Ahad, Februari 06, 2011

KAU DIAM, SUDAHLAH



KALAU tidak tahu hujung pangkal kisah dan perkara,  tidak payah kau hendak menyebok masuk campur. 

Aku hendak menjerit memekakkah,  aku hendak mencarut dan memakikah, apa sangat hendak kau ambil peduli. 

Ini urusan aku sendiri. Kau pergilah uruskan segala masalah  kau  dan tidak perlulah hendak menyebok  sangat  mengenai hal dan perkara  orang lain yang sama sekali  tidak bersangkut dan berkait dengan dirimu.

Macam aku kata tadilah. Kalau kau tidak faham dan tidak tahu apa hujung kisah dan perkaranya tidak payahlah kau hendak menyebok masuk campur. 

Bukankah kau itu orang yang kononnya suci bagaikan wali?  Jadi apa perlunya hendak kau ambil peduli segala benda dan perkara yang kau sendiri caci dan benci?

Pergilah kau bergebang,  berlabun dan bergabung sesama kaum yang sesama  bermahligai nun jauh tinggi di angkasa itu. Janganlah hendak kau ambil peduli  segala yang  diperbuat oleh insan lain yang kau tuduh kononnya tidak berhemah lagi berpekerti tinggi seperti diri kau yang berlagak suci bagaikan wali.

Kalau kau hendak diam dan berwirid sampai ke pagi, silakanlah. Kalau kau hendak mengangguk dan mengucap syukur sepanjang detik dan waktu, silakanlah. Tidak langusng hendak aku menegor serta melarang. 

Tetapi aku tidak akan terus menunduk, membisu dan diam semata-mata kerana mahu dianggap dan disanjung bagaikan wali ketika kepala maruah bangsa dan bahasaku dikencingi  oleh silahnat dari negeri di atas angin.

Tidak sedikit pun aku akan berasa perlu untuk mengambil tahu  serta menegor segala bodohmu. Ketika kau memilih untuk berpelok mesra dengan mereka yang sedemikian rupa.  Mereka yang dahulunya datang meminta belas dan kini setelah berasa kian gagah dan kukuh kaki berpijak, kembali menggigit dan menghamburkan kencingnya sesuka hati ke muka maruah bangsaku.

Biarlah kau terus berenang di lautan bodohmu dan janganlah kau hendak berkhotbah dan menyebok dengan segala fatwamu hendak mencaci serta mengeji aku.  Kalau memang itu pilihmu hendak berbaik dan bersahabat dengan mereka yang lakunya bagaikan anjing itu, silakan dan apa hendak aku peduli.

Seperti kukatakan tadi. Kalau kau tidak tahu dan faham punca dan pangkal segala benda serta perkara baiknya kau diam sahaja sudahlah.

Ya, baiknya,  kau diam sahaja. Sudahlah.

Februari 5, 2011

Tiada ulasan: