sasterawan yang kerananya telah menyebabkan dirinya tidak mendapat sesuatu yang sepatutnya dia dapat: pengakuan, peluang dan ruang. Yang kerananya juga, dia seperti dilupakan dan tidak dipedulikan. Khususnya oleh pihak pusat atau sesuatu institusi yang sepatutnya memperhatikan kehadiran dirinya sebagai seorang sasterawan.

Soalnya bukan kerana saya berasa keadilan itu tidak perlu dalam dunia sastera. Malah bagi saya sebagai individu, keadilan itu bagi saya sangat perlu. Tetapi kerana saya memasuki dunia ini dengan sikap untuk lebih mempercayai diri sendiri dan tidak ingin terlalu bergantung kepada orang lain, maka saya sejak mula memasuki dunia ini telah menanamkan tekad untuk tidak terlalu berharap dan kerana itu juga, andai diri saya memang telah diperlakukan tidak adil oleh mana-mana pihak, saya tidak akan atau ingin bersedih kerananya.

Demikian jugalah hari ini ketika saya membaca perbincangan beberapa orang kawan yang turut terpapar di tembok muka buku saya. Saya tahu dan malah dapat merasakan kegelisahan mereka ketika bercerita mengenai ketidakadilan itu, yang menurut mereka betapa sasterawan di luar lingkungan Kuala Lumpur sering tidak diperaku serta seperti tidak dipedulikan kehadirannya: karya mereka tidak dibicarakan dan penganugerahan selalu menyisih daripada mereka.

Saya sedar dan tahu kebenaran dakwaan mereka itu mungkin ada dan berlaku.  Namun saya tidak ingin lebih lanjut berfikir mengenainya. Apa yang mereka rungutkan itu adalah hak mereka  dan saya tidak ingin sama terlibat.

Buat saya, kerana sudah sejak mula memilih untuk bersendiri dan mempertahankan semangat untuk  sentiasa mandiri, saya tidak mahu memberatkan kepala dan mengusutkan jiwa berfikir mengenainya.

Andai pun benar ada dan berlaku, saya akan tetap begini juga. Menulis dan terus menulis. Diperlakukan adil atau tidak, saya juga sudah sejak mula bersedia untuk datang dan pergi sendirian, tanpa mengharapkan apa-apa pujian atau pengakuan daripada sesiapa pun.

Buat saya, tenaga dan ilham yang diberikan Allah SWT kepada saya, agar dapat terus menerus menulis itu sudah lebih memadai daripada segala pengakuan, penobatan atau pujian apa pun.

Dan andai kerana pilihan ini saya dianggap sombong dan berlagak, tidak mengapalah.

Andai pun benar, saya memang ditolak dari lingkungan mereka di pusat itu, itu pun saya tidak berasa hairan atau perlu bersedih hati dan diri. Kerana, di negeri dan daerah saya sendiri pun, kalau pun tidak ditolak dan disisihkan, saya pun memang memilih untuk terus bersendiri dan menyendiri.

Jadi saya memang tidak pernah berasa terkilan, sedih dan terkejut, andai benar saya memang mereka tolak dan sisihkan!

Januari 17, 2015