Selasa, Februari 06, 2024

ORANG-ORANG LAPAR (2)

 

Belakangan ini, soal kelesuan kritikan sastera  kembali diperkatakan. Tidak sahaja oleh mereka yang berminat dengan isu ini, tetapi juga oleh mereka yang memang sudah pun bergelar pengkritik dan sarjana.

 

Saya memang ingin bercakap lanjut beberapa hal yang dirasakan penting mengenainya.

 

Tetapi bila fikirkan ini bagaikan mengulang semula apa yang pernah dibincangkan mereka yang lebih arif pada tahun-tahun sebelum ini dan menyedari kritikan bukanlah bidang penguasaan, saya tidak jadi meneruskan niat ini dan memilih untuk  hanya bercakap beberapa hal ringkas dan kurang penting mengenainya sahaja. 

 

Benarkah kritik mampu menjulang dan mematangkan karya seorang penulis?

 

Saya peribadi meyakini bahawa seorang penulis yang tahu dan sedar peranannya sendiri sebagai penulis, tanpa adanya kritik dan perhatian pihak lain, akan tetap juga menulis dan terus menulis.

 

Hanya penulis dalam golongan orang-orang lapar sahaja yang berasakan, tanpa kritik dan pujian semangat berkarya mereka akan menjadi kendur dan sekaligus juga amat percaya bahawa hanya dengan kritik sahajalah, kemajuan dan ketinggian mutu sastera dapat dipacu.

 

Saya bukan anti kritik atau memandang kritikan terhadap karya sebagai musuh.

 

Tetapi untuk dan perlu apa sebuah kritik, jika pengkritik sekedar mempamerkan ego dan kebodohan dirinya sendiri di dalam tulisan kritikannya jika hanya ghairah mempertanyakan keperibadian penulis dan segala sesuatu yang tiada di dalam karya?

 

Misalnya mengungkapkan di dalam kritiknya, "Kerana menulis dalam semua genre, kita sulit mengkategorikan apakah si A seorang cerpenis atau penyair." Atau dalam tulisan kritikannya yang lain disebutkan, "Si A terkenal sebagai penyair yang amat teliti memilih kata-kata untuk puisinya. Tetapi entah kenapa, dalam puisinya yang ini, si A kelihatan sembrono amat." 

 

Lebih memualkan bila pengkritik berasakan dirinya lebih cerdik dan ingin mengajar penulis bagaimana cara sebaiknya menuliskan karya, tetapi bahan dan sumber karya penulis yang dirujuk sebagai bahan kritikannya bukan karya dan bahan yang bersifat terkini.

 

Selepas era pengkritik Keris Mas, Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, Baha Zain, Muhammad Haji Salleh, Umar Junus, Shahlan Mohd Saman, Othman Puteh, Mana Sikana, Anwar Ridhwan, Arbak Othman (beberapa nama sebagai contoh) pada kurun waktu 70an, 80 dan 90an, saya peribadi tidak menemukan tulisan kritikan yang benar-benar berwibawa, yang dapat dijadikan cermin oleh pengkarya dan sekaligus mempamerkan kebijaksanaan serta kematangan fikiran si pengkritik.

 

Kemunculan sejumlah nama pengkritik selepas itu, pada kurun tahun 2000 ke atas ini, juga  tidak banyak menghasilkan karya kritik yang berwibawa.

 

Kehadirannya tetap ada, namun sifatnya lebih kepada pengulangan dan ada kalanya seperti bertolak semula ke belakang. 

 

Seperti juga manusia lain, saya kira pengkritik karya sastera juga tergolong orang-orang lapar atau kalangan manusia yang laparkan pujian dan sanjungan.

 

Kerana ini jugalah mereka marah dan mudah tersinggung jika karya dan hasil kritikannya kembali dipersoalkan pengkarya.

 

Seolah-olah merasakan dirinya dewa dan orang mulia suci yang tidak boleh disentuh!

 

-- MARSLI N.O

23.1.2021

 

Khamis, September 08, 2022

KISAH 5 TAHUN DAHULU


LIMA  tahun dulu, sasterawan yang satu ini, kerana memilih untuk menyeberang pilihan serta faham politiknya, bertalu-talu dia dihenyak, diserang dan dikecam.

Tidak sahaja oleh orang yang awam dan para abdi politik anjing penjilat, juga oleh sesama sasterawan atau yang merasakan dirinya sasterawan.    

Pihak institusi, yang pernah menerbitkan karyanya dan menjadi urusetia pemberian anugerah negara kepadanya, terutamanya setelah diketuai aparat abdi politik, turut memingirkan dia dan seolah telah melupakan dia dalam banyak acara sastera anjuran mereka.

Karya yang dia tuliskan yang di siarkan di portal milik nya diserang bertubi-tubi dengan pelbagai caci maki oleh para anjing dan babi penjilat. Semata-mata kerana dialah satu-satunya sasterawan yang berani berterus terang serta berkata benar.

Kerana tegorannya agar Melayu tidak hanya berbangga dengan silat dan laung ketuanan semata-mata, sekali lagi dia diserang bertubi-tubi dengan caci maki oleh para anjing penjilat yang menyamar sebagai pejuang dan penjaga kesucian seni silat negara.

Aku yang hanya melihat dan mencatatkan perangai laku manusia, secara diam dan jauh, belajar dan jadi mengerti mengenai hati budi manusia yang mengaku sasterawan di Malaysia.

Alangkah mual dan jengkel melihat betapa sebahagian besar mereka sanggup menukar manusia mereka menjadi babi dan anjing, semata-mata demi upah, peluang dan ganjaran! Walau cara mendapatkan nya, mereka telah menggigit dan menyalak kerana arah dan suruhan tuan mereka.

Aku yang melihat berasa sedih dan terkilan tidak terkata membaca segala caci maki itu. Ku bayangkan, betapa terluka juga hati dan perasaan anak dan waris sasterawan yang satu ini membaca segala carut dan maki itu.

Akhirnya, kerana tidak sanggup lagi membaca segalanya, kupilih untuk memblock apa sahaja portal atau ruang maya yang di aktifkan oleh anaknya yang kukenal baik.

Itu 5 tahun yang lalu. Ketika para Tuan dan politikus bejat itu berleluasa.

Kini rakyat telah menggunakan haknya dan menentukan betapa segala kebejatan serta kesewenangan itu perlu segera di hentikan.

Maka bertukarlah partai dan pemimpin. Yang dahulu disebut pembangkang kini bukan lagi pembangkang.

Maka segala penjilat itu menjadi sedar lah mereka dari mimpi muluknya dan melihat semula kenyataan dengan mata terperanggah.

Dan sasterawan yang satu ini, khabarnya kembali berbondong diramahi.

Tetapi aku yang melihat serta memerhatikan semua ini dari jauh, tidak pernah melupakan kata yang dia ucapkan kepadaku, pada satu tengah hari di Balai Budaya DBP sekitar tahun 1988. "Jika saya sanggup mereka perlakukan begini, anda nanti mereka tendang-tendang saja," demikian ujarnya.

Memang benar itu Pak. Saya sudah melalu nya tetapi akan tetap melawan, meski hanya bersendirian.

Itu 5 tahun dulu.

Hari ini, wajah sebenar para penjilat itu kian terserlah.

11 Mei, 2018



Khamis, September 01, 2022

KAU SILAP


KAU silap bila ingat atau fikir semua orang kau boleh hendak uji dan duga. Konon kerana kau hendak lihat apakah seorang itu boleh terima sesuatu secara terbuka atau tidak.

Memang kau terlalu silap bab ini. Sebab bila orang datang dengan lapang dada dan terbuka hendak bersahabat tetapi kau sambut dan balas dengan cara begitu.


Memang kau terlalu silap. Sebab kau lupa, betapa orang yang cuba kau hendak uji dan duga itu, tidak membukakan dirinya pada setiap waktu dan tidak sedia untuk bersahabat dengan semua orang!


