Selasa, Mei 24, 2011

SIJIL DAN MANGSA


BANGUNAN di pinggir tebing itu runtuh. Korbannya adalah takdir yang tidak dapat dihindar oleh siapa pun makhluk ciptaan Allah di muka bumi ini.

Kita berhak untuk berasa sedih dan pilu. Mengucapkan rasa dan belasungkawa. Dan seperti selalu, orang-orang bergelar pun bersegera datang menjengah. Dengan caranya yang khas, menyatakan simpati serta menyampaikan apa yang difikir perlu, yang sekira-kira dapat membantu meringan beban yang memberati  perasaan saudara dan keluarga mangsa tragedi.

Tetapi belum pun memasuki seminggu kejadian dan dugaan Allah menimpa, komen dan ucap bernada tuding dan tuduh bergaung sudah. Tiada sijil kelayakan menduduki. Dibina tanpa kelulusan atau kebenaran pihak berwajib. Malah ada yang lebih tidak berhati perut dan dengan pongahnya berucap: robohkan kalau benar tiada kelulusan dan sijil kelayakan.

Masyaallah. Orang kecil, kurang mampu dan tidak banyak kepunyaan serta pilihan, kalau terjadi sesuatu kerosakan atau bencana, selalu menjadi mangsa tuduh serta tudingan. Dan yang menyebutnya, seolah-olah tidak pernah mahu menggunakan sedikit ruang yang banyak berbaki  di kotak akalnya. 

Di mana silapnya? Salahkah jika ada yang ingin beramal dan berjariah dengan kemampuan dan kadarnya, memberikan ruang dan tempat berlindung untuk sekian jumlah jasad yang memerlukan?

Mungkin sekeping sijil kelayakan itu yang lebih diperhitungkan dan dengannya juga dapat segera diperalatkan demi menghalalkan kepongahan kuasa atas nama peraturan.

Roboh dan runtuhkan. Itu memang kerja mudah untuk menimbus dan melupuskan buat sementara waktu perkara atau subjek yang ditudingkan sebagai angkara. Memang sesuatu yang mudah. Semudah meluncurkan kata dari bibir pemiliknya yang tidak pernah ingin menimbang serta berfikir sebelum berkata-kata.

Apa lagi kalau difikir-fikirkan, siapa pula yang mengucapkan kata itu.

Kerana, tidak berapa lama nanti, bukit akan kembali ditarah, bangunan  lain akan kembali bertengger di tubir bukit dan lereng.  Walau kejadian kelmarin rasanya masih belum terlupakan dan sudah pun dicanangkan segala larang dan tegahan atas nama peraturan.

Tidakkah mereka yang memberikan restu? Walau tanya kita selalu bergaung sendiri: siapakah mereka? Si tololkah atau pelakon bertopeng yang tiada tandingan?

Mei 23, 2011

Tiada ulasan: