Sabtu, September 04, 2010
MALAM ITU, ANJING-ANJING MENYALAK
MALAM itu, jalan dan lorong di kota kecilku menjadi sesak dan padat dijejali manusia dan deretan kenderaan yang membeludak muncul dari segenap pelosok daerah. Suara manusia dan deruman jentera berbaur membingitkan suasana. Sesekali terdengar pula pekik klakson yang melengking-lengking menambah hangat ruang dan suasana malam.
Hanya satu tujuan. Berbondong sekalian warga yang berjejal di jalan dan lorong menuju tumpuan. Tidak lain ke arah satu dataran.
Di suatu dataran yang letaknya di tengah pusat kota kecil itu benderang cahayanya bagaikan siang diterangi lampu ratusan atau mungkin ribuan jumlahnya. Sekalian warga, tidak mengira usia dan darjat dirinya, kini di dataran itulah mereka saling bersesak dan berhimpit sesamanya.
Ini malam penuh bersejarah yang tidak boleh tidak mesti sama diraikan meriahnya. Kerana datangnya hanya sekali dalam setahun.
Ya! Ya! Ya! Ya! Begitu terdengar berkumandang bagaikan halilintar teriak dan pekik sekalian mereka saling bersahut-sahutan dan serentak itu juga, dari mulut sekalian mereka yang luas terngaga itu kelihatan berloncatan pelbagai huruf dan aksara membumbung tinggi menuju udara.
Tetapi sebentar kemudian, malam yang kian pekat menelan segalanya ke dalam kelamnya.
Ya! Ya! Ya! Ya! Sekalian mereka berteriak lagi saling bersahut-sahutan. Dan kini, dari rongga mulut sekalian mereka yang luas ternganga itu kelihatan berhamburan pula ke arah udara cebisan kain pelbagai warna.
Dan sekali lagi, malam yang kian memekat itu menelan semuanya ke dalam kepekatan kelamnya.
Ya! Ya! Ya! Ya! Sekalian mereka berteriak lagi saling bersahut-sahutan. Dan kini, dalam sekelip mata, setiap mereka telah berubah bentuk dan wujudnya.
Ketika kemudiannya, segala teriak dan pekik mereka, berubah menjadi lengking dan salakan.
Yang tidak pernah mereka faham dan tahu apakah makna sebenarnya.
Kerana sejak lama, sekalian mereka hanya diajar dan diarahkan agar hanya menjilat. Seperti peri dan laku seekor haiwan.
September 4, 2010 (Ramadhan 25)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan