Jumaat, Julai 19, 2013
KHAZANAH NEGARA
TERFIKIR saya.
Kita punya beberapa sasterawan hebat yang diberikan gelar negara atau Sasterawan Negara (SN) yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Saya menghitung-hitung: Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Datuk Dr. Usman Awang, Muhamad Abdul Biang (Arena Wati) dan S Othman Kelantan.
Tetapi saban tahun, sempena tanggal lahir atau pemergiaannya, apakah yang diperbuat oleh kita untuk mengenang segala jasa dan khazanah peninggalannya yang tidak ternilai harga dan mutunya itu?
Saya tidak fikir kita tega untuk menjadi bangsa yang terlalu bodoh dan pandir untuk membiarkan berlalu bagaikan angin segala yang kita miliki ini.
Kita tentu tidak ingin dicemoh sebagai bangsa yang tidak pernah tahu dan mahu menghargai segala warisan miliknya dengan cara sentiasa berusaha memelihara dan menjaga khazanah warisan bangsanya daripada segala gejala dan usaha pencemaran pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang boleh sampai menjatuhkan martabat serta kemurnian peribadi pemilik serta bangsa yang mewarisinya.
Berlebihan lagi, kita tentulah tidak mahu dan rela untuk dituduh sebagai bangsa, yang kerana tidak pernah mahu dan dan pandai menjaga serta memelihara segala khazanah warisan yang dimiliknya itu, akan ditohmah sebagai bangsa yang tidak punya apa-apa kehebatan dan lebih malang lagi, tidak memiliki para manusia pemikir di kalangannya.
Atau lebih terang lagi bersuluh, kita dituduh sebagai bangsa yang bodoh!
Julai 19, 2013
Khamis, Julai 18, 2013
KUMAAFKAN KAU
(Fragmen)
KUMAAFKAN kau
dengan diamku
kerana tak ingin lagi kusimpan
sembilu itu di dalam kalbu
.............
Ramadhan 9, 1434
Isnin, Julai 15, 2013
SAYA TIDAK INGIN MENJADI BERHALA
SEMALAM saya ke sebuah hotel
kerana menemani seorang sahabat berbuka puasa di sana. Di sana, kenangan saya
kembali terhimbau mengenai satu peristiwa.
Kurang lebih 10 tahun lalu, kerana
suatu acara, saya pernah datang dan bersarapan di hotel ini. Ketika itu saya bersama
penyair Abdul Hadi Yusof yang datang dari
Kelantan. Saya menemaninya sebagai tanda
keakraban dan meraikan sahabat penyair yang datang dari jauh.
Selepas mengambil makanan dan minuman,
ketika mencari meja yang kosong, saya
mengajak penyair Abdul Hadi Yusof duduk di sebuah meja yang sudah pun diduduki
oleh seseorang yang dikenal dan dianggap di sini oleh banyak individu, pihak
dan kalangan sebagai tokoh sebuah persatuan.
Saya mengajak Abdul Hadi Yusof duduk di meja itu, walau
secara peribadi, saya tahu saya tidak
begitu disenangi serta disukai oleh “tokoh” itu, tetapi semata-mata kerana mahu
menunjukkan betapa rasa hormat saya terhadapnya, khususnya kerana dia lebih
berusia dan tua ketimbang diri saya, tidak pernah luntur atau berubah. Buat
saya, perdebatan, pertengkaran dan pertelingkahan mengenai keyakinan serta
pilihan dalam berorganisasi tidak akan saya jadikan sebab untuk tidak
menghormati seorang lain yang lebih tua dan berusia ketimbang diri saya.
Walau saya tahu dan sedar. Sikap dan perbuatan saya
yang hidung tidak mancung serta pipi tersorong-sorong itu sebenarnya bakal mengundang padah. Saya katakan
begitu kerana sepanjang mengenal dan memperhatikan tingkah “tokoh” itu, saya
tahu dan pernah melihat dengan mata dan kepala saya sendiri bagaimana “tokoh”
itu melayan dan menghamburkan kata-kata kepada sesiapa yang tidak dia suka atau
dia tidak berkenan.
Namun pagi itu, saya cuba
melupakan itu sambil berharap dan berlogik sendiri, betapa sebagai seorang yang
dikenal oleh banyak individu, pihak dan kalangan, apa lagi di suatu acara yang melibatkan beberapa negeri serta di
hadapan seorang tamu pula, mana mungkin “tokoh” itu akan bercakap seenak
mulutnya.
Terus terang, saya tidak mahu
terus menerus membuat andaian atau prasangka peribadi. Fikir saya, sebagai
seorang tua dan bergelar tokoh di dalam sebuah persatuan, tidak akan mungkin
dia bertindak demikian.
Atau kalau misalnya nanti dia
memang meneruskan juga perbuatan dia, saya jauh di sudut hati sudah memutuskan
untuk tidak melawan atau memberikan
sebarang reaksi. Andai itu yang nanti terjadi, saya sedia menerima dengan rela
dan memilih untuk membisukan diri sahaja.
Kesudahannya memang demikianlah
yang terjadi. Seperti saya duga sejak mula, di hadapan penyair Abdul Hadi Yusof
dengan muka selamba dan tanpa menunjukkan sedikit pun riak malu dan segan,
dengan kata yang kononnya manis dan bersopan “tokoh” itu menyindir dan memperli
saya sekehendak hatinya.
Di antara sekian banyak kata
perlinya itu, yang masih tetap segar di dalam ingatan saya sampai kini ialah
ucapannya yang menyebutkan ada manusia yang tidak tahu dan berasa malu datang ke
majlis orang tanpa diundang dan lebih tidak bermalu lagi adalah kerana memakan
apa sahaja hidangan yang disediakan.
Sekali lagi, sebagai lelaki muda
ketika itu, hati saya bergelora marah
dan membara. Namun mujur dan syukur pagi itu saya boleh menjadi begitu sabar
dan tega mendengar sindiran dan perli yang
bertalu-talu itu. Sementara penyair
Abdul Hadi Yusof, yang tidak tahu apa-apa pokok dan persoalannya, saya lihat
dan dengar berkali-kali mengangguk serta mengiyakan kata-kata “tokoh” itu.
Saya tahu, Abdul Hadi Yusof tidak
tahu apa-apa. Sebagai tamu, tentulah dia mesti dan wajar menunjuk hormat kepada
orang tua yang bercakap. Kerana itulah saya tidak marah atau berasa hati kepada
Abdul Hadi Yusof.
Pagi itu, saya fikir kini, saya
mungkin menjadi tidak marah dan tidak kuasa hendak melayan sindir dan diperli “tokoh”
itu kerana saya tahu dan punya jawaban
sendiri kenapa “datang ke majlis orang tanpa diundang dan memakan hidangan yang
disediakan”.
Hujah dan jawaban saya, acara itu
tidak didanai dengan wang yang dikeluarkan dari poket peribadi “tokoh” itu.
Begitu juga dengan segala juadah dan hidangan yang disediakan di hotel itu.
Semua dananya ditanggung dan dibayar dengan duit milik Negara atau kerajaan. Jadi,
hujah (bodoh) saya, kerana dananya adalah dari negara atau kerajaan dan saya
adalah salah seorang rakyat, apa salahnya saya datang menghadiri dan sama
menjamah segala hidangan?
Lainlah kalau acara itu didanai dengan duit poket “tokoh” itu
secara peribadi, sudah pastilah saya berasa malu dan tidak sudi untuk
menghadirinya. Sebagai manusia biasa, yang tidak pernah mahu menjadi berhala
atau diberhalakan oleh sesiapa, pihak dan kalangan, saya tentulah punya rasa
malu yang tebal dan sentiasa mengajar diri agar sentiasa sadar diri. Datang
bila diajak dan pergi bila tahu orang sudah mula membenci.
Peristiwa ini menjadikan saya
semakin faham mengenai manusia-manusia yang saya temui di dalam dunia yang saya
hidup ini. Bagaimana sikapnya yang sebenar dan bagaimana munafik serta
hipokrasinya. Sebahagiannya, di dalam karya bukan main hebat dan indah pendirian,
namun di reality hidupnya yang sebenar tidaklah pula demikian.
Saya mengenang kembali kisah ini
bukan kerana ingin memburukkan imej sesiapa. Buat saya, semua kepahitan yang
pernah saya rasa, alami dan lalui telah lama saya buang dari perasaan dan tidak
ingin saya biarkan menjadi dendam yang tidak berkesudahan.
Segala yang berlaku biarlah
berlalu. Sebagai manusia yang serba kekurangan dan sentiasa tidak sempurna ini,
saya cuba bercermin, mengambil teladan dan belajar sesuatu darinya.
Kini, ketika merenung kembali
intipati peristiwa ini, saya belajar banyak dan mengambil beberapa kesimpulan.
Mungkin saya salah. Namun sementara belum menemukan yang benar-benar betul dan
sempurna, kerana saya masih terus mencari, saya kira biarlah saya berpaut
dengan jawapan dan kesimpulan ini dahulu.
Pertama, sebagai seorang sasterawan,
saya mestilah membuang sikap sombong dan riak di dalam diri saya, sehingga
tidak boleh sedikit pun disanggah, ditegur atau dibantah, semata-mata kerana
berasa diri saya lebih hebat, lebih tahu, lebih baik dan lebih pandai berbandin
dengan diri orang lain.
Kedua, ekoran terlalu berasa
dirinya melebihi orang lain dan mabuk dengan pujian-pujian, saya akan boleh
menjadi lupa diri, hingga sampai ke tahap menganggap diri saya, tanpa sedar,
sebagai berhala dan para pemuji palsu serta para penjilat saya, demi untuk
menjaga hati serta mendapatkan imbuhan daripada saya, akan memberhalakan saya
pula.
Ketiga, segala kebongkakan dan
kesombongan seorang sasterawan tidak akan membawa dirinya ke mana-mana jika
tanpa meninggalkan sebarang karya yang baik dan bererti.
Itulah yang terjadi kepada “tokoh”
itu. Dia pergi tanpa meninggalkan sebarang khazanah dan karya yang telah
diterbitkan dalam bentuk buku. Yang ada hanya omongan dan kesombongan. Cuma itu.
Ya, Allah. Jauhkanlah hamba-Mu
ini daripada segala sifat buruk dan keangkuhan itu. Ya, Allah. Aku memohon dan
meminta. Bantu dan lindungilah diriku yang kedil dan hina ini.
Saya tidak ingin menjadi berhala
atau diberhalakan oleh sesiapa, pihak
dan kalangan. Saya hanya mahu terus menerus menulis, terus menerus berkarya dan
jika diizinkan Allah beberapa yang saya tulis serta karyakan itu teripilh dan
sudi diterbitkan pula oleh mana-mana penerbit yang berbudi.
Hanya itu sentiasa kehendak dan
keinginan saya, Walau saya tahu, apa yang saya tulis dan karyakan itu hanyalah
apa ada dan sekadarnya sahaja!
Julai 15, 2013
Kategori:
Autobiografi Marsli N.O (2000)
Jumaat, Julai 12, 2013
KITA TERLALU APOLOGETIK ?
KITA, khususnya para politikus kampungan dan
kawakan sering bercakap mengenai semangat perpaduan nasional atau kebangsaan.
Puluhan tahun lalu, dasar kebangsaan atau nasional ini sudah pun ditetap serta
diputuskan. Tujuannya tidak lain adalah sebagai suatu cara kearah memupuk
perpaduan di kalangan bangsa yang pelbagai di negara untuk menyatu utuh dalam
sebuah negara bernama Malaysia.
Aspek terutama yang dilihat sebagai alat atau
tool kearah penyatuan serta perpaduan ini adalah lewat bahasa dan sistem
pendidikan yang menggunakan suatu bahasa kebangsaan sebagai pengantarnya,
dengan bahasa Melayu yang sedia dimaklum sebagai bahasa kebangsaan sebagai mana
ketetapan di dalam Perlembagaan Persekutuan negara.
Namun setelah lebih 50 tahun mencapai
kemerdekaan, persoalan kebangsaan dan penyatuan ini masih seringkali berdepan
problema akibat ulah segelintir oportunis politik tertentu, yang cuba
menjadikan isu ini sebagai alat meraih sokongan pengundi serta simpatisan dari
pihak bangsanya sendiri.
Tidak cuma di sistem pendidikan yang sampai kini
hasrat mewujudkan sebuah institusi pengajaran yang dapat menggabung serta
menyatukan semua anak bangsa dalam sebuah institusi dengan pengantar bahasa
kebangsaan yang dapat menyatukan menempuh jalan buntu. Di sastera yang
sepatutnya menjadi alat penyatuan kemanusiaan yang lebih bersifat sejagat
juga turut digeser isu dengan persoalan yang hampir kurang sama yang mana
dikoarkan dengan tanda pengenal Melayu dan bukan Melayu.
Persoalan kita, perlukah ada lagi istilah dan
pembedaan penulis bukan Melayu dengan Melayu sebegini? Bukankah sudah jelas
bahasa kebangsaan negara Malaysia kita adalah Bahasa Melayu. Jadi, siapa yang
menulis dalam bahasa Melayu adalah layak disebut penulis Malaysia. Tanpa
mengira apa bangsanya. Sementara yang menulis dalam bahasa kaum atau bangsanya
tetaplah kekal sebagai penulis kaum dan bangsanya.
Kenapakah setelah lebih 50 tahun merdeka dan
semua sudah tahu dasar serta ketetapan kebangsaan itu, hari ini masih ada lagi
yang bercakap mengenai penulis yang menulis dalam bahasa Melayu sebagai penulis
bukan Melayu dan tidak disebut sebagai penulis Malaysia?
Apakah kita sengaja membutakan diri dengan dasar
kebangsaan atau nasional yang sudah puluhan tahun ditetap serta diputuskan itu?
Apa masalah kita sebenarnya? Apakah kerana sudah kehabisan modal politik maka
isu ini pun hendak dipermainkan oleh para oportunis itu? Kenapa kita tiba-tiba
menjadi bangsa yang terlalu apologetik hanya kerana sebaris kata dalam sebuah
novel atau kerana ada sebahagian oportunis yang tiba-tiba berkoar.
Kenapa?
Julai 12, 2013
Isnin, Julai 08, 2013
LUNTUR
BODOHLAH siapa yang mempercayai betapa segala hanya kerana dirinya. Kerana kehebatan dan kuasa manusia, tidak mampu mengatasi kehebatan dan kekuasaan Tuhan. Apa lagi hanya untuk secuil peluang dan rezeki perlu menjilat pantat si bejat dan petualang!
Julai 7, 2013
Ahad, Julai 07, 2013
CERITA
SEGALANYA adalah keduk untuk menutup wajah sebenar diri. Kebejatan dan kebusukan diri disembunyikan. Agar di hadapan setiap orang kelihatan alangkah bijak dan hebatnya diri, alangkah mulia dan beradabnya diri. Sedang di belakang pengetahuan orang banyak, busuknya mengatasi bangkai dan danur.
Julai 6, 2013
Jumaat, Julai 05, 2013
MALU
BIARKAN mereka pencuri yang licik itu terus bersangka bahawa tiada siapa tahu kerja mencuri mereka. Walau atas nama dan dalih apa. Pencuri tetaplah pencuri.
Julai 5, 2013
Jumaat, Jun 28, 2013
KENAL
INILAH dunia yang saya tahu dan kenal dan saya datang ke dunia ini hanya dengan niat untuk menulis, berkarya dan berusaha dengan sedikit kemampuan yang Allah berikan kepada saya, untuk memberi dan meninggalkan sesuatu yang berfaedah serta berguna kepada masyarakat.
Saya tidak tahu dengan pasti apakah saya memang sudah meninggalkan sesuatu itu. Kerana, saya hanya ingin terus menerus menulis dan berkarya menurut kemampuan yang saya ada dan soal yang selain itu biarlah masyarakat atau pembaca yang menilainya.
Walau semakin lama berada di dunia ini dan semakin saya dipanjati usia semakin banyak saya temui benda dan perkara yang menurut hemat saya yang dhaif ini tidak sepatutnya berlaku, namun saya memilih untuk tidak terlalu mahu ambil peduli atau berasa terganggu, sehingga mengganggu niat awal dan asal saya memasuki dunia ini.
Biarlah. Saya tetap ingin terus begini. Menulis dan berkarya menurut apa yang saya yakini benar.
Tidak mengapalah jika saya tidak memiliki gelar, misalnya: doktor, sarjana, atau sasterawan negara. Tidak mengapa dan itu sebenarnya bukan pun menjadi matlamat yang ingin saya kejar.
Apa lagi jika di depan mata saya sendiri saya melihat sebahagian mereka yang bergelar ini berbuat dan bertindak tidak sebagai layaknya gelar yang dia miliki.
Misalnya, wajarkah mereka yang bergelar ini saling berebutan dan menjatuhkan antara satu sama lain, menyebarkan fitnah dan mencemoh-cemoh sesama sendiri, dan lebih parah lagi, tidak bersedia untuk menerima pandangan berbeda orang lain semata-mata kerana berasa dengan gelar yang telah dia miliki betapa dia terlalu maha tahu dan terlalu maha pandai.
Inilah dunia yang saya tahu dan saya kenal. Dan kerana saya datang ke dunia ini hanya dengan niat untuk menulis, berkarya
dan berusaha dengan sedikit kemampuan yang Allah berikan kepada saya,
untuk memberi dan meninggalkan sesuatu yang berfaedah serta berguna
kepada masyarakat, maka saya memang memilih untuk tidak mahu mengambil peduli perbuatan-perbuatan yang bagi saya bejat dan munafik itu.
Biarkanlah mereka dengan dunia mereka dan saya akan tetap bersendiri menatap bulan dan menatap matahari. Walau betapa pun bulan dan matahari itu semakin dilitupi jerubu sejak beberapa hari ini!
Jun 28, 2013.
Rabu, Jun 26, 2013
TONGONG TAHAP GABAN
MEMANG tahap gaban tongongnya itu.
Kalau takat 15 orang yang hadir. Taraf dunia apanya.
Sudah-sudahlah buat benda yang merepek begitu. Kalau kau memang dasar muka tidak tahu malu. Janganlah kau hendak ajak orang lain pun sama jadi bodoh macam kau.
15 orang. Taraf dunia apanya? Tahi kucing.
Jun 26, 2013
Rabu, Jun 19, 2013
SOMBONG
TIDAK mengapa kalau tiada apa gerakan lagi di dalam hati saya untuk mengirim ke awak. Ini bukan soal lagi mengenai selera atau kesesuaian yang perlu saya patuhi. Dalam usia begini saya sudah memilih untuk menulis apa yang saya suka sahaja dan bukan kerana hendak penuhi kehendak orang-orang seperti awak supaya diterima dan disiar.
Itu zaman yang sudah lama berlalu atau hanya buat mereka yang kurang percaya dengan diri sendiri.
Dengan kesombongan yang awak berikan itu, demikianlah saya membalas dan menjawab. Saya peduli apa kalau awak, misalkanlah, pakai gelaran jenderalkah, sifukah, mentorkah. Peduli apa. Itu awak punya pasallah.
Saya menulis kerana mahu meraikan diri sendiri. Cuma itu. Mana saya ambil peduli awak suka atau tidak. Awak hendak siar atau tolak. Pun awak punya sukalah. Tugas saya menulis sudah selesai.
Kalau sampai ke tahap hendak mengikut-ikut apa yang awak hendak, minta maaflah.
Tidak mengapa kalau saya tidak kaya dan karya saya tidak menjadi best seller.
Minta maaflah.
Jun 19, 2013
Selasa, Jun 18, 2013
HEBATNYA AWAK, SI TOLOL
HEBATNYA awak kan?
Dengan segala yang awak pamer dan ceritakan itu. Memang hebatlah awak. Laramlah sebanyak mungkin apa yang awak ada. Lagilah bertambah nampak hebatnya awak.
Walau awak sebenarnya adalah si tolol yang mengulang-ulang dan kehilangan jejak diri.
Jun 18, 2013
Sabtu, Jun 01, 2013
MENERIMA
PENGALAMAN bekerja di sebuah pusat perawatan psikiatri beberapa tahun dahulu telah memungkin saya melihat dengan mata kepala sendiri perlakuan abnormal manusia ketika dalam keadaan di luar kontrol atau kawalan sedarnya sendiri.
Tetapi saya tidak melihat segala perlakuan mereka ini dengan mata penghukum atau menjatuhkan nilai begitu atau begini. Sebaliknya, selain memang atas tuntutan tugas, dengan mata seniman, saya melihat perilaku mereka ini sebagai suatu fenomena, gejala, tanda-tanda, untuk saya kembali menyedarkan diri sendiri dan lebih memahami perangai manusia yang mengaku diri mereka sihat dan walafiat di dunia nyata yang juga kononnya dikatakan bertamadun dan sihat itu.
Ternyata di dunia yang didakwa sebagai sihat dan penuh dengan manusia bertamadun itu sebenarnya sama sahaja dengan dunia di dalam pusat perawatan psikiatri. Yang berbeza, manusia yang mengaku dirinya sihat dan bertamadun di dunia nyata ini mempunyai kecerdikannya yang tersendiri untuk menyembunyikan keperibadian sebenar dirinya di dalaman yang bejat, busuk dan senewen dengan cara menyarung dan bertukar topeng mengikut waktu serta keperluan masing-masing.
Saya tahu kesimpulan yang saya simpulkan sendiri ini mungkin agak terlalu. Tetapi saya tetap yakin dan berpegang kepada kesimpulan itu kerana saya mengalami sendiri sebahagian besar peristiwa atau kejadian yang saya jadikan patokan itu.
Katalah saya paranoid atau terlalu sering berhalusinasi, saya tidak peduli. Pengalaman disakiti, digunjing dan dicerca, yang sebahagian besar watak dan pemain utamanya adalah manusia yang dijempoli banyak pengagumnya sebagai berilmu dan berintelek, yang sudah terlalu jenuh saya terima semakin menguatkan keyakinan saya mengenai kegilaan manusia yang konon diakui sihat dan hidup di dunia bertamadun itu.
Apa lagi kalau saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kalau yang abnormal itu pun sebahagiannya bertugas di pusat-pusat untuk memberikan kesihatan mental dan fizik kepada manusia, yang dengan segala tipu daya serta muslihat mahu menjatuhkan sesamanya demi kenaikan pangkat atau gred.
Secara peribadi saya sudah tidak begitu terlalu berasa disakiti lagi dengan segala perbuatan mereka. Kerana, semakin berusia saya juga semakin memahami perangai dan resam mereka yang bernama manusia. Dengan begitu, saya juga semakin berasa tidak perlu dan tidak ingin untuk bersedih memikirkan segala.
Saya tidak akan merubah keyakinan saya. Pengalaman disakiti dengan cerca, gunjing dan fitnah, sudah cukup banyak mengajar saya untuk bertahan dan mencarikan penawar untuk mengubat segala duka lara sendiri. Saya tidak lagi perlu misalnya untuk berasa hairan memikirkan kenapakah sesuatu yang tidak pernah saya ucapkan tidak semena-mena disebarluaskan konon sayalah yang telah mengucapkan.
Saya sedar, hidup dan mati saya bukan kerana cerca atau gunjing orang lain. Begitu juga dengan rezeki dan peluang. Saya tahu mereka yang bernama manusia hanyalah peminjam, namun bukan penentu. Kerana saya lebih percaya kepada Dia yang mencipta dan memberi. Mati dan hidup, atau rezeki saya, bukan manusia yang menjadi penentu. Saya meyakini itu.
Kerana itu jugalah saya menciptakan sajak ini. Rasa sakit dan terhina kerana gunjingan untuk sesuatu yang tidak pernah saya perbuat, atau cercaan, saya tawarkan dengan doa dan zikir kepada Dia Maha Pencipta. Saya tidak akan terlalu bersedih lagi kerana perbuatan bejat sesama manusia.
Marsli N.O
MENERIMA
Segala
yang cuba
mereka
sembunyikan
di
sebalik topeng
terdedah
dan terbuka juga
kebohongan,
hipokrasi
dan
ego manusia
dan
kerana sudah lama tahu
juga
belajar menerima
hakikat
dunia dan manusia
aku
tidak lagi menjadi
perasa
yang terlalu berduka
SBPI,
Kuantan
Oktober
31, 2012
Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 25 November 2012
Jun 1, 2013
Kategori:
Proses Kreatif Marsli N.O
Langgan:
Catatan (Atom)
