Rabu, Februari 06, 2008

MENULIS CERPEN MENGURAS SEMANGAT JIWA

TANPA kekuatan dan keberanian untuk menantang segala duga hidup dan dalaman jiwa, mana mungkin sebuah cerpen mampu dizahirkan sebagai bentuknya.

Melawan kemalasan di dalam diri yang selalu menggoda agar bertangguh dengan alasan seronok dan kesantaian, atau ketidakberdayaan untuk bangkit melawan segala rasa takut dan getir ketika bersunyi-sunyian menghadapi alam pengkaryaan, merupakan sebahagian duga permulaan sebagai penulis cerpen.

Belum lagi mendepani kritik dan gugah yang selalu mencabar yakin penulis yang belum punya kekuatan di dalam jiwa dan diri.

Walhal, yang mahu ditulis bukankah apa yang bergolak di dalam jiwa sendiri?

Jadi kenapa takut untuk berkata benar dan tampil sebagai diri sendiri?

Bukankah? Mengharap belas puji dan puja orang lain terhadap karaya yang dilahirkan dari keringat dan gelisah jiwa sendiri, sesungguhnya sesuatu yang sia-sia.

Hanya kekuatan dalaman diri yang mampu menhadapi segala duga.

Kerana itu kukatakan betapa menulis cerpen itu adalah menguras semangat jiwa sendiri.

Februari 6, 2008

Selasa, Disember 18, 2007

SURAT KEPADA HELMY (1)

SAUDARA HELMY.
Apa saja yang kita korbankan, menurut hematku, memang sudah menjadi pengorbanan yang tidak akan kita harap atau pinta apa-apa ganjaran.

Kenapa kukatakan demikian? Menurut hematku, jika kita mengharap kembali ganjar atau sesuatu yang lain kerana pengorbanan kita itu, jelaslah kita tidak ikhlas dalam berbuat sesuatu yang namanya pengorbanan. Maksudku, pengorbanan dalam batas-batas yang tidak sampai melibatkan maruah dan kesopanan.

Sudahlah namanya pengorbanan. Maka kita korbankanlah apa yang patut dan kita rasakan perlu kita korbankan. Wang, tenaga, kata-kata, pendapat atau waktu.

Kita lakukan kerana kita meyakini kita perlu berbuat demikian. Tentu juga dengan bersedia untuk menerima risiko-risiko yang lain.

Kerana itulah, Helmy. Aku tidak berasa ada yang sia-sia dari setiap pengorbanan yang telah kita lakukan.

Atau, bagaimana sebenarnya pandangan saudara mengenai soal ini?

18 Disember, 2007