8.30 PAGI: KERANA tergesa hendak melepaskan hajat lantaran desakan angin dan gas yang ditahan di dalam perut sejak selepas Subuh kian melonjak hingga menyenakkan pinggang, saya yang berhenti di tepi sebelah kiri jalan, sambil memberikan signal untuk ke kanan, menjadi agak gopoh memutar stering menyeberangi jalan ke lorong seberang. Walau telah berkali-kali menoleh dan melihat ke belakang serta meyakini sudah tiada sebarang kenderaan, tetapi entah dari mana dan waktu bila, sebaik sahaja membelok sebuah Honda EX5 muncul di belakang dan merempuh dinding sebelah kanan kereta saya
Motornya tercampak ke tengah jalan dan saya melepasi seberang. Rasa senak dan sakit di pinggang hilang lenyap entah ke mana. Pemuda yang memandu motor melompat ke tepi jalan, juga di sebelah kanan. Saya mendengar dia memaki dan menjerit. Katanya sudah melihat saya memberi signal yang teragak-agak hendak melintas.
Dalam hati saya berasa sebal dan merungut sendiri: kalau kau nampak aku memang sudah berikan signal sejak kau daripada jauh, kenapa kau rempuh juga kereta aku!
Tetapi rungut itu saya simpan di dalam hati. Saya tahu saya mungkin bersalah dan saya memang tidak ingin berlakunya kemalangan. Tetapi sudah berlaku, kalau saya bertempik marah pun tiada berguna lagi. Melihat dia menjerit dan bertempik saya tergerak untuk langsung ke balai polis membuat laporan kemalangan. Apa lagi melihat kerumunan manusia dan seorang lelaki yang menghampiri berbisik agar saya segera ke balai membuat laporan untuk mengelak dipukul.
Tetapi hati kecil saya melarang dan minta saya bersabar sebagai manusia. Walau masih terkilan kenapa dia meredah juga walau saya sudah memberi signal hendak ke kanan dan dia boleh membelok ke sebelah kiri, saya tetap meminta maaf dan menawarkan untuk menghantar dia ke hospital.
Saya tidak menyalahkan dia kalau bersikap galak dan bersuara kasar bercampur kurang ajar. Dalam keadaan berasa dirinya betul dan berada di pihak benar, orang mudah menjadi emosional dan mahu menyalahkan orang lain. Apa lagi ditambah rasa sakit di waktu yang sama.
Saya mengucapkan syukur di dalam hati. Hanya dinding dan dua pintu sebelah kanan kemek. Dua anak dan isteri saya tidak cedera apa-apa. Pintu di bahagian pemandu masih boleh ditutup dan buka. Dan pemuda itu saya lihat berdiri dan bergerak ke sana ke mari sambil menelefon. Juga beberapa orang tolong mengangkat motor yang terbongkang di tengah jalan ke tepi.
Dengan suara kasar pemuda itu menyuruh saya membayar kerosakan motornya. Dengan gaya samseng dan memaksa, walau sudah jelas ada peruntukan undang-undangnya, dia meminta ratusan wang tunai. Tertekan oleh desakannya, tanpa malu saya menjawab di depan orang ramai saya hanya membawa RM 80 untuk membeli minyak menghantar anak saya ke sekolahnya di Kuala Terengganu. Tetapi kata saya, kalau dia mahu juga, pulang nanti saya akan gadaikan apa sahaja yang saya ada untuk membayar dia!
Mujur kejadian itu berlaku di depan sebuah bengkel membaiki motor dan mendengar keriuhan di depan bengkel pemiliknya datang menjengah. Pemilik bengkel itu menyedapkan hati saya bila memberitahu kerosakannya tidak parah dan boleh diperbaiki dengan kos yang tidak tinggi kerana hanya bahagian depan sahaja yang bengkok dan bukan pun enjinnya yang pecah atau remok.
Tetapi sekali lagi saya mendengar sergahan dan pemuda itu menuntut mahukan semua yang original untuk motornya.
Tidak mahu bertekak dan melayan pergaduhan sia-sia, saya katakan saya akan membayar kesalahan saya, walau saya tahu ini urusan tuntutan insuran dan memberitahu akan ke balai polis membuat laporan kemalangan. Saya mencatat alamat tempat kerja dan nombor telefon milik saya untuk pemuda itu, juga mencatat butiran maklumat dan alamat mengenai pemuda itu untuk rujukan saya. Untuk rujukan hubungan dan bayaran, saya juga mencatat nombor telefon pemilik bengkel.
Ketika memandu ke balai polis, isteri saya memberitahu seorang pakcik menasihati sejak awal tadi supaya saya segera ke balai polis membuat laporan kerana khuatir saya dipukul oleh orang ramai atau kawan-kawan pemuda itu. Saya menahan nafas marah dan sesal. Tidak sempat bertanya dan mengambil alamat lelaki budiman itu.
Saya membuat laporan dan hairannya, walau sudah saya katakan akan membayar, pemuda itu juga datang membuat laporan.
Di depan pegawai polis yang mengambil laporan, saya tanyakan kepada pemuda itu kenapa dia masih juga meredah walau nampak saya memang sudah memberi signal hendak ke kanan.
Malangnya dia membuka tembelang dirinya yang sebenar, atau dia menyangka saya memang pengecut yang takutkan sergahannya kerana sejak dari awal tadi saya tidak banyak membantah segala sergah dan tuntutan dia. Tanpa silu di depan pegawai polis disebutnya dia ingin menendang saya dan memberi amaran jangan cuba hendak mengencingi dia sebab dia pernah kena tipu dalam kes kemalangan begini. Malah dengan bongkaknya dia mengaku dia pun kaki motor juga.
Mujur sikap baiknya itu ditegor oleh pegawai polis yang bertugas dan saya berkali-kali menghulur tangan untuk bersalam.
Di luar balai polis, saya meminta maaf dan memohon agar dia tidak memarahi saya kerana saya pun tidak inginkan semua ini. Malangnya pemuda yang saya lihat sihat dan segar ini sekali lagi menyebut bahawa dia berasa geram dan ingin memukul saya kerana banyak bercakap. Tetapi saya tidak mahu bergaduh, walau di dalam hati mulai berasa berdesing melihat angkuhnya pemuda yang sihat dan siaga ini. Saya tinggalkan pemuda itu dengan kawan atau entah siapa yang berada di dalam kereta yang menghantarnya ke balai itu.
Sungguh saya berasa mata tertekan. Di mana hendak dicari duit ratusan ringgit ketika ini. Untuk kepastian harga, saya menelefon pemilik bengkel dan meminta harga bagi kos pembaikan motor tersebut. Tetapi katanya dia tidak berani membaiki kerana tidak pasti siapa yang akan membayar. Ketika itu, isteri saya memberitahu di tangannya ada wang untuk belanja dapor sebanyak RM 400 dan gunakanlah untuk membayar. Lantas saya telefon pemilik bengkel memberitahu nanti akan datang membayar,
Pegawai trafik yang datang mengambil foto kerosakan kenderaan saya dan pemuda tersebut berlalu segera sebaik sahaja pegawai trafik tersebut muncul.
Pegawai trafik ini mengeluarkan sekeping surat putih dan saya menerima dengan rela sekeping saman berharga RM 300. Saya tahu saya bersalah. Saya pasrah. Punca sebagai sabitan kejadian hanyalah kerana ingin melepaskan hajat yang menyeksa perut dan meyakitkan pinggang di sebuah tandas di surau di seberang jalan. Kata orang tua-tua hanyalah sabitan atau penyebab.
Tiada yang hendak saya marah dan sesalkan. Segala kejadian sudah ada ketentuan serta peringatannya. Saya diam-diam menghitung segala dosa dan kesalahan diri yang cuba diperingatkan kepada saya. Tidak melibatkan kemalangan jiwa di pihak mana, saya mengucapkan jutaan syukur kepada Tuhan.
Pegawai trafik tersebut menasihati saya. Katanya saya tidak perlu membuat bayaran apa-apa kepada pihak berkenaan kerana ini sudah merupakan soal tuntutan insuran.
Saya memberitahu pegawai trafik yang peramah ini betapa ketika di lokasi kejadian, saya disergah agar membayar kerosakan dan akan dicari kalau tidak menunaikannya. Kata pegawai trafik tersebut, kalau itu berlaku dan sampai ke tahap ugutan, saya boleh menggunakan prosedur dan saluran yang sedia ada untuk membuat laporan yang lain. Jangan risau, negara kita ada undang-undang, nasihatnya.
Selepas seketika mengambil angin untuk bertenang dan mencuci muka, saya memandu perlahan dan hati-hati kereta yang sudah kemek dinding dan pintunya itu kembali ke tempat kejadian. Pemuda itu barangkali menyangka saya hendak menipu dia. Telefon saya dideringi panggilannya walhal saya sudah pun berada hanya 20 meter dari tempat kejadian.
Saya memparkir kereta jauh di pingngir jalan dan melintas ke seberang. Tujuanya ke bengkel motor itu untuk membayar wang kos pembaikan yang saya janjikan dengan pemilik bengkelnya. Di tepi jalan di depan bengkel itu, saya melihat pemuda itu yang berdiri di sebelah sebuah kenderaan, yang saya kira dia menumpangi kenderaan kawan atau saudara maranya, menunggu saya.
Saya beritahu oleh kerana sudah berjanji sekarang saya datang untuk membayarnya. Tetapi, mungkin kerana menyangka saya memang pengecut dan boleh didesak-desak terus, tanpa segan dan malu, pemuda itu bertanya apakah tiada wang untuk duit ubat dirinya.
Sabar saya sudah tidak dapat ditahan lagi. Telinga saya berdesing. Marah saya menyinga. Dengan suara tinggi, saya menuding telunjuk ke muka sendiri. "Kau minta duit ubat? Kau hendak pau aku? Kau lihat muka aku ini! Kau lihat kereta aku yang rabak itu! Kau lihat anak dan bini aku kat dalam kereta yang belum tentu boleh sampai atau tidak ke Kuala Terengganu itu. Kau tengok!" saya menjerit selantang suara. Berasa amat benci dan mual dengan perangai kurang ajar pemuda yang saya ajak berbaik dan berbincang elok ini, tetapi dibalas dengan kurang ajar dan melampau sikap.
Bertambah rasa marah dan benci saya bila saya melihat tiada calar, luka atau terguris pun kulit dia, tetapi tanpa malu meminta duit ubat daripada saya! Apa dia ingat saya taukeh balak atau pemilik kilang Lynas!
Rupanya jeritan saya itu bagaikan mengejutkan dia daripada igau keangkuhannya. Tahu pun dia kecut. Saya lihat air mukanya berubah kelat.
"Kau tahu tidak apa polis tu ajar aku. Tetapi aku tidak mahu ikut sebab dah janji dengan kau. Sebab aku tak mahu jadi penipu dan pembohong! Kau jangan hendak pau aku pulak!" saya mematikan cakap dan pemuda itu tergesa masuk ke tempat duduk bahagian belakang kenderaan yang ditumpanginya dan menutup pintu.
Saya membayar RM 400 kepada pemilik bengkel dan dia berjanji akan menyiapkan motor itu sebelum petang. Dia mengaku mahu menasihati saya mengenai bayaran itu ketika menghampiri saya tadi, tetapi tidak berpeluang kerana banyak mata yang memandang. Kepada pemilik bengkel yang baik itu, saya katakan tidak mengapalah dan nasihat itu pun memang sudah saya terima ketika di balai polis tadi. Kepada pemilik bengkel yang baik dan berbudi ini, saya mengucapkan terima kasih atas segala kebaikan dan pertolongannya.
Saya memasuki bandar Kuala Terengganu kurang lebih jam 12.30 tengah hari. Saya singgah di sebuah kedai serbaneka membeli masking tape untuk menutup renggangan pintu kanan di bahagian belakang. Harap-harap hujan tidak turun di bandar Kuala Terengganu petang ini, harap saya.
Ketika itulah, saya menerima panggilan daripada pemuda yang amat baik dan sopan itu. Dia meminta maaf kerana telah bercakap kasar dengan saya. Saya menjawab dengan mengatakan tidak apa-apa dan lupakanlah semua yang sudah terjadi.
Kemudiannya, ketika berhenti membeli oleh-oleh di Pasar Kedai Payang, pemilik bengkel menelefon. Katanya, motor milik pemuda yang baik dan amat bersopan itu telah siap dibaiki dan dari RM 400 ada lebihan RM 18. Saya katakan, anggaplah lebihan wang sekecil itu sebagai belanja minum teh saya kepada beliau. Dan saya kagum dengan kepantasan kerjanya: tidak sampai empat jam sudah siap dibaiki!
Tanpa bertangguh, saya menelefon pemilik motor. Saya beritahu motornya sudah siap dan pergilah mengambilnya.
Kami sekeluarga selamat tiba ke sekolah anak saya kurang lebih jam 1.30 petang. Saya bersyukur segalanya dilindungkanNya.
Saya tidak mahu menyalahkan apa-apa. Banyak yang saya pelajari dari kejadian ini. Lain kali, hendak berhenti solatkah, buang airkah atau hendak membeli apa-apakah, saya tidak akan membuat sebarang lencongan ke seberang. Biarlah kenderaan diparkir jauh ke pinggir jalan atau mencari masjid, kedai atau tandas di tepi laluan yang sedang dilalui.
Keduanya, andai berlaku lagi sebarang kemalangan selepas ini, saya tidak akan menunggu di tempat kejadian, sebaliknya akan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kemalangan. Di balai inilah saya akan menunggu untuk apa-apa perbincangan dengan yang berkenaan dan perbincangan ini biarlah di hadapan pegawai polis.
Terakhirnya, selepas ini saya tidak akan berlembut lagi dengan sesiapa yang cuba hendak memeras dan memaksa saya membuat apa-apa bayaran. Peruntukannya sudah jelas. Saya disaman RM 300 ratus kerana kesalahan sendiri dan apa-apa tuntutan sebenarnya boleh dituntut terhadap insuran yang memang pun sudah saya beli sebagai perlindungan dengan nilai RM1000 lebih setiap tahun.
Kadang-kadang bila kita mengalah, sebahagian orang yang tamak dan kurang bermaruah fikir kita boleh dia peras dan ugut!
Tiada siapa mahukan kemalangan. Apa yang berlaku boleh diperbincangan dengan elok dan atas nama manusia sesama Islam. Tidak perlu menjerit dan menyergah saya yang sudah berusia lebih setengah abad.
Saya sendiri berfikir, kalau tidak bersikap sombong dan angkuh, konon atas nama laluan jalannya, buat apa diredah juga walhal sudah dilihat saya daripada jauh memberi signal hampir lima minit di tepi jalan untuk membelok ke kanan? Tidak bolehkah dia mengalah dan melunturkan sombongnya dengan membelok sedikit ke sebelah kiri memberikan saya laluan ke kanan?
Saya tidak berniat menyalahkan. Apa yang berlaku sudah pun berlaku dan saya sudah membayar sebahagian daripada kesalahan itu di atas dunia, sementara yang di dalam akhirat saya belum tahu.
Saya menghitung salah dan dosa sendiri dan ada yang penting saya pelajari hari ini, kerana sikap pongah dan sergahnya yang melampau: Saya melihat dan menemukan nilai seorang pemuda yang bergelar manusia, hanya dengan kadar RM 400!
Julai 27, 2011
3 ulasan:
den pun pernah eksiden cam tu cuma bezanya den nak keluar dr simpang,tak perasan langsung EX5 tu....salah den...
pemuda tersebut mula lah dengan bengkengnya menghamburkan tuntutannya...
den bilang....bawak bersabar,biar den gi parking keta kat tepi kerana dah menganggu lalu lintas.....den bilang juga nak buat report polis kerana nak claim insuran.....
bila den dah parking,den keluar dari keta ....tengok pemuda tu dah berdesup hilang dengan motornya sekali......aduhai ....takde lesen dan road tax agaknya.....
Nasib baik tuan dan keluarga tak apa2.
Pengalaman tuan dapat dijadikan pengajaran untuk semua. Yalah, apabila situasi begitu berlaku, kita akan kelam kabut dan buntu untuk berbuat apa2.
Sdr Gym_midas dan MKriza: Selamat menjalani ibadah puasa di mulia bulan Ramadhan.
MARSLI N.O
Catat Ulasan