Sabtu, Januari 30, 2021

ORANG-ORANG LAPAR


BELAKANGAN ini, soal kelesuan kritikan sastera  kembali diperkatakan. Tidak sahaja oleh mereka yang berminat dengan isu ini, tetapi juga oleh mereka yang memang sudah pun bergelar pengkritik dan sarjana.

 

Saya memang ingin bercakap lanjut beberapa hal yang dirasakan penting mengenainya.

 

Tetapi bila fikirkan ini bagaikan mengulang semula apa yang pernah dibincangkan mereka yang lebih arif pada tahun-tahun sebelum ini dan menyedari kritikan bukanlah bidang penguasaan, saya tidak jadi meneruskan niat ini dan memilih untuk  hanya bercakap beberapa hal ringkas dan kurang penting mengenainya sahaja. 

 

Benarkah kritik mampu menjulang dan mematangkan karya seorang penulis?

 

Saya peribadi meyakini bahawa seorang penulis yang tahu dan sedar peranannya sendiri sebagai penulis, tanpa adanya kritik dan perhatian pihak lain, akan tetap juga menulis dan terus menulis.

 

Hanya penulis dalam golongan orang-orang lapar sahaja yang berasakan, tanpa kritik dan pujian, semangat berkarya mereka akan menjadi kendur dan sekaligus juga amat percaya bahawa hanya dengan kritik sahajalah kemajuan dan ketinggian mutu sastera dapat dipacu.

 

Saya bukan anti kritik atau memandang kritikan terhadap karya sebagai musuh.

 

Tetapi untuk dan perlu apa sebuah kritik, jika pengkritik sekedar mempamerkan ego dan kebodohan dirinya sendiri di dalam tulisan kritikannya jika hanya ghairah mempertanyakan keperibadian penulis dan segala sesuatu yang tiada di dalam karya?

 

Misalnya mengungkapkan di dalam kritiknya, "Kerana menulis dalam semua genre, kita sulit mengkategorikan apakah si A seorang cerpenis atau penyair." Atau dalam tulisan kritikannya yang lain disebutkan, "Si A terkenal sebagai penyair yang amat teliti memilih kata-kata untuk puisinya. Tetapi entah kenapa, dalam puisinya yang ini, si A kelihatan sembrono amat." 

 

Lebih memualkan bila pengkritik berasakan dirinya lebih cerdik dan ingin mengajar penulis bagaimana cara sebaiknya menuliskan karya, tetapi bahan dan sumber karya penulis yang dirujuk sebagai bahan kritikannya bukan karya dan bahan yang bersifat terkini.

 

Selepas era pengkritik Keris Mas, Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, Baha Zain, Muhammad Haji Salleh, Umar Junus, Shahlan Mohd Saman, Othman Puteh, Mana Sikana, Anwar Ridhwan, Arbak Othman (beberapa nama sebagai contoh) pada kurun waktu 70an, 80, 90an dan awal 2000, dengan hasil kerja kritikan Dr Rahimah A Hamid, Dr Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan sesekali Zaen Kasturi, saya peribadi tidak lagi menemukan tulisan kritikan yang benar-benar berwibawa, yang dapat dijadikan cermin oleh pengkarya dan sekaligus mempamerkan kebijaksanaan serta kematangan fikiran si pengkritik.

 

Kemunculan sejumlah nama pengkritik pada kurun tahun 2000 ke atas ini, juga  tidak banyak menghasilkan karya kritik yang berwibawa.  Kehadirannya tetap ada, namun sifatnya lebih kepada pengulangan dan ada kalanya seperti bertolak semula ke belakang. 

 

Seperti juga manusia lain, saya kira pengkritik karya sastera juga tergolong orang-orang lapar atau kalangan manusia yang laparkan pujian dan sanjungan.

 

Kerana ini jugalah mereka marah dan mudah tersinggung jika karya dan hasil kritikannya kembali dipersoalkan pengkarya.

 

Seolah-olah merasakan dirinya dewa dan orang mulia suci yang tidak boleh disentuh!

 

-- Marsli N.O

23.1.2021

 

Jumaat, Januari 22, 2021

KEPADA ANJING

KALAU dengan cara menghina mencerca diri dan karya orang lain yang tidak sehaluan denganmu atau yang kau benci, maka kau semakin menjadi kaya, disanjung orang, masyhur, dianugerahi gelaran sastera peringkat dunia atau yang sekasta dengannya, bagus dan berbaloilah.

Tetapi aku lihat keadaan kau tidaklah sedemikian. Keadaan diri, kehidupan dan karya kau tetaplah begitu-begitu juga. Tiada apa kehebatan dan kelebihan berbanding dengan mereka yang kau hina dan cerca itu.

Malah apa sangat hendak dilagakkan jika hidup setakat jadi penagih madat, dinafkahi oleh isteri, atau kalau jadi pemikir pun (kononlah) setakat melaungkan ideologi para tuan yang memberi kau upah. 

Kerana itulah bila setiap kali kau menghina diri dan karya orang lain atau diri dan karyaku, aku anggap semua itu hanyalah salakan anjing sahaja.

19.1.2021