24 April 2019



Sabtu, Julai 17, 2021

YANG ABADI

SEABADI apa pun kehendak siapa yang menulis atau mengkaryakannya, namun sebuah karya sastera yang aku hasilkan tidak ingin aku samakan darjat, kesucian, kemuliaan sifat dan keabadiannya seperti  Qalam-Nya.

Kerana aku sedar siapa diriku sebagai manusia.

Aku hanya berusaha menulis dan mengkaryakannya sebatas yang tidak bersalahan dengan moral serta agama yang aku yakini.

Soal disukai orang atau tidak, bukan urusan diriku.

Aku hanya mahu menulis dan berkarya sejujur hatiku, menurut apa yang telah aku yakin dan percayai.


-- Marsli N.O

17.7.2021

Sabtu, Jun 19, 2021

PALSU

KERANA sudah sering mengalami maka aku jadi tidak tergiur untuk menerima dan mudah  mempercayai segala 100%. 

Di depan mereka yang tidak pernah tahu, berlagak dan berlakonlah pamerkan kesucian dan kewalian dirimu.

Sementara pangkat dan kuasa dalam genggaman, berlagak dan pergunakanlah sepuasnya. 

Apa-apa yang pernah berlaku, kau jawablah nanti dikemudian hari.  

Aku tidak akan menyembah dan menjilat.  


MARSLI N.O

19.6.2021


Rabu, Jun 16, 2021

KAWAN MASA SEKOLAH

TAHUN 1970 kami berpisah. Saya membawa haluan sendiri untuk meneruskan hidup selepas itu. Tanpa pendidikan formal yang tinggi, berjuang terus menerus untuk setidaknya agar tidak  menjadi lipas atau sekeping kertas kosong yang kumal.

Syukur. Walau tidak terlalu tinggi. Saya mampu meneruskan hidup agar tidak menjadi pengemis dan mampu memberikan pendidikan ke universiti untuk semua anak.Awal tahun 2018, melalui media sosial seorang kawan telah berusaha mempertemukan semula kami di alam maya.  Kembali bertemu kawan masa sekolah. Tentunya dengan pelbagai ragam dan karenah.

 Awal tahun 2019 ini, salah seorang mengajak bertemu. Tentunya saya menyambut dengan gembira.

Tetapi sesudah pertemuan itu, saya berasa agak terkilan dan sesal.


Sesudah puluhan tahun tentulah terlalu banyak perubahan terjadi dan merubah manusia. Pengaruh persekitaran, kawan-kawan sekeliling dan pekerjaan, tentulah mempengaruhi sikap hidup dan cara berfikir seorang manusia.


Hanya yang sedikit saya sesal, sesudah puluhan tahun berpisah dan kemudian kembali bertemu, kawan saya yang satu ini terlalu taksub dengan sikap politik dan pandangan hidup peribadinya. Sehingga sanggup dia berkata, "Rasuah tidak mungkin dapat dihapuskan."


Seolah-olah untuk yang satu ini, dia lupa atau sengaja lupa betapa Tuhan telah memberikan dia akal untuk menilai buruk dan baik sesuatu tindakan. Juga untuk membuat pilihan, menerima dan menolak.


Tetapi malam pertemuan itu, kerana tidak mahu merosakkannya dengan diskusi bernuansakan politik, saya merubah perbualan ke topik yang lebih santai, walau tidak berisi.


Mungkin kawan itu tersinggung kerana saya pinta dia tidak meneruskan syarahannya mengenai rasuah di malam pertemuan semula kami itu.


Tetapi saya hanya ingin berterus-terang. Cuma itu.


10 Januari, 2019

Rabu, Mei 26, 2021

SN BARU LAGI?


Perlukah tambahan SN lagi? Yang sedia ada sudah lengkap dan memadai rasanya. Tidak perlu penobatan baru jika yang sedia ada masih berperanan dan memberikan khidmat baktinya di  sana sini.

