Selasa, November 16, 2010
SASTERA?
SAYA hanya senyum seusai mendengar ucapan dia. Apakah itu senyum yang sinis atau memang benar-benar meniatkan ikhlas dengannya. Entah tidak pasti.
Ingin saya tanyakan kepada dia apakah masih ada segala yang dia sebutkan itu? Kebenaran, kejujuran dan segala macam lagi kata muluk itu.
Apakah dia berasa tersinggung atau tersindir kerana senyum saya itu saya tidak peduli. Saya tidak mahu berbohong menyembunyikan sesuatu yang saya rasakan di dalam hati dengan cara mengucapkan sejuta kata bernada baik dan memuji. Semata-mata agar dia berasa gembira dan senang hati dan tetap terus menyukai saya sebagai kawannya yang amat mengerti. Saya bukan begitu.
Saya mengukur dan menilai antara kata dengan perbuatan atau tindakan. Apakah selari atau jauh menyimpang. Kata kebenaran yang diucapkan dalam setiap kesempatan, apakah benar-benar dijunjung kesuciannya dengan cara sentiasa mendahulukan dalam setiap perbuatan dan pilihan?
Tetapi, kebenaran apa yang dijunjung sebenarnya kalau yang didahulukan adalah perut dan nafsu? Asalkan memberi untung kepada diri dan kelompok, maka itulah yang disokong dan didokong, walau diketahui semua di sebaliknya apa.
Saya tidak sudi dan tidak ingin menilai yang lain sebagai apa. Si halobakah, atau si tamak yang rakus merebut apa sahaja ruang dan peluang di depan mata. Terserah siapa mereka.
Saya hanya ingin berteguh dengan keyakinan sendiri. Begitu dewa dan berhala baru dinobatkan. Walau saya tahu di permukaan saya hidup seperti apa adanya sahaja. Tetapi lebih rela dari menjual harga diri untuk sesuatu yang lain.
Harga diri? Ya. Saya tidak ingin menukarkannya dengan yang lain.
Seperti juga sastera yang semakin menjadi alat dan haiwan tunggangan. Apa lagi erti dan maknanya kalau tidak lagi memilik harga dirinya sendiri.
Saya hanya senyum. Senyum yang mungkin kelihatan sinis. Juga bosan melihat dan mendengar orang bercakap dan bercerita mengenai segala kebaikan dan keindahannya. Juga jutaan harapan dan impian yang disebutkan secara berulang-ulang.
Tetapi manusianya? Kita selalu melupakan segala lakon dan perbuatan munafiknya. Kita menilai keindahan, kecantikan dan kehebatan karya, tetapi melupakan kemunafikan dan kepalsuan yang mengiringinya.
Kita bercakap mengenai persamaan dan kejujuran. Namun pada waktu sama meletakkan kasta ketika sekejap berpindah kamar ketika minum dan jamuan selepas seminar mengenainya. Tuan pegawai bersama tuan pegawai dan si caca marba di kamar yang lain. Apa ini?
Konon dengan sastera kejujuran selalu dijunjung dan diutama. Namun kenapa dihenyak dan ditekan kalau ada yang menyatakan kurang senang hati dengan cara dan gaya sastera diuruskan?
Ketika inilah saya teringat buah fikir Syed Naguib dan perdebatan antara Shahnon dengan Kassim Ahmad.
Tetapi saya juga tidak sedikit pun ingin berasa sedih. Kerana di luar sastera sendiri, saya sudah terlalu banyak dan semakin menjadi lali dengan segala kepalsuan hidup dan manusia.
Konon itulah namanya manusia. Tetapi soalnya menjadi manusia yang bagaimana.
Saya sudah lama memiliki jawapannya, sama ada dengan atau tanpa sastera.
November 16, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
salam ziarah, bang marsli.
salam aidil-adha 1431H.
doa dikirim tanda ingatan; moga selalu sihat dalam lindungan-Nya.
Catat Ulasan