Jumaat, November 30, 2018
ACARA
Belasan tahun yang lalu, saya berbual dengan seseorang yang terlibat dengan
dunia perbukuan di meja jamuan selepas
satu acara.
Antara lain,
ketika kami menyentuh mengenai satu persatuan pelukis yang sedang berura-ura
mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatan kuasa barunya, penerbit ini
menyatakan hasratnya untuk masuk bertanding jawatan presiden dalam persatuan
pelukis tersebut.
"Awak bukan
pelukis bagaimana boleh jadi ahli persatuan pelukis?" tanpa berselindung
saya spontan bertanya kepada dia.
Pertanyaan saya
di jawab oleh penerbit ini dengan jegilan bola matanya dan saya perasan dia
mungkin atau memang tersinggung kerana tanya saya itu.
Saya langsung
menguncikan mulut selepas itu dan sejak hari itu juga, jika kebetulan
terserempak dengan dia, dia langsung tidak menyapa saya atau tidak sudi lagi
membalas sapaan salam saya kepadanya.
Saya sedar saya
mungkin agak melampau kerana kembali bertanya begitu.
Namun bagi saya,
pertanyaan saya itu suatu yang normal dan bukan menjadi suatu kesalahan yang
besar pun. Bagi sayalah.
Hujah saya mudah
saja. Seorang yang bukan pelukis, tetapi mahu masuk bertanding sebagai presiden
sebuah persatuan pelukis, bagi saya samalah halnya dengan penjual sayur yang
mahu bertanding jawatan presiden persatuan menjual daging.
Saya membuat
perbandingan begini tidak lain dan tidak bukan kerana melihat apa yang berlaku
dan menjadi amalan di bidang sastera dan teater ketika itu.
Ketika itu,
belasan tahun yang lalu, seorang yang selalu bercakap mengenai sastera, memberikan
khutbah, petua, teori dan ajaran mengenai sastera serta segala selok belok
mengenai sastera dan penulisan, bukanlah orang sembarangan.
Mereka ini,
merupakan tokoh sastera dan penulis hebat serta terpandang di bidang sastera,
akademik atau sebagai novelis, cerpenis dan penyair.
Ketika ini, Usman
Awang, Kris Mas, A Samad Said, Arena Wati, Shahnon Ahmad, S Othman Kelantan,
Hashim Awang, Ramli Isin, Rahman Shaari, T Alias Taib, Kemala, Dharmawijaya,
Shafie Abu Bakar, Siti Zainon Ismail, Arbak Othman, A Rahim Abdullah, Anwar Ridhwan,
Fatimah Busu, Zaini Oje dan Othman Puteh adalah nama dan tokoh yang sentiasa
dihormati kerana pandangan bernas serta sikap prihatin menceramahi, membantu
dan membimbing penulis di seluruh cerok dan pelosok tanah air.
Jika mengenai
teater dan penulisan skrip pula, nama-nama yang selalu dirujuk dan tampil
bercakap mengenainya adalah Syed Alwi, Zakaria Ariffin, Mana Sikana, Matari
Raman, Samad Salleh dan Dinsman.
Namun lama
kelamaan, faktor waktu, usia dan takdir menyebabkan sebagian nama ini telah berpulang
ke negeri abadi, sementara beberapa yang masih hidup seperti kian dilupa atau
disisihkan.
Dari kalangan
yang lebih berusia muda telah muncul pula sejumlah nama yang dianggap layak dan
mampu meneruskan amanah yang sebelum ini dilaksanakan oleh tokoh-tokoh sastera,
teater dan penulisan hebat tersebut. Nama-nama yang wajar disebut adalah S.M
Zakir, Jasni Matlani, Mawar Shafie atau
Faisal Tehrani atau yang lebih berusia muda seperti Fahd Radzy, Wan Nor Azriq dan Roslan Jomel di bidang sastera, Namron, Halimi MN dan Rosminah Tahir di
bidang teater.
Memasuki ke era
abad 21, atau lebih jelasnya sekitar tahun 2010 ke atas, dunia sastera dan
penulisan tanah air semakin rancak dan dimeriahi dengan ramai kehadiran bakat
teater dan tunas sastera serta penulisan.
Di era inilah
semakin ramai manusia pandai sastera yang menunjukkan keahlian serta kemahiran
masing-masing. Malah kadang terasa situasinya lebih cenderung ke aspek
pertunjukan dan bukan dalaman karyanya.
Ketika ini
jugalah saya semakin sedikit demi sedikit memilih untuk berada di luar hiruk
pikuk dan memilih untuk hanya berkarya diam-diam.
Memang secara
peribadi dengan sengaja sejak beberapa tahun belakangan ini saya memilih untuk
tidak hadir ke banyak perhimpunan, majlis, seminar dan acara teater, sastera
atau yang dikatakan sebagai sastera.
Dengan
perhitungan atau kesimpulan tertentu, saya punya sebab dan alasan tersendiri
kenapa memilih demikian, yang tidak terlalu ingin saya sebutkan secara terbuka
pada mulanya.
Tetapi kian lama
ternyata apa yang menjadi sebab dan alasan saya itu dahulu kian terbukti benar
dan tidak bersalahan kini. Dengan beberapa contoh dari beberapa acara, walau
tidak sebagai kesimpulan, namun itulah yang ternyata berlaku.
Misalkan
belakangan ini sering amat, tanpa rasa silu dan segan, mereka yang bukan ahli
dan bidangnya bercakap di pentas seminar dan mengkhutbahi khalayak.
Misalnya
bercakap dan menasihati orang lain mengenai puisi mengalahkan professor atau
penyair tersohor, sedangkan yang bercakap ini buku puisinya masih tidak
seberapa dan sekadar apa adanya sahaja.
Atau misalnya
yang lain, tanpa segan dan silu juga, mereka tampil ke pentas menasihati orang
lain agar menulis begini dan begitu, sedang usia dan pengalaman menulisnya
sendiri bak berburu di padang datar.
Tentu sahajalah
banyak hujah dan alasan boleh direkacipta untuk membela dan kembali menghujat.
Namun kegalauan
dan kekeliruan di dunia sastera masakini antara puncanya, bermula bila mereka
yang bukan benar-benar ahli dan tahu mengenai bidangnya tanpa segan dan silu
bercakap menuturkan khutbah dan petua hikmahnya.
Kebodohan ini
kemudiannya dilanjutkan pula oleh oknum dan aparat penganjur yang berterusan
memberikan mereka ruang dan peluang yang berlebihan.
Lalu kian
berlanjutanlah kebodohan dan kekeliruan sedemikian.
Dan mangsanya
tentulah mereka yang sedang atau masih teraba-raba mencari tempat berpijak dan
pegangan!
November 23,
2018
@ MARSLI N.O kini adalah penulis sepenuh masa dan memilih untuk percaya sepenuhnya kepada dirnya sendiri. Beliau sering mengembara sendirian dengan motorsikal 250 atau 175ccnya. Dengan motto: aku kembara, menulis di jalan dan tidor di jalan.
Khamis, November 15, 2018
SIALAN
PERNAH beberapa tahun dahulu, kerana berasa bosan dan mual dengan segala hipokrasi dan sikap munafik dalam sastera, aku terfikir untuk berhenti menulis dan tidak mahu terlibat atau bersastera lagi.
Tetapi itulah sialannya.
Bila aku sedikit lama berfikir dan menggunakan akal yang lebih cerdik, aku sedar betapa bodohnya jika memilih tindakan yang demikian.
Sebabnya, aku masuk ke dunia tulis menulis dan sastera ini bukan kerana ajakan, suruhan atau paksaan sesiapa, tetapi aku sendiri yang memilihnya.
Di sini, aku hanya ingin menulis dan berkarya menurut apa yang sudah aku pilih dan yakini.
Tanpa perlu rusuhkan apakah akan disukai orang atau tidak, apakah akan diterima orang atau tidak dan apakah akan ada pihak yang bersedia menerbitkannya atau tidak.
Ketika kali pertama memilih untuk menjejak kan kakiku ke dunia menulis dan sastera ini, aku sudah mempersiapkan diri dan jiwaku untuk bergerak dan berjalan sendiri, jatuh dan bangkit sendiri.
Lantaran itu, segala apa yang berlaku dan terjadi di luar diriku kini, tiada sebab untuk menjadikan aku berasa tewas, kecewa dan merajuk.
Sialan. Memang itulah sialannya.
November 15, 2018
-- Marsli NO
Langgan:
Catatan (Atom)