Jumaat, Februari 11, 2011

AKU PEDULI APA


ALANGKAH bodoh dan sia-sia usaha dan perbuatan mereka. Orang sedang berlumba ke bulan dan meneroka dasar laut, mereka masih bertempik dan berteriak hanya kerana sebuah buku dan sebongkah kata yang semakin nipis maknanya bernama bahasa.

Bukan sekali atau dua kata kejian itu bergema, secara langsung atau bersimbol diucapkan. Dan pengucapnya pula, bukanlah siapa lagi kalau tidak mereka yang sekulit dan setanah lahir dengan bangsaku juga.

Aku tahu dan sedar semua itu. Ketika dunia semakin merajai benda dan kuasa,  bagi mereka, bercakap mengenai maruah dan bahasa sendiri, tidak lebih sekadar membuang tenaga dan waktu yang konon sepatutnya dipergunakan untuk benda dan perkara yang lebih mendatangkan laba dalam bentuk benda,  yang mudah dilihat dan dipegang oleh mata zahir dan kuasa yang boleh dipergunakan untuk terus membelit dan mengkuntau siapa sahaja yang boleh dibelit serta dikuntau.

Aku peduli apa. Walau kata pepatah sepuluh jong masuk, namun anjing tetap bercawat ekor juga. Apa hendak aku sedih hingga membawa alir air mata tanpa hentinya.

Nama menyebut dan berkata, tetaplah menyebut dan berkata juga. Kerana,  dengan sengaja membiarkan mata dan mulut menjadi buta dan bisu terhadap segala yang bermaharajalela di depan mata, samalah membiarkan diri mati sebelum waktu matinya yang sebenar.

Biarlah tiada siapa ingin mengacuhkan. Namun aku tetap akan berkata juga.

Peduli apa aku kalau masih tiada yang sedar dan peduli segala dan tega terus berjoget dan berjabat tangan mesra dengan para anjing yang menyamarkan diri sebagai sahabat dan pembela, walhal di belakang dan secara berselindung dialah antara pemuka penting menjadi dalangnya angkara.

Seperti juga seekor biawak yang kini sudah menunjukkan lidahnya yang sebenar itu. Dahulu begitu ditatang dan dilangir dengan segala air wangian. Tetapi kini, biawak itulah yang sudah berubah wajahnya menjadi seekor anjing yang galak menyalak dan tanpa sedikit pun  silu dan segan menghamburkan kencingnya ke wajah maruah mereka yang pernah dahulu menatang  dan melangir dia.

Memang bangsa yang bernama Melayu ini mudah lupa dan mudah terlalu memberikan segala, hanya kerana didodoi dengan mimpi dan igau. Pantang yang datang pandai berlakon dengan songkok dan kopiah, atau bersampin dan berbaju cekak musang, sanggup diserah segala yang disayang dan dimiliki konon sebagai tanda amat merai dan memberikan mesra.

Walau segala akhirnya terbukti juga bahawa tidak lain segala itu hanyalah pura untuk menjerat hati manusia yang bernama Melayu untuk memberikan percaya dan ikhlasnya.  Sehingga akhirnya, segala tergadai dan menjadi milik orang lain.

Biarkan andai masih mereka ingin terus menjadi leka dan alpa. Aku akan tetap berkata dan berbicara juga. Dan setitis air mataku akan tiada walau apa pun diperbuat oleh mereka yang  hanya sekejap diberikan kerusi bernama kuasa. 

Kerana aku tahu, bila tiba waktunya, akan kupergunakan juga apa yang kumiliki sebagai warga di tanah merdeka.

Jangan diperkira segala boleh terus dibiarkan menjadi kesewenangan dan setiap orang boleh terus diperbodohkan bagai seekor lembu.  

Hari ini, siapa sahaja, berlagak dan berlakonlah sebagai apa sahaja. Namun akhirnya, akan terserlah juga segala bukti yang benar.

Dan kalau masih kalian tidak mahu sedar dan masih tega berpelok mesra dengan para biawak dan anjing, berpeloklah, bermesralah dan teruslah serlahkan keserakahan dirimu walau kau lindungkan atas nama moral dan ilmu, kerana segala yang palsu akhirnya akan diketahui orang juga.

Atas nama adab, sopan dan segala yang sejenisnya,  marah dan hamunlah aku kerana segala kata dan perbuatanku.

Tetapi, aku peduli apa. Kerana aku tahu dan sedar segala yang  kalian atau kau lakonkan,  walau kerananya  maruah bangsa sendiri dikencing serta dinajisi, namun tetap kalian atau  kau teruskan juga tidak lain semata demi perut dan kepentingan sendiri.

Februari 11, 2011

3 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Salam kanda Marsli,
Tahniah atas satira yang terang lagi bersuluh ini.
Nudah-mudahan, ada manusia yang memahami pengertian ini.
Amin.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Sham al-Johori: Semoga.

imlan adabi berkata...

aku peduli apa.... selain wang, nasi dan masa depan.. persetankan isu bahasa dan sastera kepada ...