Isnin, November 29, 2010

HADIAH SASTERA DAN SAYA: KALAU SAYA MARAH AWAK PEDULI APA


PETANG semalam, seorang teman menelefon bertanyakan apakah saya ada menerima apa-apa jemputan menghadiri suatu acara pengumuman hadiah sastera. Kerana memang tiada saya menerima sebarang jemputan sama ada melalui surat atau telefon, maka tiada jugalah jawab saya terhadap tanya teman itu.

Hari ini, 29 November 2010, akhbar Berita Harian di ruang sasteranya, menyiarkan tulisan Nazmi Yaakob yang antara lain menyebut kumpulan cerpen saya "Menanti Buraq" antara karya yang dibawa ke peringkat akhir penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009.

Usai membaca tulisan Nazmi ini, saya sekejap tercenung memikirkan betapa bagi tahun penilaian 2008/2009,  saya juga memiliki sebuah  buku kumpulan sajak "Kepada Angin Juga" yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2008. Jadi, berdasarkan tulisan Nazmi itu, kerana tidak disebut beliau dalam tulisannya, maka ini bererti kumpulan sajak saya itu memang tidak layak untuk dibawa ke peringkat akhir penilaian.

Sebenarnya, ada atau tidak, diberikan hadiah atau tidak, saya akan tetap juga terus menulis karya demi karya mengikut kehendak dan pilihan saya sendiri. Atau kalau misalnya ada karya saya yang kemudiannya dinilai dan diberikan hadiah, hadiah itu tidak akan pula saya tolak.

Namun, untuk sampai ke tahap terlalu mengharap-harap agar diberi hadiah dan menulis semata-mata kerana mahu mendapat hadiah, itu tidaklah menjadi fokus atau hasrat saya sejak dulu hinggalah kini.

Saya masih ingat,  tahun 1971,  ketika saya menggatalkan tangan mula menulis secara lebih bersungguh dan menulis sajak "Aku Anak Sisa Perang Vietnam", saya tidak sedikit pun membayangkan atau menginginkan bahawa kerana menulis sebuah atau sejumlah sajak, saya pada suatu waktu nanti akan menerima atau diberikan apa-apa hadiah.

Hasrat yang mendorong kegatalan tangan saya agar menulis sajak ketika itu dan juga sehingga kini pun, tidak lain hanyalah keinginan untuk menyatakan sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan saya sebagai seorang penyair.  Sesuatu yang akan saya tulis dengan kehendak dan pilihan saya sendiri.

Keinginan untuk menyatakan  segala sesuatu yang menyentuh  hati dan perasaan saya itulah  yang menjadi doronganya dan hadiah bukanlah sesuatu yang diharap atau didambakan.

Saya memang ingin menegaskan dan menyatakannya di sini. Apakah akan diberikan hadiah atau tidak, saya akan tetap juga menulis. 

Tetapi sungguh pun begitu, walau pun hadiah bukanlah sesuatu yang sangat saya dambakan, jangan pula mereka di intitusi tertentu atau yang kebetulan dipilih menjadi panel sesuatu anugerah berasa diri mereka boleh berlagak sewenangnya bagaikan dewa dengan cara meremehkan karya saya dan juga karya-karya orang lain sekehendak hati mereka sahaja.

Walau sebagai penilai mereka berasa  berhak untuk menilai dan memenangkan karya siapa sahaja yang mereka suka, mengikut kehendak dan selera mereka,   walau dengan   fahaman sempit teori dan tanggapan sastera mereka yang jumud,  itu tidak bermakna saya  sedia bersekongkol merelakan perbuatan mereka begitu sahaja dan terus menerus akan berlagak bodoh bagaikan badak kelemasan di lumpur.

Walau pun misalnya saya ini memanglah bodoh dan kurang tahu, namun itu tidaklah bererti saya sampai tidak dapat membezakan antara sesuatu yang memang disengajakan  yang berhasrat ingin  menyingkirkan ke tepi  mana-mana karya yang mereka sebagai penilai  tidak menyukainya kerana tidak termasuk dalam kategori kroninya atau tidak sejalur dengan fahaman sempit teori sasteranya sendiri.

Atau katakanlah di segi karya eceran. Kalau sebuah kumpulan puisi dipilih untuk dibawa ke penilaian akhir, mustahillah kalau sebuah pun karya di dalamnya tiada yang layak  untuk dinilai bagi kategori karya eceran?  Begitu juga dengan kumpulan cerpen atau drama.
 

Tetapi seperti selalu memang begitulah. Walau sudah bertalu tegoran dan pandangan dilontar, reaksi dan perubahan yang positif tetap tidak juga kelihatan terjadi. Panel penilai atau pihak yang menguruskan urusan memberi hadiah ini akan berteguh dengan prinsip setiap penilaian adalah muktamad dan tidak akan merubahkan apa-apa.

Lagak dan angkuhnya mereka selaku penilai dan pegawai yang menguruskan tidak ubah  bagaikan dewa yang bersemayam di mahligai nun jauh di angkasa raya. Di mulut mereka segalanya adalah kata pemutus. Dan sesiapa yang cuba melawan atau kembali mempersoalkan, bersiaplah untuk menerima padahnya.


Seolah-olah, atau mereka ini, dengan sengaja buat lupa betapa segala tugas  serta tanggungjawab yang diserah serta diamanahkan kepada mereka sebenarnya adalah amanah yang diserahkan oleh rakyat agar dilaksanakan sejujur dan ikhlas yang mungkin. Dan tugas itu tidak mereka laksanakan secara percuma. Untuk tugas itu, mereka dibayar upah atau gaji  dan bayaran  gajinya itu adalah  dengan duit  rakyat dan sebahagian dari rakyat itu adalah diri saya.

Saya memang tidak peduli apakah karya saya akan diberikan hadiah atau tidak.  Diberi atau tidak, saya  akan tetap terus menulis.

Tetapi cuba memperbodohkan saya dengan penilaian dan keputusan yang malah lebih bodoh dari perbuatan sekawanan lembu di padang, itulah yang saya tentang dan bangkang. Malah, bedalih untuk sengaja melengah-lengahkan mengumumkan keputusan sesuatu penilaian, dengan alasan rahsia dan belum sampai waktunya, juga bagi saya satu perbuatan yang sama bodohnya dengan perbuatan sekawanan lembu.  

Hendak dirahsiakan apa? Takut akan ada pihak yang membangkang dan buat kecoh? Atau, takut-takut  kalau diumumkan lebih awal  akan  berlaku  amukan  dan rusuhan  seperti kejadian 13 Mei? Ah, bodoh sungguh alasan sebegini.

Mereka sepatutnya berasa malu.  Tetapi seperti selalu, kebodohan sebegitu akan selalu dan sentiasa diulang-ulang.  Walau yang berbuat bodoh itu mengaku dirinya terlalu lebih dan  banyak tahu dari semua pengetahuan yang ada di atas muka bumi.

Saya memang tidak peduli. Tetapi itu tidak bererti saya akan mendiamkan  begitu sahaja kebodohan yang kian ingin menjadi raja dan dewa, yang kini  akan berterusan saya tentang  dan lawan!

Memang pun kini. Kalau saya membentak marah, awak apa peduli? Awak tahu apa sebabnya? Sebab saya sudah bosan dan benci melihat kebodohan yang diulang berulang kali oleh mereka yang mahu berlagak dan berasa dirinya adalah dewa yang boleh menentukan hidup dan mati hayat sastera orang lain!

November 29, 2010

Tiada ulasan: