Jumaat, Julai 30, 2010

SAYA EGO

KAU  ego. Begitu kata seorang teman yang menyampaikan khabar lewat telefon. Siapa yang cakap itu, saya bertanya lanjut ingin mengetahui lebih jelas. Namun tidak ingin teman itu menyatakan lebih lanjut dan kepada teman itu saya mengiyakan.

Ya, saya memang ego. Untuk apa marah atau berasa tersinggung kerananya. Kerana saya tahu saya memang memiliki perasaan itu.  Kerana punya rasa ego di dalam dirilah  maka saya mampu terus berdiri secara apa adanya, tanpa terlalu perlu mengharap serta menantikn tongkat dari sesiapa.

Ini dunia kejam, saya tahu. Siapa yang mudah mengalah dan cengeng akan menjadi mangsa  sesiapa sahaja yang selalu mengintai serta menunggu  peluang untuk membaham orang lain.

Walau tidak diberitahu secara jelas, namun berdasarkan latar lokasi dan inti cerita yang disebutkan oleh teman itu, saya mengagak ucapan dan perbicaraan itu datangnya dari sejumlah kecil mereka yang sebelumnya  pernah saya kenal sebagai teman sepejabat.

Walau kini saya tidak bersama lagi, namun khabarnya, perkembangan saya di luar bidang tugas di pejabat  tetap juga mereka baca atau mungkin ikuti secara tidak langsung.  Dan kata "ego" itu pun, menurut teman yang menyampaikan khabar itu, puncanya kerana suatu tulisan saya di sebuah akhbar sebelumnya.

Memang pun saya sudah tidak ingin ambil peduli mengenai segala ucapan orang lain terhadap diri saya. Apa lagi untuk sampai terlalu berlamaan berfikir benar atau tidak segala apa yang  disebutkan oleh teman itu.

Kasar atau tidak, ego atau apakah, biarlah hanya menjadi urusan diri saya sendiri. Saya melakukan sesuatu kerana memang memilihnya demikian.  Tanpa disuruh, diperintah atau dijanjikan untuk diberikan apa-apa ganjaran oleh sesiapa.

Berbahagialah  sesiapa sahaja  yang berasa perlu menjadikan dirinya pemantau sikap orang lain.  Tatkala diri sendiri belum habis menyelesaikan segala keburukan dan kemunafikan di dalam diri sendiri.  Berlagak atas nama kealiman, akademik, moral dan maruah, yang kadang-kala dia sendiri menjadi pencemarnya tanpa diketahui orang lain.


Memang saya mengenal sejumlah mereka. Ketika dahulu saya memilih menjadi manusia diam dan selalu berada di luar lingkungan, ketika  mereka bergulat dengan dunia ampu, bodek dan menjilat, semata-mata demi secuil pujian dan pangkat.

Ketika saya hanya tetap begini-begini juga, saya tidak pernah berasa kecil hati, atau ingin menyaingi sesiapa, walhal mereka. Kerana saya tahu, dunia saya bukan di sana dan apa yang saya inginkan pun bukanlah pangkat atau anugerah yang diperoleh dengan cara memfitnah atau memburukkan orang lain.

Rezeki hidup, ajal dan maut bukan ditentukan oleh kuasa apa pun selain Allah Subhanawataala. Saya amat meyakini itu. Dan itu terbukti benar. 

Sebagai seorang pekerja, tanpa perlu memfitnah sesiapa, pangkat saya dinaikkan juga kerana memang itulah rezeki yang ditentukan Allah buat saya.

Sedangkan mereka? Masih lagi tidak sudah dan hentinya ingin menjadi pemantau peribadi orang lain, hidup penuh dengan ampu,  bodek dan menjilat, walau tidak mendapat suatu apa pun.

Ketika di dalam diam, saya perlahan-lahan menjauh dari kelompok sedemikian dan sedikit demi sedikit menulis serta menerbitkan beberapa buah buku, mereka tetap juga menjadi pencacai yang tidak tahu malu dan tidak pernah mahu menghargai harga dirinya sendiri.

Mungkin ucapan saya ini ego. Tetapi kalau dikenangkan sakit dan peritnya diri serta jiwa diperlakukan mereka, saya fikir kerana ego itulah yang telah menyelamatkan saya.

Kerana ego itulah, saya tidak mudah patah semangat, walau cuba dipatahkan  dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Allah Maha Besar. 

Saya berterima kasih kepada Tuhan yang membantu saya bangkit dan melorongkan saya agar tidak berego yang tidak pada tempatnya.

Dan mereka? Saya berasa kasihan.

Julai 30, 2010

Khamis, Julai 22, 2010

KERANA DENDAM, SAYA MELAWAN

SEGALA cerca yang pernah saya dengar, segala kutuk yang pernah saya  terima semasa kecil, rasanya seperti baru semalam berlalu. 

Saya tahu dan sedar. Berbapakan seorang anak Jawa pendatang dan hidup di sebuah kampung di pantai timur semenanjung, ditambah dengan sifat saya yang selalu melawan segala sesuatu  yang dirasakan tidak adil, menjadikan sebab yang amat munasabah untuk menghina dan mengutuk saya.  

Terutamanya oleh mereka yang berasa dirinya lebih tua, lebih tahu dan berusia matang ketimbang diri saya yang waktu itu berusia sekitar sembilan tahun. 

Malah kadang-kala saya fikir, kerana ketika itu saya sudah tidak punya bapa  dan hanya menumpang hidup di tanah saudara mara di sebelah nenek, maka mereka berasa punya sebab dan alasan yang lebih kukuh untuk mengutuk dan menghina saya sebagai anak pendatang yang selalu membawa masalah.

Bukan tidak pernah terjadi pula, tidak hanya kutuk dan hinaan secara lisan yang memedihkan telinga serta melukakan hati saya yang mendengar, tetapi juga tindakan berbentuk fizik: sekeh, lutu dan tinju.

Namun saya tetap kembali cuba melawan dengan cara saya sendiri. Walau tahu tidak sepadan badan dan tubuh, namun lawan tetap lawan. Tumbukan saya balas dengan libasan batang kayu atau balingan batu.

Sehingga kini setelah dewasa, saya tidak sudah berfikir: apakah kerana saya sudah tidak punya ayah dan kebetulan arwah  seorang anak dari tanah Jawa, maka saya wajar dikutuk dan dihina hanya kerana kesalahan kecil, seperti misalnya terlalu lama menimba air untuk mandi di perigi  milik jiran?

Sampai kini saya masih tidak boleh melupakan segala  yang pernah melukakan hati dan perasaan. Segalanya bagai masih terngiang dan terbayang-bayang diruang pandangan.

Segala perbuatan mereka terhadap diri saya, walau apa pun sebab dan alasan mereka, memang sukar untuk saya lepaskan begitu sahaja dari ruang ingatan.

Sungguh saya tidak pandai berbohong. Saya tahu saya mungkin atau memang seorang pendendam.   Saya tahu ini suatu yang tidak elok. Dendam yang disimpan di dalam  diri sendiri sebenarnya adalah ulat atau bara api yang secara berdikit-dikit  akan memakan atau membakar diri saya sendiri. Saya sepatutnya belajar memaaf dan melupakan.

Tetapi anda yang tidak mengalaminya tentulah semudah itu mengucapkan kata. Tetapi ketika segala kata pedih dan melukakan perasaan itu kembali terngiang, hanya kita sendiri sahaja yang tahu bagaimana rasanya.

Saya tahu sifat berdendam itu tidak elok.

Tetapi pada sisi lain, saya fikir, kerana dendam dan tidak mudah melupakan itulah  maka  saya sentiasa mempunyai semangat untuk bangkit dan melawan segala halangan. Andai kata saya bercita-cita mahu menjadi sesuatu, saya akan usahakan sampai jaya.

Saya sentiasa melawan. Melawan rasa sunyi, melawan halangan dan rasa malas di dalam diri, melawan apa sahaja yang saya rasakan tidak benar dan tidak adil, tentunya dengan cara saya  sendiri.

Malah kerana itu juga saya menjadi kejam dengan diri sendiri.  Memaksanya berjaga sampai jauh hari. Melupakan kenikmatan  dan keseronokan tertentu  demi  memastikan beroleh sesuatu yang lebih bermakna.

Saya rasa saya berjaya dan beroleh apa yang saya inginkan ini kerana sifat saya yang berdendam dan terus menerus melawan apa sahaja yang menjadi halangan di hadapan.

Saya memang dengan sedar telah menukarkan perasaan dendam itu menjadi bahan bakar atau bahan api yang membakar semangat dan jiwa saya.  Semangat agar berusaha keras dan tidak mudah  putus asa. Tidak mudah menjadi cengeng dan pengecut.

Kerana itulah, dendam itu tidak menjadi ulat yang memakan diri saya.  Tidak  juga menjadi  api yang membakar diri saya.

Saya telah menukarkan sifat dendam itu dari negatif kepada positif. 

Dalam kata lain, walau semasa kecil saya selalu dikutuk dan dihina kerana miskin, tidak berharta dan tidak berbapa, tetapi saya tetap tidak menjadikan hinaan dan kutukan itu sebagai sesuatu yang sampai boleh mematahkan semangat saya.

Kemudian, setelah semakin berangkat menjadi dewasa,  saya juga tidak pernah berasa hina dan malu kerana tidak sempat belajar  hingga ke peringkat yang terlalu tinggi. Kekurangan di segi itu, saya usahakan untuk menambahnya secara lain. Lebih banyak membaca, bertanya dan mencari pengetahuan dari pelbagai sumber dan oknum.

Saya fikir, saya menjadi kuat dan bersemangat kerana memiliki rasa dendam itu.   Kerana dendam itu, saya bangkit melawan dan kerana itu tidak  mudah patah dan tewas.

Apa lagi ketika terngiang kata hina dan kutuk itu di telinga: anak orang luar selalu membawa sial!

Ya, saya memang anak orang luar. Tetapi sial apakah yang telah saya bawa?

Sungguh. Saya tidak pernah berasa sesal dan kesal kerana menjawab dan melawan.

Walau  kerana itu saya diberikan label tambahan sebagai: budak  kurang ajar! 

Setidaknya, hari ini, budak kurang ajar ini sudah menulis dan menerbitkan paling sedikit tujuh buah buku!

Tetapi anda yang pernah mengatakan saya budak kurang ajar, atau anak anda, atau cucu anda,  bagaimana pula?

Khabarnya, ada yang terlibat jenayah.

Saya kasihan.

Julai 22, 2010

 

Isnin, Julai 19, 2010

MALAM PUISI UTUSAN KE-13

MALAM Puisi Utusan ke 13 telah berlangsung di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam 13 Julai 2010 lalu.

Terima kasih kepada pihak Utusan yang sudi memberi ruang dan peluang kepada penyair. Terima kasih juga kepada semua teman-teman penyair, artis, wartawan, jurufoto, Ku Seman, Rozlan MN,  Supra dan penyair Ijamala MN.

Video bacaan sajak saya  dapat diakses di youtube dengan kata kunci MARSLI N.O atau telusur url ini  http://www.youtube.com/watch?v=y0Dxze7S8ng

Selamat menikmati dan terima kasih

Rabu, Julai 14, 2010

SEEKOR KERBAU, LIDAH DAN PENJUAL TOPENG*

Cerpen MARSLI N.O

1
SI CERDIK, SEEKOR KERBAU DAN SEKETUL BIJIH 

KAU hendakkah? Tanya si lahabau yang sudah entah berapa lama menekup benda dan perkara di bawah mangkuk ayan itu.

Si cerdik apa lagi, angguk sahajalah.

Kalau begitu, sekarang kau kenalah jaga benda ini. Pastikan jangan sampai terbuka dan diketahui orang rahsia dia.

Kerana berasa dan terfikir dia telah membuat tindakan dan mengambil keputusan yang cerdik, si cerdik pun meneruskan lagi anggukannya.

Tetapi begitulah selalunya nasib manusia yang mengaku dirinya cerdik. Nama dan rasa sahajalah cerdiknya, tetapi yang sebenarnya bodoh mengalahkan kerbau di sawah.

Kautahu tidak kenapa orang yang dikatakan sebagai bodoh itu selalu mengatakan mereka yang mengaku dirinya cerdik itu sebagai bodohnya mengalahkan kerbau?

Cuba kaubayangkan. Kalau di bawah mangkuk ayan yang dijaga-jaga sepanjang masa itu sebenarnya hanyalah seketul najis, akan apa sudahnya?

Maksud aku, siapa pasti yang di bawah mangkuk ayan itu seketul bijih emas? Kau? Dia? Atau para lahabau dan penyangak itu?

Memang tidak siapa yang tahu pasti.

Tetapi hendak dijaga dan dilindung-lindung juga konon jangan sampai ketahuan oleh sesiapa.

Memanglah. Bodohnya mengalahkan kerbau.


2
TENTANG BUDAYA DAN AMALAN-AMALAN

BERDEMO-DEMO itu kalau kau hendak tahu bukanlah datang dari budaya dan amalan bangsa kita yang bernama Melayu yang selama ini terkenal dengan sopan dan adab hormat dan menghormatinya.

Khususnya tatkala berhubung dan kait dengan sesiapa yang namanya pemimpin atau pemberi perintah, akan tiap segala kata dan ujaran tidaklah layak sama sekali dibantah dan disanggah-sanggah. Apa lagi sampai sampai mengemukakan saman dan menyaman.

Itu sungguhlah amat tidak kena pada tempat lagi adabnya.

Sesungguhnya itu adalah budaya songsang dan negative yang dibawa masuk dari luar. Bukan asal dan usulnya dari budaya bangsa kita. Oleh orang-orang yang tidak tahu hendak menghormati undang-undang dan adat sopan. Oleh bangsa babrbar dan tidak bertamadun.

Kepala hotak emak dan bapak dia.

Pijak perut orang, ludah atas muka, kencing atas kepala dan bahasa sendiri, buang pasir dalam periuk, berak dalam kuali, halau orang dari tanah dan kebun mereka, mengejar orang bagaikan mengejar kawanan babi, itu budaya mana pula? Budaya bangsa Melayu jugakah?

Memang kepala hotak dia. Cakap sahaja pandai macam maksum dan mulia sangat. Tetapi hakikatnya?

Haprak belaka.


3

BERAPA TELINGA DAN BERAPA LIDAH KAU?


TANPA bertangguh barang sedetik pun, begitu pagi ini kulihat si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu menampakan wajah dan dirinya di depanku, segera kutangkap dan kucekik lehernya sekuat-kuat hatiku.

Mari aku lihat dan periksa. Telinga kau berapa? Satu atau dua? Dan lidah kau? Berapa? Satu atau dua? Begitu aku menjerkah si hantu itu dengan bertubi tanya dan kulihat si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu terkial-kial mahu melepas lehernya dari cengkaman jari jemariku.

Cakap. Berapa. Cakap. Begitu aku menjerkah.

Si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu semakin kuat menggelepar dan kudengar gumaman suara dari bibirnya.

Aku sedikit melonggarkan cengkaman di leher si hantu itu.

Kalau apa pun, lepaskanlah cengkaman kau dari leher aku ini. Kalau tidak, bagaimana aku hendak bercakap. Walau tersekat-sekat, terdengar si hantu itu bersuara selepas kuberikan dia peluang untuk bercakap.

Kau tidak perlu cakap. Tidak perlu. Biar aku sendiri yang periksa. Berapa telinga yang kau ada dan lidah kau pula berapa. Satu atau dua?

Tanpa bertangguh, segera kukuakkan rambut si hantu yang panjang dan mengurai tetapi kusut dan masai itu.

Aku puas hati. Memang telinganya dua.

Sekarang kau jelirkan pula lidah kau. Aku hendak tengok berapa lidah kau. Nganga mulut kau luas-luas dan jelirkan lidah. Aku hendak tengok dan periksa. Berapa? Satu atau dua? Kuteruskan bentakku kepada si hantu itu.

Mendengar jerkahku itu, tanpa bertangguh, si hantu itu segera mengangakan mulut dan menjelirkan lidahnya.

Jelas di pandanganku. Si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu memiliki hanya satu lidah.

Bagus. Aku sudah puas dan pasti. Sekarang kau bolehlah hendak ke mana-mana pun. Aku tidak meragui kau lagi. Begitu kataku kepada si hantu itu. Dan di hadapanku, kulihat si hantu terkebil-kebil bagaikan cicak tertelan lidi.

Untuk apa kau periksa telinga dan lidah aku di pagi buta begini? Tanpa kupinta, kini si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu mengajukan tanya.

Itulah kau hantu. Apa kau tahu perkembangan dunia. Kerja kau hanya mengacau dan mengkerkah orang yang kau tak suka sahaja. Perkara dan benda lain kau tidak ambil tahu dan peduli. Itulah sebabnya. Kau tidak tahu lagikah? Sekarang ini sudah muncul satu wabak penyakit baru. Itu yang aku hendak kena hati-hati. Panjang lebar aku memperjelaskan kepada si hantu yang masih terkebil-kebil di depanku itu.

Penyakit? Penyakit apa pulak? Kau ini macam-macamlah.

Itulah kau. Mana kautahu perkembangan dunia? Sekarang ini sudah muncul satu wabak penyakit baru. Pakar-pakar perubatan yang hebat dan terkenal dalam dunia pun tidak tahu apa nama dia. Aku apalah lagi. Penyakit itu katanya menular di kalangan orang yang suka bercakap bohong dan tidak menepati janji sahaja. Mula-mula kena, telinga dia akan hilang dan tinggal satu. Lepas itu, lidah dia pula akan jadi dua atau pun bercabang. Begitu aku memperjelaskan lagi kepada si hantu yang masih terkebil-kebil itu.

Oh, patutlah. Aku ingatkan apa tadi. Tetapi penyakit itu berjangkit jugakah?

Di kalangan orang biasa macam aku ini tidaklah dia berjangkit. Tetapi kalau di kalangan sesiapa yang memegang kuasa dan bergelar politikus, khabarnya penyakit itu memang pun menular secara demikian. Mula-mula seorang, lepas itu seorang dan khabarnya, menurut apa yang diberitahu oleh seorang ahli sains yang mula-mula menemui virus penyakit itu, kalau tidak dibenteras segera, penyakit itu boleh berjangkit kepada siapa sahaja yang memegang kuasa dan menjadi ahli di dalam sesebuah pertubuhan atau parti politik yang berkenaan.

Begitu aku melanjutkan penjelasan dan kedua-dua bola mata milik si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu kulihat terbeliak.

Kenapa pula kau sampai demikian laku dan peri keadaannya? Kini kuajukan tanya kepada di hantu itu. Hairan juga aku melihat demikian peri dan lakunya yang tiba-tiba itu.

Aku rasa takut sungguh. Selama ini aku sangka penyakit-penyakit dari dunia hantu itu sudah hebat dan terlalu bahaya. Rupanya tidak. Penyakit dalam dunia manusia macam kau ini lagi baru aku tahu terlebih bahaya dan hebatnya. Patutlah dahulu aku pernah dengar orang nasihatkan aku agar jangan cuba hendak hidup dalam dunia manusia. Sekarang baru aku tahu. Rupa-rupanya, hidup dan menjadi manusia di dunia manusia itu banyak duga dan cabarannya. Kini, dengan kedua bola matanya masih terbeliak, kudengar si hantu itu panjang dan lebar melanjutkan bicaranya.

Entah kenapa, hatiku diusik rasa geli mendengar kata-kata si hantu itu.

Dahulu aku ingat hantu itu lebih hebat dan superior berbanding dengan manusia macam kau. Sekarang baru aku tahu itu tidak benar. Manusia yang lebih hebat. Patutlah manusia itu boleh jadi pemimpin. Sebab mereka ada otak dan  pandai. Bukannya macam otak hantu macam aku.

Hatiku semakin bertambah diusik rasa geli. Malah kalau kurang menahankan sabar dan diri, mahu rasanya aku ketawa sesungguh hati sampai berguling-guling di lantai. Tetapi aku tahu, aku manusia dan di depanku si hantu itu.

Apa pun, aku mesti menjaga martabat manusiaku di depan si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu.

Kerana aku manusia dan dia hantu.

Walaupun yang banyak membuat onar dan kerosakan di dunia ini juga manusia, terutamanya manusia yang memiliki satu telinga dan dua lidah.

Dan aku bukan sebahagian dari mereka, kerana aku masih memiliki dua telinga dan satu lidah.

4
MANJIS DAN PERNIAGAAN TOPENG-TOPENGNYA

BUAT apalah kau melangut dan tercenung sampaikan begitu sekali. Kauingat apa? Kaufikir kalau kaupecahkan otak milikmu sehinga bersepai-sepai kerana memikirkan itu maka segala yang sedang merusuhkan hati dan mindamu itu akan usaikah? Apalah kau ini. Tidak sudahnya kau ini membuat perkara yang bodoh dan lagi bahlol itu.

Tersentak aku jadinya mendengar sergah itu. Aku yang memang sejak tadi sendirian tercenung di kamar itu segera mengalihkan pandang. Di hadapan pandangan kulihat tersergam berdiri sesosok jasad hitam dan legam sedang tersengih-sengih.

Cis, datang lagi kau si hantu yang entahkan apa. Ke mana selama ini kauhilang melenyapkan diri dan malam ini apa pula mimpi datang mengacau-ngacau aku di sini. Tanpa berselindung aku menghamun si hantu yang sudah lama tidak kelihatan dan datang menggangu aku di kamar itu.

Ha. Ha. Ha. Ketawa yang amat galaknya akan si hantu yang selalu mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai telah menjadi manusia dan menggunakan nama Mat itu.

Apalah kau. Buat apa aku hendak datang secara sengaja-ngaja kalau tidak ada sesuatu yang hendak aku kata dan ceritakan dengan engkau. Selamba sahaja si hantu itu menjawab dan berkata-kata. Dan aku tahu memang dasar si hantu, walau kumaki seguni atau selori sekalipun manakan dia pedulinya. Perangai hantunya tetaplah hantu juga. Kalau tidak datang mengganggu dan mengacau tentulah bukan hantu namanya.

Hah, kalau begitu apalah cerita. Buat apa kau hendak berseloka dan bermadah panjang lagi. Sudahlah dan ceritakanlah sahaja. Aku pun sudah lama tidak mendengar cerita karut dan marut dari mulut kau, wahai si hantu.

HI. Hi. Hi. Apalah kau ini. Nama sahaja penyair dan pengarang. Hendak juga mendengar dan menjiplak cerita dari si hantu seperti aku. Apalah. Heh, kau ini sudah habis idea sangatkah hingga begitu sekali menunggu cerita aku dari si hantu ini?

Sudahlah. Kalau hendak kaucerita, cerita sahajalah. Kalau tidak mahu berambus dan pergi sahajalah dari kamarku ini. Tanpa sebarang lapik dan alas aku langsung menyeranah si hantu itu.

Sabarlah. Kalau sungguh pun hendak sangat aku bercerita, biarlah aku duduk dan berasa selesa dahulu. Lainlah kau. Kalau sudah naik syekh dan semangat tidak sedar berdiri dan terkinja-kinja di depan orang. Kadang-kadang hinggakan berbuih air liur kau meleleh di pipi tidak juga kausedar.

Celaka sungguh si hantu ini. Sempat juga diambilnya ruang dan peluang hendak mengutuk aku. Tanpa suara aku memaki si hantu itu di dalam hati.

Sudahlah. Ceritakanlah sahaja. Kini aku menjerkah. Dan si hantu segera menghentikan kata sambil kedua-dua bola matanya terkebil-kebeil menatap wajahku ke atas dan ke bawah.

Kauingat tak dengan Si Manjis? Manjis yang itu. Yang selalu mundar dan mandir kalau ada sesuatu itu.

Hah, kenapa pula dengan dia? Sudah jadi orang kaya jutawankah sekarang dia? Atau sudah hilang lenyap dipenggal kepala oleh si pemberi hutang.

Bukanlah. Sekarang dia sudah mula dengan kesukaan baru. Kautahu apa dia?

Heh, hantu sungguh kau ini? Kalau aku tahu buat apalah pula hendak aku bazirkan masa dan waktu melopong di depan kau wahai si hantu?

Itulah yang hendak aku beritahukan ini. Sekarang ini Manjis yang dulu hobinya berjalan dan terbang ke sana dan ke mari kini sudah menetap kejap di atas muka bumi. Manjis sudah tidak mahu berterbangan ke sana dan ke mari lagi. Kau tahu tidak? Sekarang ini Manjis sudah menjadi ahli perniagaan dan namanya pun keudengar semakin menjadi tersohor kerana niaganya itu.

Apa sebenarnya yang diniagakan dia sehingga begitu sekali tersohor dia?

Hah, itulah yang aku sebagai hantu sendiri pun berasa pelik. Aku ingat kau sendiri pun susah hendak mahu percaya.

Sudahlah. Kau ceritalah apa sebenarnya. Apa yang dia niagakan? Apa? Cepatlah kau cerita. Kudesak si hantu itu agar segera meneruskan ceritanya.

Manjis berniaga topeng. Macam-macam jenis topeng. Ada topeng rimau, ada topeng kucing, ada topeng anjing, babi, biawak. Tetapi itu semua tidaklah laku dan laris sangat kalau hendak dibandingkan dengan topeng yang satu lagi.

Topeng apa pula?

Itulah. Kalau fikir dalam-dalam memanglah sangat tidak logik.

Aku tahulah itu. Tetapi topeng apa?

Aku pun rasa tidak yakin hendak beritahu kau. Bukan apa. Aku takut nanti kau ingat aku hendak bermain-main pula.

Aku tahulah. Tetapi apa dia.

Si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan kini menggelarkan dirinya sebagai Mat itu merenung wajahku ke atas dan ke bawah.

Apa dia? Cepatlah kaucerita. Buat apa hendak kau tangguh-tangguh lagi. Kini aku terus mendesak dan mendesak.

Manjis sekarang ini menjadi kaya jutawan hanya dengan berniaga topeng. Dan topeng yang dia niagakan itu bukanlah sebarang topeng. Topeng yang dia niagakan itu namanya topeng bahasa. Kerana topeng itulah Manjis kini tidak sahaja menjadi seorang kaya jutawan secara tiba-tiba tetapi sekaligus juga menjadi orang terpandang dan ke mana-mana disanjung puja.

Aku diam dan beberapa ketika kembali tercenung. Aku tidak pasti apakah si hantu itu benar-benar menyampaikan cerita atau sekadar hendak mempermainkan diriku.

Benarkah Manjis kini menjadi kaya jutawan kerana berniaga topeng bahasa? Dan kalau benar apa yang dia perniagakan itu, lama terngiang tanya ini di benak milikku: bahasa milik siapakah yang kini diperniagakan Manjis?

Tanya itu terus terngiang-ngiang di benakku. Terngiang dan terus terngiang.

Dan malam itu, ketika tidur, aku didatangi mimpi negeri.

Di sekelilingku, kulihat darah tergenang di mana-mana. Aku terrkapai-kapai berenang ingin menyelamatkan diri. Di sana-sini terdengar ratap, raung dan tangis manusia yang warna kulitnya sama sawo seperti kulit milikku.

Dan di atas sebuah singgahsana, kelihatan Manjis berdiri dengan angkuh dan sombongnya. Sambil dikerumuni segerombolan orang yang kulihat asing, Manjis melambung-lambungkan huruf demi huruf yang bermula dengan m dan berakhir dengan u.

“Tawarlah. Siapa yang memberi harga paling mahal dan tinggi, akan kuserahkan ini kepada kalian,” dari jauh kudengar Manjis berteriak. Teriak Manjis disahut pula dengan sorak bertagar-tagar yang bersipongang entah dari mana.

Ketika kemudian aku tersentak dan jaga. Bertalu kembali tanya menerjahi benak dan aku tidak pasti apakah itu sebenarnya hanyalah suatu mimpi atau memang sesuatu yang sudah benar-benar terjadi.

Sungguh aku tidak pasti.

Sumber siaran: Mingguan Malaysia  11 Julai 2010 dengan judul LIDAH, KERBAU DAN SEEKOR ORANG

Ahad, Julai 11, 2010

MAKLUMAN JUDUL CERPEN SAYA DI MINGGUAN MALAYSIA

PEMBACA yang budiman,

DENGAN takzimnya saya memaklumkan bahawa cerpen saya yang disiarkan di ruangan Sastera Mingguan Malaysia hari ini (Ahad, 11 Julai 2010)  dengan judul LIDAH, KERBAU DAN SEEKOR ORANG judul yang sebenarnya dalam naskhah yang saya kirimkan adalah  SEEKOR KERBAU, LIDAH DAN PENJUAL TOPENG.

Dengan ini saya memaklumkan bahawa judulnya  yang benar dan yang saya perakukan di pihak saya adalah SEEKOR KERBAU, LIDAH DAN PENJUAL TOPENG dan bukan LIDAH, KERBAU DAN SEEKOR ORANG seperti mana yang telah disiarkan itu.

Saya memohon maaf atas kekeliruan di pihak pembaca dan  mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekeliruan ini.

Julai 11, 2010 @ 6.45 petang

MENULIS DAN RUANG

KEBAHAGIAN seorang yang menulis pastilah  bila melihat nama dan karya tulisannya terpapar di akhbar atau majalah.  

Apa lagi bagi seorang pemula. Penyiaran karya yang ditulisnya di sebuah akhbar atau majalah menjadi pengabsahan terhadap bakat, kebolehan dan daya usahanya sekian lama untuk bergelar penulis.  Penyiaran  adalah sijil, ijazah dan penobatan bagi seorang penulis. Sebagai bukti bahawa dia adalah penulis dan layak mengaku serta memikul gelar itu.

Banyak penulis mengaku ketika kali pertama melihat karyanya disiar di akhbar atau majalah, betapa tinggi membumbung perasaan gembira mereka. Mahu rasanya diarak dan berteriak sekampung atau setaman tempat tinggal layaknya.

Tentu sahaja itu tidak dilakukan. Kegembiraan  hanya dikongsi dengan teman dekat, keluarga yang mungkin sudi untuk mendengar. Selebihnya penulis kembali ke kamar atau ruangnya sendiri: untuk kembali menulis dan merenung dirinya sendiri.

Sejak awal mula menulis, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang saya buat secara kecil-kecilan dan tidak ilmiah,  saya sedar dan tahu. Selain karya mesti baik, bermutu dan sesuai dengan sesebuah akhbar atau majalah, soal ruang juga perlu diambil kira.

Kalau sebuah akhbar ukuran tabloid menyiarkan cerpennya hanya satu halaman termasuk ilustrasi, mana mungkin karya saya akan dimuat kalau misalnya karya yang saya kirimkan itu sejumlah 10 halaman dalam single spasi.

Tentu sahaja itu namanya kerja bodoh dan baghal. Siapa sudi menerima untuk sebuah cerpen di ukuran satu halaman tabloid cerpen sedemikian rupa, atau sehingga perlu disiarkan secara beberapa siri dan bahagian siaran?

Lainlah kalau saya seorang penulis yang amat hebat dan tersohor. Itu lainlah kisah atau ceritanya.  Tetapi saya  tahu dan sedar, saya bukan pun seorang penulis kategori itu. Dan malah saya pun tidak inginkan gelar yang sedemikian.

Saya selalu berpandangan bahawa seorang penulis yang menulis dan mengirimkan karya mengikut sekehendak hatinya, ke akhbar atau majalah, bukanlah seorang penulis yang baik dan bijak.

Penulis yang sebegini bukan sahaja menyusahkan penjaga ruang di sebuah akhbar atau majalah, tetapi juga secara tidak langsung menyusahkan rakan penulisnya yang lain, yang sama mengirimkan karya ke akhbar atau majalah yang sama.

Saya katakan begitu berdasarkan pengalaman dan apa yang sudah saya alami.

Baru-baru ini sebuah karya yang saya kirimkan ke sebuah akhbar ukuran tabloid menerima nasib malang menjadi mangsa penggalan dan malang lagi bertambah-tambah, bila disiarkan tanpa byline nama saya sebagai penulisnya.

Puncanya, saya agak, kerana hendak memberikan ruang kepada sebuah cerpen yang dikirimkan seorang pengarang dan disiarkan hingga memaksa dilanjutkan ke halaman berikutnya.

Saya tahu dan sedar kesilapan itu bukan silap dan salah kawan saya yang menerima dan memperakukan tulisan saya itu untuk siaran. Juga bukan salah penulis cerpen yang mengirimkan cerpennya dengan begitu panjang dan lebarnya itu. 

Tugas kawan saya sudah selesai di pihaknya. Begitu juga tugas penulis cerpen itu juga selesai sudah begitu menoktahkan di akhiri cerpennya.

Saya fikir yang bersalah adalah siapa yang membuat layoutnya. Yang dipilih adalah jalan pintas dan mudah dengan kesudahan bahawa tulisan saya dijadikan penyendal dan kerana itulah dipenggal sekendak hati emak bapak dia dan disiarkan tanpa byline nama saya.

Saya tahu sebuah akhbar dan majalah yang menerima sebuah tulisan saya bukan harta milik emak bapak saya, yang boleh saya kerah dan arahkan skeehndak hati saya.

Saya sangat memahami itu. Sebagai penulis memang pun kadang-kala saya seperti mengemis dan mengharapkan belas ikhsan agar karya saya diterima dan disiarkan.

Namun walaupun begitu ini tidak bererti saya  hadir sebagai pengemis dan meminta belas ikhsan sehingga membenarkan orang atau pihak lain semudahnya pula mengambil kesempatan yang lain. 

Prinsipnya mudah sahaja. Kalau sebuah karya saya sesuai dan baik terimalah. Kalau sebaliknya, nyatakanlah dan saya akan kirimkan karya yang lain, yang lebih baik dan sesuai untuk disiarkan.

Ini bukan soal merayu, mengemis dan meminta belas kasihan. Ini bagi saya suatu urusan dan hubungan yang normal, yang profesional, di antara penulis dengan editor atau penjaga ruang di sebuah akhbar.

Saya tidak ingin meminta lebih apa lagi segala sesuatu yang bukan hak saya. Saya hanya inginkan apa yang berhak saya dapat dan terima, menurut cara dan lunasnya yang benar dan betul.

Tolaklah karya saya kalau memang tidak baik dan sesuai. Tetapi jangan dipenggal sesuka hati semata-mata untuk dijadikan penyendal. Itu bagi saya perbuatan yang sangat tidak  menghormati dan menghina.

Saya fikir, di abad teknologi dan maklumat di abad 21 ini, hubungan dan komunikasi dengan penulis tidak terlalu sulit. Kalau benar mahu "memperkosa" juga karya seorang penulis, bisa sahaja penulis dikontak dan dimaklum. Penulis bukanlah dewa yang tidak boleh disentuh. Kalau diajak berbincang secara elok,  penulis boleh menerima segala sesuatu demi kebaikan bersama.

Bukan saya hendak mengajar orang yang lebih tahu dan lebih berpengalaman bekerja di sebuah akhbar atau majalah.

Seeloknya ditetapkan berapa keperluan jumlah kata atau halaman jika ingin mengirimkan karya kepada  mna-mana ruang di sebuah akhbar atau majalah. Ini boleh dicatat di hujung mana-mana ruang yang berkenaan di dalam akhbar atau sesuatu majalah. Ini boleh dijadikan panduan bagi mana-mana penulis yang terlalu seronok mengirimkan karya dalam jumlah halaman sekehendak hati emak dan bapak dia.

Lagi pula, kalau ditulis dan disiarkan panjang berjela-jela di akhbar atau majalah, siapa sangat yang hendak ambil peduli dan membacanya lama-lama?  Namanya sudah akhbar dan majalah. Lainlah kalau jurnal dan n majalah khusus untuk karya dan kajian akademik.

Zaman menyiarkan karya yang panjang berjela-jela kerana ianya karya sahabat baik sendiri patutnya segera dihentikan.

Tetapi sekali lagi saya peringatkan diri.

Sebagai penulis saya hanya menulis dan tiada kuasa apa  dari saya hendak menentukan apakah karya saya akan disiarkan atau tidak, atau kalau disiarkan ianya tidak sampai menjadi mangsa penggalan  dan hanya dijadikan penyendal.

Sekali lagi saya peringatkan diri saya sendiri.

Sebuah akhbar atau majalah itu bukanlah emak dan bapak saya yang punya. Kerana itu jugalah, walau sedikit berasa luka, saya akan kembali terus menulis seperti biasa. 

Julai 10, 2010

Jumaat, Julai 09, 2010

DATANGLAH. TETAPI DENGAN IKHLAS DAN JUJUR

SAYA tidak suka diekor dan dibuntuti sesiapa. Sejak kecil saya sudah belajar berjalan sendiri. Begitu semakin membesar dan mendewasa, ketika memilih untuk terlibat dengan seluruh jiwa dan raga sebagai "sasterawan" dan "seniman" perasaan tidak suka dibuntuti atau diekori sesiapa itu kian saya jadikan benteng serta cermin tempat saya selalu melihat diri sendiri.

Pilihan saya jelas. Biarlah setiap orang  hanya menjadi dirinya sendiri dan bukan orang lain. Dan sasterawan atau  seniman yang sebenarnya, bukan seekor kambing yang sekadar tahu mengembek. Atau seorang yang tahunya membodek dan memuji-muji melulu. Apa lagi kalau sekadar menjadi seekor anjing yang sanggup menjilat asalkan beroleh laba.


Saya tidak peduli dan tidak berasa perlu untuk menuduh sasterawan yang demikian tidak layak memanggul gelar itu. Biarkan itu menjadi hak dan pilihan hidup mereka sendiri sebagai sasterawan dan seniman.  Dan saya tetap di jalan keyakinan saya.

Saya tahu saya tidak hidup di rimba sendiri. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, walau tidak suka diekor serta dibuntuti,  saya tidak boleh mengambil sikap tidak peduli dan menyendiri sepanjang waktu.  Apa lagi dalam konteks sebagai sasterawan dan seniman. Sekali waktu atau berkali-kali saya didatangi manusia lain yang mengaku juga ingin belajar menjadi sasterawan dan seniman.

Mahu tidak mahu saya memujuk diri agar menerima dan berinteraksi dengan mereka.  Tetapi saya tahu  saya bukanlah tokoh besar atau dewa  seni dan sastera, yang mampu memberikan mereka petua, nasihat dan pelbagai resep ajaib bagaimana sesungguhnya  jalan dan cara yang paling baik untuk menyegerakan diri mereka menjadi sasterawan dan seniman?

Saya sungguh tidak tahu dengan jelas dan tidak berani menyanggupi dengan janji-janji yang saya sendiri tahu masih palsu dan ragu-ragu. Untuk menyatakan bahawa dengan begini atau begitu maka menjadilah mereka seorang sasterawan atau seniman.

Saya bermula dari dunia sendiri yang sentiasa bergulat dengan galau jiwa dan rasa tidak senang terhadap banyak kejadian yang menurut hemat  saya kurang adil dan memangsakan orang-orang kecil dan tidak punya, cuba melihatnya hingga ke akar umbi dan tanpa terpengaruh oleh mana-mana lambang parti atau ideologi .

Kerana itu saya memilih untuk menyatakan dengan atau melalui wadah sastera dan seni. Tetapi mereka? Sungguh saya tidak tahu bagaimana latar hidup mereka.

Saya memutuskan akhirnya hanya menyatakan secara ringkas. Menjadi sasterawan dan seniman adalah  satu pilihan hidup dan kerana itu wajar  diladeni dengan ikhlas dan jujur.

Maksud saya, kita tidak perlu untuk berasa malu mengaku kebodohan, kekurangan  dan kealpaan sendiri. Andai tidak maka tidaklah jawab kita. Kalau memang tidak tahu maka mengakulah kita akan ketidaktahuannya itu dan bersedialah untuk belajar dari sesiapa sahaja.

Ketika menyatakan itu saya tidak pula menganggap bahawa saya sebenarnya lebih tahu dan bijak dari mereka yang datang bertanya dan meminta. Saya menyatakan hanya apa yang saya rasakan betul dan selamanya menjadi pegangan hidup saya sebagai sasterawan dan seniman.  

Dengan pegangan hidup yang sedemikian rupa jugalah, terus terang saya mengaku saya sangat membenci ketidakjujuran dalam bersastera dan berseni. 

Saya tidak tahu dan pasti apakah yang sudah saya katakan itu turut diamalkan oleh mereka yang datang mendekati dan bertanya. Walau mungkin pernah beberapa tahun bersama, dan kemudian memilih jalan sendiri-sendiri, saya tidak sangat terkilan bila kembali menjadi penyendiri.  Dunia saya memang tetap begini.  Tidak perlu sesiapa pun untuk cuba menjadi saya. 

Saya mungkin diam dan seperti tidak bergerak. Tetapi tetap punya karya yang dari waktu ke waktu dterbitkan.  Tetapi mereka?  

Saya mungkin tidak terkenal dan  tidak disebutkan namanya  terlalu kerap oleh sesiapa berbanding mereka.  

Tetapi saya masuk ke dunia ini bukan kerana nama dan sebutan yang melulu. Saya hanya ingin berkarya, secara jujur dan apa adanya.

Saya tidak perlukan gelar dan menjadi terkenal kalau setakat tidak lebih sebagai pencacai politik dan kerana  hanya untuk secuil projek, sanggup menjilat pantat sesiapa yang kononnya berkuasa dan mabuk dengan kuasa penentunya itu.

Saya tidak berniat atau bermaksud  mengatakan bahawa saya lebih jujur dan ikhlas ketimbang orang yang lain.

Tetapi di mana salahnya kalau mereka yang lebih terkenal itu masih juga berada di takuk yang sama ketika kali pertama datang bertanya dan meminta? Apakah kerana kurang menyelidik dan mengisi otaknya dengan ilmu? Atau kerana dimabukkan oleh pujian-pujian yang palsu?
Saya masih tetap ingin begini. Tidak mahu sesiapa cuba mengkeori dan membuntuti.

Sayangnya, mereka yang dibebaskan memilih menjadi dirinya itu melupakan sesuatu.

Seni dan peribadi senimannya tidak bakal berkembang dan maju jika tanpa kejujuran dan keikhlasan siapa yang memilihnya. Kejujuran dan keihklasan adalah sinonim yang tidak boleh dipisahkan di dalam seni. Tanpa kejujuran dan keikhlasan, seni hanya menjadi barang mainan dan lacuran.

Saya pun mungkin  tidak selalunya jujur dan ikhlas. Tetapi mengelak untuk tidak berbuat khianat, yang berselindung atas nama seni dan sastera bagi saya lebih memadai ketimbang menikmati segala nikmat yang diperoleh dengan cara  yang jelas tidak bermoral.

Seni dan sastera adalah cermin. Segala kebohongan, dusta dan ,perbuatan bejat tidak mudah diselindung walau dengan hiasan apa pun.

Barangkali, kerana tiadanya jujur dan ikhlas itulah maka itu yang menimpa diri. Walau bertahun sedah menggulati seni, pencapaiannya tetap begitu-begitu juga. Orang berteater dia berteater juga, tetapi mutu dan pencapaiannya hanya begitu sahaja. Tidak bertambah atau lebih baik dari sebelumnya.

Yang jelas kian menggemari dan menyanjung dia, hanyalah teman-teman segolongan dan pegawai-pegawai seni yang sama bodoh dan baghal.

Memang mereka patut dikasihan.

Julai 9, 2010


Isnin, Julai 05, 2010

BABI DI PENTAS BUDAYA

HANYA kerana songkok dan sepersalinan baju Melayu maka kita begitu mudah ditipu serta diperbodohkannya.

Tetapi di mataku. Seekor babi tetaplah seekor babi.

Walau jutaan orang berjaya dipukau serta ditipu dengan lakonnya, menobat dan mengangkat dia menghampir martabat dewa, di mataku dia tetaplah seekor babi.

Ya. Seekor babi yang boleh berkata dan berbicara atas nama budaya. Dan pagi ini aku mendengar khabar ratusan orang berjaya dipukau dan ditipunya lagi. Di pentas, atas nama budaya, berkata dan berceramahlah dia.

Tetapi tentu sahajalah yang patut juga menanggung dosa kerana membiarkan pagi ini babi itu memperdayakan lagi ratusan manusia di pentas budaya itu, tidak lain adalah pengarah dan pemilik zoo itu. 

Ya. Kalau bukan pengarah dan pemilik zoo itu yang mengundang serta mempelawa, mana mungkin si babi itu boleh tercegat berdiri di pentas dan merepek-repek bercakap konon atas nama budaya.


Peh. Budaya.  Budaya apa? Budaya jilat dan gosok pantat?

Julai 3, 2010

Sabtu, Julai 03, 2010

SONGKOK DAN DI MASJID


SETIAP ke masjid di hari Jumaat saya pasti mendengar riuh rendah suara kanak-kanak di barisan paling belakang masjid. Di mana bapa mereka dan kenapa tinggalkan anak membuat bising tatkala khutbah sedang dibacakan di depan? Begitu selalu terbetik tanya di dalam diri saya  berhadapan situasi begini.

Saya bertanya demikian kerana ketika mereka kecil dahulu, kalau bersama ke masjid, saya pastikan anak-anak duduk di sebelah atau berhampiran saya.

Memang menyuruh anak yang masih kecil dan masih terlalu kecil ke masjid perkara yang baik. Tetapi membiarkan mereka sendiri bercampur kawan-kawan sebaya dan membuat bising, lain pula kisahnya.

Saya tidak fikir bapa mereka tiada bersama. Atau kalau tiada sekalipun, elok dipesankan anak-anak agar kalau ke masjid janganlah berbuat bising.

Apa yang selanjutnya saya fikirkan mungkin agak keterlaluan. Anak-anak ini, yang berbuat bising dan nakal ketika di masjid, besarnya nanti saya fikir  bakal menjadi anak yang kurang menghormati dan kurang tahu  bersopan.

Saya tahu ini hanya telahan.  Tetapi peristiwa malam kelmarin yang lalu kembali menguatkan yakin saya akan benarnya telahan saya ini.

Kalau di masjid ketika kecilnya sudah tidak diajar bersopan dan bersikap hormat,  sebanyak dan sedikit perangai negative itu akan terbawa-bawa sesudah membesar dan menjadi dewasa ketika berhadapan dengan orang lain.

 

Kisahnya begini.

Malam kelmarin kami sekeluarga ke sebuah restoren yang agak ekslusif di sebuah perkampungan nelayan yang kini semakin membangun dan berubah wajah kampungya.

Usai makan, saya menuju ke ruang membasuh tangan.

Melihat paip membasuh  tangan sedang digunakan pelanggan yang lebih dulu tiba, saya berdiri menanti giliran  berhampiran tiang. Jarak di antara tiang dan tempat membasuh tangan itu tidak pun sampai lima kaki.

Tiba-tiba dua pemuda berkain pelaikat dan  bersongkok,  tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan melintas dan berdiri di hadapan saya. Begitu pelanggan tadi selesai membasuh tangan, salah seorang daripada mereka  menyerbu  ke singki dan mencuci tangan.

Saya terperanggah.

Tidak tahu bersabar dan menunggukah? Atau saya yang sudah sedia tercegat menunggu giliran ini tidak dilihat atau cuma hantu yang tidak kelihatan di mata dua pemuda bersongkok itu?

Begitu saya bergumam sendiri di dalam hati.

Dan lebih tersentak, pemuda bersongkok yang usai mencuci tngannya itu kemudiannya hampir  menabrak saya. Tanpa sebarang ucap sopan meminta lalu atau salam dia menyelonong melintas di sebelah, berhampiran tiang tempat saya berdiri.  Walhal di sebelah kiri ruang masih luas dan lapang.

Memang pun songkok belum pasti melambangkan apa-apa.

Tetapi kembali ke kumpulannya saya lihat  teman-teman pemuda itu semuanya bersongkok dan yang perempuannya berjilbab.  Malah di antara mereka ada seorang yang  lebih berusia  yang juga bersongkok dan berjanggut putih.

 

Saya yakin mereka pelajar sekolah agama. Atau kalau tidak pun, baru pulang dari masjid atau baru usai mempersembahkan lagu nasyid di suatu acara pentas atas nama seni Islam anjuran sebuah institusi.

Di mata saya, pemakai songkok dan berpakaian seperti mahu ke masjid adalah orang yang baik, alim, atau paling tidak pun, selalu merendahkan diri dan tahu bersopan dengan orang lain.

Kerana itu, sangat janggal di mata saya kalau mereka yang berpakaian demikian laku dan perangai mereka kurang sopan dan beradab.

Mungkin saya agak keterlaluan dan sensitive tidak tentu hala.

Tetapi saya memang pun tidak meminta dihormat keterlaluan. Sebagai orang yang lebih tua berbanding mereka, cukup sekadar salam dan sopan meminta laluan. Kalau benar hendak cepat dan tergesa sangat, beritahulah secara sopan dan bukannya meredah melintas saya yang sedang sedia tercegat menunggu giliran. Cukup sekadar itu. Setidaknya, sebagai  bukti jati diri kita yang masih Melayu dan ukhwah seagama.

Setidaknya dengan begitu, sepadanlah perbuatan dengan songkok yang diletakkan di kepala.

Tetapi malam itu, janggal sungguh kelakuan pemuda itu di mata saya.

Bersongkok dan berpakaian orang masjid, tetapi tidak tahu bersopan. Atau kata mudahnya: kurang ajar.

Tetapi sekali lagi, saya pun tahu, songkok bukanlah apa-apa dan tidak mustahil akhir-akhir ini sekadar menjadi hiasan sahaja.

Dengan songkok atau apa-apa pakaian yang boleh disangkakan sebagai alim dan berperangai baik-baik, seorang boleh menjadikannya topeng untuk menipu dan membuat sesuatu yang tidak baik terhadap orang lain.

Saya tahu dan sedar itu.

Memang pun songkok boleh diperagakan sesiapa sahaja. Tidak kira apa pun agama dan bangsa dan tiada sebarang undang-undang secara sahih yang menetapkan peraturan memakainya.

Walhal oleh sasterawan yang tergila-gilakan anugerah gelaran negara.

Jun 25, 2010