Selasa, September 14, 2010

GUNAWAN MAHMOOD: SAYA TETAP MENGENANG KEBAIKANNYA

KETIKA dihubungi Shahrunizam yang mengabarkan pesan ringkas yang diterima lewat telefon bimbitnya pada petang 6 September, saya sedang di pejabat. Sedikit  terkejut, tetapi dalam usia yang semakin melebihi nombor 5, saya memang selalu bersedia dengan kejutan-kejutan sedemikian.

Selalu saya katakan kepada diri. Kalau tidak orang lain, saya sendiri yang akan pergi.

Jadi saya menerima khabar pemerginan Gunawan Mahmood dengan hati wajar dan terbuka menerima. 

Memang usia Gunawan dua tahun lebih muda dari saya. Tetapi ketentuan Allah tidak mengambil kira muda atau tua.

Saya kali pertama mengenal Gunawan pada tahun 1989. Tahun itu merupakan tahun pertama diterbitkan buku "Di Atas Mimbar Merdeka", kumpulan sajak yang dijadikan teks peserta Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan anjuran Shapadu dan GAPENA.

Dalam kumpulan sajak yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini, sajak Gunawan "Warga Berjiwa Besar" dan sajak saya "Negeri Ini, Anak" antara sajak yang dipilih sebagai teks.

Saya masih ingat kami melalui sebuah lorong kecil di seberang jalan di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menuju ke jalan besar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di tepi lorong itu, sebuah kedai yang penuh dengan jam tangan murah dan mungkin juga berjenama tiruan. 

Ketika itu Gunawan bersama Ahmad Fadzillah Muhammad. Gunawan beritahu beliau bekerja di Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan.

Itulah seingat saya kali pertama saya mulai bersua dan berbual dengan Gunawan. Kesan pertama saya, Gunawan seorang yang peramah, jujur dan terbuka.

Saya katakan begitu kerana walau itulah kali pertama saya bersua dan berbual dengannya, Gunawan tanpa selindung bercakap dan bercerita seperti sudah bertahun mengenal saya.

Dalam bualan itulah  Gunawan mendedahkan rahsia kepada siapakah beliau maksudkan "Warga Berjiwa Besar" itu.  Ketika itu, warga yang disebutkan Gunawan itu memang benar-benar membuat jelata kagum kerana ketegasan dan visi politiknya yang   jelas meletakkan bangsanya di hadapan.

Bagi saya sajak Gunawan itu merupakan sajak terpanjang di dalam antologi ini dan agak saya boleh menyebabkan para deklamator yang diwajibkan menghafal sajak di dalam sayembara agak takut memilihnya sebagai teks deklamasi mereka.

Gunawan tidak sedikit pun membantah ketika saya secara terbuka menyebutkan itu di hadapan beliau.

"Aku tahu dan sedar itu, Marsli," begitu selamba Gunawan mengiyakan.

Memang pun telahan itu menjadi kenyataan kerana sajak yang agak sering menjadi pilihan adalah "Ke Ruang Katarsis" karya Zaen Kasturi dan lewat sajak saya "Negeri Ini, Anak" telah beberapa deklamator dinobatkan sebagai juara di peringkat kebangsaan. 

Selepas itu Gunawan menjadi kawan saya yang walau pun agak jarang bersua dan berbual-bual, namun tetap saya ikuti  perkembangan karya dan penulisannya.   

Pada suatu waktu, saya benar-benar kagum dengan kesungguhan berkarya beliau dan kemengangan beliau berturut tahun sebagai ganjaran kesungguhannya itu.

Lewat  Hadiah Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)  Gunawan meraih penghargaan bagi novelnya “Namaku Ayoko” (1993), “Renyah” (1994), “Tanah Ini” (1995) dan “Cinta Daerah Perjuangan” (1996).

Tahun 2002, di bawah projek Kembara Puisi anjuran Berita Harian  dan  tenaga utamanya editor sastera ketika itu, Sutung Umar RS, saya kembali menjadi akrab dengan Gunawan kerana banyak destinasi  saya diajak Sutung singgah sebagai pembaca sajak dan pelapor beritanya di  sekitar negeri Johor seperti di daerah  Segamat, Kuala Sedili, Kluang dan di kediaman rasmi Menteri Besar di Johor Bharu, Gunawan terlibat sebagai salah seorang tenaga penggerak di peringkat negeri Johor.

Ketika ini jugalah Gunawan melayan saya benar-benar sebagai tamu yang datang ke negerinya dan saya berasa sangat berhutang budi dengannya.

Malah, kerana kehabisan tiket kereta api ketika selesai acara Kembara Puisi di bandar Segamat, Gunawan tanpa banyak soal mempelawa saya menumpang kenderaannya dan dibawa  bermalam di rumah ayahnya di Felda Ulu Tebrau.

Di rumah ayahnya inilah, ketika saya tiba waktu sudah kurang lebih jam 10.00 malam, saya dikenalkan Gunawan dengan anak saudaranya WB Rendra.

Suatu waktu, ketika acara Kembara Puisi di kampung kelahiran Sasterawan Negara Usman Awang, Gunawan mengajak saya menemankan beliau "memberikan apresiasi" ringkas  mengenai deklamasi sajak kepada tokoh politik tertinggi di kediaman tokoh tersebut.

Waktu yang lain, ketika heboh isu pemilihan teks KOMSAS yang pertama, saya antara yang turut bersuara dan mengesyorkan agar novel Gunawan "Tanah Ini" dipertimbangkan  untuk dipilih menjadi teks.

Selepas beberapa tahun menjadi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas di negeri Johor,  mulai  16 September 2008, Gunawan Mahmood berkhidmat pula dengan Pejabat Menteri Besar Johor sebagai Setiausaha Politik.

Memang saya tidak menduga pertemuan saya dengan Gunawan di Felda Cini Timur 2 pada 5 Jun 2010 lalu adalah yang terakhir. Di majlis perkahwinan anak saudaranya WB Rendra itu, saya hanya berbual sekadarnya dan Gunawan saya lihat semakin kurus dan wajahnya seperti agak letih. Sempat saya merakamkan beberapa foto beliau sebagai tanda ingatan persahabatan.

Gunawan Mahmood bagi saya tetap dikenang sebagai sahabat yang baik,  peramah dan tidak lokek membantu. 

Walau pun meninggalkan kita pada  jam 2.00 petang 6 September, 2010 dan dikebumikan di tanah perkuburan kampungnya di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor,  karya yang ditinggalkan beliau tetap akan  bergema dan berbicara dengan caranya sendiri.

Sebagai contohnya, melalui sajak beliau “Warga Berjiwa Besar” yang diakui Gunawan   ditulis dan terilham dari seorang tokoh pemimpin negara yang amat beliau kagumi, yang digambarkan Gunawan sebagai: “lelaki perkasa yang menghunus idea/ melontar lembing hujah/ menangkis peluru kritik dengan lidah.”

Kekaguman Gunawan terhadap tokoh pemimpin negara ini, yang diungkapkan beliau melalui sajaknya ini, diakui beliau bukanlah bersifat pendewaan kerana: “pendewaan tak akan memberi apa/ kecuali gendang kosong/ yang akhirnya pergi/ bersama angin menyongsong.”

Sajak ini disimpulkan Gunawan dengan pengakuan: “Warga berjiwa besar/ kami memilihmu/ kerana ada visi terbaik/ terkandung dalam dadamu.”

Dalam antologi “Rumah Merdeka”  pula sajak Gunawan berjudul “Segalanya Menuntut Keringatmu” tidak bernada menyanjung sebaliknya  lebih bersifat restropektif diri, renungan dan mengirimkan peringatan kepada khlayak pembacanya.

Kata “segalanya menuntut keringatmu” dan “tak satu pun dikurnia secara percuma” diulang Gunawan sebanyak tiga kali di awal bait pertama, empat dan dan lima sajak ini mengisyaratkan seruan beliau yang perlu diberikan perhatian.

Bagi Gunawan, untuk mencapai hasrat dan cita di dalam sebuah negara tidak memadai dengan: “segunung teori/ pakatan mogok dan demonstrasi/ jerit pekik lolong ketidakadilan/ atau rintih rasa/ tembang kecewa.”

Sebagai penegasannya, Gunawan menutup sajak ini dengan pesan dan harapan: “Usah tukar wajah air/ dan warna tumbuh-tumbuhyan/ pastikan manusia/ dapat bernafas/ dengan lega dan selelsa.”

Jika sajak beliau “Warga Berjiwa Besar” menyatakan kekaguman dan penghargaannya terhadap seorang tokoh pemimpin negara yang masih hidup, sajak beliau “Tun Perak” yang dimuatkan di dalam antologi “Jamung Merdeka” terbitan Gapeniaga tahun 2005 pula memerikan kekaguman dan kehebatan beliau terhadap  seorang tokoh terbilang di dalam sejarah pemerintahan alam Melayu.

Melalui sajak ini, Tun Perak di mata tanggapan Gunawan adalah seorang tokoh yang “bijaksana dan sopan tingkahnya”, “ tokoh terulung di zamannya”, “tahu di mana meletakkan dirinya”, “Pandai menjaga harga diri” dan disimpulkan sebagai: “penyemai benih-benih demokrasi/ di tanah bertuah ini”.

Gunawan, kami iringi keberangkatanmu dengan doa dan moga Allah sentiasa memberkahi rohmu di sana.

September 14, 2010

2 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam bang marsli. hanya kiriman fatihah diutus, ketika terkenangkannya; seringnya saya sebak.

MARSLI N.O berkata...

Salam kembali Sdr WB Rendra: Kita tetap mengenang segala kebaikan. Kerana kita juga akan ke sana.

MARSLI N.O