Khamis, September 30, 2010

DI BELAKANG, DIA DIKEJI DIUMPAT


INI peristiwa tahun 1989. Sudah agak menghampiri akhir tahun. Lokasinya di sebuah rumah rehat di suatu  pantai peranginan.

Saya antara yang hadir sebagai seorang peserta dari kalangan  penulis kecil yang belum digolongkan tua,  yang dipilih   menghadiri sebuah bengkel atau worksyop penulisan puisi, anjuran sebuah universiti.  Berdasarkan dereten nama penceramahnya, saya  berasa diri sangat bertuah kerana diberi peluang menghadiri bengkel  penulisan ini.

Antara penceramahnya termasuklah seorang sasterawan yang sudah berusia, yang sangat saya kagumi dan hormati.

Walau pun bengkel penulisan ini lebih berbentuk ceramah demi ceramah, namun saya tidak sangat berasa terganggu kerana memang memilih untuk menjadi pencatat yang tekun dan setia setiap buah dan butir kata yang disampaikan penceramah, yang saya anggap bernilai dan berharga, yang saya yakin akan menjadi  panduan bagi  seorang penulis kecil seperti saya.

Tersebutlah kisahnya. Dari sekian jumlah ceramah, tibalah gilirannya   sasterawan yang sudah berusia itu  menyampaikan ceramahnya.

Saya tahu dan  rasanya tidak begitu lupa, ceramah sasterawan yang sudah berusia ini, sebahagiannya pernah saya dengar dahulu di suatu bengkel penulisan di Melaka dan sepintas-sepintas  di  suatu acara sastera di negeri bermastatutin saya. 

Namun bagi saya itu tidak apa-apa. Biarkanlah kalau hendak diulang ratusan kali sekalipun,  bagi saya itu masih tidak apa-apa. Kalau pun sudah dan pernah mendengar sebelumnya, saya yakin, pasti akan ada perubahan dari sudut dan sisi yang lain, atau kalau tidak pun, penambahan dan tambahan yang mungkin lebih terkini sifatnya.

Setidaknya juga, saya fikir ketika itu, kalau mendatangkan rasa bosan atau bencikan klise,  rasa hormat terhadap sasterawan yang sudah berusia itu janganlah sampai menjadi luntur.

Tetapi tentulah perasaan dan sikap saya tidak akan sama dengan peserta lain yang sama  hadir di bengkel penulisan itu.

Apa lagi kalau yang hadir itu adalah penyair yang sudah boleh dikatakan masyhur dan sudah menerbitkan beberapa buku sajaknya.  Atau kalau tidak pun, pesertanya adalah seorang yang sudah menulis sejumlah kritik dan ulasan dan bertugas di sebuah intitusi sastera pula.

Itulah yang berlaku.  Rasa tidak puas hati diluahkan juga oleh mereka yang saya maksudkan tadi dalam sesi penilaian  sebelum peserta menamatkan bengkel secara rasmi dan pulang ke destinasi masing-masing.

Dinyatakan mereka, mungkin dengan maksud menyindir  sasterawan yang sudah berusia itu, sesi berhikayat kisah lama secara berulang-ulang sepatutnya dihindarkan di dalam bengkel  penulisan di masa mendatang. Alasan mereka,  sebahagian peserta memang sudah mendengar hikayat itu berkali-kali  dan di mana-mana, jadi untuk dan perlu apa lagi  hendak diulang berkali-kali.

Kerana sasarannya memang jelas kepada siapa, tentu sahajalah sasterawan yang sudah berusia itu kembali membalas dengan jawapan. Katanya, dia berkisah bukan untuk mereka yang sudah tahu, tetapi untuk anak-anak dan teman peserta yang belum pun  pernah tahu.

Ketika kembali ke ibu kota, saya menumpang kenderaan salah seorang mereka, yang saya anggap sebagai "abang" dan memang pun saya tahu sebagai  berada di kalangan  penyair yang sudah terkenal itu. Selain saya, turut sama menumpang seorang penyair lain yang juga memang sudah pun terkenal dan tersohor juga.

Kerana sedar dan insaf siapa diri ini, saya memilih menjadi pendiam dan pendengar di sepanjang perjalanan.  Sesekali, andai ada sesuatu yang dipercakapkan mereka yang saya anggap berharga dan berguna, diam-diam cuba saya pahatkan di dalam benak dan ingatan  agar tidak lupa.  Dan tidak saya duga, kisah berhikayat itu  saya dengar diulangi lagi di antaranya.


Saya diam-diam di dalam hati menyimpulkan sendiri. Sasterawan memang suka mengumpat dan bergosip mengenai apa yang tidak mereka sukai mengenai sasterawan yang lain.   Tanpa peduli apakah ianya sesuatu yang benar atau hanya fitnah.

Tetapi yang saya kesalkan ialah bila sasterawan yang sudah sebegitu  berusia itu, pun sanggup juga mereka umpat dan keji secara sembunyi-sembunyi atau di belakang.

Saya tahu dan sedar penulis, seniman, penyair atau sasterawan pun manusia biasa. Namun itu bukanlah lesen untuk mereka berbuat sewenangnya, terutama atas nama sastera dan seni.

Memang apa hendak dihairankan. Memang begitu pun resam manusia. Dan bila setiap kali terkenangkan peristiwa ini, selalu saya memilih menjadikannya cermin buat diri saya melihat diri sendiri.

Kalau seorang  sasterawan yang sudah begitu berusia  dan dihormati ramai pun tega mereka  jadikan bahan umpat dan keji di belakang,  apalah  lagi kalau setakat saya seorang yang kecil ini.

Kerana itu jugalah, kalau memang atau pernah ada, saya tidak begitu berasa tersentuh untuk segala umpat serta keji.


September 30, 2010

2 ulasan:

Naim berkata...

mulut tempayan saja boleh ditutup. :)

MARSLI N.O berkata...

Sdr Naim: Saya selalu menjadikannya cermin.

MARSLI N.O