Ahad, November 28, 2010

KE KOREA DENGAN HATI DAN JIWA TERBUKA


Surat undangan rasmi
SAYA merenung bungkusan yang berisikan beberapa judul buku karya saya itu.  Di dalamnya adalah lima buku kumpulan sajak "Kepada Angin Juga", 16 buku kumpulan  sajak terjemahan saya "In The Drunk State" dan empat buku  kumpulan cerpen "Menanti Buraq".

Inilah ole-ole yang akan saya bawa bersama diri saya ketika ke Korea pada 2 hingga 7 Disember 2010 nanti.  Buku-buku ini akan saya hadiahkan, sebagai tanda ingatan dan terima kasih dari pihak diri saya kepada beberapa mereka yang saya fikir sudah terlalu banyak membantu serta berusaha keras  demi memungkinkan diri saya ke sana atas nama puisi dan penyair. 

Selebihnya selain itu, khususnya kumpulan sajak "In The Drunk State", jika masih berbaki, akan cuba saya usahakan bertukar dengan buku-buku teman-teman peserta dari negara lain.

Saya tahu dan sedar, tanpa undangan dari pihak mereka memang agak payah dan sulit untuk saya mengeluarkan wang sendiri bertandang ke luar negara.   Kemujuran dan rezeki yang dilorongkan oleh Allah SWT terhadap saya inilah yang memungkinkan saya ke luar negara lagi kali ini.

Tetapi saya sedar dan insaf. Undangan saya ke luar negara bukan atas tiket atau nama pelancongan.  Saya diundang ke sana atas nama sastera, dan kali ini puisi khususnya.  Jadi saya tidak boleh tidak mesti membawa peranan itu. Sebagai penyair, sesuai dengan hasrat dan maksud undangan mereka. Kerana  itu jugalah, ketika di sana nanti, setiap  tindakan, gerak,  tutur dan kata dan perilaku saya, mestilah sesuai dengan atau maksudnya sebagai seorang penyair.

Maka, sebagai penyair yang diundang oleh sebuah negara atas nama puisi, saya mestilah juga menjaga nama baik negara saya dan para penyairnya.
Maman S Mahayana

Walau memang pun, atau mungkin tiada siapa pun  penyair di negara saya yang akan ambil  peduli apakah saya mewakili imej mereka atau tidak ketika saya di luar negara nanti,  namun secara peribadi saya akan cuba seboleh mungkin untuk mempamerkan suatu imej yang secara jujur dan tulus, baik dan positif di mata pandangan pihak yang mengundang dan juga  teman-teman penyair yang mewakili negara masing-masing di acara itu nanti.

Saya tahu dan sedar saya di Korea bukan sebagai pelancong. Kerana  itu,   saya tidak akan mengamalkan secara berlebih-lebihan apa sahaja perilaku yang menjadi budaya sebagai pelancong ketika di luar negara: mencari wanita  peneman ketika sunyi di waktu malam, menyantaikan diri di  rumah urut atau hiburan atau berbelanja sakan sehinggakan tidak mengigati dunia!

Memang secara peribadi saya berasa beban dan tanggungjawab yang akan saya  galas  ketika di luar negara sebagai seorang penyair agak berat juga.

Tetapi bila mengenangkan  Rahimidin Zahari juga turut sama diundang dan saya tahu serta akui  Rahimidin Zahari  juga merupakan seorang penyair yang baik, jujur dan ikhlas dalam aktiviti kepenyairannya, maka  saya dapat juga sedikit  berlapang hati kerana beban untuk memikul "tugas" sebagai penjaga imej teman penyair lain di negara sendiri ketika berada di luar negara nanti,  telah turut sama dipikul oleh Rahimidin. Jadi ringanlah sedikit beban perasaan saya mengenai itu.

Sebenarnya, sepanjang penglibatan dengan seluruh isi jiwa dan raga saya sebagai sasterawan, ini bukanlah kali pertama saya ke luar negara dan diundang menyertai sesuatu acara.  Jadi pemergian kali ini memang tidak begitu banyak menimbulkan rasa gelisah dan debar di dalam diri sebenarnya.
Lim Kim Hui

Pengalaman-pengalaman sebelumnya, memang banyak membantu untuk nanti bagaimana membawa dan menguruskan diri sendiri ketika berada jauh dari negara sendiri. Malah, pengalaman beberapa kali menghadiri acara sastera di luar negara juga mengajar saya bagaimana pendekatan untuk bercakap ketika di depan forum, melayan soalan-soalan yang palsu atau yang benar dan tidak lupa juga bagaimana hendak melayan para intel yang sebok menyamar sebagai jurufoto atau petugas acara.

Malah kerana pengalaman itu jugalah saya belajar bagaimana caranya untuk kian memperteguhkan rasa cinta dan sayang  saya terhadap negara saya sendiri yang telah saya tinggalkan untuk seketika waktu.

Untuk dan kerana itu, maka saya sama sekali tidak akan mengutuk dan menghina, walau apa cara dan sebabnya negara saya sendiri.

Saya tahu kebanyakan penyair yang datang ke acara itu adalah mereka yang di negaranya sendiri telah dipilih oleh pihak pengajur. Untuk dan kerana itu, tidak mustahil kalau setiap mereka yang datang sebagai peserta itu berasa dirinya terlalu besar dan hebat dan melebihi segalanya dari segenap segi berbanding dengan  peserta dari negara lain.

Tetapi itu semua tidak sedikit pun akan  menggentarkan hati serta perasaan saya.  Saya hanya datang atas nama puisi dan ingin sebanyak-banyak beroleh kemanfaatan darinya. Soal keegoan orang lain, cabaran keadaan, atau mungkin juga cuaca yang lebih mencabar, akan cuba saya hadapi dengan hati dan jiwa terbuka.

Di sana nanti, saya  akan mewajarkan sendiri dan tidak ingin terlalu bergundah hati.

November 28, 2010

2 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Salam kanda Marsli,
Tahniah, teruskan melangkah tanpa berpaling.
Amin.

MARSLI N.O berkata...

Salam kembali Saudara Sham-al-Johori: Terima kasih atas ingatan dan saya akan terus melangkah dengan apa yang diyakini, juga dengan awas dan harapan. Moga tidak menjadi angkuh dan lupa diri. Selamat berkarya buat Saudara yang baik dan berbudi.

MARSLI N.O