Jangan kerana hari ini ahli naga makin ramai maka siapa yang licik berlakon dengan songkok dan sampin pun berasa inilah waktu dia muncul lebih ke depan.

Tanpa tambahan SN baru akan kiamatkah sastera Melayu Malaysia?


Tidak perlu membazirkan duit rakyat.


18.5.2018



 

 

Sabtu, Januari 30, 2021

ORANG-ORANG LAPAR


BELAKANGAN ini, soal kelesuan kritikan sastera  kembali diperkatakan. Tidak sahaja oleh mereka yang berminat dengan isu ini, tetapi juga oleh mereka yang memang sudah pun bergelar pengkritik dan sarjana.

 

Saya memang ingin bercakap lanjut beberapa hal yang dirasakan penting mengenainya.

 

Tetapi bila fikirkan ini bagaikan mengulang semula apa yang pernah dibincangkan mereka yang lebih arif pada tahun-tahun sebelum ini dan menyedari kritikan bukanlah bidang penguasaan, saya tidak jadi meneruskan niat ini dan memilih untuk  hanya bercakap beberapa hal ringkas dan kurang penting mengenainya sahaja. 

 

Benarkah kritik mampu menjulang dan mematangkan karya seorang penulis?

 

Saya peribadi meyakini bahawa seorang penulis yang tahu dan sedar peranannya sendiri sebagai penulis, tanpa adanya kritik dan perhatian pihak lain, akan tetap juga menulis dan terus menulis.

 

Hanya penulis dalam golongan orang-orang lapar sahaja yang berasakan, tanpa kritik dan pujian, semangat berkarya mereka akan menjadi kendur dan sekaligus juga amat percaya bahawa hanya dengan kritik sahajalah kemajuan dan ketinggian mutu sastera dapat dipacu.

 

Saya bukan anti kritik atau memandang kritikan terhadap karya sebagai musuh.

 

Tetapi untuk dan perlu apa sebuah kritik, jika pengkritik sekedar mempamerkan ego dan kebodohan dirinya sendiri di dalam tulisan kritikannya jika hanya ghairah mempertanyakan keperibadian penulis dan segala sesuatu yang tiada di dalam karya?

 

Misalnya mengungkapkan di dalam kritiknya, "Kerana menulis dalam semua genre, kita sulit mengkategorikan apakah si A seorang cerpenis atau penyair." Atau dalam tulisan kritikannya yang lain disebutkan, "Si A terkenal sebagai penyair yang amat teliti memilih kata-kata untuk puisinya. Tetapi entah kenapa, dalam puisinya yang ini, si A kelihatan sembrono amat." 

 

Lebih memualkan bila pengkritik berasakan dirinya lebih cerdik dan ingin mengajar penulis bagaimana cara sebaiknya menuliskan karya, tetapi bahan dan sumber karya penulis yang dirujuk sebagai bahan kritikannya bukan karya dan bahan yang bersifat terkini.

 

Selepas era pengkritik Keris Mas, Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, Baha Zain, Muhammad Haji Salleh, Umar Junus, Shahlan Mohd Saman, Othman Puteh, Mana Sikana, Anwar Ridhwan, Arbak Othman (beberapa nama sebagai contoh) pada kurun waktu 70an, 80, 90an dan awal 2000, dengan hasil kerja kritikan Dr Rahimah A Hamid, Dr Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan sesekali Zaen Kasturi, saya peribadi tidak lagi menemukan tulisan kritikan yang benar-benar berwibawa, yang dapat dijadikan cermin oleh pengkarya dan sekaligus mempamerkan kebijaksanaan serta kematangan fikiran si pengkritik.

 

Kemunculan sejumlah nama pengkritik pada kurun tahun 2000 ke atas ini, juga  tidak banyak menghasilkan karya kritik yang berwibawa.  Kehadirannya tetap ada, namun sifatnya lebih kepada pengulangan dan ada kalanya seperti bertolak semula ke belakang. 

 

Seperti juga manusia lain, saya kira pengkritik karya sastera juga tergolong orang-orang lapar atau kalangan manusia yang laparkan pujian dan sanjungan.

 

Kerana ini jugalah mereka marah dan mudah tersinggung jika karya dan hasil kritikannya kembali dipersoalkan pengkarya.

 

Seolah-olah merasakan dirinya dewa dan orang mulia suci yang tidak boleh disentuh!

 

-- Marsli N.O

23.1.2021

 

Jumaat, Januari 22, 2021

KEPADA ANJING

KALAU dengan cara menghina mencerca diri dan karya orang lain yang tidak sehaluan denganmu atau yang kau benci, maka kau semakin menjadi kaya, disanjung orang, masyhur, dianugerahi gelaran sastera peringkat dunia atau yang sekasta dengannya, bagus dan berbaloilah.

Tetapi aku lihat keadaan kau tidaklah sedemikian. Keadaan diri, kehidupan dan karya kau tetaplah begitu-begitu juga. Tiada apa kehebatan dan kelebihan berbanding dengan mereka yang kau hina dan cerca itu.

Malah apa sangat hendak dilagakkan jika hidup setakat jadi penagih madat, dinafkahi oleh isteri, atau kalau jadi pemikir pun (kononlah) setakat melaungkan ideologi para tuan yang memberi kau upah. 

Kerana itulah bila setiap kali kau menghina diri dan karya orang lain atau diri dan karyaku, aku anggap semua itu hanyalah salakan anjing sahaja.

19.1.2021
 

 

Selasa, Disember 22, 2020

Isnin, Disember 21, 2020

KARYA SAYA DITOLAK, TETAPI MEREKA?



Karya saya ditolak. Tentunya dengan alasan tidak sesuai dan tidak mencapai tahap dengan dasar penerbitan mereka tetapkan (dalam kata lain, tidak bermutu).

 

Huluran salam tidak bersambut, tentunya dengan alasan sikap sombong dan berlagak saya membuatkan orang membenci saya. Disalah anggap dan dijadikan habuan fitnah, tentunya dikatakan kerana berpunca dari perbuatan jahat saya sendiri.  Dan dan dan entah apa lagi.

 

Bohonglah kalau saya katakan saya tidak berasa kecewa dan tidak berasa sedih walau sedikit pun.

 

Namun saya tidak ingin membebankan diri terlalu lama dengan rasa sedih dan kecewa sedemikian. 

 

Saya memilih untuk masuk dan terlibat di dunia sastera dan perbukuan ini dengan sedar. Saya tahu tiada jalan mudah untuk seorang manusia yang suka melawan dan payah untuk bersetuju seperti saya.

 

Kerana itu saya berusaha terus, menggigihkan diri dan belajar melupakan segala kata cerca dan hina, menawarkan rasa sedih dan kecewa dengan kembali bangkit berkarya tanpa jemu dan henti.

 

Saya tahu saya bukan sesiapa di sini. Bukan anak kandungan, tidak bersaudara  atau menjadi kenalan baik dengan seseorang penulis terkenal yang hebat lagi termasyhur atau berkedudukan di mana-mana jabatan, bukan seorang lepasan mana-mana universiti atau kolej, bukan seorang yang mampu berfikir  besar dan hebat seperti orang yang lain. Bukan.

 

Namun semua itu tidak membuat saya ingin bersedih dan merasa gagal. Malah tidak pernah ingin menjadikan semua itu alasan untuk tidak berkarya dan berbelas diri.

 

Sebagai manusia biasa yang hanya apa adanya, cukuplah jika saya dapat terus menulis atau berkarya sejujur hati saya dan seadanya sahaja.

 

Cukup dan memadailah saya menulis dan menyatakan segala sesuatu yang menyentuh hati nurani serta akal fikir saya sejujurnya sahaja.

 

Tanpa perlu ditambahkan niat untuk berlagak dan melagakkan sesuatu atas alasan kononnya seorang penulis mahu tidak mahu mestilah "mengajar" pembaca karyanya agar menjadi lebih bijaksana dan lebih manusiawi. 

 

Bukan itu tujuan saya menulis dan berkarya. Soal apakah nanti pembaca karya saya akan menjadi lebih cerdik dan bijaksana sesudah itu terserah mereka.

 

Setiap kali menulis dan berkarya, saya hanya ingin memberikan reaksi terhadap segala sesuatu yang menyentuh perasaan, fikiran dan nurani saya. Hanya itu.

 

Dan segala penolakan, tidak pernah menjadikan saya sedih dan kecewa terlalu lama.

 

Saya masih tetap begini juga. Saya tidak akan patah dan mundur. Tolaklah, cercalah, gunjinglah dan henyaklah, tidak mengapa. Nama untuk mengalah dan berasa kecewa atau merajuk, tidak sama sekali. 

 

 Tetapi mereka dan kelompok mereka?

 

Teruslah bermimpi dengan segala kesombongan dan teori hebat kalian. Atau kalau tidak pun, hasil usaha curian dan peniruan.   

 

--- Marsli NO

21 Jun 2019

 

 

Selasa, Disember 01, 2020

Jumaat, November 20, 2020

HANYA PENCACAI

SUDAH  lama sebenarnya saya tidak jumpa dan dengar khabar berita. Tambah selepas saya memilih diam dan lebih menyendiri. Dahulu pun, saya sahajalah yang menelefon dan menziarah. 

 

Tidak mengapa. Walau kadang seperti penyebok dan pengganggu.   Demi persahabatan saya sanggup buang ego dan tidak mahu putuskan perhubungan. Selagi dapat bersabar saya tetap bertahan dan berlagak seolah tiada apa yang berlaku dan terus menghubungi siapa yang saya anggap dirinya adalah kawan. 

 

Hinggalah kelmaren kami bertemu. Kerana bertahun saya tidak meletakkan dia di dalam ingatan, saya hampir lupa siapa dia.

 

Sikap dan perangai dia tetap seperti dulu. Sombong tetapi bodoh dan berasa cerdik bila dapat kembali menghujat pendapat orang, walau hujahnya senipis bawang.

 

Malah kerana ingin menumpang atau menunjuk hebat diri, tanpa silu dan dengan bangga dia membuat pengakuan  di depan orang banyak yang hadir di majlis itu bahawa saya adalah guru seninya. 

 

Saya sebenarnya tidak ingin siapa pun mengaku saya ini gurunya dan dia adalah pernah jadi murid saya secara terbuka di depan publik. Saya mahu biarlah ini menjadi rahsia yang tidak perlu hendak dihebohkan. 

 

Tetapi kerana mahu menjaga air muka dan "kemaluan" dia, saya menyabarkan diri agar diam dan tidak menampik dia di tengah ramai.  Saya tidak ingin memiliki walau sedikit pun rasa bangga walau siapa pun mengaku dirinya pernah berguru dan menjadi anak murid saya.

 

Kalau pun pernah ada, bagi saya itu adalah satu proses normal yang perlu saya depani,  sebagai satu tanggungjawab saya kepada masyarakat: membantu dan menyebarkan sesuatu yang baik dan berguna.

 

Cuma itu.

 

Terus terang saya hanya ingin terus hidup menyendiri dan bersunyi. Tanpa rasa terbeban oleh rasa berhutang dan memberi hutang kepada sesiapa pun.  Tidak perlu ada murid, pengekor dan pengikut.

 

Kerana itulah oknum yang kelmaren  mengaku dirinya dahulu pernah berguru dengan saya dan saya adalah gurunya itu patut berasa malu.  Malu kerana sudah sejak puluhan tahun, pencapaian seni dan sasteranya tiada membuktikan sebarang kemajuan.

 

Kecuali dia hanyalah seorang pencacai atau pesuruh, di luar sastera dan seni!

 

-- Marsli N.O,  5 Oktober 2020