TARIKH: 8 hingga 11 November, 2010
TEMPAT: Sekolah Menengah Kebangsaan Maran
PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI PAHANG
SECARA berterus terang saya meminta sejumlah mereka di dalam kamar yang sendat itu mengaku dan memilih. Siapakah di antara kalian yang berniat di dalam hatinya mahu menulis puisi dan siapa pula yang mahu menulis cerpen, silakan mengangkat tangan? Begitu kata saya.
Hasilnya ada dua kelompok. Satu kelompok yang mengaku berniat mahu menulis puisi dan satu lagi yang berniat mahu menulis cerpen. Masing-masing dipinta berkumpul di suatu sudut yang berlainan. Namun berbaki satu kelompok yang lain, kelompok ketiga yang mengaku berterus-terang tidak berminat sama ada puisi atau cerpen, malah penulisan berita atau rencana juga.
Di pihak saya, kerana memang sudah dimaklumkan sejak awal oleh pegawai dari Jabatan Pelajaran Daerah Maran selaku penganjurnya, Encik Ramli Yahya, maka saya sejak dari rumah bersedia untuk bercakap hanya mengenai puisi dan bahagian cerpen sudah pun ada pakarnya iaitu Hasanuddin Md Isa.
Kelompok pelajar ini sebelumnya sudah didedahkan dengan ilmu penulisan berita dan rencana di sebelah pagi oleh wakil dari Utusan. Kemudian, mulai sesi selepas rehat waktu tengahari membawa hingga ke malam, mereka didedahkan pula dengan ilmu cerpen dan penulisan novel oleh Hasanuddin Md Isa yang lebih saya akrabi dengan paggilan ustaz.
Sebelum ke mari, saya sudah dipesankan oleh Encik Ramli Yahya agar mendorong pelajar menulis dan mendapatkan sejumlah karya puisi dari mereka. Tidak terlalu sempurna pun tidak mengapa. Begitu sentiasa terngiang pesan Encik Ramli Yahya di telinga saya dan saya berasa bersalah kalau nanti tidak dapat menunaikan pesan itu.
Tetapi saya selalu percaya semua orang, tidak peduli apakah pelajar mahu pun dewasa, tetap punya hasrat ingin menulis dan melahirkan sesuatu dari dalam jiwa mereka.
Pengalaman mengendalikan sejumlah bengkel penulisan, antara yang wajar saya sebut ialah bengkel penulisan anjuran sebuah jabatan ketika di bawah kelolaan Rahimidin Zahari, di beberapa sekolah sekitar Kuantan di bawah kelolaan Cikgu Nik Adib, Asmui Mustapha dan Hameer Habib dan di Cameron Highland anjuran jabatan tempat bertugas novelis Mohamad Kholid Hamzah, meyakinkan saya mengenai itu.
Boleh dikatakan 99 peratus mereka ini memang memiliki hasrat dan cerita serta idea. Tinggal lagi tidak tahu bagaimana hendak bermula dan memulakannya.
Jadi itulah pendekatan atau fokus yang saya pilih. Saya tidak mahu terlalu memberikan mereka teori dan definisi serta istilah. Sebaliknya, saya mahu "mengajak" mereka menulis dengan cara atau method yang telah saya cuba dan uji sudah di banyak bengkel penulisan yang saya kendalikan.
Kini, apa yang saya yang amal dan praktikkan di dalam bengkel itu bukan lagi teori dan uji kaji, tetapi suatu method yang sudah pun saya absahkan. Saya yakin, walau tidak menderetkan istilah besar dan hebat, saya akan mampu mengajak mereka mulai menulis.
Saya katakan "mulai menulis" kerana saya tahu mereka yang hadir ke bengkel penulisan saya itu bukanlah mereka yang sudah menulis dan berhasil menyiarkan karya dalam erti kata yang sebenarnya.
Mereka mungkin sudah pun sedikit menulis, namun itu pun masih di peringkat cuba-cuba. Jadi dari situlah permulaannya. Mereka mahu diajak agar memesrai dunia penulisan dan bagi yang sudah mulai sedikit, mahu dimotivasi agar menulis lebih rajin dan bersungguh-sungguh.
Untuk itu, saya tidak akan dan tidak mahu menakut-nakutkan mereka dengan memperkenal teori dan jargon tanpa memberitahu di mana perlu dan gunanya setiap yang disebutkan di depan mereka konon atas nama ilmiah dan akademik itu.
Saya sedar cara atau pendekatan begini memang tidak disukai oleh para pentadbir atau pegawai sastera yang berasa dirinya terlalu banyak tahu dan sok ilmu.
Tetapi saya tidak peduli itu. Soal bagaimana mahu mengajak orang mulai menulis tidak boleh diselesaikan hanya dengan teori semata-mata. Ajakan ini mesti bersifat mesra dan tulus dan baru diiringi dengan ilmu selepasnya.
Kerana itulah ketika mulai bercakap dengan mereka, saya katakan dengan nada dan maksud membujuk, beberapa keuntungan menjadi seorang penulis. Dan tugas saya menjadi lebih mudah kerana dalam sesi sebelum ini semalam, Hasanuddin Md Isa mengaku dan berserta dengan bukti slide foto, menanyangkan sebuah rumah dan sebidang tanah yang berhasil dibeli beliau hasil dari royalti novelnya.
Tetapi saya tahu, tarikan menulis bukanlah semata-mata kerana kebendaan. Tentulah ada yang selebih dan selain dari itu. Misalnya, hasrat untuk menyatakan isi fikiran serta perasaan, atau sebagai suatu terapi kejiwaan.
Begitu juga dengan inti dan pengisian sebuah karya, tidak boleh tidak mestilah bertunjangkan ilmu dan pemikiran. Jadi sebuah karya yang melulu bercerita mengenai kegagalan diri, keluarga, tanpa menampilkan sisi-sisi yang positif, sehingga boleh mendatangkan aib kepada diri penulisnya sendiri di hadapan khlayak pembaca, atau hanya berisikan keseronokan yang melulu, saya katakan berterus terang bukanlah karya yang baik dan digalakkan.
Tetapi ilmu dan pemikiran yang bagaimana, cikgu? Begitu tanya salah seorang peserta, seorang pelajar tingkatan tiga atau empat dari Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis dengan berani dan berterus-terangnya.
Wisdom word. Kata hikmat. Jawab saya sebagai pembuka kata. Kata yang boleh mengajak orang berfikir dan merenung mengenai diri dan kehidupannya sendiri. Nyatakan itu mengikut kemampuan intelek dan usia anda. Nyatakan secara jujur dan bukan dengan niat mahu berlagak. Tetapi tidak perlu dinyatakan di dalam setiap baris. Kalau hanya sebagai kesimpulan dari keseluruhan puisi itu sudah memadai. Juga, jujurlah dengan diri dan kata-kata anda. Begitu saya lebih lanjut menjawab tanya itu.
Dari jumlah 21 peserta yang memilih menulis puisi, 21 puisi berjaya dihasilkan. Saya tidak terlalu agresif mengkiritik karya mereka itu di peringkat permulaan kerana tahap yang mereka lalui baru tahap mencari kata untuk sebuah puisi atau sebuah deraf. Malah sebagai galakan dan motivasi, saya meminta deraf itu dibacakan di depan teman-teman dan di antara mereka, 10 peserta telah dipilih pihak urus setia bengkel untuk membacakan puisi mereka di malam persembahan pada 10 November.
Baru pada sesi kedua, keesokan paginya, deraf sajak itu saya kritik dan menyarankan beberapa pembaikan. Tetapi itu saya lakukan selepas sebelumnya kepada mereka saya perjelaskan komponen-komponen asas yang mampu mengukuhkan binaan sebuah rumah bernama puisi, seperti pemikiran dan aspek-aspek kebahasaan secara lebih detail.
Tetapi sekali lagi, saya ingin dan perlu berterima kasih kepada Ustaz Hasanuddin Md Isa. Dalam sesi penulisan cerpen beliau sebelumnya, aspek-aspek kebahasaan telah disebutkan oleh beliau di depan para peserta. Jadi, untuk mengelak kebosanan saya tidak mengulangi lagi dalam sesi menulis puisi di peringkat awal, tetapi memperjelaskan lebih detail kepada mereka pada sesi pemurniaan deraf karya di peringkat pertama.
Kepada pihak urus setia bengkel dan penganjur, saya dengan tegas telah memperakukan 21 peserta di bahagian puisi layak diberikan serta merta sijil penyertaan mereka kerana mereka telah membuktikan kesungguhan mereka dengan menulis karya.
Saya mendapat maklum, peserta bahagian cerpen belum lagi menerima sijil penyertaan mereka, kecuali setelah mengirimkan karya cerpen mereka pada tarikh yang telah ditetapkan.
Saya seronok bersama mereka. Anak-anak ini punya semangat dan hasrat untuk menulis dan terus menulis. Menjadi tanggungjawab kitalah agar tidak merosakkan hasrat dan niat murni mereka itu. Malah adalah amat kejam andai semangat yang telah mula mereka barakan itu didingin atau dibiarkan kembali menjadi malap begitu mereka kembali menjadi "murid" di sekolah masing-masing.
Kerana itu jugalah, saya bisikkan kepada setiap guru yang mengiringi pelajar agar menubuhkan kelab sastera di sekolah masing-masing sebagai medan pelajar menerus dan mengembangkan bakat menulis masing-masing.
Saya sekadar mengajak dan menyarankan. Tetapi tidak ingin berlagak dan menggurui. Kerana, saya masih tidak lupa saat-saat awal saya bertatih untuk mulai menulis dan menjadi penyair.
Alangkah bosannya andai asyik dijejal dan dikhutbahi dengan teori anu dan ini, sedangkan cara untuk menulis tidak pernah diberitahu.
Semoga mereka akan tetap terus menulis selepas ini.
Saya mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada mereka, kawan-kawan, pegawai dan urusetia penganjur, khususnya Cikgu Abu Bakar dan siapa sahaja yang membantu saya sebelum dan selepasnya.
Juga rakaman ucapan terima kasih yang setingginya kepada Cikgu Ramli, dan dua kawannya dari Pejabat Pelajaran Daerah Maran iaitu Encik Ahmad Shah dan Encik Azli, yang sanggup meredah pekat malam yang kian menghampiri pagi semata-mata demi membantu ketika tayar kereta saya pancit angkara terjatuh ke dalam lubang berhampiran Felda New Zealand malam itu.
Terima kasih.
November 17, 2010
3 ulasan:
saya setuju dengan sdr, sastera sepatutnya tidak terlalu dielitkan. Saya dulu pelajar sains, hanya kenal sastera dari pembacaan. Tidak tahu apa itu teori sastera. Kini saya hanya tahu menulis dan menyampaikan cerita...
Tuan Marsli,
1. Pertamanya, sudah lama tidak mencatat sesuatu dalam blog tuan ini tapi sering berkunjung lalu membaca..., apa khabar Tuan kini?
2. Membaca entri kali ini terdetik dalam hati seperti mahu undang juga ke Johor atau Melaka.
3. Sekadar makluman, saya secara peribadi atas nama tugas hakiki pihak DBPWS secara konsisten setiap tahun sejak tahun 2002 ada program Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri, tahun 2011 maka genap 10 tahun program ini. Karya pelajar ini akan disunting serta dihantar kepada pihak akhbar dan majalah yang sesuai dengan peringkat umur pelajar yang menyertainya. Juga... setiap 2 tahun dikumpulkan karya terbaik untuk antologi secara biasa-biasa @ kecil-kecilan serta diserahkan kepada setiap sekolah di negeri Johor dan Melaka.
Terima kasih Tuan.
Sdr Mohamad Kholid: Ya. Saya kira mengajak dan mendorong itu permulaannya. Menumbuhkan minat dan rasa cinta terhadapnya.
Sdr Rusdi: Saya biasa dan baik-baik sahaja. Saya mengelak untuk menggurui anak-anak itu. Usaha saya sekadar mengajak mereka menyintai dan ini diusahakan agar tidak berunsur paksa. Pembimbing dan pelajar adalah sahabat yang sedia untuk saling berbagi sesuatu yang bermanfaat. Cuma itu upaya saya. Dan terima kasih atas ingatan.
MARSLI N.O
Catat Ulasan