Ahad, April 27, 2014
PERGI MAMPOSLAH
MARAH saya memang akan mudah meledak bila sabar dan diam saya dianggap ruang untuk memudahkan orang lain meludah dan melempar najis ke muka marwah saya. Namun secara terbuka seingat saya, baru sekali saya bertempik dan meledakkannya di depan khalayak. Itu pun setelah selama beberapa tahun saya menahan sabar dengan sindir dan perli sedemikian.
Sebagai manusia biasa bohonglah jika saya katakan tidak akan berasa tersentuh dengan segala umpat dan gunjingan orang di belakang saya. Namun walau berkali disampaikan orang bahawa si anu mengata saya begitu dan begini, tidaklah sesegera itu pula saya pergi menyergah dan menyerang si pengumpat itu kembali.
Begitu juga, bukan sekali atau dua saya diberitahu betapa ada orang mengata betapa saya ini cita-citanya sahaja melangit namun ilmunya tidaklah setinggi mana. Namun saya tidak mahu terlalu mengacuhkan gunjingan sedemikian. Kerana maju dan mundur saya sebagai penulis, saya sedar, bukanlah kerana gunjingan begitu, tetapi kerana usaha keras saya sendiri.
Saya akui betapa pencapaian saya masih terlalu sedikit dan kerana itu masih tetap terus berusaha untuk menghasilkan karya demi karya, tidak ingin berasa bangga dan berbesar diri yang bukan pada tempatnya.
Namun begitu, dalam keinsafan terhadap kekerdilan pencapaian sendiri dan terus berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dirinya sendiri itu, saya tetap berasa bahagia dan bersyukur.
Kerana setidaknya, saya tidak memijak dan mempergunakan orang lain untuk mendapatkan sesuatu. Kejayaan saya, memang turut dibantu oleh sejumlah guru dan insan yang berbudi, namun itu saya iringi pula dengan usaha keras tanpa jemu, sedikit demi sedikit.
Jadi kepada yang ingin, umpat dan kejilah saya terus sekehendak hatimu. Kepada kalian sedemikian, saya ucapkan: Pergi mamposlah, kau!
April 27, 2014
Rabu, April 23, 2014
MAYAT DAN KETUANAN
SEMAKIN jelas kenyataan bila politik dan keangkuhan manusia dikedepankan di dalam nurani, jasad yang sudah tak bermaya pun tega dijadikan musuh dan bahan sendaan.
Nampaknya kita ini memang bangsa yang hebat dan terlalu berani berdepan hanya dengan jasad yang sudah tidak bernyawa. Namun ketika di depan mata sendiri tanah demi tanah, rumah demi rumah terlepas ke tangan orang lain, kita hanya tercenung dan selantangnya masih menyanyikan lagu kebanggaan berimakan ketuanan.
Nampaknya kita ini memang bangsa yang hebat dan terlalu berani berdepan hanya dengan jasad yang sudah tidak bernyawa. Namun ketika di depan mata sendiri tanah demi tanah, rumah demi rumah terlepas ke tangan orang lain, kita hanya tercenung dan selantangnya masih menyanyikan lagu kebanggaan berimakan ketuanan.
Mungkin kita sudah menjadi terlalu rabun sehingga tidak melihat realitas apa yang terpampang di depan mata. Di kota dan pekan, siapakah yang meramaikan ruang perniagaan, pemilik tanah dan bangunan?
Ya, marilah kita terus berbangga dan mabuk dengan momok ketuanan.
Kita memang bangsa yang diperbodohkan oleh orang-orang yang kita berikan percaya dengan sebuah undi. Kita pun terus didodoikan dengan mimpi demi mimpi!
April 23, 2014
Jumaat, April 11, 2014
SAYA HENDAK MINTA TOLONG
KETIKA sedang bersiap
mengenakan helmet dan mahu menghidupkan enjin motor Dorado 250 cc yang saya parkir di hujung
sebuah restoren yang sudah pun menutup perniagaannya petang itu, saya melihat
seorang pemuda tiba-tiba muncul dan berdiri terpinga-pinga sambil berpaut pada
tiang papan tanda di hujung simpang tidak jauh dari tempat saya berdiri.
Melihat wajahnya yang
keruh dan jauh merenung serta seperti orang yang sedang kehilangan punca, gerak hati saya menduga pemuda ini pasti sedang
dalam sesuatu kesulitan. Duga saya itu ternyata benar. Sebaik sahaja disapa,
pemuda itu segera mendekat dan bercerita dengan wajahnya yang kusut dan keruh.
Kata pemuda itu, dia
yang datang daripada sebuah kampung di Rantau Panjang, Kelantan sudah dua malam
tidur di bangku taman kerana sudah
kehabisan wang. Puncanya, dia ke mari hanya dengan wang secukupnya untuk
tambang kerana mempercayai janji kawannya yang meminta dia ke mari kerana ada
lowongan kerja sebagai pemandu lori mengangkut tanah di Semambu.
Namun sebaik sahaja
tiba di sini, kawan yang sebelumnya telah dia minta alamat tempat kerjanya itu
hanya menyuruh dia menelefon sebaik sahaja tiba. “Tetapi sampai sudah
telefonnya tidak diangkat dan hanya mesin
suara yang menjawab,” cerita pemuda itu.
Saya merenung pemuda
itu ke atas dan ke bawah.
“Saya hendak balik pun
duit dah tak ada. Saya ke balai polis minta tolong mereka suruh saya ke masjid.
Saya ke masjid pihak pejabatnya kata tiada peruntukan dan suruh saya ke PERKIM
pula. Di PERKIM pun serupa juga. Mereka
kata mereka pun tiada peruntukan untuk membantu orang yang susuah seperti saya,”
pemuda itu meneruskan ceritanya.
Saya masih merenung
pemuda ini ke atas dan ke bawah. Sambil menyedari hari semakin menghampiri
maghrib.
“Saya ingat kalau
susah sangat, saya hendak pergi ke gereja saja,” kata pemuda itu lagi.
Saya tidak salahkan
pemuda ini jika demikian akhirnya dia berfikir. Jika saya sekalipun di keadaan
dia dan dalam keadaan yang sangat terdesak, untuk hanya sekadar mendapatkan
wang untuk tambang pulang ke kampung, setelah “tertipu” dengan janji kawan yang
menawarkan lowongan kerja, setelah ke sana dan ke mari memohon belas dan
pertolongan, namun tiada siapa yang sudi hendak menolong, apakah lagi pilihan paling
dekat yang saya ada?
Melihat wajah dan air
mukanya, saya yakin dan percaya pemuda itu tidak berbohong. Saya berani
mengatakan itu kerana saya pernah merasai saat keputusan duit ketika
bersendirian di Kuala Lumpur suatu masa dahulu.
Hanya Tuhan yang tahu betapa malu dan hinanya diri untuk meminta pertolongan daripada
orang yang tidak kita kenali. Mujur saya diberikan Tuhan jalan ikhtiar. Saya segera teringat saya pernah menulis
beberapa karya di sebuah majalah dan kebetulan majalah tersebut saya bawa
bersama. Dengan muka yang kulitnya terasa setebal dua inci, saya mencari
pejabat majalah tersebut di Subang Jaya dan sebaik berjumpa pemilik majalah
itu, berterus-terang saya memberitahu saya sudah kehabisan wang untuk tambang
pulang ke Kuantan dan kerana ada karya saya yang disiarkan dalam majalah
terbitannya, saya meminta wang untuk
beberapa karya itu. Syukur saya diberikan wang sekadarnya yang memadai untuk
saya membeli tiket bas pulang ke Kuantan. Namun sampai kini, saya masih tetap
tidak lupa bagaimana sorot pandangan dan senyum mengejek beberapa petugas di
pejabat majalah itu sebaik sahaja saya keluar dari bilik ketua pengarangnya dan
melintasi mereka menuju ke pintu keluar!
Dengan hati waspada
saya bertanya pemuda ini apakah ada sesiapa yang dia kenali yang boleh saya
tolong hubungi. Namun jawab yang dia berikan terlalu naif. Katanya, dia tidak
memilik telefon dan tidak ingat nombor-nombor orang yang dia kenali yang berada
di Besut.
Sayangnya saya tidak
begitu mendengar dengan jelas nama kampungnya yang dia sebutkan di Rantau
Panjang itu. Saya tahu, di zaman semoden ini mana ada lagi manusia yang tidak
pernah keluar daripada kepompong kampungnya dan ketinggalan di segi kemudahan perbankan,
misalnya, tidak memilik kad bank atau ATM!
Tetapi jauh di dalam hati saya sendiri mewajarkan. Kalau duit memang tidak ada atau sekadar punya untuk
cukup makan, apa lagi yang hendak disimpan dan kerana itu kad bank apa yang
hendak diandalkan?
Kerana tidak ingin
berlama-lama dan menyedari Maghrib yang semakin mendekat, kepada pemuda itu
saya katakan, “Mungkin ada yang hendak menolong. Tetapi susahnya sekarang ini
banyak yang menipu dan ambil kesempatan. Kerana itulah, bila ada mereka yang
benar-benar susah dan memerlukan, orang
susah hendak percaya.”
Namun saya sedar, syarahan
senja saya itu tidak akan membantu dia. Menyedari itu, saya segera bertanya
berapa jumlah wang yang dia perlukan untuk membeli tiket ke Kota Bharu.
“Tidak sampai ke Kota
Bharu pun tidak mengapa. Sampai di Jertih pun tak apa. Di Jertih saya ada
kawan,” jawab pemuda itu dan menyebutkan jumlah sebanyak RM 25 sebagai harga
tiket bas ke Jertih.
Saya tidak pasti dan
tidak ingat berapa sebenarnya harga tambang bas ke Jertih atau Kota Baharu.
Yang pasti, saya harap pemuda itu malam ini sudah berada dalam bas menuju ke
Jertih.
Ketika saya berpesan
supaya dia mengirimkan salam saya kepada ayahnya, baru saya diberitahu oleh pemuda
itu bahawa dia sudah tidak berbapa dan
hanya tinggal di kampung bersama meknya.
Hanya sayangnya, saya
terlupa hendak bertanyakan nama pemuda itu dan apa nama kampungnya di Rantau
Panjang!
Saya hanya ingin
bersangka baik. Urusan selebihnya biarlah menjadi urusan Tuhan. Kalau misalnya dia
tidak jujur dan hanya bersandiwara dengan saya, biarkanlah.
“Biarlah segalanya
ditentukan oleh Tuhan. Kalau dia tidak bercakap benar, biarlah dia menjawabnya
dengan Tuhan,”kata saya kepada pemuda itu.
Setelah berpesan agar
dia melintas jalan yang dijejali kenderaan yang laju memecut itu menggunakan
laluan lampu melintas dan saya pastikan dia berjalan melintasi padang dan
kemudiannya saya lihat dia semakin jauh berjalan menuju ke arah setesen bas
bandar berhampiran pasar, saya segera menghidup enjin motor dan menghala pulang
sebelum azan Maghrib mula berkumandang.
Kini, ketika mengetik
catatan ini, saya tercenung memikirkan sendiri.
Hati kita manusia yang
bernama Melayu dan Islam ini apakah sudah
semakin menjadi kaku dan hilang rasa simpatikah kini? Kalau
sekalipun kita ditipu sebanyak lima atau sepuluh ringgit oleh seorang perayu
yang menggunakan modal kehabisan wang untuk tambang pulang kerana tertipu atau
diperdayakan, apakah kerananya kita akan menjadi miskin dan papa kedana dalam sekelip mata? Rasa
saya tidak.
Entahlah. Mungkin
kita hari ini mudah dan terlalu cepat berlagak bagaikan dialah tuhan yang
menilai seorang manusia sebagai begitu dan begini. Sehinggakan begitu, bila
bertemu dengan manusia yang memang sedang benar-benar ditimpa kesusahan, kita pun
secara pukul rata mengatakan bahawa dia
ini juga adalah manusia penipu yang
ingin mengambil kesempatan atas rasa kasihan dan simpati kita!
Berhubung persoalan
ini, saya tidak ingin menuduh sesiapa atau berlagak seolah-olah sayalah yang
lebih mulia dan suci ketimbang orang lain.
Setiap kita punya hak
untuk berfikir dan memilih.
April 11, 2014
@MARSLI NO - Penulis
lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian,
demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi
lewat email marslino@yahoo.com
Selasa, April 08, 2014
BEGINILAH MELAYU (1)
KETIKA saya melangkah masuk ke gerai makan di bawah pokok itu memang saya niatkan di dalam hati bahawa saya datang untuk makan di gerai itu bukan hanya mahu makan secara percuma di situ.
Tetapi seusai makan dan mahu memanggil pelayannya untuk mengira berapa yang perlu saya membayar, saya terperanggah seketika bila melihat terpampang satu nota besar tertulis di kaunter yang di belakangnya sedang duduk memanggung kaki seorang wanita: SILA BAYAR DI KAUNTER.
Jauh di dalam hati saya merungut sendiri. Saya datang ke gerai ini sebagai pelanggan dan mahu mendatangkan wang kepada pemiliknya. Tetapi kenapa demikian caranya pelanggan dilayan serta dirai? Pelanggan diarah datang menyembah taukeh warung yang duduk di bangku tinggi sambil memanggungkan kaki, semata-mata untuk memberitahu apa yang telah dia makan dan membayar harganya di situ.
Beginilah Melayu. Baru menjadi taukeh warung sudah berlagak sombong dan berangin tinggi. Patutlah sebelumnya tadi pelayan yang berkali-kali saya meminta datang untuk mengira membuat tidak tahu atau memekakkan telinga!
Memang perangai sombong Melayu yang tidak bertempat ini selalu dapat dijumpa bila ke gerai atau restoren milik mereka. Dengan dalih arahan LAYAN DIRI pelanggan dibiarkan mencedok dan mengambil sendiri apa yang hendak mereka makan, walau hanya kitalah satu-satunya pelanggan ketika itu!
Saya sebenarnya tidak sangat berasa terkilan dengan perintah dan arahan yang sedemikian jika gerai atau restoren itu memang bersifat ekslusif, tertutup dan berhawa dingin. Namun keadaan ini tidak berlaku di premis yang walaupun bersifat ekslusif tetapi jika pemiliknya bukan Melayu. Sebut sahaja "bil" pelayan akan datang membawa kertas berisikan jumlah yang perlu kita bayar dan tidak pula merungut atau mengarahkan kita ke kaunter jika diserahkan bayaran kepadanya. Tetapi kalau restoren yang konon-konon "ekslusif" milik Melayu? Kalau kita tidak diarahkan membayar di kaunter, bukan nama restoren Melayulah!
Memang bagi sebagian orang perkara yang saya timbulkan ini kecil dan remeh. Namun sebagai pelanggan, saya selalu meminta hak saya dihormati kerana bagi saya pelanggan tetaplah raja dan saya tidak memakan secara percuma. Berdepan dengan warung dan restoren sedemikian, itulah kali pertama dan terakhir saya ke sana!
April 8, 2014
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Khamis, Mac 20, 2014
BELAJARLAH MENYANTUNI PELANGGAN ANDA
SAYA tidak fikir dia
yang membuka perniagaan alat tulis dan buku-buku di sekitar pekan di mana saya
tinggal itu tidak mengharapkan pelanggan datang ke premis atau kedainya. Saya
tidak fikir begitu, kerana sebagai "peniaga" dia pasti sahaja
mengharapkan pelanggan masuk ke kedainya dan berbelanja sedikit atau sebanyak
memberikan dia hasil serta laba untuk dia terus menghidupkan hayat
perniagaannya.
Tetapi bila melihat
nota di muka pintu kedainya, yang ditulis dengan huruf sebesar 20 poin, membuat
saya sejenak tercenung dan berfikir: apa perlunya dia mencatatkan nota
sedemikian di muka pintu kedainya? Sebagai peniaga bukankah dia sepatutnya
mengalukan pelanggan masuk dan bukan menyatakan ayat-ayat kurang mesra yang
boleh menghalau niat pelanggan untuk masuk ke kedainya.
Saya sangat pasti.
Kedai itu memang menjual peralatan tulis menulis dan buku-buku (sebagiannya
novel-novel popular yang menggamit perhatian saya untuk melihat lebih dekat).
Saya pasti sebagai pemilik kedai itu (tidak pedulilah sebagai penyewa atau
memang miliknya) dia tidak tidur baring
bersama keluarganya di dalam ruang kedai itu dan andai mahu bersolat atau
sebagainya yang memerlukan ruang yang terpelihara kesuciannya, saya fikir dia
bisa mencipta sebuah ruang di bahagian paling belakang kedainya. Itu pun kalau
kedainya itu memang tidak punya ruang belakang yang khusus.
Kerana itulah,
membaca nota yang jelas terpampang di pintu masuk ke kedai itu, yang menyuruh
pelanggan menanggalkan kasut dan meninggalkannya di luar kedai, bagi saya adalah
suatu perbuatan kurang cerdik bagi seorang pekedai menjual alat tulis dan
buku-buku, apa lagi di sebuah pekan yang didatangi pelbagai bangsa, kaum dan
agama. Saya bertambah mengatakan kurang cerdiknya pemilik kedai itu kerana di
seberang jalan, sebuah kedai yang mengaku di papan tanda kedainya sebagai
penjual buku-buku dan peralatan agama Islam tidak pun menyuruh pelanggan meninggalkan
kasut yang dipakainya di luar kedai sebelum masuk ke dalam kedai!
Saya tidak fikir
pemilik kedai alat tulis dan buku-buku yang menghendaki sesiapa yang mahu
berurusan di dalam kedainya mestilah meletakkan kasutnya di luar (walau
dituliskan dengan kata 'sila') itu seorang yang tidak tahu berfikir (kalau pun
bukan bodoh). Tetapi jika dia boleh berfikir dan bukan orang yang bodoh, kenapa
dia meletakkan juga nota itu di muka pintu kedainya?
Saya fikir ini
sebagiannya merupakan lanjutan dan warisan daripada amalan kata hikmat
"layan diri" yang semakin berleluasa dipamer serta diamalkan
dikalangan para peniagaku yang berbangsa Melayu serta beragama Islam juga. Meski premis perniagaannya hanya di bawah
pohon ceri, namun kerana budaya serta amalan layan diri itu, pelanggan yang
datang mahu memberikan mereka rezeki dilayan bena tidak bena dan ketika mahu
membayar diminta membayar dikaunter yang mencatatkan nota "Sila bayar di
sini !!!!" dengan empat atau lima tanda seru!
Saya fikir amalan
menyuruh pelanggan meninggalkan kasutnya di luar kedai pun asasnya kurang lebih
serupa juga, yang tidak lain tidak bukan bermula dan bertolak daripada budaya
"malas". Malas untuk setiap hari perlu menyapu habuk dan mengmob di
lantai kedainya.
Kerana itu jugalah,
premis perniagaan yang menjual tudung, selendang dan jubah, atau baju kurung,
pun menyuruh pelanggan meninggalkan kasut atau alas kaki yang dipakainya di luar
kedai. Seolah-olah di dalam kedai itu mereka tidur dan baring serta langsung
tidak boleh dipijak. Begitu juga dengan kedai menjual komputer dan
peralatannya, asal pemiliknya adalah Melayu, kebanyakannya
"memerintahkan" pelanggan yang mahu berurusan di kedainya juga
berbuat hal yang sama.
Tetapi kenapa di
kedai yang perniagaannya serupa dan pemiliknya selain Melayu tidak pula
menyatakan perintah sedemikian rupa kepada para pelanggan yang mahu ke kedai
mereka?
Saya tidak punya
jawaban mengenai itu. Hanya buat saya,
premis perniagaan tetaplah premis perniagaan dan perbuatan
"memerintahkan" pelanggan menanggalkan kasut sebelum memasuki peremis
mereka adalah perbuatan yang tidak mesra dan tidak mengalukan pelanggan.
Saya mungkin tidak
mendatangkan wang atau berbelanja sehingga puluhan atau ratusan ringgit jika
saya masuk ke kedai mereka, atau sekadar hanya membeli sebatang pen, tetapi
yang pasti, saya tidak akan berurusan dengan kedai yang pemiliknya adalah
sebangsa dan seagama dengan saya yang sungguh tidak mahu menyantuni
pelanggannya, yang meleltakkan nota perintah sedemikian rupa di muka pintu
kedainya begini.
Dan kerana itu juga,
jangan menuduh saya tidak mahu menolong perniagaan bangsa sendiri, ketika pada
waktu sama, anda tidak pernah cuba untuk menghormati saya sebagai pelanggan
atau bakal pelanggan anda.
Tidak hairanlah
perniagaan milik bangsa lain maju dan semakin maju, sedang perniagaan mereka
(walau tidak semua) hidup segan mati pun
tak mahu!
Mac 20, 2014
@MARSLI NO - Penulis
lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian,
demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi
lewat email marslino@yahoo.com
Isnin, Mac 17, 2014
PERINGATAN
SESEORANG yang berada
di depan atau di atas, jika kian ketara teledor dan bejat, perlu ditegor dan
diperingatkan agar kembali ke jalannya yang asal. Ini memang hubungan timbal balik. Jika yang di
atas sebagai pemegang amanah yang diserahkan oleh yang di bawah, yang di bawah
pula berkewajiban menyampaikan nasihat serta tegoran kepada yang di atas, juga
sebagai suatu amanah.
Namun bagaimana
sebenarnya di realitas dalam kehidupan bermasyarakat dan berpolitik bangsa
kita? Apakah yang di bawah dapat dan boleh menyampaikan tegoran dan peringatan
kepada yang di atas, sekiranya jelas dan nyata telah berlaku perlanggaran daripada
garis dan jalurnya yang lurus dan yang
sewajarnya dituruti?
Kita boleh
menjawabnya dengan ya dan boleh juga dengan tidak. Kerana, setelah terlalu lama
menggengam kuasa, yang pada hakikatnya merupakan suatu amanah yang diserahkan
oleh mereka yang berada di bawah, manusia selalunya mudah menjadi lupa dan
mabuk. Kuasa tidak lagi dipegang sebagai amanah, tetapi sebagai ruang dan
peluang untuk meraih segala kesempatan untuk diri sendiri.
Peringatan dan
tegoran yang di bawah kini bukan lagi keutamaan dan sesuatu yang perlu didengar
dengan takzim, sebaliknya telah berubah
menjadi sesuatu yang dianggap mengganggu dan menjadi ancaman kepada kuasa yang
sentiasa cuba dimapankan. Yang di bawah
kini bukan lagi mereka yang perlu dibenahi serta disantuni, sebaliknya, kerana peringatan
dan tegorannya, mereka malah dianggap musuh serta ancaman yang perlu segera
diberenggus dengan tindak yang kadang jauh daripada sifat maknusiawi.
Lalu tatkala di sana
sini berkumandang tegor serta peringatan yang di bawah, namun berbuat bejat,
serakah dan sewenang tetap juga berleluasa, maka bermulalah episod buram kehidupan
bangsa dan semakin berleluasa tanya: layakkah lagi mereka terus diberi percaya?
Walau apa pun
alasannya, rasa kecewa bangsa bukan
kerana lambang atau simbol, atau manifesto buatan manusia. Ketidakpercayaan marhaen hanyalah apabila
mereka kian berasa diperbodohkan dengan pelbagai janji yang tidak pernah
ditunai, simsalabim kata-kata dan sunglapan demi sunglapan.
Betapa pun akhirnya
dikoarkan sejuta laung ketuanan!
Mac 17, 2014
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke
mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan
kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Langgan:
Catatan (Atom)
