Rabu, Mei 25, 2011
TAHNIAH (4)
KAWAN itu menelefon tiba-tiba. Saya tahu dia pengagum tegar seorang tokoh dari sebuah partai. Apa lagi dia pun memang mengetuai satu cabang partai di daerahnya. Saya tahu itu. Dan kerana sudah sangat tahu itulah maka saya tidak sangat terkejut bila dia membebeli saya bertalu-talu di dalam panggilan telefonnya itu.
Kenapa marah sangat kau terhadap mereka? Lupakah kau siapa diri kita kalau tanpa seperti mereka? Entah bagaimana untung dan nasibnya. Tetapi kau nampaknya seperti tidak pernah mahu bersyukur. Tahunya mengkritik dan mencari salah belaka. Tidak pernah pun ada yang baik dan betul. Cuba kau renung dan fikir. Kalau tanpa mereka, siapa yang sudi hendak bela nasib kita sebagai satu bangsa yang bermaruah dan bermartabat? Sepatutnya kau berasa bangga dan bertuah. Ini tidak. Tahu kau cuma kritik, kritik dan kritik. Apa ini? Kau ingat kau sudah bagus sangatkah? Dan lagi, kalau betul-betul kau berminat hendak berpolitik, masuk dan duduklah berjuang dalam partai. Ini tidak. Cakap sahaja berdegar-degar. Tetapi tidak berani masuk ke gelanggang yang betul-betul gelanggang.
Memang panas telinga saya yang mendengar. Dan saya tahu kawan itu memang tengah kesurupan. Manakan tidak. Semalam dia dan sekian jumlah ketua cabang partai yang lain di daerahnya dikerah menghadap timbalan ketua besar partai. Di dalam majlis itu, di samping pasakan amanat dan semangat agar terus gigih berjuang mempertahankan kedaulatan partai dan maruah bangsa, sahabat itu dan sekalian mereka yang lain menerima ganjaran yang disikan di dalam sampul. Konon khabarnya, ratusan juga adalah jumlahnya.
Kerana bosan dan semakin berasa panas di telinga, saya semakin menjauhkan telefon dari pendengaran dan membiarkan dia terus membebel sendirian.
Bukan saya yang membayar bilnya. Biarkan dia hendak bercakap apa sahaja. Bisik saya kepada diri sendiri.
Ketika yang sama, saya terkenang betapa kalau saya menapaki trotoar dan memasuki gedung demi gedung di bandar di mana saya tinggal dan mencari sesuap rezeki, selalu saya bertanya kepada diri sendiri: benarkah bangsaku adalah tuan di negerinya sendiri?
Memang pun saya tidak memberikan jawapan secara tuntas terhadap tanya dan soal yang tentunya boleh dan mampu dijawab oleh siapa sahaja yang mahu menggunakan otaknya secara wajar untuk berfikir.
Dan saya tidak pasti apakah sahabat yang sedang membebeli saya itu juga berfikir atau tidak tentang itu. Hanya yang saya tahu dan pasti, sekolah dia memang tidak pun tamat PMR.
Tetapi apa hendak dihairankan tentang sekolah dan berfikir. Memang pun tidaklah sangat kena dan kait berkait.
Kenapa saya katakan begitu?
Mudah sahaja jawapannya. Kalau yang bergulung ijazah yang saban hari bercakap mengenai bangsa dan ketuanan seenak sahaja mulutnya mahu meyakinkan mimpi yang jauh amat dari realiti dan hakiki, inikan pula otak dan fikir seorang pencacai yang menjerit dan menyalak hanya kerana dijanjikan sedikit ganjaran benda dan pangkat.
Apa hendak dihairankan. Kerana mereka memang pencacai.
Saya biarkan sahabat itu terus membebel sendirian. Saya biarkan dia dan di dalam hati diam-diam saya mengucapkan tahniah yang entah untuk kesekian kalinya untuk suatu kebodohan dan kepongahan yang sia-sia, yang tentunya akan membawa bangsa ke jurang binasa.
Tetapi sudah sedar dan insafkah mereka?
Ah, tahniah!
Mei 25, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan