Dan mereka? Saya berasa kasihan.
Jumaat, Julai 30, 2010
SAYA EGO
KAU ego. Begitu kata seorang teman yang menyampaikan khabar lewat telefon. Siapa yang cakap itu, saya bertanya lanjut ingin mengetahui lebih jelas. Namun tidak ingin teman itu menyatakan lebih lanjut dan kepada teman itu saya mengiyakan.
Ya, saya memang ego. Untuk apa marah atau berasa tersinggung kerananya. Kerana saya tahu saya memang memiliki perasaan itu. Kerana punya rasa ego di dalam dirilah maka saya mampu terus berdiri secara apa adanya, tanpa terlalu perlu mengharap serta menantikn tongkat dari sesiapa.
Ini dunia kejam, saya tahu. Siapa yang mudah mengalah dan cengeng akan menjadi mangsa sesiapa sahaja yang selalu mengintai serta menunggu peluang untuk membaham orang lain.
Walau tidak diberitahu secara jelas, namun berdasarkan latar lokasi dan inti cerita yang disebutkan oleh teman itu, saya mengagak ucapan dan perbicaraan itu datangnya dari sejumlah kecil mereka yang sebelumnya pernah saya kenal sebagai teman sepejabat.
Walau kini saya tidak bersama lagi, namun khabarnya, perkembangan saya di luar bidang tugas di pejabat tetap juga mereka baca atau mungkin ikuti secara tidak langsung. Dan kata "ego" itu pun, menurut teman yang menyampaikan khabar itu, puncanya kerana suatu tulisan saya di sebuah akhbar sebelumnya.
Memang pun saya sudah tidak ingin ambil peduli mengenai segala ucapan orang lain terhadap diri saya. Apa lagi untuk sampai terlalu berlamaan berfikir benar atau tidak segala apa yang disebutkan oleh teman itu.
Kasar atau tidak, ego atau apakah, biarlah hanya menjadi urusan diri saya sendiri. Saya melakukan sesuatu kerana memang memilihnya demikian. Tanpa disuruh, diperintah atau dijanjikan untuk diberikan apa-apa ganjaran oleh sesiapa.
Berbahagialah sesiapa sahaja yang berasa perlu menjadikan dirinya pemantau sikap orang lain. Tatkala diri sendiri belum habis menyelesaikan segala keburukan dan kemunafikan di dalam diri sendiri. Berlagak atas nama kealiman, akademik, moral dan maruah, yang kadang-kala dia sendiri menjadi pencemarnya tanpa diketahui orang lain.
Memang saya mengenal sejumlah mereka. Ketika dahulu saya memilih menjadi manusia diam dan selalu berada di luar lingkungan, ketika mereka bergulat dengan dunia ampu, bodek dan menjilat, semata-mata demi secuil pujian dan pangkat.
Ketika saya hanya tetap begini-begini juga, saya tidak pernah berasa kecil hati, atau ingin menyaingi sesiapa, walhal mereka. Kerana saya tahu, dunia saya bukan di sana dan apa yang saya inginkan pun bukanlah pangkat atau anugerah yang diperoleh dengan cara memfitnah atau memburukkan orang lain.
Rezeki hidup, ajal dan maut bukan ditentukan oleh kuasa apa pun selain Allah Subhanawataala. Saya amat meyakini itu. Dan itu terbukti benar.
Sebagai seorang pekerja, tanpa perlu memfitnah sesiapa, pangkat saya dinaikkan juga kerana memang itulah rezeki yang ditentukan Allah buat saya.
Sedangkan mereka? Masih lagi tidak sudah dan hentinya ingin menjadi pemantau peribadi orang lain, hidup penuh dengan ampu, bodek dan menjilat, walau tidak mendapat suatu apa pun.
Ketika di dalam diam, saya perlahan-lahan menjauh dari kelompok sedemikian dan sedikit demi sedikit menulis serta menerbitkan beberapa buah buku, mereka tetap juga menjadi pencacai yang tidak tahu malu dan tidak pernah mahu menghargai harga dirinya sendiri.
Mungkin ucapan saya ini ego. Tetapi kalau dikenangkan sakit dan peritnya diri serta jiwa diperlakukan mereka, saya fikir kerana ego itulah yang telah menyelamatkan saya.
Kerana ego itulah, saya tidak mudah patah semangat, walau cuba dipatahkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.
Allah Maha Besar.
Saya berterima kasih kepada Tuhan yang membantu saya bangkit dan melorongkan saya agar tidak berego yang tidak pada tempatnya.
Dan mereka? Saya berasa kasihan.
Julai 30, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Marsli N.O,
Benar, kita perlu ego dalam dunia yang serba mencabar ini. Lebih-lebih lagi sebgai penulis. Tanpa keegoan kita tidak aakan dapat menghasilkan karya besar. Cuma kadang-kadang ego itu tersimpan rapi dan hanya muncul dalam karya.
Tuan Haji Shapiai: Andai ego saya telah menyusahkan diri Tuan haji, maafkan saya.
MARSLI N.O
Catat Ulasan