TAHUN 1970 kami berpisah. Saya
membawa haluan sendiri untuk meneruskan hidup selepas itu. Tanpa pendidikan
formal yang tinggi, berjuang terus menerus untuk setidaknya agar tidak
menjadi lipas atau sekeping kertas kosong yang kumal.
Syukur. Walau tidak terlalu tinggi.
Saya mampu meneruskan hidup agar tidak menjadi pengemis dan mampu memberikan
pendidikan ke universiti untuk semua anak.Awal tahun 2018, melalui media
sosial seorang kawan telah berusaha mempertemukan semula kami di alam maya. Kembali bertemu kawan masa sekolah.
Tentunya dengan pelbagai ragam dan karenah.
Awal tahun 2019 ini, salah seorang
mengajak bertemu. Tentunya saya menyambut dengan gembira.
Tetapi sesudah pertemuan itu, saya
berasa agak terkilan dan sesal.
Sesudah puluhan tahun tentulah
terlalu banyak perubahan terjadi dan merubah manusia. Pengaruh persekitaran,
kawan-kawan sekeliling dan pekerjaan, tentulah mempengaruhi sikap hidup dan
cara berfikir seorang manusia.
Hanya yang sedikit saya sesal,
sesudah puluhan tahun berpisah dan kemudian kembali bertemu, kawan saya yang
satu ini terlalu taksub dengan sikap politik dan pandangan hidup peribadinya. Sehingga sanggup dia berkata,
"Rasuah tidak mungkin dapat dihapuskan."
Seolah-olah untuk yang satu ini, dia
lupa atau sengaja lupa betapa Tuhan telah memberikan dia akal untuk menilai
buruk dan baik sesuatu tindakan. Juga untuk membuat pilihan, menerima dan
menolak.
Tetapi malam pertemuan itu, kerana
tidak mahu merosakkannya dengan diskusi bernuansakan politik, saya merubah
perbualan ke topik yang lebih santai, walau tidak berisi.
Mungkin kawan itu tersinggung kerana
saya pinta dia tidak meneruskan syarahannya mengenai rasuah di malam pertemuan
semula kami itu.
Tetapi saya hanya ingin berterus-terang.
Cuma itu.
10 Januari, 2019