Selasa, Februari 25, 2014

TUAH SUBSIDI

TERGERAK hati hendak singgah ke kedai kopi Long Hamzah petang ini. 

Sebaik sahaja duduk, segera kupinta segelas teh kurang manis dan sekeping roti canai. “Kuah lebih sikit, Long,” Kataku. 

Akhbar yang kubeli sekejap tadi di kedai runcit Raja kubentangkan di atas meja di depanku. Di muka depan akhbar, terpampang cerita BRIM. Seorang pemuda yang kutahu menjadi ketua sebuah cawangan dan duduk di meja di hadapanku, kusedar melirik ke arah berita yang sedang kutatap itu.

“Baguskan BRIM ni. Kerajaan beri terus kepada yang benar-benar memerlukan. Bagi yang kaya dan berkemampuan mereka tak merasa lagi pemberian kerajaan macam dulu, di mana bila orang miskin dapat mereka pun sama mendapat. Kau tahu bagaimana caranya?” tanya pemuda ketua sebuah cawangan itu kepadaku. 

Beberapa orang tua yang duduk di seberang meja, yang sedang rancak bercerita mengenai BRIM juga,  seketika menghentikan bualan mereka dan serentak memandang ke arah kami.

Aku hanya menoleh dan memandang kosong ke wajah pemuda berusia sekitar 30an ini. Aku sebenarnya memang malas nak berdebat dan bertekak dengan dia pasal ini.  Apa lagi ketika niatku singgah ke kedai ini hanya sekadar untuk menghilangkan rasa bosan dan tidak ingin berfikir mengenai apa-apa.  Lagi pula, aku memang tidak begitu akrab dengan dia. Walau tinggal sekampung, perkenalan kami hanya setakat saling bertukar pandang atau bersalaman jika kebetulan bersua selepas solat di hari Jumaat di masjid.

Namun, tanpa aku pinta kudengar lagi ceramah pemuda itu.  “Caranya begini. Bila kerajaan kurangkan pemberian subsidi maka secara tak langsung mereka yang kaya dan berkemampuan tidak lagi dapat menikmati kemudahan ini. Dengan cara begini beban kerajaan menjadi berkurang dan orang yang memang miskin kerajaan bantu melalui pemberian BRIM ini.” 

Entah kenapa aku berasa agak terganggu dengan ceramah yang tidak kupinta ini. Kerana itulah, begitu sahaja Long Hamzah meletakkan pesananku di meja, berawal dengan bismillah, segera aku mencubit dan menyuap cebisan roti canai ke mulutku.

Namun ternyata pemuda ini tidak jemu menuturkan ceramahnya. “Dengan cara pemotongan subsidi beginilah maka kerajaan dapat menambahkan sumber pendapatannya dan rakyat yang miskin dapat dibantu secara langsung.”

Kerana memang sejak mula niatku tidak ingin berdebat dan berhujah dengan pemuda ini, maka kubiarkan sahaja dia bercakap sekehendaknya. Kerana niat mula ku itu jugalah maka segala apa yang terfikir dan terbetik di benak fikirku, hanya kubenamkan di dalam diam.
Walau sebenarnya memang ada yang ingin aku katakan. Namun kukira biarlah aku hanya memilih diam.

Biarlah. Mungkin pemuda ini tidak tahu atau memang sengaja tidak mahu tahu. Betapa, setelah harga minyak dinaikkan, atas alasan bahawa kerajaan telah mengurangkan subsidinya, maka berbondong-bondonglah peniaga menaikkan harga barangan dan yang mengeluh serta rasa terbeban bukan hanya mereka yang kaya dan berkemampuan, tetapi termasuk juga orang-orang tua yang duduk di seberang meja di depanku, yang tadinya sedang rancak bercerita mengenai BRIM itu juga.

Mungkin pemuda pejuang bangsa dan negara ini tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu betapa bukan hanya harga barang keperluan yang dinaikkan para peniaga atas alasan kenaikan harga minyak, malah sekecil benda seperti sebiji jeruk buah kana atau kedondong yang dahulunya berharga dua puluh sen sebungkus kini telah mereka naikkan menjadi tiga puluh sen sebungkus pula! 

Biarlah. Kalau sekalipun aku memberitahu pemuda itu mengenai ini, kukira, ketaksuban cara berfikirnya itu tidak akan memungkin dia untuk melihat persoalan ini secara lebih terbuka.

Yang jelas, aku tentu sahaja akan dia tuduh sebagai penyokong puak pembangkang!

Februari 24, 2014

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com

Isnin, Januari 27, 2014

BENGKEL TEATER KUANTAN: ANTARA NASKHAH, SIKAP DAN KREATIVITI

TAHUN 1981 adalah tahun permulaan saya terjun secara bersungguh-sungguh ke dunia teater. Tahun itulah saya bermula dengan pementasan pentomim secara solo yang saya mainkan di sebuah pabrik tempat saya bekerja dan ketika mementaskannya, saya hanya berpandukan gerak dan rasa hati sendiri serta sepenuhnya hanya mengandalkan keberanian seorang pemuda yang sedang bergelora darah dan semangatnya untuk menjadi seniman.

Tahun-tahun berikutnya merupakan tahun di mana di samping terus menerus berlatih dan mementaskan teater, saya juga tidak pernah melepaskan sebarang peluang yang tersedia untuk menyertai bengkel lakonan dan juga pengarahan di peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian sekitar tahun-tahun tersebut. Hasil beberapa bengkel tersebut saya menggenggam beberapa sijil yang konon-kononnya melayakkan saya menjadi jurulatih teater yang bertauliah.

Sekitar tahun-tahun itu jugalah, kerana menyedari ilmu saya mengenai teater terlalu sedikit dan cetek, saya menjadi pemburu buku di mana sahaja saya mengetahui ada dijual. Kemudiannya setelah menemui dan membelinyanya saya membaca dan cuba menghayati kandungan buku tersebut sebanyak yang boleh dan mungkin.  Kerana itu jugalah beberapa buku mengenai teater terbitan Indonesia, antaranya buku terjemahan Asrul Sani "Persiapan Seorang Aktor" tulisan Konstantin Stanislavski yang saya baca penuh dengan kesan garisan dan catitan. 

Namun sebagai seorang pelakon dan pekerja teater saya sedar bahawa saya selalu memilih arah, cara dan jalan yang berlainan dengan banyak orang dan teman. Ketika orang menyebokkan diri untuk mementaskan teater dengan naskhah, saya pula lebih mempercayai kebolehan diri dan peribadi di dalam setiap bengkel teater yang saya pimpin, kalau pun boleh dikatakan saya sebagai pemimpinnya.

Mungkin sedikit dan sebanyak saya kira pengaruh atau cara berteater yang begini kerana saya terilhamkan oleh kisah teater dan pergerakan Aziz H.M dengan Teater Malininya dan lama sebelum itu, saya tertarik membaca kisah pergerakan ke sekitar Malaysia kumpulan Teater Keliling oleh Rudolp Puspa. Malah sekitar tahun tersebut jugalah, 1970-an, ketika menjadi penghuni di sebuah estet di pedalaman Terengganu, saya mengajak beberapa teman menubuhkan sebuah grup teater di situ dan ajakan itu hanya dipandang dengan cebikan teman-teman. Bagi mereka, ajakan saya itu adalah sesuatu yang aneh dan sulit untuk dijadikan kenyataan.

Tetapi semangat berteater itu rasa saya sebenarnya sudah lama tumbuh di dalam jiwa saya. Seingat saya, almarhum bapa saya yang berketurunan Jawa itu semasa mudanya dahulu adalah seorang pelakon di pentas bangsawan di estet di mana kami tinggal dan hidup. Malah jika tidak silap ingatan, sekitar usia saya empat atau lima tahun, saya beberapa kali melihat almarhum bapa saya tampil ke pentas sandiwara berpakaian seperti pahlawan dan hulubalang. Malah ada juga kisah yang melucukan, ketika melihat bagaimana ayah saya mati ditikam oleh seorang penjahat di dalam pementasan bangsawannya, saya yang sedang menonton bersama nenek membalingkan kueh yang sedang dimakan dan menjerit bertanyakan kenapa ayah saya telah dibunuh.

Kerana semangat untuk berlainan itulah saya selalu memulakan produksi teater saya bersama beberapa teman di dalam Bengkel Teater Kuantan dengan latihan dan bengkel secara terus menerus. Di mana selepas sekian latihan dan olah kami pada suatu hari minggu, baharulah bergerak ke proses latihan lakonan dengan meminta setiap peserta menggali dan mengeluarkan kisah atau ceritanya sendiri.

Tujuan saya berbuat demikian adalah kerana ingin melihat mereka tampil sebagai dirinya sendiri: menggali masa lalu dan masa kininya sendiri, menciptakan momen-momen kreatifnya sendiri dan terakhirnya, menampilkan semacam ekspresi kejiwaannya, yang bertujuan untuk memberikan dia rasa kepuasan dan katarsis daripada segala gangguan jiwa dan perasaan yang membebankan dirinya.

Sementara saya selaku perantara dan sutradara sekadar membantu untuk membukakan jalan dan ruang untuk atau agar mereka terus mampu memperkembangkan daya kreativiti masing-masing di dalam cerita dan di mana perlu, saya memberikan suatu tema dan kemudian, merangkaikan kisah di antara mereka yang berpencar-pencar itu agar terbentuk menjadi suatu rangkaian cerita  yang dapat dan boleh diterima khalayak. 

Saya tahu berteater secara begini ada bahayanya bagi mereka yang tidak berhati cekal dan berani melihat cerminan dirinya sendiri. Kerana itulah saya tidak begitu bersedih bila bengkel yang saya pimpin mengalami masuk dan keluar peserta yang silih dan berganti. Namun saya mempercayai sepenuh hati, dengan cara atau sistem berteater begini, siapa yang sanggup menunggu dan bertahan, pasti nanti akan terasuh jiwanya menjadi kental dan tidak mudah patah oleh sebarang godaan dan dugaan.

Memang akhirnya yang mampu benar-benar bertahan dibengkel yang saya pimpin hanya empat atau lima pemain sahaja. Tetapi itulah mereka yang benar-benar mampu bertahan dan mampu membuktikan kekuatan dirinya sebagai pemain serta mempamerkan keperibadiannya sendiri. Kerana itu jugalah saya tidak pernah berasa sesal ketika mereka yang sudah berdiri sebagai peribadi-peribadi itu memilih jalan lain dan sendiri. Kerana, niat dan tujuan bengkel teater saya bukanlah hendak mencetak pengikut dan para pengekor, tetapi sebaliknya menghasilkan manusia yang bebas dan mampu berfikir sebagai dirinya sendiri.

Hanya, sayangnya, begitu memilih menjadi peribadi dan memilih jalan sendiri, yang terlupa mereka lakukan terus menerus adalah penggalian kreativiti dan sifat ingin terus belajar serta menambahkan ilmu teaternya, sehingga dengan demikian, mereka bukan sahaja menjadi statik, malah sebagai seniman, mereka semakin menjadi bodoh dan mundur!

Saya tidak pernah berasa bahawa sayalah yang bersalah kerana demikian perinya diri mereka yang dahulunya pernah bersama saya di dalam Bengkel Teater Kuantan. Rasa saya, andai mereka ingin dan mahu terus belajar, mereka boleh terus menjadi maju dan berkembang. 

Saya katakan begitu kerana di dalam Bengkel Teater Kuantan saya berusaha mengajak mereka menjadi seniman teater yang lebih peka dan berfikir dengan cara memulai dan mengakhiri acara dengan diskusi, setiap usai latihan dimestikan menyerahkan satu salinan laporan latihan bengkel dan terpentingnya, mendokumentasi serta menuliskannya sebagai naskhah setiap sesi latihan yang mereka telah jalani pada hari sebelumnya.

Saya tahu tidak semua anjuran atau katakanlah arahan saya itu mereka patuhi kerana setiap kembali ke bengkel keesokan harinya tidak semua menyerahkan salinan laporan. Malah ketika ditanyakan sudah sejauh manakah mereka menuliskan kembali naskhah-naskhah peribadi milik mereka, jawab yang saya terima sangatlah mendukacitakan hati dan perasaan saya peribadi.

Namun walau menggelegak di dalam hati ingin menyatakan marah, segalanya saya hanya pendamkan dan menyesali betapa mereka telah mempersiakan segala waktu dan ruang yang ada.

Demikian keadaan dan peri kisahnya. Selepas meraih juara Pekan Teater Pahang tahun 2000 dan dua pemainnya meraih anugerah pelakon lelaki dan wanita terbaik, kegiatan Bengkel Teater Kuantan sengaja saya senyapkan lantaran terlalu terluka di dalam hati mengenangkan sikap dan cara keinginan mereka untuk berteater.

Bayangkan, di tahun berikutnya, di awal tahun 2001, ketika saya mengajak dan mengajukan agar latihan segera dimulakan, jawab yang saya terima adalah ini: Buat apa hendak berlatih terlalu awal. Bukankah elok jika latihan bermula dalam dua bulan lagi Pekan Teater hendak dimulakan!

Saya sebenarnya tidak salahkan sesiapa. Walau hampir 20 tahun saya habiskan usia dan waktu bersama Bengkel Teater Kuantan, mengajak dan berkongsi idea bersama kawan-kawan untuk bekerja mengangkat martabat teater di Kuantan atau di negeri Pahang, saya tidak pernah berasa  rugi atau telah dirugikan.

Sebabnya, saya kini secara rasminya telah memiliki sebuah buku yang memuatkan sebahagian naskhah drama yang saya tulis hasil daripada gerak kerja di dalam Bengkel Teater Kuantan sepanjang 20 tahun dan mereka yang konon para tokoh dan pekerja teater pula, apakah pencapaian terkini mereka?

Siapa yang bersedia untuk menjawabnya?

Januari 27, 2014

Rabu, Januari 01, 2014

2014

Selasa, Disember 31, 2013

KEPADA FOLLOWER BLOG SAYA

MENJELANG tahun baru 2014 ini saya dalam proses mengemaskini senarai blog yang aktif dan punya pautan dengan blog saya TANAH - AIR - API - ANGIN.  Sehubungan itu, mohon bantuan para blogger yang mendaftar sebagai follower di blog saya memaklumkan alamat atau url blog mereka untuk saya senaraikan di ruang blog tamu saya. Maklumat tersebut saya mohon dimailkan ke email saya marslino@yahoo.com dalam kadar yang segera. Dengan pengemaskinian ini juga, saya bercadang untuk menyalurkan apa-apa maklumat mengenai dunia penulisan kepada anda yang sudi bergabung di blog saya secara peribadi.

Mohon bantuan kalian para follower.

Disember 30, 2013

Ahad, Disember 29, 2013

TELINGAKU MENANGIS

Cerpen oleh MARSLI N.O

MALAM ini, untuk malam yang entah ke sekiannya, ke dalam mimpi milikku, dia datang lagi. Teroleng dan terawang-awang di udara. Melayah dan melayang-layang. Pada mulanya kelihatan hanya sebesar titik. Kemudiannya, semakin lama semakin hampir mendekati ruang pandang milikku.

Apakah sesungguhnya itu? Apakah? Semakin lama semakin hampir. Semakin lama semakin mendekati ruang pandang milikku.  Semakin kuamati semakin menjadi jelas.

Akhirnya setelah semakin dekat dan menjadi jelas pastilah sudah di ruang pandang milikku.  Sesuatu yang pada mulanya teroleng dan terawang-awang di udara itu tidak lain adalah suatu wajah.

 Wajah itu. Wajah itulah. Wajah yang kelihatan bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu teroleng dan terawang-awang mendekati ruang pandang milikku.

Tetapi anehnya, milik siapakah wajah itu? Seingat fikirku, tidak pernah aku mengenal atau bersahabat dengan pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu. Siapakah sebenarnya pemilik wajah itu? Siapakah?

Kupaksa fikirku kembali menyelonong ke masa silam. Menjengah segenap sudut dan ruang di dalam ingatan. Menyelongkar dan mencari andai di mana-mana dapat kembali  kuingat  dan temui siapa sebenarnya pemilik wajah itu. Namun ternyata hasilnya adalah nihil. 

