Sabtu, Mac 12, 2011

PENGKHIANAT


DITINGGALKAN sendiri meneruskan apa yang diyakini, dengan sastera dan seninya,  tidak pernah menggentar serta membuat hati saya menjadi rusuh.  Apa yang sudah saya pilih dengan yakin atas nama sastera dan seni, tidak akan pernah membuat saya mundur ke belakang. Segala risiko, sakit dan henyak, memang telah  pun saya perhitung sebelum memilihnya lama dahulu.  

Kerana itulah beberapa tahun yang lalu, ketika diberitahu oleh seseorang bahawa teman-teman memilih untuk menjauh dan memilih jalan sendiri lantaran mulai berasa apa yang saya ajak mereka  perjuangkan itu tidak akan membawa ke mana, kerana kononnya  didasarkan hanya dengan rasa nostalgia dan utopia semata-mata, saya hanya tersenyum sendiri dan tidak ingin menyimpan rasa sakit hati terhadap siapa pun mereka.

Perjuangan sastera dan seni bagi saya memerlukan lebih dari hanya keyakinan dan kepercayaan. Persoalan pokoknya juga bukan hanya soal  siapa akan mendapat apa dan bagaimana mendapatkannya. Apa lagi jika sampai membabitkan soal siapa yang akan menguasai siapa.

Perjuangan sastera dan seni yang tulen menuntut pemahaman dan kerelaan lebih dari sekadar itu.  Tanpa perasaan ikhlas dan setiakawan,  perjuangan akan hanya menjadi tempat sekejap untuk singgah dan mencari keuntungan peribadi semata-mata. Kerana itu jugalah banyak gerakan dan persatuan yang mulanya digerakkan atas nama sastera akhirnya berantakan dan berubah menjadi sebuah gudang menghimpun laba  peribadi  dengan pelbagai bentuk dan rupa, dan jika itu tidak perolehi  oleh mereka yang memegang tampuk dan kuasa di dalamnya, persatuan kian dilupa dan dibiarkan terbarai sedikit demi sedikit menjadi sebuah tongkang buruk dan rosak.

Saya tidak bermaksud mengajak orang lain agar menjauhi persatuan atau  meremehkan semangat hendak berpersatuan.  Juga pendapat-pendapat saya mengenai perjuangan seni dan sastera,  tidak saya maksudkan mesti diterima oleh semua orang.  Tetapi,   pengalaman dan pemerhatian saya memang  membenarkan hipotesis: sebuah persatuan seni dan sastera perlu digerakkan dengan perasaan ikhlas dan setiakawan.  Tanpa itu, sebuah persatuan akhirnya akan menuju kemusnahan dan kian melencong dari objektif pertama diwujudkannya.

Berpersatuan atau tidak, secara kelompok atau sendirian, bagi saya tidak pernah menjadi soal.  Sejak mula memilih untuk menjadi warga seni dan sastera berpuluh tahun yang lalu,  saya sudah memilih untuk bangkit dan bergerak sendirian.  Kepada diri selalu saya katakan, sikap terlalu mengharapkan dokongan dan bantuan orang lain sepenuhnya tidak akan membawa saya ke mana-mana. Kalau mahu maju dan berkembang, usaha dan kerja keras saya sendirilah yang akan mendorong atau melonjakkan saya lebih ke hadapan.

Namun, demi kepentingan hidup  bermasyarakat,  saya sekali dan malah beberapa kali  melanggar juga pantangan dan prinsip diri itu.  Atas nama seni dan sastera, saya menjadi ahli beberapa persatuan dan berkawan dengan sejumlah orang.  Saya tidak begitu terkejut ketika menemukan  betapa dalam banyak segi, sebuah persatuan tidak diwujudkan semata-mata  demi seni atau sasteranya, tetapi lebih kepada siapa yang akan menduduki senarai ahli jawatankuasa yang sama sekepala dan sebulu.  Malah bukan sesuatu yang memalukan bagi sebahagian mereka andai suatu mesyuarat digemparkan agar dihentikan di pertengahannya, semata-mata kerana calon pilihan tidak terpilih dan tersenarai.

Sebab itu jugalah saya  tidak pernah berasa perlu untuk marah dan sedih bila diberitahu  oleh beberapa pemuda yang  menjadi ahli dan menghadiri  pelbagai acara serta mesyuarat sebuah persatuan penulis, pada suatu waktu, bahawa nama saya disebut-sebut sebagai kacang yang melupakan kulit. Puncanya, saya kononnya tidak pernah berterima kasih dan mahu membalas budi terhadap persatuan yang pernah melahirkan saya sebagai  penulis.

Sendirian saya tersenyum sumbing memikirkan kebodohan orang yang menyebutkan itu dan lebih-lebih lagi bila menilai sendiri apa yang sudah dicapainya sebagai sasterawan. Kepada diri saya membujuk, dia sebenarnya tidak tahu bahawa saya memasuki persatuan itu setelah melahirkan sejumlah karya dan bukan pun  belajar dan mula berkarya dari persatuan itu.

Dengan keyakinan bahawa seni perlu digerakkan dengan perasaan ikhlas dan setiakawan jugalah, sekitar tahun 1980-an hingga akir tahun 2000, saya bergerak di teater bersama sejumlah manusia. 

Tanpa memiliki secuil pun perasaan ingin berbangga memiliki murid dan pengikut, kerja teater digerakkan dalam keadaan serba kekurangan dan miskin,  dengan mereka yang saya anggap sebagai sahabat dan kawan.

Hanya dengan bekal semangat dan keyakinan seni, hasrat dan impian tidak lain hanya  ingin bekerja dan memartabatkan teater agar dikembali kepada hakikatnya: manusia dan keinsanan.  Dengan hasrat itulah sahabat diajak melalui  teater, kembali menelusuri dan memahami kembali hakikat dirinya sendiri sebagai manusia, menolak sifat hiburan yang tanpa hala tuju didalamnya dan membawa kembali teater sebagai alat, walau pun secuil, untuk menyedarkan manusia akan hakikat dirinya sendiri.

Tetapi manusia tetap manusia. Bila cara sedemikian menyulitkan kemasyhuran tetapi lebih memfokuskan karya yang bermutu, yang hanya boleh dicapai melalui latihan secara berterusan,  penolakan pun berlaku dan alternatifnya adalah memilih arah yang lain, atau lebih jelasnya menghampiri kelompok yang lebih dirasakan sehala dan sebulu.

Pada akhirnya, teater pun menjadi sebahagian dari "barangan" yang boleh diperjualbelikan di pasar loak. Kemanusian dan keluhuran dikesampingankan.  Yang perlu dipertontonkan  adalah hu dan ha yang boleh menggembira dan mendatangkan rasa seoronok  kepada manusia semata-mata. Walaupun selepas keluar dari panggung dan usai menonton sebuah prsembahan teater, jiwa mereka selaku penonton, kembali menjadi kosong dan hanya berisi mimpi dan angan yang penuh dengan pura-pura.

Apa lagi mereka yang terlibat  sebagai pelakonnya sendiri, tanpa  rasa malu dan berdosa, dengan megahnya berdiri di panggung di hadapan penonton, melemparkan dialog, gerak dan lakon yang kosong dan palsu.  Jiwa dan fikiran mereka kosong sekosongnya lantaran apa yang diucap serta dilakonkan bertolak dari sebuah naskah yang sebenarnya sekadar menyediakan mimpi dan angan.

Apakah saya bersedih  kerana akhirnya ditinggalkan bersendirian juga di dunia teater? Tentulah saya menjawab tidak.  Malah dalam banyak waktu, saya lebih berasa kasihan terhadap mereka yang pergi. Betapa, di dunia asyik mereka sendiri, mereka menjadi leka dan hanyut dengan kemasyhuran yang sementara,  terus bergulat dengan igau dan angan yang kosong, tanpa melahirkan sebarang karya yang mampu mengajak orang lain sama berfikir.  

Sebagai sahabat dan kawan seni, bagi saya, mereka adalah pengkhianat yang tidak lagi ingin saya kenang. Saya tidak kesal kerana tidak lagi mempunyai sebarang urusan mengenai seni   dengan mereka. Di hati saya, sulit untuk memaafkan seorang pengkhianat, yang berbuat khianat atas nama seni dan sasteranya sendiri.

Pilihannya sudah jelas. Duniamu adalah duniamu dan duniaku adalah duniaku!

Selamat tinggal para pengkhianat.

Mac, 12, 2010 

Tiada ulasan: