Khamis, November 25, 2010

KE KOREA DENGAN PUISI


BERMULA  2 hingga 7 Disember 2010 ini saya akan berada di Seoul, Korea Selatan. Saya ke sana sebagai penyair dan menghadiri jemputan ASEAN-Korea Poets Literature Festival.  Acara ini diselenggarakan oleh ‘The Poet Society of Asia(TPSA)’ .

Saya ke Korea dengan puisi dan saya berasa bangga kerananya. Namun jangan salah sangka.  Saya katakan saya berasa bangga itu bukanlah dengan niat dan maksud hendak menyombongkan diri dan mahu berlagak menyohorkan sesuatu yang sebenarnya tidaklah perlu sama sekali untuk dilagak dan disohorkan.

Sebaliknya, rasa bangga itu lebih kepada ingin menyata dan merakamkan penghargaan terhadap puisi dan dunianya yang sejak sekian lama saya gulati dan sedia juga menerima saya menjadi salah seorang warganya.

Kerana penerimaannya  itulah  maka saya hari ini, walaupun belum lagi sepenuhnya dan sempurna bergelar penyair tetap dengan yakin serta percaya terus menulis puisi demi puisi.

Untuk itulah juga maka saya selalu berterima kasih kepada puisi. Tanpa puisi, siapalah saya di dunia ini. Barangkali, jika tanpa puisi, dan sastera juga, saya hanyalah  seorang manusia yang hidup sehariannya hanyalah mengulangi ritual demi ritual bernama sayur.

Tetapi dengan dan kerana puisi saya berasa hidup saya selalu terisi dan bererti. Dengan dan kerana puisi tiada suatu pun saat dan ruang dalam kehidupan saya yang berlalu terlepas dan menjadi sia-sia  begitu sahaja. Setiap detik dan denyutnya adalah rahsia   yang selalu memberi makna.

Itulah indah dan hebatnya puisi. Yang kerananya juga menjadikan saya tidak berasa sunyi dan sendiri di dunia yang luas serta bising ini.

Siapalah saya tanpa puisi.  Saya masih ingat bagaimana 33 tahun yang silam, tepatnya sekitar bulan Mei 1977 saya yang ketika itu hanyalah seorang pemuda yang sedang diamuk gelisah mencari indentiti dirinya sendiri, tiba-tiba berasa menemukan jalan keluar untuk menyata  perasaan dan pendapatnya melalui sebuah puisi yang pendek dan padat.

Puisi berjudul "Harapan" dan disiarkan majalah Dewan Sastera, Mei 1979 itu hanya menyatakan: "jendela malam/ rumah pasungkah yang paling setia/ kuaklah kemuncakmu/ burung-burungku/ bersama apiku/ memerguk/ tertimbus."

Di situlah saya secara bersungguh menggulati puisi, selepas sekian tahun sebelumnya, sejak  di bangku tahun pertama sekolah menengah, bermain dengan kata dan perasaan sendiri,   untuk memahami dan mengenal apakah sesungguhnya yang dikatakan sebuah puisi.

Saya hanya ingin  bercerita dan mengimbas kembali kehadiran diri di dunia puisinya sendiri .  Selepas kurang lebih 33 tahun menggulatinya, kini saya semakin percaya dan sudah pun terbukti  betapa segala sesuatu yang digulati serta dihayatinya dengan sepenuh, jiwa dan raga, juga dengan kejujuran dan tanpa sebarang rasa pamrih atau mengharapkan pujian dan sanjungan yang tidak perlu,   pasti akhirnya akan beroleh juga ganjarannya dalam bentuk lain yang lebih bermaruah.

Memang sejak dulu saya sedar betapa sebagai penyair saya bukanlah seorang yang terlalu hebat dengan puisinya. Malah terus terang saya katakan, ketika menulisnya,   saya pun tidak pernah peduli apakah puisi saya itu hebat atau tidak. 

Tetapi, apa yang selalu saya perhatikan,  saya hanya ingin berlaku jujur dengan hati serta perasaan saya sendiri.  Saya hanya menulis sesuatu berdasarkan apa yang menyentuh hati, perasaan dan fikiran saya. Soal apakah nanti akan menjadi puisi yang hebat atau tidak, saya tidak pernah peduli.

Saya ke Korea dengan puisi.  Di belakangnya, saya tahu pemergian saya pastilah ini dengan dan kerana ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT jua, yang dengan iradah serta kehendakNya telah menggerakkan juga hati sejumlah orang untuk berlembut hatinya menghulurkan bantuan membantu saya dengan cara apa pun.

Untuk itu, saya selalu tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Pak Maman S Mahayana yang tidak pernah jemu membantu saya dalam segenap segi.   Juga sahabat saya yang kini bergelar Doktor, iaitu Lim Kim Hui.  Malah sebelumnya juga,  banyak lagi nama-nama lain yang ingin saya nyatakan ucapan terima kasih saya kepada mereka. 

Di Korea dengan puisi. Saya ke sana dengan diri yang sedia untuk melihat, mendengar dan belajar banyak perkara dan ilmu yang mungkin baru dan lebih mencabar dari siapa sahaja. Sebagai penyair yang ingin seadanya, saya hanya ingin tampil sebagai diri saya sendiri.  

Semoga saya tidak ditewaskan oleh cuaca yang semakin mendingin di sana dan semoga saya akan selalu dipelihara keselamatan dan kesejahteraannya oleh Allah SWT.

November 25, 2010

9 ulasan:

srirahayumohdyusop berkata...

Tuan,

Tahniah. Semoga selamat pergi dan selamat kembali.

benuasuluk berkata...

Selamat berangkat; dan pulang nanti moga dapat berkongsi sesuatu dengan kami teman-teman. Oh, hati-hati jaga keselamatan diri, khabarnya ada 'ribut' antara Utara dan Selatan sekarang.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Sri Rahayu: Terima kasih atas ucapannya.

MARSLI N.O

Sdr Ridzuan Harun: Terima kasih atas ucapannya. Ya, saya sentiasa sedia untuk berkongsi. Sesuatu yang wajar.

MARSLI N.O

Hashim Zabidi berkata...

Aduhai! sdr seorang yg beruntung. Mengaut untungnya setelah penat dan jerih berusaha. Syabas dan tahniaah.
Sekadar dgn ucap-ucapan yg tidak mursid saja yg dapat saya hulurkan...

MARSLI N.O berkata...

Salam Pak Hashim Zabidi. Terima kasih atas ucapan serta perhatian. Saya berusaha untuk terus jujur di jalan ini. Semoga.

MARSLI N.O

Yusuf Fansuri berkata...

Salam,

Tahniah atas jemputan ke Korea, moga perjalanan Abg Marsli lancar dan dilindungi-Nya jua. Seniman itu harus menjalar dan nalar... agar karyanya terus tumbuh dan malar.

Melihat Kesunyataan berkata...

Marsli N.O,
Tahniah kerana menjadi duta puisi bagi pihak Malaysia. Selamat pergi dan balik.

dahirisaini berkata...

kembara sastera muzika muluk yg melantunkan rasa kagum sahabat,
salam,

MARSLI N.O berkata...

Sdr Yusuf: Terima kasih atas ucapan dan doanya. Saya memang selalu mengharapkan perlindungan dariNya.

MARSLI N.O

Tuan Haji Shapiai: Terima kasih atas ingatannya. Saya berusaha untuk menjadi duta puisi "yang baik". Semoga.

MARSLI N.O

Sdr Dahiri: Semoga ada sesuatu nanti yang bisa saya kongsikan dengan Sdr. Terima kasih atas ingatannya.

MARSLI N.O