Ahad, Januari 03, 2010

TAHUN BARU, MELANGSAI TEKAD DARI TAHUN YANG BERLALU


SAYA tidak terlalu ingin terpedaya dan terpengaruh dengan ritual sambutan awal tahun yang selalunya dimulai dengan ciptaan pelbagai tekad dan azam yang kononnya juga baru di tahun 2010 ini.

Saya katakan begitu kerana tahun ini saya hanya ingin merayakannya untuk diri sendiri dengan niat untuk melangsaikan segala baki dan hutang tekad serta azam dari tahun-tahun sebelumnya, yang belum saya tunai sepenuhnya.

Kerana di usia yang semakin merangkak ke senja ini, saya tidak mahu lagi begitu mudah terpedaya dengan segala macam cermin tipu daya, yang mudah mengajak saya agar berleka-leka agar membazirkan waktu terhadap benda dan perkara-perkara yang sebenarnya tidak perlu.

Tidak pedulilah apakah cermin tipu daya itu berupa ajakan dan bujukan kawan-kawan, keadaan atau tuntutan dari orang-orang yang saya sayang, saya mesti lebih bertegas untuk mengatakan tidak terhadap segala sesuatu yang boleh melekakan saya dari niat dan tujuan mula saya memasuki dunia tulis dan menulis ini: menulis, menulis, menulis dan membaca, membaca, dan kemudian menulis lagi.

Saya sedar saya sudah cukup dewasa untuk membuat pilihan sendiri, sama ada menerima dan menolak, juga dengan sikap bersedia menanggung segala risiko dari pilihan yang telah dan sudah saya buat.

Walau apa pun, saya hanya ingin menulis dan terus menulis. Hanya itulah sahaja kesenangan dan perkara yang menjadikan saya manusia bahagia di dalam hidup.

Kerana itu, selalu saya meminta dan berdoa kepada Dia yang Maha Memberi dan Mengasihani agar membantu dan terus memberikan saya kekuatan tenaga, akal, jiwa dan fikiran untuk menghadapi segala dugaan, baik dari kalangan sesama manusia, mahupun dari kalangan jin, iblis dan syaitan.

Tuhan, hanya kepadaMu aku berserah dan hanya kepadaMu aku merayu.

Januari 2, 2010

5 ulasan:

My Diary berkata...

Fragmen Tolong - Pekan Teater Negeri Pahang 2000. Karya Saudara!

Melihat Kesunyataan berkata...

Marsli N.O,
Azam yang indah dari penulis yang semakin gigih berkarya.

MARSLI N.O berkata...

Sdr. My Diari: Trima kasih atas ingatan segar Sdr. Selamat menulis dan menulis.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Shapiai: Terima kasih kerana sudi membaca, melawat dan meninggalkan jejak. Sdr memang insan yang budiman. Maaf terlalu lambat memberikan ucapan balas.

imlan adabi berkata...

Sdr... kita makin dekat ke alam lain