Rabu, April 14, 2010

APA YANG SALAH KERANA MELAWAN?


HIDUP  sebagai manusia Melayu yang  selalu menyombongkan dirinya ke seluruh pelosok dunia sebagai  manusia yang terkenal dengan ribuan adat serta sopan santunnya,   selalu dengan mudah dan segera menganggap betapa perbuatan melawan  atau apa sahaja kata yang sejenis, semakna dan semaksud  dengannya  diasiosikan dengan sesuatu yang bersifat  negatif.  

Kurang ajar, tidak sopan,  pongah, suka mencari gaduh, payah diajak berbincang, tidak mahu mendengar pendapat orang lain dan segudang label, kalau mahu, boleh terus dideretkan sebagai senarai tanggapan serta asosiasi negatifnya.

Justeru kerana takut dan khuatir dipalitkan dengan label-label negatif itulah maka banyak   manusia  bernama Melayu memilih untuk tidak melawan, walau pun dirinya diperlakukan sewenang, tidak adil, diremeh-remehkan, tetapi akan memendam dan mendiamkan sahaja segala rasa mengkal dan tidak puas hatinya terhadap kesewenangan terhadap dirinya itu di dalam perasaannya sendiri.

Lama kelamaan, hasil yang diperoleh dari perbuatan pemendaman yang terpaksa dipilih demi untuk mendapat gelar sebagai manusia Melayu yang baik, sopan dan tidak suka melawan itu adalah penyakit lain yang membarah di dalam dirinya secara perlahan-lahan: tekanan jiwa dan perasaan atau juga penyakit-penyakit di dalam usus yang berakibat dari kurang berkesannya  pencernaan serta penghadaman.

Lebih malang lagi,  kalau manusia yang memilih untuk tidak mahu melawan itu, semata-mata demi memperoleh gelar sebagai manusia Melayu yang berhemah tinggi, sopan dan bukan kaki melawan adalah dari kalangan seniman dan sasterawan.

Justeru karya dan hasil seni yang tercipta oleh mereka tidak lain adalah karya-karya yang sifatnya hanyalah ikut-ikutan, meneruskan apa yang sudah sedia ada dan wujud sebelumnya, tanpa semangat untuk mendabrak konvensi dan melakukan penerokaan kreatif yang  mampu membuka serta memperluaskan horizon seni, falsafah dan pemikirannya.

Sebagai seniman atau sasterawan sebenarnya tiada apa yang menjadi salah kerana melawan. Malah sikap dan sifat suka melawan itu selalu dituntut dalam sikap dan jiwa seorang seniman atau sasterawan. Tanpa sikap dan semangat itu, seorang seniman atau sasterawan  sekadar jadi burung beo, penurut buta dan pengulang-ulang konvensi.

Saya berani menyatakan ini dengan yakin kerana memang memilih hidup yang demikian.  Sebagai salah seorang seniman atau sasterawan, saya memang sejak mula memilih menjadi seorang pelawan, yang dalam hubungan ini, ingin mendabrak segala konvensi dan kekangan dalam berkreatif, yang cuba menetapkan aliran, gaya dan falsafah sebagai suatu standar yang baku dan mesti tidak boleh tidak dipatuhi, yang cuba menghambat saya menjadi pengembek dan pengekor melulu.

Saya tahu dan sedar, memilih hidup sebagai pelawan di tengah sebuah dunia yang dihuni lebih ramai manusia yang berlagak dan menyombongkan dirinya sebagai manusia Melayu yang sopan memanglah selalu dipersulit dan mendepani pelbagai duga.

Secara tidak nampak dan terselindung dengan pelbagai dalih dan jargon, sesiapa yang cuba menjadi pelawan akan ditakut-takutkan, dimomok-momok. Lebih-lebih lagi bagi  sesiapa yang hidup dan bernaung di bawah sesuatu persatuan atau institusi. Pastilah dalih prosedur, menjaga imej dan nama baik  selalu dijadikan senjata ampuh untuk melumpuhkan individu yang berniat melawan.

Tetapi saya secara peribadi tidak pernah berasa perlu untuk takut dan gentar kerana memilih menjadi pelawan.  Ini tentulah kerana saya bukanlah melawan secara sembrono, tanpa dasar dan pijakan yang jelas lagi kukuh atau sebagai anarkis yang mempersetankan segala prinsip moral serta agama yang saya anuti.

Saya melawan hanya sebatas hak yang saya fikirkan wajar saya perjuangkan. Menyatakan sikap dan pendirian saya yang saya rasakan benar, tanpa niat hendak meremeh dan memperlakukan orang lain sebagai sampah. Menuntut dan meminta apa yang saya fikirkan adalah hak dan wajar saya tuntut

Tentu sahajalah kalau mahu banyak yang boleh dijadikan contoh. Misalnya kalau ada ketetapan mengatakan sebuah novel  naskhah manuskripnya mestilah 200 halaman, maka saya melawannya dengan mengemukakan naskhah yang tebalnya hanya 120 halaman.

Kalau selepas tiga tahun menunggu saya tidak mendapat bayaran untuk sebuah karya saya yang diterbitkan, saya akan datangi yang berkenaan dan langsung meminta.

Atau  kalau ada yang menetapkan sebuah cermin setiap dialognya mesti diletakkan tanda cakap ajuk, saya memilih untuk membiarkan pembaca mencari dan meletakkannya  sendiri di dalam bacaan mereka. Agar dengan begitu mereka juga turut aktif berperanan sebagai "kreator".

Dan tentu sahajalah banyak cara untuk melawan yang lain. Contohnya, kalau karya saya tidak mahu diterbitkan oleh mana-mana institusi atau syarikat, saya melawan dengan cara menerbitkannya sendiri. Peduli apa orang hendak bilang saya syok sendiri. Duit saya dan karya saya, saya punya suka. Walau yang membeli karya saya hanya 50 tetapi saya lebih puas dari sekadar mendengar buku diterbitkan ribuan naskhah tetapi terperap di dalam gudang tidak diedarkan untuk dijual di pasaran.

Jadi apa yang salah kerana melawan? Melawan bukan bererti menghunus keris dan merodok perut orang lain  sesuka dan kehendak hati. Melawan yang saya maksudkan adalah dalam batas mencari dan meneroka ketika berkreatif dan berkarya, serta mempertahankan apa yang menjadi hak dirinya.

Peduli apa dengan segala momok dan ugutan yang sebenarnya tidak berasas: dipinggirkan, dibenci.
Malah seingat saya, walau sejak mula memilih menjadi pelawan, karya demi karya saya tetap juga diterbitkan dan tidak pernah disekat atau dihalang oleh mana-mana pihak atau institusi.

Sementara, yang tidak melawan dan berlagak sebagai Melayu yang sopan, pun tetap begitu-begitu juga. Walau kehebatan dan kemasyhurannya dijaja ke mana-mana oleh institusi yang menyukai sikap mengembek dan menjilatnya!

April 14, 2010

2 ulasan:

mohamad kholid berkata...

sedang yang senyap atau yang sering angguk pada suatu masa akan melawan juga dgn nada yg paling bisa dan menikam...

MARSLI N.O berkata...

Sdr Mohamad Kholid: Daripada mati sebagai bangkai, lebih baik melawan juga.