Sudah jenuh aku berfikir dan cuba kembali mengingati satu demi satu wajah yang pernah kukenal di dalam hidup.  Namun tiada satu yang mampu memberikan pencerahan serta jawaban.

Siapakah sesungguhnya dia pemilik wajah  yang kini entah sudah malam yang kesekian datang  bertandang ke dalam mimpi milikku itu. Tidak kutahu kenapa dan mengapa. Aku jadi terpana. Merenung wajah itu  ke atas dan ke bawah. Tertanya-tanya sendiri siapakah dia pemilik wajah itu  sebenarnya.

Dengan wajahnya yang bopeng, dia datang ke dalam mimpiku. Teroleng-oleng. Terawang-awang. Perlahan-lahan. Terawang-awang di udara. Dan diriku, lama melontarkan tenung untuk menatap dan memastikan lebih jelas siapakah dia yang sebenarnya itu.

Akhirnya, semakin lama kurenung dan kutenung, semakin jelas di penglihatanku betapa dia yang berwajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu sebenarnya bukanlah memiliki jasad yang utuh sebagaimana manusia selayaknya seperti diriku atau manusia yang lain,  seperti Zuma kekasihku, atau Nita teman sekantorku, atau paling tidak, seperti jasad milik Tuan Mandogel yang menjadi atasanku ketika di kantor.

Jadi siapakah sebenarnya dia  pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api  yang sering mendatangi  aku di dalam mimpi ini? Sungguh aku tidak pasti siapakah dia yang sebenarnya dan kenapakah pula saban malam mendatangi.

Ingin rasanya kuajukan tanya agar merungkai dan memperjelaskan segala soal yang bergaung di dalam ruang fikiran,  namun entahkan kenapa bibir dan rahangku terasa kejap tidak dapat kugerakkan untuk melafazkan niat.

Malah jauh di sudut perasaanku  timbul juga rasa takut dan ngeri berputaran di ruang ingatku. Bagaimana kalau dia yang berwajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu tiba-tiba menyerang dan mengkerkah diriku? Tidakkah itu suatu yang nahas.

Walau segalanya mungkin hanya di dalam mimpiku, namun aku tetap berasa takut dan negeri. Kerana bagi diriku, batas di antara jaga dan mimpi, tidur atau nyata itu terlalu nipis pemisah dan batasannya.

Buat diriku, sesuatu yang pada awalnya bermula di dalam mimpi tidak mustahil boleh  berlanjut pula ke dalam alam sedarku.

Apa lagi kalau dia yang berwajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu yang entah malam ke sekian  mendatangi mimpiku ini memang seekor boragas. Sudah pastilah segala gusar dan rasa ngeriku punya sebab dan alasan yang  kukuh.

Segalanya mungkin dan boleh terjadi.  Segalanya mungkin dan boleh terjadi.

Mana tahu kalau di sebalik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu tersembunyi baris-baris  gigi dan sepasang taring yang tajam? Siapa tahu dan segalanya boleh terjadi.

Dapat aku bayangkan betapa kalau tidak kena gaya dan cara andai tiba-tiba sahaja pemilih wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu bertukar rupa dan wajah menjadi seekor boragas  bergigi dan bertaring tajam.

Pasti kalau rasukannya melampaui boleh sahaja aku diterkam dan dikerkahnya tanpa sedikit pun kasihan dan belas.  Lalu disedut serta dihisap darah di dalam tubuhku sehingga kering dan kemudiannya aku akan sama bertukar menjadi sewujud dengannya sebagai boragas.

Dan kalau itu benar-benar terjadi? Oh, tidak. Aku tidak sanggup untuk berlamaan memikirkan segala kemngkinan itu.

Sungguh. Aku tidak sanggup meninggalkan Zuma terkontang-kanting sendirian di kota metropolitan yang ganas dan kejam ini.

Sungguh aku tidak sanggup jika itu yang sampai terjadi. Bayangkan kalau aku juga setelah dikerkah oleh boragas itu telah bertukar wujud dan jasad. Bayangkan. Tentu Zuma akan berasa sangat kehilangan dan malah mungkin akan menuduh aku telah bersembunyi dan memungkiri segala janjiku terhadapnya.

Zuma tentu akan menuduh aku sebagai lelaki yang busuk dan khianat, yang hanya pintar membelitkan lidah dan mempermainkan cinta suci seorang  wanita seperti dirinya.    

Zuma tentu akan menangis berhari-hari untuk melepaskan rasa kesal serta kecewa mengenangkan untung dan nasib dirinya yang telah ditinggalkan.

Oh, aku tidak sanggup untuk memikirkan itu berlamaan. Aku tidak ingin itu yang terjadi. Tidak. Tidak.

“Zuma!” aku menjerit sekuat hatiku. Ketika kedua belah kelopak mata milikku dinyalangkan kulihat jam di dinding sudah 5.30 pagi.

Mimpi itu telah sirna dan aku bergegas ke kamar mandi kerana Subuh sudah akan tiba.

Dan malam ini, dia datang lagi ke dalam mimpiku. Masih dengan wajah dan tampang  yang sama. Teroleng-oleng dan  terawang-awang  perlahan-lahan di udara. Kemudian, aku benar-benar tersentak dan terpana bila tanpa kupinta atau kusuruh pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu hinggap bertengger di hujung katilku.

Sungguh melampau dia ini. Begitu terdetak gumam di dalam diriku. Melihat danur yang meleleh dan sesekali menetes dari ususnya yang terbarai-barai itu sungguh membuat aku berasa mual dan loya. Dan kini, tanpa kupinta atau pelawa dia hinggap bertengger pula di hujung katilku.  Sungguh melampau!

“Hei, kau ini siapa sebenarnya?” aku berteriak sesungguh hati dan bingkas dari pembaringanku. Aku sendiri pun berasa hairan bagaimanakah aku  tiba-tiba berasa beroleh suatu rasa berani dan kekuatan yang amat kental demikian.  Seolah-olah aku tiba-tiba sahaja didorong oleh suatu kuasa ghaib yang entahkan apa, 

Pada saat yang sama,  aku tercium suatu bau busuk yang aneh di hujung katilku. Bau busuk yang aneh itu sungguh amat menusuk.

“Hei, kau ini siapa sebenarnya?” aku berteriak lagi sesungguh hati. Kini tanpa sebarang rasa gentar dan takut.

Tetapi di hujung katilku anehnya, kulihat pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu tersipu-sipu dan memalingkan wajahnya ke arah lain.

“Hei, kau dengar tidak tanyaku? Kau  ini siapa sebenarnya, hah?” aku mengulangi teriak dengan lebih sesungguh hati

Tetapi di hujung katilku aku melihat keanehan itu. Sungguh sesuatu yang kurasakan aneh. Di kedua-dua belah pipi pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu kulihat mengalir air jernih.  Dan pemilik wajah pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu kulihat tersengguk-senguk menahan tangis dan esakannya.

“Heh, kau ini siapa sebanarnya?” kuulangi lagi tanya itu. Kini dengan tekanan dan nada suara yang lebih kuperlembutkan.

“Dahulu aku juga seperti dirimu,” begitu akhirnya kudengar suara dari bibir yang terselindung di sebalik wajah  bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu.

“Maksudmu,” pantas aku meningkah.

“Dahulu aku juga manusia. Sama seperti dirimu,” jawab  pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu. Agak lambat dan perlahan.

“Maksudmu?” desakku. Inginkan penjelasan lanjut.

“Ya. Aku dahulu manusia sama seperti dirimu. Punya pangkat dan kedudukan. Tetapi segalanya telah aku khianati. Janji yang kuucap tidak pernah kutunai. Amanah yang diserah untuk kupertanggungjawab dan pelihara telah aku selewengkan. Sehinggalah malam itu. Aku menerima pembalasannya,” lanjut   terdengar kata dan suara dari bibir pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu.

“Apa yang terjadi malam itu?” tanyaku tanpa berselindung.

“Sesuatu yang tidak pernah kuduga akan terjadi telah terjadi. Sesuatu yang kusangka, dengan kuasa yang ada dan kumiliki tidak akan mampu menggubris diriku walau sesenti sekalipun. Namun ternyata dugaanku silap. Kuasa dan kedudukanku tidak bererti apa-apa bila tiba saat pembalasan itu,” pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu melanjutkan bicaranya.

“Maksudmu apa sebenarnya? Atau kau ini sebenarnya seorang yang pernah terlibat dengan kuasa atau partai politik?” kuteruskan lagi tanyaku tanpa sebarang hasrat untuk berselindung atau menjaga perasaannya.

Kulihat perlahan-lahan pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu menangguk dan semakin menundukkan wajahnya.

“Masih tidak aku lupa peristiwa itu. Selepas diumumkan keputusannya, aku berasa tidak puas dan selesa dengan keputusan. Lalu kugerakkan mereka agar membantah. Hujah dan dalih yang kusuakan tidak lain adalah penyelewengan dan penipuan. Dan aku berjaya mengumpul serta menggerakkan ribuan massa. Mereka turun ke jalan-jalan. Membantah dan membuat kekacauan yang menyusahkan orang ramai,” tanpa kupinta, pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu meneruskan bicaranya lagi.

“Jadi kaulah oknum yang pernah diceritakan dulu oleh moyangku itu?” aku kembali mencelah dengan tanya dan kembali teringatkan kisah yang pernah diceritakan moyangku mengenai seorang oknum yang pernah hidup satu abad yang lalu. Yang kerananya hamper memporak-perandakan hiudp bangsa.

Kulihat pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu perlahan mengangguk.

“Kuakui silap dan salahku. Dan aku sudah pun menerima balasannya. Wajahku menjadi cacat dan setelah matiku, jenazahku tidak sanggup diterima bumi. Kerana itulah aku kini bergentayangan di dalam mimpi milikmu. Untuk mencurah dan menyatakan sesalku kerana telah berkhianat kepada bangsaku sendiri,” pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu meneruskan bicaranya.

Kini sudahlah jelas persoalannya di dalam benak dan fikirku.

Kini kuketahui sudah siapa dia sebenarnya pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu.

“Kuharap terlepas sudahlah sumpahan itu. Kuakui segala silapku ini di depanmu kerana kutahu kau seorang pengarang. Semoga kau sudi membantu aku menyampaikan kisah dan cerita ini. Semoga kejahatanku ini menjadi teladan dan sempadan kepada semua. Dan yang sangat kuharapkan, agar jenazahku akan sudi untuk diterima bumi,” terdengar dengan suara sendu dan kian perlahan pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu bersuara.

Aku hanya terpekur. Lama sekali. Sehingga tidak kusedari saat bilakah pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api itu menjauh dan menghilang.

Ketika kedua belah telingaku dijengahi kumandang azan, terpisat-pisat kedua belah kelopak mata kubuka. Dan telingaku. Terasa ada cairan yang meleleh. Di telinga kiriku. Sejuk dan cair. Aku terpana dan di dalam hatiku pantas terdetik tanya yang lain.

Apakah pula musibahnya ini? Apakah?

Cairan itu terasa semakin deras meleleh dan kini sudah mulai menitis ke bahuku.

Oh. Baru kusedari kini. Cairan yang meleleh dari telinga kiriku itu dan kini sudah mulai menitis ke bahuku tidak lain dan tidak bukan adalah titisan  air mata. Ya, titisan air mata.

Oh. Baru kusedar kini. Yang menangis itu adalah telinga kiriku. Ya, telinga kiriku sedang menangis!

Tetapi kenapa dan apa punca sebenarnya? Kini tanya itulah yang menerjah benak dan fikirku.

Semula kukira persoalan mimpi dan pemilik wajah bopeng dan berparut bagaikan bekas terkena api telah usai.  Tetapi kini? Hadir pula pesoalan lain mengganggu hidupku. Yang lebih membuat aku berasa tidak selesa serta sangat terganggu.

Dan Subuh itu, kutunaikan solat dengan tangisan yang tetap meleleh dari telinga kiriku. Aku tidak ingin terlalu memikirkannya. Biarlah tangis itu berterusan. Biarlah

Januari 14, 2013

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 2 Jun 2013