Selasa, Mac 15, 2011

WATAK (1)*


SAYA mula mengenal watak ini  ketika saya baharu belajar hendak menjadi penyair dan masih agak muda belia.   Ketika itu,   watak ini sudah pun disebut-sebut namanya dan mulai menjadi perhatian banyak pihak.  Tetapi puncanya mendapat perhatian itu, bukanlah kerana sesuatu yang terlalu istimewa tetapi lebih kepada rasa silau dan kagum terhadap sesuatu yang kononnya, pada waktu itu, dianggap terlalu istimewa.

Perkenalan saya dengan watak ini hanyalah  sebagai sifatnya seorang manusia yang suka memerhati  dan  melihat pelbagai watak  serta  kerenah di dalam kehidupan sehari-hari.  Kerana menyedari saya ketika itu baharu  hanya berjaya menyiarkan  dua buah sajak yang  di sebuah majalah sastera,  kalau kebetulan bertemu dan bersua dengan watak ini, saya lebih sedar diri dan ruang.  Pilihan saya hanyalah  membisu dan melihat sahaja. 

Memang pun seingat saya, rasanya, tidak pernah saya berurusan lama dan berbual panjang dengan watak ini  untuk sesuatu urusan mengenai sastera dan seni yang dapat dianggap penting. Apa lagi untuk sesuatu urusan lain yang berkaitan dengan kehidupan sosial serta masa depan saya.  Di antara saya dengan watak ini, bagi saya, saya tidak ada sebarang rasa  keperluan untuk terlalu berbaik dan berdekat-dekat dengannya terlalu lama. 

Namun sebagai pemerhati yang melihat dan memilih untuk berasa  seronok serta bahagia  dengan menjadi pendengar yang juga menulis dan  membaca, saya tahu pemeran watak ini dikenali sebagai pemilik diri yang lincah  dan sangat pandai bermanis-manis  mulutnya.

Entah bagaimana, pada suatu waktu, watak ini tiba-tiba menjadi sangat ramah dan berlaku baik dengan saya. Pantang bersua muka maka saya terlebih dahulu disapa dan diajak berbual. Itu memang  kelemahan saya. Saya mudah tewas dengan sesiapa yang baik dan berbudi. Apa lagi  bila berhadapan dengan watak yang pandai bermanis mulut dan pada zahirnya kelihatan sangat ingin membantu dengan jujur dan ikhlasnya.

Mungkin juga kerana saya ini waktu itu memang  agak lambat memahami  sesuatu tipu muslihat.  Maka begitulah kesudahannya. Mengenangkan sikap baik dan ramahnya, saya cepat mengangguk dan percaya bila diberitahu oleh watak ini bahawa  seorang yang lain cuba menggusur dia dari satu kedudukan.

Alangkah bebalnya saya ketika itu kerana begitu cepat percaya dengan segala kata-kata manisnya. Malah kerana cerita yang disampaikan dengan kata-kata yang sangat manis dari mulutnya itu juga saya memandang agak serong terhadap watak yang diceritakannya itu.

Hanya lama kemudian baru saya ketahuan betapa mereka sebenarnya berebutkan  sesuatu gelaran dan apa yang dilakukan oleh watak yang bermulut manis itu sebenarnya tidak lain merupakan suatu usaha melobi yang kotor,  iaitu dengan cara memburuk-burukkan imej  watak-watak lain yang dianggapnya sebagai saingan.  Ah, sungguh licik watak ini.

Entah atau mungkin dengan kelicikan serta berbekalkan kata-kata manisnya, watak ini saya lihat dan perhati semakin lama semakin menjadi perhatian, dipercayai dan  semakin diahulukan  orang di mana sahaja dia pergi dan datang.  Malah pada suatu waktu, kepopularan dan kepercayaan yang diberikan orang terhadapnya, mengalahkan segala kepercayaan yang diberikan kepada sahabat dan kerabat yang sama satu warna dan bahasa sendiri.

Tetapi apa saya peduli. Biarlah kalau watak ini semakin menjadi popular dan menjadi orang kepercayaan banyak pihak. Biarlah dia dengan urusan dan perwatakan dia sendiri dan kerja saya sebagai yang menulis, menulislah sebanyak yang mungkin dan boleh.  Begitu selalu kata saya kepada diri.

Dengan prinsip yang sedemikian juga, saya tidak pernah berasa  atau menganggap  watak ini adalah kawan saya yang sejati, yang perlu saya dekati dan percayai sepenuh hati. Malah kalau bertemu, saya menyapa sekadar perlu agar tidak sampai dianggap sombong dan bongkak. Walau dalam banyak kali pertemuan, sapaan hormat saya, saya tahu dan sedar  dijawab hanya dengan sikap tidak kisah, namun kerana dan atas nama Melayu, sopan dan hormat saya kepada orang lain tidak saya lunturkan.

Tidak sedikit pun terdetik di hati saya hendak berasa curiga dan sangsi atau bertanyakan kenapa semakin lama saya hidup di tanah sastera ini, setiap kali bertemu dengan watak ini, sikapnya lebih banyak memaling dan memasam muka. Sebabnya, saya tidak pernah berasa punya urusan penting apa-apa dengannya dan kalau dia hendak bermasam atau memalingkan mukanya, itu bukan urusan saya untuk ambil tahu kenapa dan mengapa.


Saya tetap dengan prinsip dan kepercayaan ini.    Tetapi sebagai orang yang hanya memerhati saya rupanya banyak memiliki tetapi yang lain.  Kejadian demi kejadian, peristiwa demi peristiwa juga semakin lama semakin memberikan saya jawaban dan kesimpulan.

Pada suatu acara forum kecil saya jadi terperanggah dan terkejut. Watak ini saya perhatikan mula membuka belang dirinya bila tanpa silu menempelak dua orang penanya. Antara yang saya masih ingat, watak ini berceramah mengenai kreativiti dan kecerdikan dan pada waktu sama, saya melihat ekor matanya beberapa kali melirik ke arah seorang pegawai besar yang sama menjadi ahli panel di dalam forum itu, yang duduk di sebelahnya. Barangkali, kerana menduga tiada siapa yang sedar dan perasan, lirikan itu dibalas pula oleh pegawai besar dengan senyum sekilas.

Apa  sebenarnya maksud dan matlamat watak ini sehingga sanggup menempelak dua mereka yang bertanya secara terbuka dan di hadapan seorang pegawai besar begitu?  Nada dan cara menjawabnya jelas menempelak dan langsung tidak berdiplomasi serta boleh menjatuhkan air muka orang.    Begitu saya bertanya sendiri di dalam hati. Kalau pun hendak mengambil hati dan menunjuk cerdik di depan pegawai besar itu, tidak perlulah hendak berceramah  dengan nada meremehkan kawan yang bertanya itu. 

Tetapi, sekali lagi tetapi, kerana itu tiada hubungkait apa-apa dengan diri saya, maka persoalan itu saya biarkan berlalu dibawa angin sahaja dari ruang fikir saya.   Prinsip saya mudah sahaja, selagi tidak mengganggu dan mengacau diri saya, lantak dialah hendak berbuat apa pun.

Hinggalah dalam satu seminar, saya tidak sahaja terkejut, tetapi tidak habisnya bertanya di dalam hati saya: apa sebenarnya yang membuatkan watak  ini sangat tidak senang hati dengan saya? Apa salah yang saya sudah lakukan terhadap diri dia? Sedangkan seingat saya segala yang saya tulis dan kerjakan tidak pernah sekali pun menyebut dan menyentuh diri dia.

Kenapa saya mengajukan tanya itu? Puncanya, dia yang kebetulan diberi peluang bercakap lebih awal di sesi seminar itu tidak bercakap mengenai persoalan di seputar kertas yang akan dibentangkannya  tetapi sebaliknya semacam memberi syarahan pembetulan terhadap persoalan yang akan saya bicarakan sebentar nanti. 

Apa masalah dia ini? Apa yang dia sakit hati sangat dengan saya hinggakan tidak sabar-sabar  hendak menunjukkan pandai dia kepada saya di hadapan khalayak ramai? Begitu bertalu tanya menerjah ruang fikir saya di dalam diam dan saya memberikan reaksi hanya dengan senyum sumbing yang dibuat-buat.

Sebagai penulis yang tidak berkemampuan, pada waktu itu, untuk belajar di universiti seperti dia, saya mengaku saya bukanlah pandai dan cerdik sangat.  Saya mengaku itu. Tetapi memberikan ceramah mengenai sesuatu yang dipetik dari tulisan-tulisan saya  secara perli dan menyindir-nyindir di depan khalayak pendengar di dalam dewan seminar itu, bagi saya bukanlah perbuatan dari seorang manusia yang berniat jujur dan baik.  Kalau benar watak ini jujur dan ikhlas, kenapa tidak memberitahu secara peribadi kepada saya,  sebelum atau selepas acara, di mana kecacatan dalam cara saya menghujah, atau di mana datanya yang dirasakan tidak tepat dan benar, agar saya boleh belajar sesuatu darinya dan memperbetulkannya di lain kali.

Bagi saya, yang ketika itu rasanya tidak terlalu bebal sehingga tidak boleh memahami maksud sindir  dan perli orang, cara dia bukanlah cara seorang yang "bersahabat", tetapi lebih kepada hendak menunjukkan egonya secara berlebih-lebihan, bahawa dia lebih pandai dan tahu dari orang lain, sama ada secara langsung mahupun tidak di depan publik.

Ketika itu juga, ketika saya melirik ke depan pentas, di ruang dewan yang luas, saya melihat dua sasterawan ternama di kerusi barisan depan menyambut senyum sumbing saya dengan senyum mereka yang meleret panjang.  Saya faham maksud yang cuba mereka sampaikan: sabar dan jangan  cepat melatah.

Sejak saat itu, watak yang satu ini semakin saya lebihkan fokus dan perhatian.  Semakin saya belajar untuk memahami tingkah dan laku dia dengan segala agenda dan kepolitikannya. Ternyata semakin lama, semakin banyak maklumat yang saya kumpul mengenai watak yang satu ini. Semakin banyak kisah dan kejadian yang semakin membenarkan gambaran saya mengenai watak dan perwatakannya.

Misalnya, ketika pada suatu pagi saya kunjungi suatu pihak, seusai menghadiri satu acara anjuran mereka  pada malam sebelumnya, saya mendengar seorang  petugas di sana berkata kepada ketuanya: Kak, dia tadi ada telefon dan tanya sampai hati kita tidak jemput dia sama.

Kerana peristiwa di pagi itu, maka faham dan mengertilah sebab dan punca  apa yang saya dengar selama ini betapa banyak yang menyebut watak ini suka menawar-nawarkan kebolehan dan kepandaian dirinya kepada pihak lain, walau tidak dipelawa dan dijemput terlebih dahulu. Atau dalam kata pepatahnya: sebelum atau tanpa dipinta,  suka menyorong-nyorongkan pipi sendiri.

Semakin memahami dan mengerti mengenai watak ini, semakin saya melihat watak ini semakin tidak lagi bermuka manis bila sesekali kebetulan berhadapan dengan saya. Tetapi seperti selalu, saya hanya mengambil sikap seolah-olah bodoh dan memang tidak mahu ambil peduli. Apa lagi bila melihat keadaan diri sendiri yang kini sudah semakin banyak  memiliki  karya yang diterbitkan,  saya berasa tidak juga mustahil kalau watak ini berasakan saya  adalah sesuatu yang patut untuk dia letakkan rasa menjadi saingan. 

Tetapi sekali lagi ada tetapinya. Beberapa tahun yang lalu, ketika bertemu di suatu tempat, tidak semena-mena  watak ini yang saya perhatikan semakin popular dan terkenal ini,  yang semakin tidak begitu mahu menjawab sapaan saya, entah  mimpi apa tiba-tiba menjadi watak yang amat peramah dan  rancak bercerita kepada saya, bagaimana ketika dia hadir di suatu acara,  penonton merungut tidak selesa dengan cara persembahan seseorang.  Tetapi kerana sudah semakin banyak maklumat dan kisah yang saya ketahui, saya hanya membisukan diri  dan memang pun sudah mendapat  tahu dari yang dimaksudkan bagaimana bencinya watak ini kepada seorang yang lain itu.

Dan kelmarin, seorang sahabat bercerita bagaimana dia dipermalukan dalam mesyuarat jabatannya lantaran laporan dan komen watak ini yang menyebutkan bahawa acara yang diselenggara dia tiada khalayak, walau pun pada hakikatnya laporan watak ini palsu dan dusta.  Dengan nada sebal, sahabat ini merungut bagaimana watak ini tiba-tiba boleh muncul dan menjadi pelapor untuk jabatannya.

Terus terang saya katakan. Dengan prinsip dan keyakinan yang sejak dahulu saya yakini dan pegang, saya tidak punya sebab untuk berasa dengki dan mencemburui  dia atau sesiapa.   Segala kejayaan dan kebolehan sesiapa pun, selagi diperoleh dengan usaha dan kesungguhan masing-masing peribadi, tanpa memijak dan  mengencingi orang lain, itu memang menjadi hak dan milik mereka.

Tetapi, bila mana saya berasa dan memahami, dengan sejumlah bukti dan data yang sulit untuk ditolak atau dianggap sebagai prasangka buta, yang melibat dan membabitkan diri saya sebagai mangsanya, tentulah saya tidak akan sama sekali berdiam diri.

Sehinggalah kepada peristiwa terkini. Watak ini semakin menunjukkan belang dan entah apa sebabnya sangat tidak senang hatinya terhadap saya.  Perbuatannya berceramah secara terbuka  seperti peristiwa beberapa tahun yang lampau itu berulang lagi. Cuma kali ini dalam bentuk tulisan dan bukan dalam bentuk ceramah lisan.

Memang. Kalau dia berasa tidak senang dan tidak ingin beramah dengan saya, itu bukan pun menjadi persoalan kepada saya. Kalau misalnya dia berasa tersinggung dan marah kerana  saya tidak menyapa dia sebelum namanya dengan gelaran doktor atau profesor, itu pun saya tidak peduli.  Bagi saya, doktor atau profesor dalam erti kata yang sebenarnya tidak sedemikian keji laku dan perangainya. Kalau kamu mahu berjaya dan terkenal tidak perlulah hendak mengumpat dan mencemoh orang lain.

Tetapi,  sekali lagi  tetapi. Dengan kemanisan mulut dan kepandaiannya berlakon dan memainkan wataknya, siapa percaya kalau di sebalik topeng yang dipakai tersembunyi wajah sebenar yang buruk? 

Apalagi ketika kita terlalu mudah ditipu dengan puji-pujian dan kostium.

Bagi saya yang sudah banyak kali terkena, saya tahu bagaimana strategi, permainan dan politiking watak ini. Saya tidak takut menghadapinya kerana saya tahu bagaimana gendang ditingkah, tidak sedemikian saya melayannya dengan tari.

Saya tidak sanggup melihat mereka yang tidak tahu terus menjadi mangsa permainan dan lakonannya.  Kerana itu, saya tidak akan biarkan dia terus berlakon dan mempermainkan orang lain dengan strategi liciknya.

Mac 15, 2011.

*Pak Hashim: Mohon maaf kerana mendelete posting saya dengan judul yang sama sebelum ini dan secara tidak langsung telah sama terdelete komen Pak Hashim di dalamnya.  Saya terlupa memaklumkan bahawa posting itu sebenarnya baru dalam bentuk deraf.  Mohon berbanyak maaf.

Tiada ulasan: