Lalu saya biarkan mereka asyik dan leka mencatat dan terus mencatat.
Sabtu, November 20, 2010
MENULIS PUISI, MENCARI CERITA
MEREKA yang semalam mengaku mahu menulis puisi dan digabungkan di dalam kelompoknya, pagi ini saya ajak mencari ruang yang teduh di gelanggang yang lebih luas serta lapang di luar dewan. Tanpa banyak soal, saya menyuruh mereka duduk bersila di lantai simen gelanggang yang agak luas itu.
Sepihak adalah pelajar perempuan dan sepihak lagi pelajar lelaki. Jangan saling bersentuhan. Namun usahakan, walau di kelompok yang berasingan tetapi kedudukan kalian biarlah sedekat yang wajar dan boleh. Agar dengan begitu, kita dapat saling rasa memberi dan menerima. Begitu ujaran saya lagi, yang juga duduk bersimpuh di kelilingi mereka.
Begitu melihat mereka sudah bersedia dengan kertas dan pena masing-masing, saya memulai acara proses menulis puisi pagi itu dengan kata pembuka selanjutnya.
Menulis puisi itu samalah dengan menuliskan sebuah cerita. Begitu kata saya dengan suara yang memang sengaja saya lantangkan. Beberapa anak-anak itu menatap saya mendelik-delik.
Kalau ada cerita adalah puisinya. Tanpa cerita maka tiadalah juga puisinya. Begitu kata saya kepada anak-anak itu lagi.
Jadi cari dan fikirkanlah ceritanya itu terlebih dahulu. Usah peduli apakah cerita itu serius atau tidak, bererti atau tidak. Yang penting adalah sebuah cerita. Ya, cerita mengenai sesuatu. Cerita mengenai diri sendiri, alam sekitar, keluarga, alam persekolahan dan apa-apa sahajalah. Pokoknya asalkan cerita.
Maka, tegas saya, mencari atau memikirkan sebuah cerita itu bermula dengan soal APA. Ceritanya APA. Mengenai APA. Soal diajukan kepada diri bertalu-talu. Sampai ketemu dan mendapat jawapannya, dalam bentuk sebuah atau suatu cerita yang dapat hendak dijadikan nanti sebagai sebuah puisi.
Maka itu, sebagai landas dari proses tanya dan jawab itu, dipergunakan teknik 5W + 1 H.
Teknik ini tidak lain adalah soal mengenai: APA, SIAPA, BILA, DI MANA, MENGAPA + BAGAIMANA.
Melalui proses ini tanya demi tanya diajukan bertalu-talu. Tanyalah. Tanyalah. Tanyalah. Tanyalah. Dan teruslah bertanya. (Ketika menyebutlan kata ini, saya teringatkan Sutung Umar RS. Kata ini selalu saya dengar disebutkan oleh Sutung dalam salah satu puisi yang selalu dibaca Sutung dalam banyak acara baca puisi yang saya juga sama menyertai. Sebutan kata ini kemudiannya diakhiri beliau dengan pekikan dengan nada tinggi: TANYALAH!)
Tetapi saya tidak pun menjeritkan apa-apa di penghujung kata tanya yang saya telah ucapkan di hadapan anak-anak pada pagi itu.
Selepas melalui proses tanya itu, maka catatkanlah apa sahaja yang terlintas di fikiran kalian. Jangan dipedulikan apakah logik atau tidak logik. Tersusun atau pun tidak. Bagus atau pun tidak. Ini baru proses mencari cerita dan kata. Catatkan sahaja. Ingatlah itu. Saya melanjutkan lagi kata.
Mereka pun mulai mencacat dan diselangi pula dengan menung dan manggut-manggut. Kemudian mencatat lagi. Manggut lagi. Mencatat lagi.
Lalu saya biarkan mereka asyik dan leka mencatat dan terus mencatat.
Lalu saya biarkan mereka asyik dan leka mencatat dan terus mencatat.
November 20, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Marsli N.O,
Satu pendekatan yang menarik untuk berkarya. Bukan untuk penulis baru sahaja.
Salam Tuan Haji: Saya memang praktikkan untuk kegunaan sendiri. Jika Tuan Haji ingin mempraktikkan juga, silakan.
MARSLI N.O
Catat Ulasan