Ahad, Februari 28, 2010

LA Q

LA Q. Antologi cerpen eksperimental. Begitu tercatat di kulit depan buku dengan latar belakang warna biru gelap yang dicetak dengan huruf berwarna merah dan putih.

Antologi ini  memuatkan cerpen 33 karya para pengarang dari pelbagai usia yang diusahakan oleh Talib Samat di zaman kegemilangannya ketika bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Di dalam antologi ini, cerpen saya berjudul "Daging" siaran Dewan Sastera, Februari 1990 dipilih sebagai salah satu cerpen kategori "Futuristik/ Bakat Berpotensi/ Eksperimental". Bersama dalam kategori ini antara  lain ialah  Zaen Kasturi, Azmah Nordin dan M. Said Muharram.

Saya sendiri tidak begitu pasti apakah ini kali yang pertama atau kali ke berapa saya dilibatkan Talib Samat dalam projek penerbitan beliau. Yang pasti, seingat saya, di zaman kegemilangannya, Talib Samat banyak terlibat  sebagai penyelenggara atau sebagai oknum yang membantu sama ada secara langsung mahupun tidak penerbitan banyak karya teman-teman seangkatan, sama ada yang langsung dikenal Talib Samat mahupun tidak dikenali beliau.

Selepas penerbitan sebuah antologi cerpen eksperimen di era 1970-an, kumpulan cerpen selenggaraan Talib Samat ini merupakan penerbitan bagi tahun 1990-an yang dengan berani serta berterus-terang menobatkan dirinya sebagai sebuah antologi cerpen eksperiman dan tanpa sebarang rasa segan Talib mengisytiharkan betapa para pengarang yang karyanya dipilih beliau di dalam antologi ini  telah: "memaparkan cerpen-cerpen luar biasa untuk tatapan anda" atau pembaca.

Seingat dan sepengetahuan saya, sehingga ke hari ini, kehadiran kumpulan cerpen ini tidak pernah pun disebut atau dirujuk dalam pembicaraan mengenai cerpen-cerpen eksperimen di era 1990-an. Malah sekali imbas, terkesan juga seolah-olah ianya cuba dilenyapkan dari sejarah oleh pihak-pihak tertentu dengan mendakwa betapa kehadiran generasi 1980-an dengan cerpen-cerpen yang lebih bercirikan demikian, walaupun tidak terlalu ekstrim, seakan terputus dari sejarah.  Atau dalam kata lain yang mudah, seolah-olah tiada.

Sebanyak sedikit, saya dapat memahami  kenapa ini boleh berlaku. 

Ketika kumpulan cerpen ini dikerjakan, memang sudah mulai muncul beberapa nama dan nama-nama ini tidak dibabitkan Talib Samat dalam projek penerbitannya ini. Mungkin ini yang menjadi punca. Bila nama-nama ini semakin menjadi besar dan punya kesempatan untuk berbicara dalam banyak kesempatan, sedikit sebanyak dendam itu terlampias juga secara tidak langsung atau di luar sedar.

Saya dengan sengaja menimbulkan isu buku ini di sini tidak lain hanya dengan alasan fakta dan sejarah.

Mungkin apa yang dikerjakan Talib Samat ini tidak begitu lengkap dan sempurna. Tetapi setidaknya, Talib sudah memulai dan apa yang tidak sempurna itu, sepatutnya diperbaiki oleh mereka yang lebih kemudian.

Memang kalau mahu menyebutnya di sudut negatif, terlalu banyak yang boleh saya sebutkan seputar isu buku ini, karya eksperimen, sasterawan period 1980 dan penipuan sejarah.

Namun untuk ini, saya memilih untuk menulis hanya yang baik dan positif sahaja. Bagi saya, Talib Samat telah meninggalkan buah tangan serta sumbangannya dengan caranya yang tersendiri dan itulah yang terutamanya ingin saya sebutkan di sini.

Jadi kalau saya tidak pula menyebutkan di sini siapa dan bagaimana orang-orang yang mendengkinya telah menyusah dan cuba menganiaya jalan hidup Talib Samat, saya berbuat demikian bukan  kerana takut atau mahu menyembunyikan sesuatu.

Biarlah mereka yang berkenaan tahu sendiri.

Lagi pula saya di sini sekadar ingin bercerita mengenai sesuatu yang ada kaitan serta saya rasakan amat dekat dengan diri saya. Tetapi itu tidak bererti  saya juga  mahu menjadi hakim atau tukang hukum.

Februari 28, 2010

Tiada ulasan: