Ahad, Julai 11, 2010
MENULIS DAN RUANG
KEBAHAGIAN seorang yang menulis pastilah bila melihat nama dan karya tulisannya terpapar di akhbar atau majalah.
Apa lagi bagi seorang pemula. Penyiaran karya yang ditulisnya di sebuah akhbar atau majalah menjadi pengabsahan terhadap bakat, kebolehan dan daya usahanya sekian lama untuk bergelar penulis. Penyiaran adalah sijil, ijazah dan penobatan bagi seorang penulis. Sebagai bukti bahawa dia adalah penulis dan layak mengaku serta memikul gelar itu.
Banyak penulis mengaku ketika kali pertama melihat karyanya disiar di akhbar atau majalah, betapa tinggi membumbung perasaan gembira mereka. Mahu rasanya diarak dan berteriak sekampung atau setaman tempat tinggal layaknya.
Tentu sahaja itu tidak dilakukan. Kegembiraan hanya dikongsi dengan teman dekat, keluarga yang mungkin sudi untuk mendengar. Selebihnya penulis kembali ke kamar atau ruangnya sendiri: untuk kembali menulis dan merenung dirinya sendiri.
Sejak awal mula menulis, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang saya buat secara kecil-kecilan dan tidak ilmiah, saya sedar dan tahu. Selain karya mesti baik, bermutu dan sesuai dengan sesebuah akhbar atau majalah, soal ruang juga perlu diambil kira.
Kalau sebuah akhbar ukuran tabloid menyiarkan cerpennya hanya satu halaman termasuk ilustrasi, mana mungkin karya saya akan dimuat kalau misalnya karya yang saya kirimkan itu sejumlah 10 halaman dalam single spasi.
Tentu sahaja itu namanya kerja bodoh dan baghal. Siapa sudi menerima untuk sebuah cerpen di ukuran satu halaman tabloid cerpen sedemikian rupa, atau sehingga perlu disiarkan secara beberapa siri dan bahagian siaran?
Lainlah kalau saya seorang penulis yang amat hebat dan tersohor. Itu lainlah kisah atau ceritanya. Tetapi saya tahu dan sedar, saya bukan pun seorang penulis kategori itu. Dan malah saya pun tidak inginkan gelar yang sedemikian.
Saya selalu berpandangan bahawa seorang penulis yang menulis dan mengirimkan karya mengikut sekehendak hatinya, ke akhbar atau majalah, bukanlah seorang penulis yang baik dan bijak.
Penulis yang sebegini bukan sahaja menyusahkan penjaga ruang di sebuah akhbar atau majalah, tetapi juga secara tidak langsung menyusahkan rakan penulisnya yang lain, yang sama mengirimkan karya ke akhbar atau majalah yang sama.
Saya katakan begitu berdasarkan pengalaman dan apa yang sudah saya alami.
Baru-baru ini sebuah karya yang saya kirimkan ke sebuah akhbar ukuran tabloid menerima nasib malang menjadi mangsa penggalan dan malang lagi bertambah-tambah, bila disiarkan tanpa byline nama saya sebagai penulisnya.
Puncanya, saya agak, kerana hendak memberikan ruang kepada sebuah cerpen yang dikirimkan seorang pengarang dan disiarkan hingga memaksa dilanjutkan ke halaman berikutnya.
Saya tahu dan sedar kesilapan itu bukan silap dan salah kawan saya yang menerima dan memperakukan tulisan saya itu untuk siaran. Juga bukan salah penulis cerpen yang mengirimkan cerpennya dengan begitu panjang dan lebarnya itu.
Tugas kawan saya sudah selesai di pihaknya. Begitu juga tugas penulis cerpen itu juga selesai sudah begitu menoktahkan di akhiri cerpennya.
Saya fikir yang bersalah adalah siapa yang membuat layoutnya. Yang dipilih adalah jalan pintas dan mudah dengan kesudahan bahawa tulisan saya dijadikan penyendal dan kerana itulah dipenggal sekendak hati emak bapak dia dan disiarkan tanpa byline nama saya.
Saya tahu sebuah akhbar dan majalah yang menerima sebuah tulisan saya bukan harta milik emak bapak saya, yang boleh saya kerah dan arahkan skeehndak hati saya.
Saya sangat memahami itu. Sebagai penulis memang pun kadang-kala saya seperti mengemis dan mengharapkan belas ikhsan agar karya saya diterima dan disiarkan.
Namun walaupun begitu ini tidak bererti saya hadir sebagai pengemis dan meminta belas ikhsan sehingga membenarkan orang atau pihak lain semudahnya pula mengambil kesempatan yang lain.
Prinsipnya mudah sahaja. Kalau sebuah karya saya sesuai dan baik terimalah. Kalau sebaliknya, nyatakanlah dan saya akan kirimkan karya yang lain, yang lebih baik dan sesuai untuk disiarkan.
Ini bukan soal merayu, mengemis dan meminta belas kasihan. Ini bagi saya suatu urusan dan hubungan yang normal, yang profesional, di antara penulis dengan editor atau penjaga ruang di sebuah akhbar.
Saya tidak ingin meminta lebih apa lagi segala sesuatu yang bukan hak saya. Saya hanya inginkan apa yang berhak saya dapat dan terima, menurut cara dan lunasnya yang benar dan betul.
Tolaklah karya saya kalau memang tidak baik dan sesuai. Tetapi jangan dipenggal sesuka hati semata-mata untuk dijadikan penyendal. Itu bagi saya perbuatan yang sangat tidak menghormati dan menghina.
Saya fikir, di abad teknologi dan maklumat di abad 21 ini, hubungan dan komunikasi dengan penulis tidak terlalu sulit. Kalau benar mahu "memperkosa" juga karya seorang penulis, bisa sahaja penulis dikontak dan dimaklum. Penulis bukanlah dewa yang tidak boleh disentuh. Kalau diajak berbincang secara elok, penulis boleh menerima segala sesuatu demi kebaikan bersama.
Bukan saya hendak mengajar orang yang lebih tahu dan lebih berpengalaman bekerja di sebuah akhbar atau majalah.
Seeloknya ditetapkan berapa keperluan jumlah kata atau halaman jika ingin mengirimkan karya kepada mna-mana ruang di sebuah akhbar atau majalah. Ini boleh dicatat di hujung mana-mana ruang yang berkenaan di dalam akhbar atau sesuatu majalah. Ini boleh dijadikan panduan bagi mana-mana penulis yang terlalu seronok mengirimkan karya dalam jumlah halaman sekehendak hati emak dan bapak dia.
Lagi pula, kalau ditulis dan disiarkan panjang berjela-jela di akhbar atau majalah, siapa sangat yang hendak ambil peduli dan membacanya lama-lama? Namanya sudah akhbar dan majalah. Lainlah kalau jurnal dan n majalah khusus untuk karya dan kajian akademik.
Zaman menyiarkan karya yang panjang berjela-jela kerana ianya karya sahabat baik sendiri patutnya segera dihentikan.
Tetapi sekali lagi saya peringatkan diri.
Sebagai penulis saya hanya menulis dan tiada kuasa apa dari saya hendak menentukan apakah karya saya akan disiarkan atau tidak, atau kalau disiarkan ianya tidak sampai menjadi mangsa penggalan dan hanya dijadikan penyendal.
Sekali lagi saya peringatkan diri saya sendiri.
Sebuah akhbar atau majalah itu bukanlah emak dan bapak saya yang punya. Kerana itu jugalah, walau sedikit berasa luka, saya akan kembali terus menulis seperti biasa.
Julai 10, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
6 ulasan:
salam, tuan.
sebagai pemerhati sastera tanah air, saya kecewa dengan kewujudan wabak yang diperkatakan. malangnya wabak tersebut turut melibatkan sebuah akhbar yang mengajurkan acara hadiah sastera saban tahun ...
kalau buat bising, nanti disenaraihitam pula ...
Sdr Hazwan Ariff Hakimi: Jangan kecewa. Mari kita terus menulis dan berikhtiar agar ada pula lowongan yang lain.
MARSLI N.O
salam tuan
membaca catatan ini, menjadi panduan, pengetahuan untuk dikongsi bersama, kerana ruang memberi luang. semangat tuan adalah semangat pejuang, dorongan tuan membakar semangat saya.
Sdr A. Rahman Janai (Kelompen): Dugaan jiwa dan perasaan lebih besar selepas karya disiar dan menjadi penulis.
MARSLI N.O
Saya kurang gemar dengan perbuatan yang encik bincangkan ini. Kerana perbuatan tersebut, hilang estetika sebuah karya!
Sdr Salle: Sdr berhak menyatakan pandangan. Seperti juga ketika saya menyatakan pendapat saya. Dunia tidak diramaikan hanya dengan fikiran tunggal. Teruskan berkarya. Saya suka membaca tulisan di blog Sdr.
MARSLI N.O
Catat Ulasan