Isnin, Jun 28, 2010
DI NEGERI SENDIRI
Sajak MARSLI N.O
DI NEGERI sendiri aku bersunyi
bercakap kepada angin, laut dan matahari
Aku tahu aku hanya sendiri
bersunyi dengan sepi
Ketika kau mulai memilih
menjadi pelari yang tidak lagi mengerti
seperti si pekak yang kian menjadi tuli
Ketika sesama
menumbuhkan curiga di dalam diri
Menyubur menjadi rimba dan belantara
tempat berkeliaran
haiwan dan lembaga
menyeringai sentiasa
mengintai mangsa
siapa yang alpa
hanya untuk secuil laba
Kita sesama menjadi galak dan mabok
di dalam alpa
kerana tergoda oleh janji dan pura
Sesama sendiri
memilih duri
dan bukan lagi pekerti
Hati kita yang merambah haloba
membiak api membara
membakar waras di antara
timbang serta terima
Sebatang jasad di sebuah negeri
bernama cinta
kian lebur dan menghilang rupa
Kita bakal sirna
dan entah berubah menjadi apa
boragas atau masihkah
manusia
Di negeri sendiri
aku bersunyi
bercakap kepada angin, laut dan matahari
Aku ingin bersunyi
dan bersendiri
Kerana aku tidak ingin menjadi
peludah negeri sendiri
yang tidak peduli walau sekali
negerinya yang tenteram
berubah menjadi negeri berapi
asalkan hasrat menjadi pasti
Walau datang bertandang
musuh dan dagang
kembali membawa bencana berudulang
selagi hendak di hati berulang
sendiri mengaut untung dan senang
Aku tidak ingin menjadi peludah negeri
yang bijak melontar hujah
ketika bersungguh
hendak meyakinkan helah
dengan lidah terbelah
Di negeri ini
aku ingin bersunyi
dan bersendiri
bercakap kepada angin, laut dan matahari
Ketika kau mulai memilih
menjadi pelari
yang tidak lagi mahu mengerti
atau bangsa yang tega
meludah negerinya sendiri.
Jun 17, 2010
Sumber siaran: Malam Puisi Riong Berita Harian dan DBP, 26 Jun 2010 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur.
Versi Deklamasi: Sila telusur di Youtube dengan kata kunci MARSLI N.O
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 ulasan:
Kerana kelukaan itu sudah sebati
mari kita berenang di dalam sungai
kehidupan yang keruh airnya.
Sdr Zawawi: Memilih.
salam sifu..
saya kagumi cara saudara mendeklamasinya, bertenaga, lontaran suara dan ekspresi jiwa amat baik. saya mahu belajar..
Sdr Kelompen: Yang penting, jadilah diri sendiri. Selebihnya, hanya cermin.
MARSLI N.O
Catat Ulasan