Rabu, Mei 25, 2011
TAHNIAH (4)
KAWAN itu menelefon tiba-tiba. Saya tahu dia pengagum tegar seorang tokoh dari sebuah partai. Apa lagi dia pun memang mengetuai satu cabang partai di daerahnya. Saya tahu itu. Dan kerana sudah sangat tahu itulah maka saya tidak sangat terkejut bila dia membebeli saya bertalu-talu di dalam panggilan telefonnya itu.
Kenapa marah sangat kau terhadap mereka? Lupakah kau siapa diri kita kalau tanpa seperti mereka? Entah bagaimana untung dan nasibnya. Tetapi kau nampaknya seperti tidak pernah mahu bersyukur. Tahunya mengkritik dan mencari salah belaka. Tidak pernah pun ada yang baik dan betul. Cuba kau renung dan fikir. Kalau tanpa mereka, siapa yang sudi hendak bela nasib kita sebagai satu bangsa yang bermaruah dan bermartabat? Sepatutnya kau berasa bangga dan bertuah. Ini tidak. Tahu kau cuma kritik, kritik dan kritik. Apa ini? Kau ingat kau sudah bagus sangatkah? Dan lagi, kalau betul-betul kau berminat hendak berpolitik, masuk dan duduklah berjuang dalam partai. Ini tidak. Cakap sahaja berdegar-degar. Tetapi tidak berani masuk ke gelanggang yang betul-betul gelanggang.
Memang panas telinga saya yang mendengar. Dan saya tahu kawan itu memang tengah kesurupan. Manakan tidak. Semalam dia dan sekian jumlah ketua cabang partai yang lain di daerahnya dikerah menghadap timbalan ketua besar partai. Di dalam majlis itu, di samping pasakan amanat dan semangat agar terus gigih berjuang mempertahankan kedaulatan partai dan maruah bangsa, sahabat itu dan sekalian mereka yang lain menerima ganjaran yang disikan di dalam sampul. Konon khabarnya, ratusan juga adalah jumlahnya.
Kerana bosan dan semakin berasa panas di telinga, saya semakin menjauhkan telefon dari pendengaran dan membiarkan dia terus membebel sendirian.
Bukan saya yang membayar bilnya. Biarkan dia hendak bercakap apa sahaja. Bisik saya kepada diri sendiri.
Ketika yang sama, saya terkenang betapa kalau saya menapaki trotoar dan memasuki gedung demi gedung di bandar di mana saya tinggal dan mencari sesuap rezeki, selalu saya bertanya kepada diri sendiri: benarkah bangsaku adalah tuan di negerinya sendiri?
Memang pun saya tidak memberikan jawapan secara tuntas terhadap tanya dan soal yang tentunya boleh dan mampu dijawab oleh siapa sahaja yang mahu menggunakan otaknya secara wajar untuk berfikir.
Dan saya tidak pasti apakah sahabat yang sedang membebeli saya itu juga berfikir atau tidak tentang itu. Hanya yang saya tahu dan pasti, sekolah dia memang tidak pun tamat PMR.
Tetapi apa hendak dihairankan tentang sekolah dan berfikir. Memang pun tidaklah sangat kena dan kait berkait.
Kenapa saya katakan begitu?
Mudah sahaja jawapannya. Kalau yang bergulung ijazah yang saban hari bercakap mengenai bangsa dan ketuanan seenak sahaja mulutnya mahu meyakinkan mimpi yang jauh amat dari realiti dan hakiki, inikan pula otak dan fikir seorang pencacai yang menjerit dan menyalak hanya kerana dijanjikan sedikit ganjaran benda dan pangkat.
Apa hendak dihairankan. Kerana mereka memang pencacai.
Saya biarkan sahabat itu terus membebel sendirian. Saya biarkan dia dan di dalam hati diam-diam saya mengucapkan tahniah yang entah untuk kesekian kalinya untuk suatu kebodohan dan kepongahan yang sia-sia, yang tentunya akan membawa bangsa ke jurang binasa.
Tetapi sudah sedar dan insafkah mereka?
Ah, tahniah!
Mei 25, 2011
Selasa, Mei 24, 2011
SIJIL DAN MANGSA
BANGUNAN di pinggir tebing itu runtuh. Korbannya adalah takdir yang tidak dapat dihindar oleh siapa pun makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini.
Kita berhak untuk berasa sedih dan pilu. Mengucapkan rasa dan belasungkawa. Dan seperti selalu, orang-orang bergelar pun bersegera datang menjengah. Dengan caranya yang khas, menyatakan simpati serta menyampaikan apa yang difikir perlu, yang sekira-kira dapat membantu meringan beban yang memberati perasaan saudara dan keluarga mangsa tragedi.
Tetapi belum pun memasuki seminggu kejadian dan dugaan Allah menimpa, komen dan ucap bernada tuding dan tuduh bergaung sudah. Tiada sijil kelayakan menduduki. Dibina tanpa kelulusan atau kebenaran pihak berwajib. Malah ada yang lebih tidak berhati perut dan dengan pongahnya berucap: robohkan kalau benar tiada kelulusan dan sijil kelayakan.
Masyaallah. Orang kecil, kurang mampu dan tidak banyak kepunyaan serta pilihan, kalau terjadi sesuatu kerosakan atau bencana, selalu menjadi mangsa tuduh serta tudingan. Dan yang menyebutnya, seolah-olah tidak pernah mahu menggunakan sedikit ruang yang banyak berbaki di kotak akalnya.
Di mana silapnya? Salahkah jika ada yang ingin beramal dan berjariah dengan kemampuan dan kadarnya, memberikan ruang dan tempat berlindung untuk sekian jumlah jasad yang memerlukan?
Mungkin sekeping sijil kelayakan itu yang lebih diperhitungkan dan dengannya juga dapat segera diperalatkan demi menghalalkan kepongahan kuasa atas nama peraturan.
Roboh dan runtuhkan. Itu memang kerja mudah untuk menimbus dan melupuskan buat sementara waktu perkara atau subjek yang ditudingkan sebagai angkara. Memang sesuatu yang mudah. Semudah meluncurkan kata dari bibir pemiliknya yang tidak pernah ingin menimbang serta berfikir sebelum berkata-kata.
Apa lagi kalau difikir-fikirkan, siapa pula yang mengucapkan kata itu.
Kerana, tidak berapa lama nanti, bukit akan kembali ditarah, bangunan lain akan kembali bertengger di tubir bukit dan lereng. Walau kejadian kelmarin rasanya masih belum terlupakan dan sudah pun dicanangkan segala larang dan tegahan atas nama peraturan.
Tidakkah mereka yang memberikan restu? Walau tanya kita selalu bergaung sendiri: siapakah mereka? Si tololkah atau pelakon bertopeng yang tiada tandingan?
Mei 23, 2011
Sabtu, Mei 21, 2011
SUSU PERCUMA?
ANAK aku tunjuk sekeping borang malam itu. Ini borang untuk ayah tandatangan. Borang kebenaran menerima bekalan susu percuma di sekolah. Kata anak aku.
Tanpa perlu berfikir lama, aku terus sahaja cakap dan beritahu dia. Kau cakap dengan cikgu sekolah kau, katakan berikanlah susu itu kepada murid lain yang lebih memerlukan. Kita tidak memerlukan susu percuma itu. Kita boleh beli susu sendiri. Tidak perlu tunggu susu percuma dari sesiapa.
Anak aku tidak banyak soal. Borang yang telah aku tandatangani dan aku tandakan di bahagian yang tertera TIDAK BERSETUJU, aku serahkan kepada dia.
Berikan borang ini kepada guru sekolahmu. Begitu kataku menutup bicara dan menyambung baca buku yang kubiarkan sekejap ternganga di hujung kakiku.
Selang beberapa malam selepasnya, anakku beritahu guru kelasnya bertanya apa pekerjaanku dan kenapa aku tidak bersetuju dia menerima bekalan susu percuma itu.
Aku hanya tersenyum dan berasa tidak perlu untuk berikan sebarang reaksi.
Tetapi beberapa hari selepas itu, anakku membawa pulang sekeping borang baru berhubung dengan isu susu percuma itu. Kandungan borang itu, mengajukan tanya dan sebab kenapa menolak bekalan susu percuma itu.
Aku tahu tidak ada guna kubentak atau kumarahi anakku. Dia tidak tahu apa-apa. Borang itu kuambil dan kusimpan diam-diam tanpa menulis sebarang jawapan atau berasa perlu untuk dikembalikan kepada siapa pun yang menitipkannya lewat anakku. Entah ke mana dan di mana sudah borang soal balas itu kucampak atau kubuang!
Itu peristiwa beberapa bulan yang lalu. Dan kelmarin, kutonton di tv rungutan ibu bapa mengenai susu percuma itu. Dirungutkan mengenai kesahihan sijil halalnya, dan paling mengejutkan aku, susu percuma itu didatangkan dari Korea!
Dan semalam, petugas dari sebuah jabatan yang berkaitan dengan kesihatan dan makanan bergegas ke sebuah sekolah, tidak begitu jauh jaraknya dari rumahku. Khabarnya murid yang meminum susu yang dibekalkan di bawah label percuma itu mengalami muntah dan sakit perut. Cerita dan berita itu, tentu sahaja tidak akan keluar atau dapat dibaca di dalam akhbar yang mengaku dirinya pembela bangsa Melayu.
Yang jelas, cerita dan kisah lama berulang lagi.
Susu dibekalkan dan diagih kepada pelajar. Pelajar yang meminum susu muntah dan sakit perut.
Siasatan dijalankan. Hasil siasatan entahkan apa dan disalahkan pihak sana serta sini. Namun penyelesaiannya tiada juga.
Inilah perkaranya yang mendorong aku selalu ingin berkata alangkah bodoh dan baghalnya kau. Kau bekalkan susu, tetapi tempat menyimpan susu yang sesuai kenapa kau abaikan. Atau kau ingat susu yang berkotak-kotak untuk beratus murid itu cukup dan memadai dengan hanya disimpan di dalam setor alat tulis di sekolah?
Kalau itulah yang kau fikirkan, memanglah bodoh dan baghalnya kau!
Sebab itulah juga aku tidak pernah perlu untuk berasa menyesal kerana tidak pernah benarkan anak aku terlibat dengan projek susu percuma ini.
Kalau tidak minum susu yang didakwa sebagai percuma itu, anak-anak aku masih tetap mampu menjadi murid yang manusia. Dan aku harap, semoga, dengan cara mengelak menerima susu yang percuma itu, mereka juga tidak akan sampai sama menjadi bodoh dan baghal seperti kau!
Mei 21, 2011
Rabu, Mei 18, 2011
TAHNIAH (3)
TAHNIAH! Tahniah! Tahniah!
Dengan perasaan bangga dan gembira yang terlalu membumbung serta berlebih-lebihan, saya ucapkan kata itu berkali-kali kepada diri saya sendiri.
Puncanya. Malam ini, saya tidak pernah berasa demikian bangga serta bertuahnya saya sebagai seorang manusia kerana namanya bergelar akan Melayu.
Kenapa tidaknya? Kerana bergelar namanya akan Melayulah maka saya berhak dan layak bergelar tuan di negeri saya sendiri.
Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Saya adalah tuan di negeri saya sendiri.
Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Dan kerana itu, saya sekaligus juga merelakan diri saya diperlembukan oleh siapa pun mereka.
Hidup, menjadi lembu!
Tahniah! Tahniah! Tahniah!
Mei 17, 2011
Isnin, Mei 16, 2011
TAHNIAH (2)
TIDAK perlu ribut-ribut. Kita sudah keluarkan arahan supaya ditangguhkan dan menunggu hasil kajian. Kita sudah lantik pakar dari luar untuk buat kajian.
Apa ini? Jawapan pelik atau bodoh?
Sudah bertahun baru nak buat kajian? Sebelum diluluskan dahulu belum buat kajian lagikah?
Lembu pun boleh baca dan fikir yang mana betul dan yang mana salah. Inikan kalau manusia yang boleh berfikir waras dan sempurna.
Atau kalian ingat dan fikir kami memang sudah berjaya dilembukan?
Tahniah.
Tahniah.
Mei 16, 2011
Selasa, Mei 10, 2011
TAHNIAH
UNTUK sekian hal dan perkara, itulah ucapan yang ingin saya sebut serta katakan dan memaklumkan kepada sesiapa yang berkenaan: saya masih lagi belum menjadi lembu walau cuba diperlembukan dengan pelbagai cara.
Tahniah untuk segala hal dan perkara, yang diatasnamakan mendahulukan segalanya atas nama rakyat. Kilang memproses nadir bumi, harga petrol dan gula yang dinaikkan. Tahniah.
Marah? Jengkel?
Oh, tidak. Untuk apa saya marah dan jengkel. Sebagai rakyat bukankah peranan saya adalah menerima dan menerima.?
Tahniah. Itulah ucapan saya. Dan saya masih belum menjadi lembu.
Mei 9, 2011
Ahad, Mei 01, 2011
BELAJAR MELUPAKAN
Sajak MARSLI N.O
Dengan huruf dan ingatan
aku belajar melupakan
Walau tanpa menoleh
di jalan sudah kupilih
Kerana kutahu
dendam hanyalah
marah yang sekejap
diredamkan
Tetapi akan membunuhku
dengan diam
dan perlahan
Kuantan
4 November 2010
Sumber siaran: Berita Minggu, 1 Mei 2011
Langgan:
Catatan (Atom)